Jumaat, Januari 02, 2009

Ulasan Buku : Kahin's Indonesia

dari Changkat Ning

Tajuk Buku : Indonesia oleh George McT. Kahin dalam Kahin., George McT. (ed.), Major Governments of Asia, New York : Cornell University Press Ithaca, 1958. Halaman 471-592 (121 halaman).
Pendahuluan

Secara umumnya buku Major Governments of Asia yang diterbitkan pada tahun 1958 ini menggabungkan para penulis terkemuka ketika itu yang diketuai oleh George McTurnan Kahin sebagai editornya yang turut menulis satu kajian tentang Indonesia ; tajuk yang akan saya cuba ulas . Turut menyumbang dalam buku ini adalah Herald C. Hinton (China) , Nobutaka Ike (Jepun) , Norman D. Palmer (India) dan Keith Callard (Pakistan) .

Jika diperhatikan, buku ini menonjol sebagai antara sumbangan awal tentang kajian politik perbandingan atau “comparative politics” di Asia. Ia menumpukan lima buah negara utama di Asia ketika itu. Perlu diingat yang pada era tahun 50an negara-negara di Asia masih lagi diperingkat bertatih atau peringkat masih cuba untuk bangun dari zaman penjajahan kuasa barat dan bahan-bahan penulisan tentang negara-negara di Asia sememangnya masih tidak mencukupi. Buku ini boleh dianggap sebagai antara buku yang boleh dianggap pengorak langkah tentang kajian perbandingan sistem politik negara-negara Asia.

Satu perkara yang menarik ialah buku ini menggambarkan satu kajian berdasarkan pengalaman sejarah dan politik Asia dari kacamata barat. Oleh itu, ia tidak dapat lari dari menggunakan konsep-konsep dan prinsip yang berdasarkan pengalaman barat yang cuba diaplikasikan terhadap Asia. Perkara ini diakui sendiri oleh Kahin dalam prakata buku ini dan beliau turut menyatakan yang kajian tentang sistem politik dan sejarah benua Asia ketika itu amat berkurangan dan terpaksa digabungkan para penulis yang telah membuat kajian yang mendalam terhadap negara-negara utama Asia.

Ulasan hanya tertumpu pada Bahagian 5 iaitu kajian tentang negara Indonesia yang mana penyelaras buku ini iaitu George McTurnan Kahin sendiri menjadi penulisnya. Saya cuba untuk mencari pendirian penulis tentang kajian berkenaan Indonesia , adakah beliau hanya berpandukan sumber-sumber barat semata-mata dan seterusnya membuatkan persepsi beliau lebih bersifat “eurocentric” - “bias” kearah barat atau adakah beliau lebih bersifat “neutral” dalam penceritaan dan penulisannya ataupun bersifat lebih ke arah “asiacentric” / keasiaan. Ini semua penting memandangkan beliau adalah seorang penulis Barat dan menulis tentang sebuah negara Asia Tenggara. Bermula disini , kajian pembangunan politik dan kerajaan seterusnya disambung oleh pengkaji-pengkaji Barat lain seperti Lucian Pye dan Finer (1962), Samuel Huntington, David Apter dan Gabriel Almond (1965) serta pengkaji-pengkaji lain dari Barat.

Latar Belakang Ringkas George McTurnan Kahin

George McTurnan Kahin merupakan pengkaji politik Asia Tenggara yang terkenal berpusat di Cornell University Ithaca, New York . Universiti ini dalam dekad 50an terkenal sebagai pusat penyelidikan dan kajian politik Asia Tenggara dan antara yang menonjol adalah Ruth McVey yang banyak menulis tentang komunis dan Kahin sendiri. Beliau yang berkahwin dengan Margaret McF. Kahin telah menghasilkan pelbagai penulisan tentang kerajaan dan politik Indonesia. Antara penulisan beliau adalah Nationalism & Revolution in Indonesia (1952), The Asian-African Conference ; April 1955 (ditulis pada tahun 1956), Indonesian Politics & Nationalism (1953) dan Development in Government & Politics 1950 (1952). Justeru itu, beliau dianggap sebagai pakar dalam membincangkan politik dan kerajaan negara-negara Asia lantas dipilih sebagai editor buku .), Major Governments of Asia yang diterbitkan pada tahun 1958, setahun sebelum Sukarno dengan demokrasi terpimpinnya memegang kuasa mutlak kerajaan Indonesia.

Ulasan Lanjut

Kahin telah membahagikan kes Indonesia ini kepada 5 topik :

1. Zaman pra-penjajahan dan Latarbelakang Zaman Penjajahan

Bab ini membincangkan secara ringkas sejarah empayar dan kerajaan-kerajaan di Indonesia, penguasaan Belanda melalui pemerintahan tidak langsung serta kemunculan golongan elitis Indonesia yang baru dan kebangkitan semangat nasionalisma.

2. Revolusi dan Kerajaan Revolusi

Membincangkan Kependudukan Jepun, perjuangan secara revolusi , kesan penentangan berbentuk revolusi keatas kerajaan Indonesia serta sistem Kerajaan di Sumatra dan di wilayah-wilayah di bawah kawalan Belanda.

3. Keadaan Selepas Revolusi

Membincangkan harapan yang menggunung dari pelbagai pihak, keadaan dan suasana ekonomi, perihal-perihal birokrasi, tentera dan golongan elitis politik. Turut dibangkitkan oleh Kahin ialah faktor-faktor tradisi yang mempengaruhi pembuatan keputusan.

4. Sistem Kerajaan dan Politik dalam Era Selepas Revolusi di Indonesia

Membincangkan pembentukan kerajaan pusat atau federal, gerakan penyatuan serta penubuhan kerajaan berbentuk unitary. Kahi juga menulis tentang Soekarno dan jawatan Presiden serta Hatta dan jawatan Naib presiden. Dalam topik 4 ini juga beliau mengupas tentang sistem kabinet dan parlimen , parti-parti politik dan pembangunan politik dari 1950-1958.

5. Sebahagian Masalah-Masalah Utama

Topik terakhir ini menekankan tentang masalah-masalah utama yang dihadapi oleh Indonesia terutama dari aspek-aspek perwakilan dalam kerajaan, kesatuan kebangsaan serta disentralisasi, peranan tentera, pembangunan ekonomi dan hubungan dengan negara-negara luar.

Kahin secara umumnya didalam bab yang pertama telah menjelaskan tentang keunikan Indonesia sebagai kepulauan yang cukup besar dan ia dibandingkan dengan Amerika Syarikat. Keunikan ini bukan sahaja terletak kerana Indonesia boleh dianggap sebagai jambatan penghubung antara Asia dan Australia tetapi turut menjangkau lebih kepada pusat perdagangan antarabangsa dan budaya sejak zaman berzaman.

Masalah utama Indonesia iaitu fragmentasi telah dari awal dibangkitkan oleh Kahin terutama dia membawa kes Indonesia adalah sebuah kepulauan yang cukup besar dari segi geografinya , berbeza dari segi agama, budaya , demografi dan bahasa.

Beliau turut membuat perbandingan antara hubungan dagang Indonesia - China dan Indonesia - India, dia berpendapat hubungan dengan China tidak membawa sebarang kesan budaya kepada Indonesia.Tetapi dalam masa yang sama hubungan dengan India telah membuka laluan kepada agama-agama Buddha , Hindu, dan idea-idea Mohammadan (Islam).

Pada pendapat saya beliau lebih banyak terma Mohammadan untuk mewakili agama dan penganut Islam . Ini adalah satu contoh terma Orientalis yang menggunakan nama dan ajaran Muhammad dilabelkan sebagai suatu nama anutan dan kepercayaan dan tidak menggunakan perkataan Islam itu sendiri. Menggunakan terma Mohammadan terutama dalam peringkat awal penulisan beliau boleh menjejaskan persepsi orang Islam yang lebih senang mendefinisikan diri mereka sebagai orang Muslimin dan Mukminin.

Kedatangan Islam menerusi perdagangan dilihat telah sedikit sebanyak menyatukan orang-orang Indonesia hingga menjadi negara Islam terbesar pada hari ini dengan hampir 80% beragama Islam. Dalam bab pertama ini , Kahin turut menerangkan tentang sejarah zaman sebelum penjajahan dimana pada mulanya agama Hindu dan Buddha mendominasi sahsiah dan sosio-ekonomi Indonesia sebelum diganti oleh Islam atau disebut Mohammadan.

Kedatangan Portugis ke rantau ini bermula dengan kejatuhan Melaka pada 1511, telah membuka Indonesia kepada orang-orang barat dan bermulalah campurtangan Belanda di Indonesia dimana kedatangan Belanda seawal tahun 1619 di Jawa, turut sebanyak membantu mempercepatkan penyatuan Indonesia. Walaupun begitu Kahin merasakan dasar integrasi politik penjajah Belanda tidak dianggap penting..

Turut diterangkan tentang bermulanya kedatangan kaum Cina yang menjadi elemen penting dalam ekonomi Indonesia hingga ke hari ini. Berbeza dengan Sepanyol di Filipina , Belanda agak kurang menumpukan pada perkembangan agama Kristian kerana Belanda hanya tertumpu pada mengaut keuntungan dan kekayaan di Indonesia; dan orang-orang Cina telah dari mula berjaya mengeksploitasi ekonomi di Jawa sejak sebelum tahun 1798 dimana VOC telah ditutup. Penguasaan orang Cina juga menandakan tamatnya penguasaan golongan Aristrokrat Jawa yang selama ini menjadi ejen Belanda dalam sistem perdagangan mereka .

Antara tahun 1811-1816, kesan dari perang Napoleon , British telah menguasai kawasan pulau Jawa , dimana sekali lagi Kuasa-kuasa Aristokrat Indonesia telah cuba dikurangkan oleh Stamford Raffles. Walaupun kurang berjaya, jelas kolonialis Barat tidak menganggap golongan ini sebagai golongan penting di Indonesia.

Pelbagai sistem Belanda turut diceritakan oleh Kahin, dimana secara umumnya membuktikan bagaimana sistem polisi Laissez-Faire digunakan sepenuhnya oleh Belanda untuk mengeksploitasi kekayaan Indonesia dan sekaligus menindas orang-orang Indonesia.

Di akhir bab pertama , Kahin menumpukan zaman dekad kedua kurun ke-20 yang mana dia menyatakan bemulanya kemunculan golongan elit yang berpendidikan barat tetapi golongan ini gagal memberi impak kerana bilangannya yang terlampau kecil tetapi golongan –golongan Islam yang muncul hasil daripada kesedaran modenis Islamis dari Kaherah dan Timur Tengah telah mendapat sokongan golongan-golongan bawahan di Jawa dan menubuhkan apa yang dinamakan Sarekat Islam.

Dalam membincangkan isu kebangkitan nasionalisma di Indonesia, hampir tidak kedengaran satu gerakan yang dinamakan Budi Utomo yang ditubuhkan pada tahun 1908 oleh Wahidin Sudirohusodo. Walaupun ia lebih bersifat budaya dari politik, namun peranannya di peringkat awal untuk cuba menggabungkan budaya tradisional dan moden perlu diambil perhatian. Kahin tidalk menganggap kumpulan ini penting dan beliau lebih menumpukan kepada Sarekat Islam.

Gerakan ini dianggap gerakan terawal berdasarkan organisasi nasionalis berteraskan golongan bawahan dan petani, dan jelas Gerakan Sarekat Islam ini mendapat sokongan yang cukup besar hingga menjangkau kepada dua juta ahli pada tahun 1919. Namun Belanda telah berjaya mengawal dan Kahin berpendapat , yang pemimpin –pemimpin yang muncul gagal untuk memahami masalah dalaman negeri mereka terutama masalah golongan petani dan bawahan.

Zaman tersebut juga menyaksikan munculnya PKI yang telah bersaing dengan sengit dengan Syarikat Islam dan kesannya Sarekat Islam telah kehilangan sokongan yang yang besar. Perpecahan itu menyebabkan Komunis yang cuba merampas kuasa dapat ditumpaskandenagn mudah oleh Belanda kerana cubaan mereka tidak diselenggara dengan betul dan amat lemah sekali.

Kedua-dua Sarekat Islam dan Komunis telah berpecah belah dan gerakan nasionalis ketika itu telah beralih arah kepada sokongan sekular terutama dengan munculnya seorang pemimpin yang berkaliber bernama Soekarno. Namun beliau dan pemimpin-pemimpin Nasionalis yang lain seperti Mohamad Hatta dan Soetan Sjahirir tidak dapat menggerakkan organisasi mereka kerana ditindas oleh Belanda dan mereka pada tahun 1930-an , mereka telah ditahan , ditangkap dan hanya dibebaskan ketika penaklukan Jepun.

Secara umumnya zaman sebelum dan selepas perang menyaksikan Gerakan Nasionalis Indonesia tidak diketuai atau dipimpin oleh golongan Aristokrat atau tuan punya tanah ataupun golongan kelas pertengahan, Sebaliknya Kahin beranggapan bahawa folongan yang menggerakkan Nasionalis adalah golongan berpendidikan barat, satu golongan yang boleh dianggap baru di Indonesia kerana boleh dikatakan hanya segelintir orang Indonesia berpeluang menikmati pendidikan ini .

Peluang pendidikan di Indonesia begitu daif sekali dimana di muka surat 485 buku menyatakan antara tempoh 1910-1914, purata tahunan orang Indonesia yang berjaya menamatkanha sekolah tinggi hanya 4 orang sahaja dan pada tahun 1940, ia meningkat kepada hanya 240 orang sahaja. Saya bersetuju dengan pendapat beliau yang mengatakan bahawa ini bukan disebabkan oleh kurang minatnya bangsa Indonesia tetapi disebabkan oleh kekurangan kemudahan dan fasiliti serta diskriminasi Belanda terutama pada zaman kemelesetan ekonomi 1929-30. Kesannya, menjelang penghujung kolonialisasi , hampir tidak ada kelas pertengahan di kalangan masyarakat pribumi.

“The situation was not in any sense indicattive of a lack of desire among Indonesians for Western education. Rather it reflected a dearth of opportunities resulting from limited facilities and a heavy discrimination against Indonesians with regard of their use.” (halaman 486).

Saya turut tertarik dengan penjelasan Kahin tentang dasar ekonomi Belanda yang berbentuk kapitalis kolonial serta kaitannya dengan penganruh Marxist di Indonesia. Perbezaan pendapatan yang amat ketara antara orang Eropah serta Cina dan orang tempatan amat jelas diutarakan. Idea-idea Lenin dan marx telah mendapat sokongan meluas kerana idea – idea ini menitikberatkan perkongsian sama-rata dalam masyarakat. Terdapat golongan yang telah mencapur-adukkan idea ekonomi Marxist dengan idea-idea lain. Jelas terdapat golongan di Indonesia yang berjaya memikirkan idea-idea dari Barat dan digabungkan untuk mencari kesesuaian dalam situasi tempatan. Namun , terdapat juga yang tidak dapat membezakan antara idea Karl Marx ini dengan sistem ekonomi Islam ajaran Nabi Muhammad yang mereka labelkan berlandaskan sistem ekonomi sosialis, sama seperti Marx.

Kahin turut mengakui terdapat sedikit golongan yang berpemikiran Moderat Islam. Beliau merasakan walaupun sistem pendidikan Islam telah wujud sejak seawal kurun –20 lagi , tetapi mereka tidak dapat mengisi kehendak kemodenan Indonesia. Tetapi, apakah takrif “moden” bagi pandangan Barat itu sahaja yang boleh dianggap moden dan bertamadun ? Apakah selain Barat tidak moden dan ketinggalam zaman ? Persoalan ini gagal dijawab olek Kahin kerana beliau hanya membuat satu persepsi moden itu hanya datang dari Barat.

Pada pendapat saya , dalam membincangkan konsep moden dalam Islam ketika itu, golongan Islamis di Asia Tenggara termasuk Indonesia boleh dikategorikan pada dua :

a) Golongan tradisional yang berpendidikan pondok dan melanjutkan pelajaran di Timur Tengan terutama di Mekah dan Madinah. Golongan ini boleh dianggap memegang dasar yang dikatakan “konservatif” kerana dipengaruhi oleh idea pemerintah Arab Saudi, Wahabi.

b) Golongan moderat yang berpendidikan Mesir , lebih kepada Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani yang cuba mengadaptasi kemodenan dan Islam.

Kedua-dua golongan ini muncul dalam zaman gerakan Islah Tajdid , satu gerakan untuk membangkitkan semula orang Islam dari kemunduran dan telah memainkan peranan besar dalam sosio-politik. (Di malaysia sendiri , kita boleh lebelkan sebagai kaum Muda dan Kaum Tua ). Kahin sepatutnya melihat secara lebih dalam gerakan ini ketika itu sebelum membuat kesimpulan yang mereka tidak dapat mengisi kehendak kemodenan. Apa yang sebenar berlaku ialah umat Islam sendiri setelah melihat jatuhnya kerajaan Uthmaniah pada tahun 1924 melihat perlu ada satu kesedaran dan kejutan dalam menjadikan agama Islam seiring dengan kemodenan dunia yang diwawarkan oleh Barat.

Kedatangan Jepun pula telah merubah dasar Belanda selama ini dan Jepun pada mulanya berjaya memberi satu pengenalan yang baik kepada orang Indonesia. Pemerintahan Jepun merasakan satu keperluan untuk melantik orang Indonesia mengisi kekosongan jawatan dalam pentadbiran, satu peluang yang jarang dinikmati oleh orang tempatan di zaman Belanda. Untuk mendapatkan sokongan golongan nasionalis dan Islamis, pihak Jepun berjaya mendapat kerjasama Soekarno dan Hatta.

Walaupun pada mulanya Jepun mendapat sokongan dan disambut baik oleh orang Indonesai, dasar dan polisi Jepun yang zalim hanya untuk mengisi keperluan dan kepentingan Jepun semata-mata telah menyedarkan pemimpin nasionalis.Soekarno telah berjaya meyakinkan pentadbiran Jepun yang sokongan penuh hanya dapat dicapai melalui penubuhan satu organisasi yang akan mewakili keinginan orang Indonesia yang sebenar. Pada bulan Mac 1943, PUTERA atau (Pusat Tenaga Rakjat) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh beliau. Jelas, Soekarno sudah berjaya menampakkan dirinya sebagai pemimpin negara dan dalam masa yang sama cuba mengekalkan sokongan rakyat terhadap Jepun. Dalam masa yang sama, aktivit belia-belia Indonesia turut berkembang dengan penubuhan pelbagai organisasi oleh Jepun. Pada bulan Oktober 1943, Jepun melakukan tindakan yang penting dengan penubuhan tentera sukarela yang dianggotai dan dipimpin oleh orang tempatan yang dinamakan Sukarela Tentera Pembela Tanah Air (PETA). Hingga pertengahan 1945, ia mencapai keanggotaan seramai 120,000 orang. PETA amat penting dalam sejarah Indonesia kerana PETAlah yang menjadi asas tentera republik semasa revolusi Indonesia.

Turut mendapat perhatian Kahin adalah 5 prinsip (nasionalisma, Kemanusiaan, Kerajaan Perwakilan, Keadilan sosial dan Kepercayaan kepada Tuhan) yang diperkenalkan oleh Soekarno setelah perbincangan dengan pemimpin-pemimpin Islamis. Falsafah Pantjasila walaupun tidak diterima sepenuhnya oleh golongan Islam yang berpendidikan Barat dan pemimpin Islam lain, telah menjadi falsafah kebangsaan Indonesia.

Dalam pada itu turut dibincangkan ialah mengenai kekalahan Jepun yang mendorong Soekarno untuk mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogoa 1945 dan seterusnya memulakan era revolusi di Indonesia. Perisytiharan itu menyebabkan berlaku beberapa peristiwa yang yang ada hubung-kaitnya dengan revolusi terutama usaha untuk mendapatkan Bandung pada akhir 1945 dan 1946, Pertempuran di Surabaya pada bulan November 1945 dimana selama 3 minggu pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia menentang tentera British yang lebih kuat . Pihak Belanda kembali dan cuba mendapatkan semula Indonesia dengan menimbulkan ketakutan di kalangan orang-orang bukan Jawa, mereka akhirnya terpaksa ke meja rundingan bersama wakil-wakil republik yang diketuai oleh Soetan Sjahrir. Perjanjian Linggadjati 1946-47 dimana Belanda bersetuju menyerahkan Indonesia dilihat seakan berjaya. Namun, perbezaan interpretasi membuatkan ia gagal dan pada bulan Julai 1947 Belanda cuba menggunakan kekerasan dan dengan campurtangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), satu lagi perjanjian bernama Persetujuan Renville ditandatangani pada bulan Januari 1948. Namun, tindakan-tindakan Belanda telan membuatkan rakyat Indonesia memberi sokongan padu kepada kerajaan Republik dan hasilnya dalam Persidangan Meja Bulat di The Hague pada bulan Ogos 1949, Belanda akhirnya bersetuju menyerahkan kedaulatan Indonesia yang berkuatkuasa pada bulan Disember 1949 yang dinamakan Republic United States of Indonesia (RUSI ).

Sistem politik Indonesia selepas revolusi bermula pada tahun 1950 apabila satu perlembagaan yang bersifat kesatuan (unitary) ditubuhkan. Ia berbentuk parlimen dan diketuai oleh seorang presiden. Jika kita lihat dari penulisan Kahin, dari era revolusi lagi, Indonesia telah mewarisi sistem pelbagai parti . Era merdeka menyaksikan kewujudan parti Islam seperti Masyumi yang kemudian muncul parti berlandaskan ulama’ , Nahdatul Ulama’ (NU) pada tahun 1952. Terdapat juga Parti Nasionalis (PNI), Partai komunis Indonesia (PKI), parti kecil Islam seperti Perti dan Partai Sarekat Islam indonesia (PSII) dan parti Sosialis (PSI). Sebelum pilihanraya yang pertama 1955, anggota Parlimen dipilih melalui lantikan dan pilihanraya 1955 yang berjaya sebagai satu eksperimen telah menonjolkan Masyumi, PNI, NU dan PKI sebagai 4 parti yang dominan.

Namun, selain PKI yang berlandaskan komunis, parti lain tidak menampakkan percanggahan dari segi pendapat, keinginan dan program mereka. PNI dilihat kuat di kalangan sektor kerajaan, Masyumi mendapat sokongan dari kalangan pedagang dan saudagar, NU popular di kawasan luar bandar dan PSI ketika itu berpengaruh dalam kalangan pegawai tinggi tentera dan golongan birokrat. Kahin sendiri menyedari yang satu isu utama ialah PNI, NU dan PKI merupakan parti berlandaskan etnik Jawa dan Masyumi mendapat kekuatan di luar kepulauan Jawa terutama Sumatra barat dan Sulawesi / Celebes. Sokongan kepada Masyumi di Pulau Jawa hanya tertumpu di Jawa barat dimana kawasan ini didominasi oleh orang Sunda. Ketidakseimbangan persaingan dalam politik menyebabkan wujud unsur-unsur kedaerahan yang sememangnya menjadi intipati permasalahan Indonesia. Tetapi kahin tidak membincangkan tentang hubungan pentadbir di Pulau Jawa dengan Acheh di Sumatra yang hingga kini masih menjadi satu isu yang penting. Tidak langsung kedapatan perjuangan orang-orang Acheh sama ada dalam perjuangan memerdekakan Indonesia mahupun ketika zaman kerajaan revolusi. Kemungkinan isu Acheh ini dianggap satu isu yang sensitif atau mungkin ia dianggap satu perkara yang tidak penting ketika itu tidak dijelaskan oleh Kahin.

Pada pendapat saya, inpretasi konflik politik di Indonesia juga perlu dilihat dari segi apakah pendirian parti menampakkan aliran masyarakat Indonesia secara amnya dan bukan sahaja dilihat dari segi keinginan, kelas atau daerah / pulau. Ini kerana Masyumi yang sentiasa sangsi dengan parti-pari bersifat kejawaan bukan satu faktor utama konflik. Tetapi, dalam masyarakat jawa sendiri terdapat perpecahan antara golongan santri (Muslim totok) dan abangan juga turut memainkan peranan besar dan perlu dilihat sebagai faktor pertelingkahan antara NU dan Masyumi serta antara PNI dan PKI.

Pertukaran kerajaan turut dibincangkan dalam penulisan Kahin. Sejak awal tahun 1950an dan pertengahan dekad tersebut, pertukaran kerajaan yang kerap memberi kesan kepada Indonesia. Bermula dari Hatta (Disember 1949-Ogos 1950) tampuk pemerintahan diganti oleh Mohammad Natsir (september 1950-March 1951), Sukiman Wirjosandjojo (April 1951-Februari 1952), Wilopo (April 1952-Jun 1953), Ali Sastroamidjojo (Julai 1953-Julai 1955), Burhanuddin Harahap (Ogos 1955-Mac 1955) dan Ali semula (Mac 1956-Mac1957). Pertukaran yang terlampau kerap ini telah mengakibatkan ketidakstabilan dan mencetus ketidakyakinan rakyat yang muak dengan masalah rasuah, kadar inflasi yang menggunung, dan tindakan kurang efektif kerajaan dalam menangani masalah ekonomi dan pentadbiran. Dalam masa yang sama, rakyat sudah tidak yakin dengan sistem demokrasi di Indonesia yang hanya mengundang masalah. Bagi Kahin, yang mendapat keuntungan dalam masalah ini ialah PKI, satu-satunya parti yang tidak menjadi anggota dalam kerajaan (halaman 563). Konflik turut tercetus antara Hatta dan Soekarno tambahan pula timbulnya maslah antara Pulau Jawa dan kepulauan luar Jawa dimana Masyumi dan Hatta mendapat sokongan yang kuat.

Penamatan kerajaan kedua pimpinan Ali pada bulam Mac 1957 diikuti dengan perisytiharan keadaan darurat dan penubuhan kerajaan tanpa parti dibawah Djuanda. Pada akhir 1957, berlaku tindakan-tindakan drastik di seluruh Indonesia dimana harta-hartanah dan tanah milik Belanda telah dirampas sebagai satu tindak-balas untuk menggantikan Irian Barat. Aset-aset ini telah dimiliknegarakan dan tentera sendiri melibatkan diri dalam pengurusan hartanah dan menandakan tentera mula melibatkan diri dalam perkembangan ekonomi Indonesia.

Pergolakkan politik mengukuhkan lagi pandangan Soekarno bahawa demokrasi total tidak sesuai untuk sebuah negara baru merdeka dan sedang cuba membangun seperti Indonesia. Kahin turut menyelitkan pandangan Soekarno yang muak dengan pertukaran kerajaan yang terlampau kerap hungga mengakibatkan konflik dan huru-hara di Indonesia. Kata-kata Soekarno yang diselitkan dalam buku ini jelas menggambarkan Soekarno sudah mula menampakkan pengaruhnya :

“I have finally come to the conclusion that the cause lies in our practicing a system not suited to our specific requirements, in our indiscriminatate adoption of every feature of thesystem that is known as western democracy. The more I look back on our experiencesof the last eleven years the more I am convinced that the system of democracy that we have taken over is , in fact , incompatible with the Indonesian outlook ……. The principles of western democracy, the parliamentary democracy of the western countries , incorporate the concept of an active opposition , and it is precisely the adoption of this concept that has given rise to the difficulties we have experienced over the last eleven years. By accepting this concept we have come to think in a manner that is alien to the Indonesian way of life.” (halaman 565-567; diucapkan pada 21 Februari 1957) “

Akhir-akhir penulisan terbitan tahun 1958 ini, Kahin tidak dapat memastikan apakah detik penamat konflik ini memandangkan ketika buku ini ditulis Soekarno belum berkuasa sepenuhnya . kahin menggambarkan pada 1958 ini , pemimpin-pemimpin dari Sumatra barat telah mencabar pemerintahan di Jakarta dengan menubuhkan satu kerajaan alternatif yang dinamakan Kerajaan revolusi Republik Indonesia. Pemberontakkan ini disokong oleh pemimpin-pemimpin kanan Masyumi malah turut disokong oleh pemerintah tentera di Sulawesi Utara (Celebes Utara). Dalam masa yang sama muncul seorang pemimpin tentera bernama Jeneral Nasution. Kahin hanya menjelaskan berlaku persaingan kuasa antara Soekarno dan Nasution tetapi tidak dapat menerangkan adakah Soekarno berjaya ke tampuk pemerintahan Indonesia melalui sistem demokrasi terpimpin.

Masalah-masalah ini menampakkan Soekarno sebagai presiden yang pada mulanya hanya sebagai simbol sebuah institusi sahaja mula menampakkan campurtangan dan proses perlembagaan. Tetapi beliau tidak membincangkan konsep Musyawarah Mufakah yang diperkenalkan oleh Soekarno pada bulan Februari 1957 yang merupakan satu titik tolak demokrasi terpimpin atau “guided democracy” impian Soekarno.

Penutup

Penulisan Kahin secara keseluruhannya amat menarik kerana beliau bukan sahaja menjelaskan kronologi semata-mata tetapi turut mengkaji dengan mendalam asal-usul setiap kejadian dan tindakan berlatarbelakangkan sejarah dan ideologi. Memandangkan ia diterbitkan pada tahun 1958, zaman sebelum dominasi Soekarno, ia menampakkan satu penulisan menarik yang menggambarkan masalah politik Indonesia dari awal kurun ke 20 hingga kepada saat-saat kejatuhan sistem demokrasi di Indonesia. Jelas, Kahin berjaya menganalisa setiap satu detik-detik penting politik Indonesia sebelum merdeka, zaman penjajahan Jepun, era revolusi dan selepasnya serta Indonesia di awal-awal kemerdekaannya.

Untuk berlaku adil kepada beliau, Kahin sebenarnya cuba untuk tidak hanya berlandaskan kepada pandangan Barat semata , dia turut menggnakan 13 buah buku rujukan penulis-penulis Indonesia sendiri seperti Takdir Alisjahbana, S.M. Gandasubrata, Soetan Sjahir, Soekarno , Selio Soemadjan, Soeleman Soemardi, Supomo, M. Hatta , A.K. Pringgodigdo dan lain-lain.

Tetapi, apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana dominasi Barat dalam mengkaji politik dan kenegaraan sebuah negara Asia. Tidak adakah penulis-penulis tempatan yang mungkin boleh dianggap lebih layak untuk menulis tentang negara mereka sendiri ? Tidak kira sama ada ia penulisan Kahin ini bersifat “eurocentric” atau “asiacentric”, ia ditulis oleh seorang penulis Barat yang sudah semestinya tidak dapat mengelak untuk mengaplikasi teori-teori Barat dalam penulisannya.

Akhir kalam, walaupun kita hingga ke hari ini masih bergantung kepada penulisan-penulisan dan kajian Barat, Asia sebenarnya memerlukan kepakaran orang-orang Asia sendiri dalam menulis dan mengkaji tentang Asia. Sampai bilakah kita bergantung kepada Barat dalam mengkaji diri dan tamadun kita sendiri.



1 ulasan:

al kerrango berkata...

bila diulas sesebuah buku itu rasa mudah saja mau faham isi kandung buku itu...tapi penting utk kita baca sdri itu buku jika mahu tafsirnya kita sdrii yg tahu.
skrg ini sdh kurang baca buku sejarah...lebih banyak baca buku camne jadi jutawan..hehe

Industrial relations and legislation in Malaysia -Overview

dari ChangkatNingkeBTP Industrial relations and legislation in Malaysia are governed by various laws and regulations aimed at maintaining ha...