Selasa, Mac 18, 2008

Peranan Islam Dalam Pembentukan Politik Masyarakat Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua

Kedatangan Islam sekitar abad ke 14 telah merubah satu budaya berteraskan Hindu-Buddha kepada satu konsep yang baru di alam Asia Tenggara amnya dan Tanah Melayu khasnya. Berlaku perubahan-perubahan besar dalam sejarah dan ketamadunan di rantau ini yang sekaligus mengubah dan merombak pandangan masyarakat. Abad 1-13 menyaksikan unsur Hindu-Buddha begitu menguasai peradaban Asia Tenggara baik dari segi kerajaan, politik, mitos, keagamaan, budaya dan sebagainya. Datangnya Islam membawa satu sinar baru yang berteraskan al-Quran dan Sunnah , unsur aqli dan naqli. Syed Muhammad Naquib al-Attas berpendapat Islam telah memulakan satu zaman baru di alam Melayu. Islam turut memperkenalkan unsur poliitk yang akhirnya menjadi elemen penyatu terutama di kalangan kesultanan-kesultanan Melayu dalam menghadipi ancaman dan penjajahan Barat. Hingga ke hari ini , Islam memainkan peranan yang amat penting dalam senario poltik Melayu khasnya dan Malaysia amnya.

Perasaan cinta dan taat setia kepada tanah air serta ingin membebaskannya daripada penjajhan disebut sebagai semangat kebangsaan. Kesedaran kebangsaan ini ialah kesedaran yang merentasi kampung, daerah dan negeri. Dalam konteks tanah Melayu atau british malaya seperti yang disebut oleh pihak penjajah, maka rakyat sedar bahawa mereka berada di belenggu penjajahan British. Peringkat akhir abd ke 19 mula menyaksikan Islam muncul sebagai pemangkin dalam pembentukan siyasi dan semangat kebangsaan orang Melayu.

Semangat kebangsaan di tanah Melayu boleh dikesan sejak awal kurun ke 20 lagi. Iaitu setelah pihak British menguasai seluruh Tanah Melayu, dibawah sistem pemerintahan yang dibahagikan kepada negeri-negeri Selat, Negeri-Negeri Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Perlu ditegaskan bahawa semangat kebangsaan pada awal kurun ke 20 itu wujud di kalangan orang Melayu. Ini kerana sehingga perang dunia kedua, kaum-kaum cina dan kiblat mempunyai kiblat taat setia yang tidak serupa. Kiblat taat setia orang Melayu ialah terhadap tanah Melayu, taat setia orang cina ialah terhadap negera cina dan taat setia orang india adalah terhadap negara india. Maka orang Melayu sahaja yang memikul tanggungjawab untuk membebaskan tanah Melayu daripada belenggu penjajah British, pada tahap-tahap awal. Jesteru itu, perbincangan berkisar kepada peranan yang dimainkan oleh Islam dalam pembentukan pemikiran politik masyarakat Melayu di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.

Perkembangan Islam di Tanah Melayu Mulai Akhir Abad ke 19

Perubahan-perubahan sosial dan ekonomi akibat dari perluasan kuasa British di tanah Melayu dalam abad ke 19 dan awal abad ke 20 telah mempengaruhi perkembangan politik oarng Melayu. Pembentukkan pemikiran politik di kalangan masyarakat Melayu boleh dikatakan timbul serentak dengan mulanya gerakan reformis di Tanah Melayu yang dipengaruhi oleh perubahan yang disalurkan oleh masyarakat Islam di Timur Tengah. Pengaruh dari rantau itu telah memberi impak kepada pemikiran masyarakat Melayu yang mula sedar tentang kemunduran mereka dari aspek sosio-ekonomi berbanding dengan kaum-kaum lain. Kesedaran ini selaras dengan kemunculan pemimpin-pemimpin berpendidikan Arab / Timur Tengah , Melayu dan Barat yang cuba menyatukan orang-orang Melayu dan mengusir penjajah Inggeris dari sini.

Islam telah memperkenalkan sistem pendidikan baru kepada penduduk Nusantara. Pendidikan dan ilmu pengetahuan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.Tetapi, sebelum kedatangan Islam iaitu pada zaman Hindu , pendidikan dan ilmu pengetahuan hanya dapat dimiliki oleh golongan tertentu sahaja. Dalam Hindu, pendidikan dan ilmu pengetahuan hanya dikhaskan untuk golongan istana dan bangsawan sahaja, manakala golongan bawahan seperti golongan ‘paria’ tidak dibenarkan mengikuti pendidikan dan ilmu pengetahuan. Conthnya, kitab Mahabrata hanya boleh dibaca oleh golongan Brahmin sahaja. Sedangkan dalam Islam kitab suci Al-quran wajib dibaca dan dimiliki oleh semua manusia malah Al-Quran dijadikan pegangan hidup umat Islam.

Demi mengembangkan pengetahuan , kelas-kelas mempelajari Al-Quran diadakan hingga ke peringkat mempelajari bahasa Arab dan hukum-hukum.Pada peringkat permulaan , pendidikan dan ilmu pengetahuan yang menggunakan bahasa Arab menjadi suatu kesukaran kepada penduduk tempatan. Lantaran itu lahirlah beberapa tokoh yang berusaha menterjemahkan kitab-kitab bahasa Arab ke bahasa tempatan supaya dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. Dalam Islam , manusia wajib belajar tentang sebarang ilmu pengetahuan yang benar, yang diredai Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud,” Sesiapa yanag ingin kesenangan di dunia hendaklah berilmu dan sesiapa yang ingin kesenangan dunia dan akhirat hendaklah berilmu”. “ tuntutlah ilmu hingga sampai ke negeri China”. Ini bermakna Islam menitikberatkan kepada pendidikan dan ilmu pengetahuan. Dengan itu , kedatangan Islam telah mendorong penduduk tempatan Nusantara untuk mempelajari ilmu pengetahuan.

Islam telah memperkenalkan pelbagai ilmu pengetahuan dunia dan akhirat. Ilmu pengetahuan Islam adalanh berdasarkan kepada Al-Quran dan al-Hadis. Dlam Al-Quran mengandungi ilmu pengetahuan untuk kemajuan manusia di dunia dan akhirat. Bagi mendapat ilmu pengetahuan dan memilikinya, maka kita hendaklah mempelajarinya dan mengkajinya serta mengikut apa yang dikehendakinya.

Oleh kerana Islam menitikberatkan kemajuan dan kemakmuran dunia dan akhirat, maka dalam Islam terdapat banyak cabang ilmu pengetahuan. Perkembangan pendidikan dan ilmu pengetahuan berjalan serentak dengan perkembangan Islam. Oleh yang demikian, Tanah Melayu dan Indonesia muncul sebagai gedung Khazanah ilmu pengetahuan Islam yang terkenal di Asia Tenggara.

Sistem pendidikan pondok mula diperkenalkan oleh alim ulama’ dari Timur Tengah sekitar awal kurun ke 19. Sistem-sistem ini mula popular terutama di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Sekolah pondok merupakan satu institusi tradisioal Islam yang berkonsepkan Tarbiyyah dan memberi didikan berkenaan hukum-hukum Islam serta ibadah.

Awal kurun ke 20 menyaksikan kemunculan golongan ulama’ yang digolongkan sebagai Kaum Muda. Selaras dengan kemunculan Kaum Muda, muncul sistem pendidikan bercorak madrasah . Sekolah-sekolah seperti madrasah ini telah membangkitkan lagi Islam di Tanah Melayu. Satu era baru dalam pemikiran telah diperkenalkan oleh Kaum Muda . Hasilnya, muncul tokoh-tokoh intelek yang lebih terbuka dan berfikiran kritis. Secara perlahan-lahan timbul kesedaran politik dengan permulaan gerakan pemulihan Islam di tanah Melayu.

Golongan berpendidikan pondok merupakan antara golongan pertama yang menyahut panggilan jihad menentang penjajahan. Peranan Islam dalam sejarah perkembangan anti-penjajahan . Konsep jihad digunakan untuk menyemarakkan semangat perjuangan menentang penjajah Kristian. Perkara ini diungkapkan oleh Snouck Hurgonje :

“… yang harus ditakuti oleh pemerintah bukanlah Islam sebagai agama, tetapi Islam sebagai doktrin politik.

Syed Hussein al-Attas menegaskan bahawa Islam telah mempelopori gerakan anti-penjajahan. Aliran dan fahaman lain seperti komunisme, sosialisme dan nasionalisme hanya datang selepas itu atau lebih spesifik ide-ide ini hanya datang pada awal abad ke 20.

Semangat anti-British yang berlaku di negeri-negeri Melayu sepanjang penghujung abad ke 18 dan awal abad ke 20 tampak membawa ciri-ciri keIslaman yang begitu besar. Lihat sahaja gerakan anti-British di Perak pada tahun 1875 hingga mengorbankan J.W.W. Birch, Residen Inggeris yang pertama itu. Ia dikatakan berkait rapat dengan ketidakpuasan hati hasil dari pentadbiran Inggersi yang dilihat menjejaskan kedudukan agama Islam.

Pahang pada tahun 1891 dan Kelantan menerusi Pemberontakkan Tok Janggut 1915 telah dikaitkan dengan semanagat Jihad. Unsur Islam dilihat lebih ketara di Terengganu pada tahun-tahun 1922, 1925 dan 1928 yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Abdul Hamid , Sayyid Sagap dan Musa bin Abdul Ghani. Penentangan di Terengganu ini walaupun berisukan Undang-Undang Tanah yang diperkenalkan oleh Inggeris pada tahun 1921, jelas menampakkan pimpinan ulama’ dan tuan guru. Salah satu faktor Undang-Undang Tanah ditentang kerana ia amat bertentangan dengan hukum pemilikan harta dalam Isalam atau faraidh.

Peranan dan ketokohan tokoh-tokoh agama dan membangkitan perasaan anti-British di Terengganu diakui oleh H.W. Thompson :

“religious feeling has always run very high in Terengganu and it is probabble that the religious leaders made the most of every case of hardship.


Penentangn ini turut dikaitkan dengan Sarekat Islam. Pertubuhan ini ditubuhkan di Terengganu dalam dekad 1920an dan ia dipelopori leh aktivis-aktivis Sarekat Islam Indonesia yang lari ke Terengganu akibat tekanan penjajah Belanda.

Gerakan Islah as-Siyasi (Politik) & al-Dirasi (Pendidikan) di Tanah Melayu

Menurut Kamus Dewan , Islah membawa maksud ‘ (penyelesaian perbalahan) dengan jalan baik atau dengan jalan damai.’ Tajdid pula membawa maksud ‘ pembaharuan; yang menurut ulama’ Fiqah bererti menghidupkan kembali jalan Rasul yang semakin ditinggalkan akibat amalan bid’ah. Prof. Dr. Hassan Ahmed Ibrahim merumuskan bahawa konsep Islah dan Tajdid merupakan satu gerakan reformasi dunia Islam yang bukan merupakan satu fenomena baru dalam sejarah Islam. Ini berdasarkan Nabi Muhammad sendiri digelar al-Muslih al-Azim (Reformer Par Excellence) dan Khulafa’ al-Rashidin ynagterkenal dengan sumbangan mereka dalam Islah dan Tajdid. Beliau turut menekankan konsep islah dapat dilihat disepanjang pensejarahan Islam dimana apabila umat Islam mengalami kemerosotan (decay) akan muncul Mujadid yang akan menyeru penghapusan amalan Bid’ah dan mengembalikan ajaran Islam kepada asalnya.

Gerakan pembaharuan yang berlaku di Tanah Melayu dipengaruhi oleh dua aliran iaitu dari India dan Asia Barat. Aliran Asia Barat menampilkan fahaman Islah yang bersumberkan pemikiran tokoh-tokoh pembaharu atau tajdid seperti Ibnu Taymiyyah, Muhammad bin Abdil Wahab, Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha. Manakala, aliran India lebih tertumpu sumber pemikiran Shah Waliullah al-Dahlawiyy. Walaubagimanapun, aliaran Asia Barat atau Timur Tengah ini lebih besar pengaruhnya kerana ia telah dikembangkan dengan gigih oleh graduan-graduan Timur Tengah terutama dari Mesir dan Makkah. Tokoh-tokoh yang terkenal adalah Syeikh Tahir Jalaluddin, Saiyid Syeikh al-Hadi, Syaikh Abu Bakar al-Asha’ari dan ramai lagi.

Gerakan Islah ini telah berjaya memajukan daya fikir masyarakat Islam melalui konsep anjuran Ijtihad dan penolakan taqlid. Umat Islam diseru bersikaplebih kritis, meninjau semula pemahaman dan amalan agama serta kembali kepada asas al-Quran dan Sunnah Rasul. Justure itu, gerakan ini telah berjaya memberi satu nafas baru kepada bidang pendidikan ataupun dikenali sebagai Islah Dirasi dengan mempelopori sistem persekolahan agama. Sistem sekolah agama ini terus menjadi satu alternatif kepada sistem pondok yang dilihat kurang bertenaga dalam menghadapi cabaran Ummah. Reformasi pendidikan dilakukan termasuk memperkenalkan satu sistem kurikulum yang menarik dan lebih pelbagai dan merangkumi matapelajaran agama dan akademik. Satu perkara yang menarik adalah penggalakkan pembelajaran bahas Inggeris , sesuatu yang selama ini ditentang oleh sistem pondok yang menganggap ia merupakan pelajaran orang kafir.

Selain itu, kesedaran turut diberi tentang kejatuhan dan kemerosotan Islam, sebab-musababnya serta saranan penyelesaiannya. Seruan-seruan ini telah mendorong orang Melayu untuk bergiat secara individu dan menubuhkan badan-badan kebajikan yang kemudiannya meningkat kepada tertubuhnya penubuhan badan-badan politik yang memperjuangkan kemerdekaan.

Pengaruh gerakan reformis Islam di Timur Tengah pada penghujung abad ke 19 di Mesir telah mempengaruhi telah mempengaruhi pemikiran politik masyarakat Melayu. Gerakan Islah atau Reformis pimpinan Sheikh Muhammad Abduh (1804-1905) di Kaherah telah memperjuangkan konsep Pan-Islamisme. Muhammad Abduh pula mendesak umat Islam kembali kepada asas iaiatu al-Quran dan al-Sunnah / Hadith . Beliau berpendapat, hanya menerusi cara Islam yang asal dan telus sahajalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemunduran sosio-politik moden.

Menjelang dekad pertama kurun ke 20. Gerakan reformasi Islam telah sampai ke tanah Melayu. Gerakan ini dipelopori melalui gerakan oleh Sheikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin al-Afghani.

Syeikh Muhammad Abduh telah menyesuaikan prinsip-prinsip Islam menurut kehendak zaman moden, tetapi tidak terkeluar dari prinsip dan semangat agama Islam yang sejati. Ajaran beliau adalah berdasarkan kepada ajara allah dan rasul seperti yang tercatit di dalam al-quran dan al-haddis. Yang diesuaikan ialah perkara-perkara dan hal-hal takwil serta pentafsiran Islam mengenai sesuatu pendapat atau hukum di dalam al-quran. Ajaran dan pandangan beliau di anggap baru, prgresif dan revolusioner dan amat sesuai dengan zamannya.

Konsep pan-Islamisme telah diutarakan oleh Jamaluddin al-Afghani, seorang pemuda reformis Islam yang radikal dan revolusioner pada akhir abad ke 19. Konsep ii mempunyai matlamat untuk melahirkan nasionalisme yang berteraskan agama Islam yang mengaku dan menghendaki satu bangsa yang berdasarkan agama Islam dan sebuah negara Islam yang besatu padu dan berdaulat.

Pada masa itu juga, ramai orang Melayu yang telah pergi ke luar negeri, tetrutamanya ke Timur Tengah untuk mempelajari agama Islam. Tidak kurang juga yang pergi menunaikan fardhu haji. Perkembangan reformis di Timur Tengah itu telah memengaruhi kedua-dua kumpulan tersebut. Mereka mula menyebarkan gagasan baru kepada masyrakat Melayu berlandaskan agama Islam.

Perkembangan di Timur Tengah merupakan sumber llham bagi pertumbuhan kesedaran yang semain meresapi masyarakat Melayu. Keadaan ini telah dipelopori oleh penuntut-penuntut Melayu yang telah pergi ke Timur Tengah seperti Syeikh Tahir Jalaluddin. Sayed al-Hadi dan Syeikh Muhammad Salim al-Kalali. Mereka berusaha menyatupadukan masyarakat Melayu berdasarkan identiti agama Islam.

Idea Pan-Islamisma ini telah mempengaruhi pemikiran pelajar-pelajar Melayu di Universiti al-Azhar, Mesir. Apabila mereka tamat pengajian dan kembali ke tanahair, golongan inilah yang memulakan gerakan Islah. Pemimpin-pemimpin utama ketika itu terdiri dari Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka telah memulakan penerbitan majalah al-Manar serta menyebarkan ide-ide Muhammad Abduh menerusi akhbar al-Imam.

Al-Imam tampak mengikut langkah majalah al-Manar yang mendapat sumbangan lidah pengarang dari majalah al-Qurwatul al-Wusta terbitan Jamalussin al-Afghani di Paris. Al-Imam mengemukakan betapa pentingnya pendidkan, pelajaran dan ilmu pengetahuan dan dalam masa yang sama menyeru umat Islam membuang budaya kolot dan fanatik. Dalam masa yang sama ia turut menyeru umat Islam bersatu dan membangunkan kebudayaan Islam di seluruh alam.

‘Seruan Azhar’ dan ‘Pilihan Timur’ turut diterbitkan dan majalah ‘Seruan Azhar’ tahun 1927 mendesak penduduk Tanah Melayu menjadi lebih berani dan tidak membiarkan Inggeris menentukan masa depan mereka. Satu tuntutan penduduk Tanah Melayu diberi kebebasan bercakap turut diminta dan menyeru supaya diadakan pemberontakkan jika ia tidak ditunaikan. Majalah ini nampak bebas kerana ia diterbitkan di luar yang jauh dari kawalan Inggeris.

“They dealt freely with forbidden topics of nationalism and politics of the Middle East.”

Syed Sheikh al-Hadi menerbitkan majalah al-Ikhwan di Pulau Pinang pada tahun 1925 yang banyak memuatkan perjuangan Kaum Muda dalam isu agama dan sosial. Menerusi majalah inilah Sheikh Tahir Jalaluddin mengemukakan pendapat bahawa umat Islam di Tanah Melayu lemah dalam pentadbiran agama hingga menyebabkan Inggeris begitu mudah mengambil kesempatan. Beliau turut mengkritik pendidikan agama yang dikendalikan oleh tokoh-tokoh agama ketika itu yang dianggap ketinggalan zaman. Syed Sheikh al-Hadi turut memulakan gerakan Kaum Muda menerusi al-Imam tersebut. Matlamat utama ialah untuk memajukan orang-orang Melayu dan kembali kepada al-Quran dan Hadith. Kaum Muda juga ingin membebaskan Islam dari kepercayaan lama yang membantutkan kemajuan. Mereka menyeru orang Melayu menggunakan akal fikiran dalam amalan agama. Kemunduran ekonomi hanya boleh diperbaiki menerusi pengamalan Islam yang sebenar. Beliau pernah menegur oramg Melayu yang tidak menggunakan kesempatan kemajuan yang dibawa oleh british untuk kepentingan diri. Beliau menyatakan :

“The signs of prosperity and wealth have manifested themselves because of the fair rule of the British Government , which has attracted money from European nations; banks have been opened here (Malaya) to serve the public; the foreigners have used them ………….

Menjelang akhir kurun ke 19, terdapat sekolah-sekolah pondok, madrasah, sekolah-sekolah Melayu dan sekolah inggeris yang disediakan bagi orang Melayu. Sekolah-sekolah Melayu telah mula dibuka di kawasan-kawasan barat dan selatan tanah Melayu sejak tahun 1880-an lagi. Pada dasarnya, tujuan british bukanlah untuk melahirkan golongan cerdik pandai dikalnagn orang Melayu. Mereka hanya ingin melihat anak-anak orang Melayu menjadi lebih pandai sedikit daripada ibubapa mereka. Yang belajar di sekolah inggeris pula ialah anak-anak golongan bangsawan yang ingin dijadikan oleh orang british sebagai pegawai dan pentadbir bawahan sahaja.

Oleh kerana penyediaan sekolah-sekolah Melayu oleh orang inggeris ini bukan satu yang ikhlas, maa tidak terdapat buku-buku teks dan kurikulum yang sesuai. Maka surat khabar Melayu telah digunakan sebagai bahan pengajaran, umpamanya 'Jawi Peranakan', 'Khizanah al-ilmu' dan ‘Taman Pengetahuan’. R. J. Wilkinson selaku penyelia sekolah-sekolah (1877-1895) mendapati bahawa surat khabar Melayu bersama pendidikan secara amnya, telah menyumbngkan terhadap kemajuan intelek dan material orang Melayu. Pendedahan kepada dunia luar melalui surat khabar, telah membuka mata orang Melayu, terutamanya generesi muda terhadap isu-isu yang mempengaruhi orang Melayu.

Di samping itu, pendidikan agama yang dijalankan di sekolah-sekolah pondok dan madrasah telah mendapat sambutan hebat penduduk tempatan. Melalui sistem pendidikan ini, mereka dapat mempertahankan nilai-nilai keIslaman semasa kemasukan kuasa british dan kemasukan kaum ingiren. Namun demikian sekolah-sekolah seumpama ini kurang memainkan peranan untuk menanan semangat kebnagsaan pada tahap-tahap awal. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 1900, bila Islam memasuki era reformasi, maka barulah sekolah-sekolah pondok dan madrasah telah membuka minda kaum Melayu terhadap masalah-masalah politik yang dihadapi oleh mereka di Tanah Melayu

Walau bagimanapun, Kaum Muda ini tidak menubuhkan sebarang parti politik . perjuangan mereka adalah menerusi akhbar dan majalah yang bertujuan membawa konsep Islah Islamiyyah. Mereka turut mengadakn perbincangan agama atau ta’alim di masjid serta medirikan madrasah dan sekolah agama moden. Kita dapat lihat satu perubahan ketara kerana sebelum ini sistem sekolah agama hanya tertumpu kepada pembacaan al-Quran dan hal-hal akhirat semata. Kemunculan sekolah agama moden seperti Madrasah iqbal al-Islamiyyah di Singapura (1907) , Madrasah al-Hadi di Melaka (1915) dan madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang (1916) bertujuan untuk mengubah sistem lama. Walaupun asasnya pengajian Islam, matapelajaran lain seperti bahasa Inggeris, Geografi, Sains dan aspek akademik lain turut diketengahkan.


Aliran Islah dari India pula sebenarnya turut mempengaruhi umat Islam Tanah Melayu terutama golongan muda. Kecenderungan ke arah India bagaimanapun tidak begitu menyerlah. Golongan ini boleh dilihat di kalangan bekas pelajar Melayu yang belajar di India ataupun yang pernah berguru dengan ulama-ulama India. Terdapat juga kumpulan yang tidak pernah belajar mahupun berguru dengan ulama India tetapi dipengaruhi oleh konsep-konsep pembaharuan pemikiran Islam India. Golongan ini merupakan golongan intelek berpendidikan Barat tetapi mempeljarinya melalui buku-buku oleh ahli-ahli fikir dari India yang ditulis atau diterjemah dalam Bahasa Inggeris.

Golongan para pelajar dari India memusatkan kegiatan mereka di Kota Bharu , Kelantan. Antara tokoh utamanya adalah Haji Nik Abdullah bin Haji Musa yang dipengaruhi pengajaran Maulana Ubaidillah al-Sindhi Yang merupakan pengikut Mujadid besar India Shah Waliullah al-Dehlawi. Kepakaran Haji Nik Abdullah dalam soal pemikiran Islam telah mendorong beberapa pelajar Melayu untuk belajar di India.

Za’aba pula merupakah salah seorang tokoh yang dipengaruhi dengan Islah dan tajdid Ahmadiyya dari India. Beliau tertarik dengan majalah ‘The Light’ terbitan Ahmadiyya di Lahore dan ‘Islamic Review’ terbitan Shah Jehan Mosque. Penulisan Za’aba berkenaan politik kolonial Inggeris diinterpretasi sebgai bahaya dan bernada keras terutama rencana ‘Teriak Yang Sebenar’. Rencana ini membangkitkan semangat orang Melayu dalam membebaskan negara dari penjajahan asing.

Satu asas kepercayaan kepada Islam cuba diterapkan oleh Haji Nik Abdullah berdasarkan ajaran Islam yang rasional dan tidak berdasarkan taqlid buta seperti yang kebiasaannya diamalkan selama ini. Konsep ini sesuai dan selari dengan pendapat Shah Waliullah tentang kepercayaan agama dan pertimbangan harus berlandaskan logik dan penjelasan hujah hukum syariat yang dapat dipercayai.

Kemunculan Gerakan Turki Muda pimpinan Mustafa Kemal Attaturk turut mempengaruhi kesedaran kebangsaan Melayu, Ide-ide Attaturk telah mempengaruhi kesedaran semangat kebangsaan Melayu. Kejayaan beliau dalam ’memodenkan’ Turki apabila mengisytiharkan Turki sebagai sebuah republik pada tahun 1923 dianggap satu inspirasi. Ini dilihat menerusi kejayaan Gerakan Turki Muda membangkitkan semangat kebangsaan di sana. Ekonomi Turki telah berjaya dikuasai semula oleh orang tempatan lantas mengurangkan pengaruh Yahudi. Kebangkitan ekonomi ini membolehkan kerajaan memberi peluang yang luas kepada orang Turki.

Majalah al-Imam turut menekankan kepentingan pengaruh Turki sejak zaman kerajaan Uthmaniyyah lagi terutama semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid. Malah dalam keluaran pertama majalah tersebut, Turki dan Jepun telah dijadikan sumber ilham penentangan kuasa barat oleh Islam dan Asia. Tokoh Islam dari Turki iaitu Sayyid Muhammad wajih al-Jailani turut memainkan peranan penting dalam seruan supaya umat Islam bersatu. Pengaruh Turki ini bukan sahaja di Tanah Melayu malah amat berpengaruh di Indonesia. Walaubagaimanapun cubaan pemerintahan Bani Umayyah ini gagal dengan kejayaan gerakan Turki Muda mengambil alih tapuk pemerintahan Turki.

Prof. Datuk Khoo Kay Kim menerangkan tentang kegiatan seorang tokoh ulama’ bernama Haji Wan Ahmad bin Wan Ngah yang berasal dari Kelantan dan kemudian menetap di Temoh, Perak pada tahun 1923. Beliau merupakan pengasas al-Madrasah al-Ahmadiyyah di Temoh. Beliau juga merupakan seorang pejuang yang radikal dalam mendukung aspirasi pan-Islam. Ini dijalankan dengan cara mengatur perjumpaan jemaah haji mengambil kesempatan berjumpa dengan orang-orang Turki di Makkah untuk mempereratkan silaturahim di kalangan umat Islam. Haji Wan Ahmad berpendapat corak pemerintahan Turki lebih sesuai berbanding Inggeris dan beliau pernah mencabar Undang-Undang Inggeris kerana tidak selaras dengan al-Quran.

Kejayaan yang dicapai oleh Gerakan Turki Muda dalam menentang penguasaan kuasa asing turut mengilhamkan orang-orang Melayu seperti Za’aba untuk melibatkan diri dalam gerakan nasionalisme di tanah Melayu dan memajukan diri dalam pelbagai bidang.

Pengaruh dari Indonesia menyemarakkan lagi semangat untuk mara dan mengubah sikap dan diri. Akhbar Edaran Zaman dan Sinaran Zaman yang diterbitkan oleh Syed Syeikh al-Hadi telah menggambarkan perjuangan Sarekat Islam, sebuah pertubuhan politik yang menggunakan Islam bagi menyatukan umat Islam di Indonesia dalam menentang penjajahan Belanda. Jadi, bolehlah dikatakan perkembangan gerakan nasionalisme di Indonesia telah mempengaruhi pemikiran politik penggerak nasionalis Melayu. Perkembangan nasionalisme Tanah Melayu dilihat mula berkembang seiring dengan gerakan nasionalis di Indonesia yakni berteraskan perjuangan menerusi Islam yang asal.

Gerakan kemerdekaan rakyat indonesia menentang pemerintahan belanda telah memberi semangat kepada golongan Melayu yang ingikan pembebasan daripad penjajahan british. Sareket Islam yang ditubuhkan pada tahun 1912, dengan tujuan memelihara kebajikan dan ekonomi orang indonesia serta emnyatukan orang Islam dengan menyebarkan ajaran Islam. Parti ini amat popular di Pulau Jawa. Parti ini mendesak penjajah Belanda supaya memberi pemerintahan sendiri kepada rakyat Indonesia.

Orang Melayu di Tanah Melayu amat tertarik dengan ideologi parti tersebut, tambahan pula terdapat persamaan ketara dari segi agama, baasa dan kebudayaan, di antara masyarakat Islam di indonesia dan mayarakat Melayu di tanah Melayu, jadi orang Melayu di tanah Melayu mendapat banyak ilham daripada perjuangan yang dilakukan oleh Sarekat Islam di indonesia

Di samping itu pelajar yang sedang belajar di Timur Tengah, telah berhubung dengan peajar indonesia yang turut belajar di situ. Tujuan mereka ialah untuk berganding dan sama-sama memperleh pembebasan dari penjajah.

Penilaian Gerakan Reformasi Islam dalam Politik Tanah Melayu

Usaha golongan reformis seperti kaum Muda ini mendapat tentangan hebat dari golongan tadisional yang lebih dikenali sebagai Kaum Tua. Wujud konflik hebat dalam dekad 1920an antara kedua-dua golongan ini. Kaum Tua dilihat sebgai satu golongan konservatif dan berpegang teguh kepada adat-adat lama[58].

Idea islah kaum muda telah mendapat tentangan hebat dari golongan pihak rasmi agama dan tradisional yang dikenali sebagai kaum tua. Kaum tua menganggap idea kaum muda itu membahayakan suasana masyarakat, politik dan agama yang sedia ada. Mereka bertindak balas denagn menerbitkan majalah ‘Pengasuh’. Majalah ini diterbitkan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Kelantan. Oleh kerana kuatnya pengaruh kaum tua, majalah-majalah terbitan kaum muda diharaman dibeberapa buah kerajaan negeri. Majalah-majalah ini hanya dibenarkan dinegeri-negeri yang tidak ramai penduduk Melayu seperti di negeri-negeri selat. Pemimpin-pemimpin kaum muda juga dilarang daripada berucap di masjid-masjid

Konflik ini telah membawa perpecahan di kalangan umat Islam di tanah Melayu. Umpamanya pada tahun 1925 di Kelantan, berlaku satu pergaduhan di perkarangan masjid Kampung Laut. Pemimpin Kaum Muda yang terlibat adalah Haji Wan Musa Abdul Samad. Perselisihan ini akhirnya telah melibatkan Sultan Kelantan, Mufti dan majlis Agama Islam Kelantan.

Konflik-konflik yang berlaku disebabkan konsep pembaharuan melalui penulisan telah menimbulkan rasa curiga di kalangan para pemimpin agama terutama di Selangor, Negri Sembilan, Perak, pahamg, Johor, kedah dan Kelantan. Perselisihan pendapat anatara dua golongan ini tlah mendapat perhatian beberapa akhbar. Ahmad Lutfi ketika menjadi pelajar di Mesir telah menyindir ulama menerusi penulisannya dalam Seruan al-Azhar. Mereka dikatakan mentaati orang besar kerana mengharapkan sesuatu hingga ke tahap menggunakan ayat al-Quran dan Hadith untuk mengukuhkan kuasa. Akhbar ‘Saudara’ banyak memuatkan berita berkenaan gerakan Islah Kaum Muda. Kaum Tua pula bertindak dengan menerbitkan ‘Lidah Benar’ untuk menyanggah pendapat Kaum Muda. Akhbar-akhbar lain seperti ‘Suara Benar’ di Melaka dan majalah ‘Panduan’ di Kuala Kangsar turut memutkan penadangan Kaum Tua. Dalam menyaingi Kaum Tua, ‘Semangat Islam’ dan ‘Edaran Zaman’ telah diterbitkan oleh Kaum Muda.

Kerajaan British pula menganggap kritikan-kritikan dan seruan Kaum Muda cuba menghuru-harakan sistem politik Tanah Melayu. British telah bertindak dengan melarang membawa masuk majalah dan risalah terbitan Kaum Muda di beberapa buah negeri. Pada tahun 1925, satu peraturan baru diadakan di Selangor dan Negeri Sembilan. Ini diikuti di perak pada tahun 1926. Peraturan ini disertakan dengan hukuman berat kepada sesiapa yang menerbit atau mencetak penulisan berunsur Islam tanpa kebenaran Sultan dan Majlis Agama. Mufti dan pegawai agama Islam turut didesak menapis semua penulisan yang ada hubung kait dengan Islam.

Sebagai satu tindak balas, novel ‘Hikayat Faridah Hanum’ telah diterbitkan oleh Syed Syeikh al-Hadi. Novel ini menekankan kepentingan pendidikan dan kebebasan yang lebih luas diberi kepada wanita. Pada tahun 1934, Maahad Ihya al-Sharif telah didirikan di Gunung Semanggul oleh Ustaz Abu bakar al-Bakir. Maahad ini dipengaruhi oleh Kaum Muda. Antara kepentingannya adalah peluang yang diberi kepada pelajar wanita dalam usaha tidak mengabaikan pendidikan untuk wanita.

Walaubagaimanapun , Kaum Muda ini tidak menampakkan kematangan dalam menggerakkan sebuah organisasi. Hanya selepas Perang Dunia Pertama menyaksikan terdapat pelbagai persatuan dan kelab yang ditubuhkan di Tanah Melayu terutama di Pulau Pinang , Singapura dan Melaka. Persekutuan Keharapanan Belia pula ditubuhkan pada tahun 1916 di Johor Bharu dan pada tahun 1918, Persekutuan Indera Kayangan ditubuhkan di Alor Setar.Tahun 1919 menyaksikan tertubuhnya Persekutuan Perbahasan Orang-Orang Islam Muar yang bertujuan membincangkan langkah untuk memajukan orang Melayu.

Penutup

Idea pemulihan kaum muda yang berpendidikan arab ini mempunyai kesan tersendiri dalam membangkitkan kesedaran petama orang Melayu mengenai kedudukan mereka dalam sebuah masyarakat yang sedang pesat membangun.

Islam dan Politik tidak dapat dipisahkan dalam pemikiran politik orang Melayu hingga ke hari ini. Ini dapat dilihat menerusi senario politik masa kini yang masih bertunjangkan konsep Islam sebagai elemen penting dalam kepolitikan Melayu.

Kita tidak dapat lari dari membincangkan konsep islah dan tajdid antara elemen utama dalam pembentukan pemikiran politik masyarakat Melayu. Jelaslah , Islam memainkan peranan besar dalam membentuk politik kita. Kemunculan pertubuhan Melayu seperti Persatuan Sahabat Pena (1934), Kesatuan Melayu Singapura (1926) dan Persaudaraan Sahabat Pena (1937) selepas era kaum Muda adalah satu kesinambungan peranan Islam kerana pertubuhan ini turut memperjuangkan kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu.

Sesungguhnya dalam membentuk kesedaran plitik masayarak Melayu, dorongan pelbagai faktor dimulakan oleh Islam itu sendiri. Malah, Islam itu sendiri digunakan untuk menyatukan masyarakat sertu mengubah persepsi orang Melayu terhadap Islam sebagai satu agama yang menuntut umatnya mencari kemajuan. Dalam erti kata lain, Islam menerusi gerakan-gerakan yang ada telah meletakkan asas dalam gerakan menentang penjajah sebelum dan selepas perang Dunia Kedua.

Tiada ulasan:

Advocating for People with Disabilities (PWD) in Islam

dari ChangkatNingkeBTP   This article explores the Islamic perspective on advocating for people with disabilities (PWD), highlighting the ...