Langkau ke kandungan utama

Contoh Kematangan Politik Masyarakat Minda Kelas Pertama Pasca PRU-12

Salam .... untuk renungan rakyat Malaysia .... jika ini dapat diamalkan oleh semua, negara kita akan lebih maju dan matang .... moga ia jadi panduan kepada kita semua ....


Sumber : Harakah Daily
Isnin 21 April 2008 | 14 Rabiul Akhir 1429 Hijrah
DAP, Gerakan berlapang dada, Umno pula utamakan dendam
Mat Zain Mat Isa
Mon | Apr 21, 08 | 3:00:13 pm MYT

Sikap terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di dalam menawarkan peranan berkongsi urusan pemerintahan negeri dengan tokoh-tokoh dari Barisan Nasional (BN), bukan sahaja mengagumkan, malah mengejutkan kita semua.

Jarang berlaku dalam sejarah pemerintahan negara dan negeri-negeri di Malaysia sebuah kerajaan memberi peluang kepada pemimpin parti lawan untuk ikut serta dalam sebarang jawatankuasa, agensi atau perbadanan milik kerajaan.

Bagaimanapun tradisi amalan negatif dan tidak demokratik itu bukan suatu kemestian yang perlu dipertahankan mana-mana kerajaan. Ia ternyata tidak begitu sukar diubah.

Kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP yang sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik telah menawarkan jawatan berkaitan kerajaan kepada beberapa pemimpin parti pembangkang (BN).

Mendahului usaha itu ialah tawaran kepada bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Dato' Lee Kah Choon sebagai Pengerusi Eksekutif Jawatankuasa Invest Penang.

Bekas Setiusaha Parlimen Kementerian Kesihatan itu juga ditawarkan jawatan Pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12 bulan lalu, Lee bertanding atas tiket BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk. Beliau bahkan antara nama yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang mengganti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang beralih angin bertanding di kerusi Parlimen, sekiranya BN kembali berkuasa di negeri itu.

Guan Eng dalam kenyataannya mengenai pelawaan itu menegaskan kerajaan pimpinannya tidak mengambil kira perbezaan fahaman politik, bangsa atau agama dalam melantik seseorang memegang jawatan.

"Kerajaan negeri mahu menggembleng tenaga semua pihak bagi memastikan sumbangan ekonomi negeri dapat dikecapi rakyat," katanya pada sidang media di Georgetown, semalam.

Difahamkan Lee menerima baik tawaran bagi kedua-dua jawatan tersebut. Beliau bahkan dikatakan telahpun memulakan tugasnya Jumaat lalu. Sikap matang dan profesional ditunjukkan pemimpin parti komponen BN itu bagaimanapun gagal dihayat dan dikongsi rakan-rakannya dari kalangan pemimpin Umno.

Selain Lee, kerajaan Pulau Pinang dikatakan turut menawarkan peranan dalam pentadbiran kerajaan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno negeri itu.

Mereka adalah Adun Sungai Acheh, Dato' Mahmud Zakaria; Adun Seberang Jaya, Dato' Ariff Shah Omar Shah dan Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Dalam akhbar Berita Harian hari ini (21 April), ketiga-tiga mereka mengesahkan telah ditawarkan tempat sebagai ahli jawatankuasa pentadbiran kerajaan. Mereka bagaimanapun sepakat menolak pelawaan tersebut.

"Biarlah mereka mentadbir dengan cara mereka. Kita beri peluang dan ruang yang cukup kepada mereka," kata Muhammad Farid.

Ketua Pembangkang, Dato' Azhar Ibrahim pula menganggap penyertaan Adun Umno dalam pentadbiran kerajaan negeri dibimbangi akan menyukarkan pihaknya untuk membawa suara rakyat.

"Kita tidak mahu mereka menuding jari kepada kita apabila Umno membangkitkan sesuatu isu hanya kerana ada Adun dari Umno menganggotai jawatankuasa yang dikritik," katanya, sebagaimana disiarkan Berita Harian.

Sikap ditunjukkan Adun-Adun Umno itu sudah dapat dijangka. Prejudis mereka terhadap parti lawan sangat tebal. Bahkan, dalam banyak keadaan mereka tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan marah atas kekalahan menimpa BN.

Bagaimana mungkin nak diharapkan mereka ini akan terus memberikan sumbangan bermakna untuk negeri mereka atau bekerjasama dengan kerajaan yang ada? Tambah mendukacitakan, perasaan marah itu turut diterjemahkan dalam bentuk tindakan membalas dendam.

Sikap itu dibuktikan apabila Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang telah memanggil mesyuarat khas parti itu 13 Mac lalu. Antara perkara dibincangkan ialah berkaitan kelangsungan projek-projek mega di negeri itu.

"Kita mengesyorkan kepada kerajaan Pusat menghentikan semua projek mega dan projek-projek yang dirancang kerajaan Pusat di negeri ini. Biar kerajaan hari ini yang merancang untuk penduduk. Rakyat Pulau Pinang yang mahukan pemimpin baru di negeri ini," itulah lebih kurang kata Azhar, selaku Setiausaha Umno Pulau Pinang.

Kenyataan beliau itu disiarkan TV3 malam itu. Ia sekali gus menyerlahkan betapa para pemimpin Umno terlalu mengutamakan balas dendam sehingga sanggup mengetepikan kepentingan umum.

Sedangkan di masa sama, para pemimpin DAP dan Gerakan menunjukkan sikap lapang dada dan bersedia mengetepikan perbezaan politik semata-mata demi kebaikan negeri mereka dan rakyat keseluruhannya. - mns

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MPW : SOALAN TUGASAN KUMPULAN

dari ChangkatNingkeBTP Tugasan ini mewakili 30% dari keseluruhan markah MPW. Setiap kumpulan ( maksimum 5 pelajar ) hanya perlu memilih 1 (SATU) sahaja soalan untuk dijadikan soalan kumpulan.   Format tugasan kumpulan adalah seperti yang diperjelaskan di dalam kuliah pada 14 Mei 2012 Sila lakukan perbincangan bersama ahli kumpulan masing-masing berkenaan topik yang ingin dipilih Sila isi ruangan komen dalam topik ini dengan menyatakan tajuk yang dipih & ahli-ahli kumpulan berserta nombor matrik masing-masing SOALAN TUGASAN :

Tun Dr Siti Hasmah: Kasih yang Melihat Potensi Anak Cerebral Palsy

Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini mengundang rasa dukacita yang mendalam. Saya merakamkan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga. Malaysia kehilangan seorang tokoh yang dikenang kerana kelembutan budi dan kesediaannya mendekati mereka yang memerlukan perhatian.  Sebagai mantan Presiden Malaysian Advocate for Cerebral Palsy , saya ingin mengenang satu sisi khidmat beliau yang dekat di hati komuniti kami. Rekod Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy Pulau Pinang mencatatkan bahawa pada November 1981, Tun Dr Siti Hasmah melawat pusatnya dan membawa sumbangan daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI). Catatan itu mungkin ringkas, tetapi bagi sebuah pusat yang berusaha menyediakan pendidikan dan sokongan kepada anak-anak, kehadiran dan bantuan sedemikian mempunyai makna yang besar.  Kunjungan itu mengingatkan kita bahawa perjuangan anak cerebral palsy dan keluarga mereka sentiasa memerlukan lebih daripada simpati. M...

Selepas Peti Undi Ditutup: Siapa Paling Tepat Membaca Johor 2026?

Pilihan raya bukan sahaja menguji calon, parti dan jentera politik. Pilihan raya juga menguji ketepatan penganalisis. Sebelum rakyat Johor keluar mengundi, pelbagai institusi penyelidikan, penganalisis politik dan pusat kajian telah mengemukakan dapatan, pandangan serta jangkaan masing-masing. Ada yang berani mengunjurkan jumlah kerusi. Ada yang sekadar mengenal pasti kecenderungan pengundi. Ada pula yang membina beberapa senario berdasarkan kadar keluar mengundi, kekuatan jentera dan perubahan sokongan mengikut segmen pengundi. Selepas keputusan diumumkan, semua analisis tersebut wajar dinilai semula. Namun penilaian tidak boleh dibuat secara simplistik dengan bertanya: “Siapa teka jumlah kerusi dengan tepat?” Analisis politik yang baik perlu dinilai sekurang-kurangnya daripada tiga sudut: Adakah penganalisis membaca arah keputusan dengan betul? Sejauh manakah unjuran jumlah kerusinya menghampiri keputusan sebenar? Adakah faktor yang dikenal pasti benar-benar menjelaskan tingkah laku...