Sabtu, Ogos 15, 2015

Profesionalisme Dalam Komunikasi Politik. Satu Kajian Perbandingan Poster-Poster Kempen Dalam Pilihanraya Kecil (PRK) P 44 Permatang Pauh pada 2008 dan 2015.

dari ChangkatNingkeBTP

Kertas Kerja ini dibentangkan pada 10 Ogos 2015 di dalam Seminar Kerajaan & Peradaban (SOGOC2) anjuran UPM & IKIM.

Dr Hamdan Mohd Salleh
Institut Kajian Sosial Selangor (IKSAS)

Abstrak


Kajian ini memberi penekanan khusus mengenai perbandingan perang poster yang melibatkan calon-calon yang bertanding pada kedua-dua PRK berkenaan. Berdasarkan kajian literatur berkenaan profesionalisme dalam komunikasi politik, beberapa dapatan diformulasikan berkenaan perubahan dalam bentuk tekstual dan elemen visual di dalam poster-poster kedua-dua PRK berkenaan.  

Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah observasi yang difokuskan kepada perubahan dalam penggunaan foto pimpinan politik, logo parti serta penekanan terhadap isu-isu politik, ideologi serta isu massa yang diletakkan di dalam poster-poster pilihanraya. Secara keseluruhan, analisa dilakukan tehadap poster-poster yang digunakan oleh 7 orang calon dari 6 buah parti politik. Dapatan akhir kajian mendapati terdapat peningkatan tahap profesionalisme dalam komunikasi politik menerusi penggunaan poster  di [Dalam…]kalangan calon-calon yang bertanding di kawasan Parlimen yang cukup unik seperti P44 Permatang Pauh. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rens Vliegenthart (2012:179), poster kempen pilihanraya semakin memberi keseimbangan fokus antara imej dan teks. Isu yang dibawa sewaktu PRK 2015 semakin menampakkan kematangan yang sangat jelas berbanding PRK 2008 berselang 6 tahun antara satu sama lain.
Keywords:  Media Politik, Politik Perbandingan, Pilihanraya Kecil, Oposisi, Permatang Pauh

1.0 Pendahuluan

Kempen pilihanraya di era moden ini menggunakan pelbagai kaedah yang menyokong kaedah kempen sedia ada seperti bendera, poster dan papan tanda. Kaedah baru menggunakan media sosial dan laman sesawang turut menjadi kaedah kempen yang dominan. Namun, kaedah sedia ada terutama penggunaan poster masih sangat relevan dan merupakan antara kaedah komunikasi yang berkesan terhadap para pengundi. 
Pilihanraya Kecil (PRK) 2015 Parlimen Permatang Pauh P44 pada 7 Mei 2015 diadakan berikutan pengosongan kerusi akibat penyandang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau. PRK ini telah dimenangi oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 8,841 undi. Manakala PRK 2008 Parlimen Permatang Pauh yang dikenali sebagai “Ibu segala PRK” diadakan pada 26 Ogos 2008 apabila Dauk Seri Dr. Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen. 
Sehubungan itu, antara kempen pilihanraya yang paling sengit adalah di Permatang Pauh. Pilihanraya Kecil (PRK) Ogos 2008 kerusi parlimen P44 Permatang Pauh pernah digelar “ibu segala pilihanraya kecil” (The Star, 4 Ogos 2008). Ini kerana Kerusi Parlimen P44 Permatang Pauh merupakan antara kerusi parlimen yang paling mendapat perhatian di dalam sejarah politik Malaysia terutama sejak 33 tahun kebelakangan ini. Selain 2 kali Pilihanraya Umum (PRU) sejak 2008, Permatang Pauh menyaksikan 4 Pilihanraya Kecil (PRK) di kerusi parlimen dan DUN. Permatang Pauh menjadi paksi bermulanya usaha mewujudkan sistem politik di Malaysia. 

2.0 Peranan Poster dalam Komunikasi Politik

Komunikasi politik kerap diistilahkan sebagai propaganda (Cangara, 2009:32). Ia mula menjadi salah satu cabang dalam sains politik menerusi hasilan kajian pengkaji JermanTonnies dan Lippman pada tahun 1922 berkenaan pendapat umum atau “public opinion” (Deichsel, Fechner & Wabner, 2003).  
Hadebro (1982) menulis dengan panjang lebar mengenai peranan komunikasi yang boleh diringkaskan meneusi 10 aspek iaitu memberikan informasi kepada masyarakat, melaksanakan sosialisasi mengenai dasar kerajaan, memberi motivasi kepada pembuat dasar, menjadi wadah untuk meraikan idea-idea dalam masyarakat, mendidik masyarakat, menghiburkan masyarakan menerusi elemen demokrasi, memupuk integrasi, mengakar perubahan dalam tatanegara, meningkatkan aktiviti sosio-politik dalam masyarakat serta menjadi pengimbang kepada tadbirurus dan taatkelola berkerajaan. McNair (2003:21) turut mengukuhkan pandangan ini dengan menyatakan terdapat lima fungsi asas komunikasi politik iaitu memberi infomasi kepada masyarakat, mendidik masyaraat, mempersiapkan calon sebagai wadah bagi menangani isu-isu politik, menghasilkan bahan-bahan terbitan yang dituju kepada pembuat dasar dan saluran memperjuangkan isu-isu berkaitan tatakelola negara. 
Kempen-kempen era moden ini sangat memerlukan pemasaran politik dalam usaha parti-parti politik yang bertanding meraih sokongan. Konsep pemasaran politik antaranya menerusi poster pilihanraya adalah satu cabang dalam sains politik yang membincangkan bagaimana parti-parti politik melaksanakan teknik-teknik pemasaran dalam mengetengahkan calon-calon yang bertanding (Shaharuddin Badaruddin et.al, 2013). Poster walaupun dilihat satu kaedah yang agak konvensional tapi masih relevan dan penting dalam memasarkan calon dan parti serta apa yang diperjuangkan (Mueller & Stratmann, 1994). 
   Dalam melihat aspek berkomunikasi serta memasarkan seseorang calon, peranan  memes adalah antara yang perlu dibincangkan. Istilah meme ini diperkenalkan oleh Richard Dawkins dalam buku beliau The Selfish Gene (1976). Meme memberi fokus kepada penggunaan imej dan metafor yang dipindah kepada manusia menerusi deria (Dawkins, 1989). Seperti meme internet, meme politik merupakan konsep dan imej-imej yang disebarluaskan secara pantas dari individu ke individu yang lain menerusi poster, papan tanda, internet terutama media sosial seperti e-mail, facebok, whats-app, blog dan forum (Schubert, 2003). Dawkins (2013) telah mengkategorikan internet meme sebagai sesuatu yang diubah oleh kreativiti manusia.

3.0 Latarbelakang Parlimen Permatang Pauh

Permatang Pauh terletak di bawah pentadbran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Sewaktu era kolonial British, daerah ini dikenali dengan nama Province Wellesley. Ia mempunyai jumlah penduduk keseluruhan sebanyak 736,306 (MPSP, 2013). Jumlah penduduk ini mrangkumi 55% dari jumlah keseluruhan penduduk Pulau Pinang.
 Terdapat seramai 71,890 pengundi berdaftar di Parlimen Permatang Pauh. Dari sejumlah itu, 70.23% merupakan etnik Melayu,  23.08% Cina, 6.27% India dan 0.42% lain-lain minoriti (SPR, 2014). Parlimen Permatang Pauh merangkumi 3 kerusi DUN iaitu N10 Seberang Jaya, N11 Permatang pasir dan N12 Penanti. Berdasarkan lokaliti, majoriti penduduk di Permatang Pasir dan Penanti terdiri daripada pengundi Melayu tradisonal manakala Seberang Jaya pula merupakan kawasan etnik bercampur. 


3.1 Latarbelakang Keputusan Pilihanraya Parlimen Permatang Pauh

Sejak 1982, kerusi ini sangat sinonim dengan Anwar Ibrahim. Sejak beliau terlibat secara aktif, kerusi ini sentiasa dimenangi oleh beliau dan isteri beliau Wan Azizah Wan Ismail. Pada PRU 1982, Anwar Ibrahim yang mewakili UMNO/BN berjaya merampas kerusi tersebut dari PAS yang diwakili oleh Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi. Pada PRU 1986, Anwar Ibrahim menewaskan tokoh muda PAS Mohamad Sabu dengan majoriti undi sebanyak 16,150. Seterusnya pada PRU 1990, beliau menewaskan pula seorang lagi tokoh PAS, Mahfuz Omar dengan majoriti 10,479 undi. Kali terakhir Anwar Ibrahim bertanding sebagai calon UMNO/BN, beliau menewaskan calon PAS dan DAP dengan majoriti besar 23,230 sewaktu PRU 1995. 
Apabila Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO dan kemudiannya dipenjarakan pada 1998, Wan Azizah Wan Ismail mengambilalih kerusi berkenaan. Pada PRU 1999, beliau menewaskan calon BN Ibrahim Saad dengan majoriti 9,077 undi. Sewaktu PRU 2004, Wan Azizah hanya menang tipis menentang Pirdaus Ismail dengan majoriti undi sebanyak 590. Malah, Permatang Pauh merupakan satu-satunya kerusi parlimen dimenangi KEADILAN sewaktu PRU berkenaan. Namun, Wan Azizah berjaya menewaskan calon yang sama dengan majoriti 13,398 undi pada PRU 2008. Beliau kemudiannya mengosongkan kerusi berkenaan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi berkenaan. PRK Ogos 2008 adalah antara PRK yang paling mendapat tumpuan di Malaysia. Menerusi PRK berkenaan Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen apabila menang dengan majoriti 15,671 dalam satu pertandingan tiga penjuru. Pada PRU 2013, Anwar Ibrahim mengekalkan kerusi berkenaan dengan menewaskan dua calon termasuk Mazlan Ismail dari BN dengan majoriti 11,271 undi. Apabila Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli parlimen pada 2015, PRK telah diadakan pada 7 Mei 2015. Wan Azizah Wan Ismail kembali bertanding dan menang di dalam satu pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,841 undi. 
  
4.0 Kempen Poster PRK Permatang Pauh 2008

PRK Permatang Pauh Ogos 2008 merupakan satu contoh komunikasi politik yang sangat jelas menggunakan pemasaran politik dan penciptaan memes. Tiga calon bertanding sewaktu PRK ini iaitu Anwar Ibrahim (KEADILAN), Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Mamat (Angkatan Keadilan Insan Malaysia-AKIM). 
Penggunaan poster sewaktu PRK Permatang Pauh 2008 sangat memperlihatkan satu persaingan sengit antara dua gabungan politik iaitu BN dan PR. Elemen-elemen yang membawa mesej tersendiri jelas terserlah sewaktu kempen berkenaan. Meme Politik sangat ketara menjadi elemen alam memasarkan calon terutama Anwar Ibrahim. Usaha pasukan kempen Anwar Ibrahim dalam berkomunikasi dengan para pengundi memperlihatkan satu usaha mencipta kepercayaan bahawa beliau adalah tokoh yang sangat popular dan bakal menjadi perdana menteri Malaysia (Mohammad Redzuan Othman et.al, 2009:70). 
Walaubagaimanapun, terdapat poster-poster kedua-dua KEADILAN dan BN yang tidak menampakkan profesionalisme dalam memasarkan calon mereka. Sebagai contoh, BN menggunakan slogan-slogan seperti “Kami Simpati Kepada Dr. Wan Azizah (Menjadi Mangsa Politik Anwar Ibrahim”, “Kenapa Anwar Takut Bersumpah?” dan slogan-slogan lain tidak menampakkan profesionalisme dalam menyampaikan maklumat kepada para pengundi. Begitu juga pihak PR, penggunaan slogan-slogan seperti “Awas! Pengundi Hantu Berkeliaran”, “Sekarang Tak Payah ke Mahkamah ... Pakai Sumpah je!”, “Aku Tak Akan Ditipu oleh BN lagi” juga menunjukkan kurangnya elemen profesionalisme seperti yang diperjelaskan oleh McNair (2003) sebelum ini.  
Seperti yang dijangka, calon AKIM yang juga presiden parti berkenaan mempunyai komunikasi kepada pengundi yang amat terhad. Tidak banyak kedapatan poster-poster yang memasarkan beliau sebagai calon yang perlu diundi. Tambahan pula, poster-poster AKIM tidak membawa mesej yang menampakkan calonnya memperjuangkan isu nasional dan tempatan. Mesej yang dibawa seperti “Pilihan Kepada Pengamal Kebenaran dan Keadilan” hanyalah sekadar untuk mempromosi parti berkenaan (Mohammad Redzuan Othman et.al, 2009:71). 
5.0 PRK Permatang Pauh 2015

Empat calon bertanding di dalam PRK ini. Mereka adalah Wan Azizah Wan Ismail (KEADILAN), Suhaimi Shabudin (BN), Azman Shah Osman (Parti Rakyat Malaysia-PRM) dan Salleh Isahak (BEBAS). 
Satu aspek penting sewaktu kempen PRK Permatang Pauh 2015 adalah kemunculan semula meme politik seperti PRK Permatang Pauh 2008. Fokus calon terutama daripada parti KEADILAN dan BN ternyata menjurus kepada isu-isu nasional dan setempat. Ini sangat bertepatan dengan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) dan IKSAS sewaktu PRK ini berlangsung. Kajian terhadap persepsi pengundi itu mendapati para pengundi di Permatang Pauh lebih cenderung untuk melihat isu-isu penting yang berkaitan kepentingan mereka. Kajian yang melibatkan 1,075 pengundi itu menghasilkan dua dapatan menarik :
(i) 63% merasakan serangan Dr. Mahathir Mohamad ke atas perdana menteri telah mempengaruhi mereka untuk menyokong calon KEADILAN.
(ii) 73% menyatakan GST mendorong mereka untuk meyokong calon KEADILAN.

Dua isu ini telah digunakan sepenuhnya oleh KEADILAN. Hasilnya kempen menggunakan poster-poster yang berasaskan dua isu berkenaan telah dilaksanakan. Poster Dr. Mahathir mengkritik serta mendesak perdana menteri meletak jawatan telah digunakan dengan meluas. Poster-poster ini didapati berkesan terutama terhadap para pengundi atas pagar. Ini kerana, kajian awal yang diadakan pada 17-19 April 2015 mendapati hanya 55% responden terpengaruh dengan desakan Dr. Mahathir manakala 64% pula merasakan isu GST akan mendorong mereka mengundi calon KEADILAN.
Satu lagi isu utama di dalam kempen menerusi poster adalah pemenjaraan Anwar Ibrahim. Isu ini digunakan sebaik mungkin oleh KEADILAN menerusi slogan “Keadilan Untuk Anwar” telah menjadi memes politik yang cukup berkesan di Permatang Pauh. Poster-poster yang menggambarkan kezaliman terhadap Anwar ini telah menimbulkan rasa simpati terutama di kalangan pengundi atas pagar terhadap isteri beliau yang menjadi calon KEADILAN. 
Pasukan kempen BN menggunakan poster-poster kempen yang memberi penekanan terhadap isu BR1M, hudud dan kelemahan dasar-dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP dan Pakatan Rakyat. Penggunaan isu-isu ini kurang berkesan dalam memasarkan calonnya. Ini kerana, hasil kajian IDE dan IKSAS mendapati dapatan berikut:
(i) 17% responden menyatakan BR1M akan membuatkan mereka mengundi calon BN.
(ii) 30% responden akan mengundi BN kerana yakin dengan isu hudud.
(iii) 24% responden akan mengundi BN kerana mereka tidak berpuashati dengan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.
Namun, terdapat usaha-usaha memaparkan calon BN sebagai calon yang mewakili golongan muda. Pelbagai poster digunakan oleh BN menunjukkan calon mereka berpakaian santai, memakai jersi pasukan bolasepak (Itali) dan imej-imej yang menggambarkan calon dari kalangan anak muda. Ini sangat sesuai dengan umur Suhaimi Shabudin yang berusia awal 40-an berbanding calon KEADILAN yang lebih berusia. 
Calon BEBAS dan PRM tidak menampakkan kesungguhan dalam kempen mereka. Ini disebabkan kekangan kewangan serta kempen yang sekadar untuk menjadi kuasa ketiga tanpa pengkhususan isu perjuangan. Poster-poster calon-calon berkenaan hanya tertumpu kepada memaparkan nama calon dan lambang calon. Ini adalah kaedah tradisional yang agak ketinggalan dalam aspek pemasaran politik. 
Seperti dijangka, terdapat juga poster-poster yang menampakkan protes dari kalangan penyokong PR terutama PAS Permatang Pauh. Poster-poster yang menggambarkan KEADILAN dan PR menolak hudud serta perjuangan PAS dalam melaksanakan hudud didapati banyak kelihatan sewaktu PRK 2015 ini. Ini tidak mengejutkan kerana PRK ini berlangsung sewaktu PR sedang mengalami konflik dalaman yang serius (Tan, 2015). 

6.0 Analisa 

Artikel ini melihat salah satu kaedah kempen pilihanraya iaitu poster kempen. Kaedah ini masih sangat penting dan releven. Tumpuan analisa adalah kepada dua parti politik dominan di dalam PRK Permatang Pauh 2008 dan 2015 iaitu KEADILAN dan BN. Secara umum , terdapat beberapa perubahan ketara antara PRK 2008 dan PRK 2015. Dua perubahan paling ketara adalah fokus kepada calon dan isu-isu yang dibangkitkan sewaktu pilihanraya.
PRK 2008 lebih tertumpu kepada calon yang bertanding terutama calon KEADILAN iaitu Anwar Ibrahim. BN ternyata menghadapi kesukaran berhadapan dengan tokoh popular di peringkat nasional seperti beliau. Poster-poster KEADILAN menampakkan fokus yang sangat jelas terhadap Anwar Ibrahim terutama dalam menggambarkan beliau sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia. Jentera BN menggunakan kaedah-kaedah tradisional di dalam poster-poster kempen mereka termasuk mempertikaikan kredibiliti dan akhlak calon KEADILAN. Ini tidak menggambarkan satu kematangan politik di saat Malaysia waktu itu sedang menuju ke arah politik baru yang lebih matang.
PRK 2015 pula menyaksikan perubahan agak ketara dalam poster-poster KEADILAN dan BN. PK 2015 ternyata lebih bersifat profesional, menampakkan kematangan secara umum dan menumpukan kepada aspek dasar kerajaan dan kehidupan rakyat sehari-hari. Kedua-dua parti berjaya menggunakan isu-isu rakyat sebagai fokus utama kempen. KEADILAN menggunakan isu GST, kenaikan kos sara hidup, keadilan sosial sebagai tema utama kempen calon mereka. Wajah Anwar Ibrahim digunakan di poster-poster yang membawa isu keadilan dan berdasarkan kajian, ia memberikan kesan kepada para pengundi. BN pula menggunakan kelebihan calonnya yang lebih muda dan merupakan tokoh tempatan. Pelbagai poster menggambarkan calon BN meupakan anak muda yang boleh membawa suara lokal. Selain itu, poster-poster yang mebawa isu rakyat seperti kenaikkan cukai pintu, isu perumahan dan isu-isu berkaitan dasar kerajaan negeri Pulau Pinang turut digunakan sepenuhnya. 

7.0 Kesimpulan

Dalam kajian ini, kami menggunakan kaedah pemerhatian dan ikutserta dalam menganalisa poster-poster kempen oleh semua calon. Pertamanya, penggunaan poster-poster kempen di dalam pilihanraya adalah iuntuk ememaklumkan kepada pengundi mengenai hasrat dan matlamat calon-calon yang bertanding. Didapati, kaedah kempen yang matang dan profesional lebih menarik perhatian para pengundi berbanding kaedah tradisional yang menyerang calon secara peribadi. Kepentingan pemasaran politik menerusi penciptaan “memes” juga sangat memberi kesan kepada corak pengundian di dalam pilihanraya seperti PRK di Permatang Pauh. 
Kedua-dua PRK berkenaan telah dimenangi oleh KEADILAN. Ini satu manifestasi bahawa iklim politik Malaysia sedang mengalami perubahan. Sejak PRU 2008, politik kepartian di Malaysia memperlihatkan satu cubaan untuk matang dan menampakkan profesionalisme dalam membawa isu kempen. Sudah mula muncul kesedaran dalam mewujudkan sistem dua parti, penekanan terhadap politik baru yang merentas etnik serta peranan oposisi yang lebih jelas dan efektif. Ini semua diperlihatkan menerusi slogan dan kata-kata yang digunakan di poster-poster pilihanraya. Telah muncul elemen-elemen komunikasi politik yang profesional di poster-poster kempen yang memberi pengkhususan terhadap isu-isu yang rapat dengan rakyat Malaysia. Poster kempen tidak lagi hanya semata-mata menjurus kepada memperkenalkan calon, mengutuk calon lawan secara peribadi dan tidak juga sekadar mempamer slogan-slogan yang bersifat retorika. 


8.0 Rujukan

“Big guns from both side descend on Permatang Pauh”, The Star, 2 August 2008.  
“BN dares PKR to launch manifesto in Permatang Pauh”, TMI, 30 April 2015, (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/bn-dares-pkr-to-launch-manife sto-in-permatang-pauh#sthash.WYoz3fkf.dpbs)
Brack, N & S. Weinblum (2011). “Political Opposition : Towards a Renewed Research Agenda”, Interdisciplinary Political Studies, Vol. 1, No.1, Jun 2011.
Burnell, P. & Randall, V.(Peny.) (2008). Politics in the Developing World. Oxford ; New York : Oxford University Press, hlm. 3-4.
Cangara, H. (2009). Komunikasi Politik. Jakarta: Rajawali Press. 
Dahl, R. (1966). Political Oppositions in Western Democracies. New Haven: Yale University Press.
Dawkins, R. (2006). The Selfish Gene: 30th Anniversary Edition. Oxford, UK: Oxford University Press.
Deichsel, A., Fechner, R. & Wabner, R. (2003).On Public Opinion. New York: Walter de Gruyter.
“Differing views on Umno's Permatang Pauh by-election candidate”, The Sun Daily, 6 April 2015. 
“Fatwa PAS Permatang Pauh”, Sinar Harian, 22 April 2015. 
“Fighting against the odds in Permatang Pauh “, The Heat Online, 4 May 2015. 
Five key issues in the Permatang Pauh by-election on May 7, Lim Kit Siang Website, 25 April 2015, (http://blog.limkitsiang.com/2015/04/25/five-key-issues-in-the-permatang-pauh-by-el ection-on-may-7/)
“GST rakes in the votes for Wan Azizah”. The Heat, 8 May 2015. 
Hadebro, G. (1982), Communication & Social Change in Developing Nation. A Critical View. Iowa: The Iowa State University Press. 
Hamdan Mohd Salleh (2015), “Poster PKR lebih berkesan”, SinarTV, 22 May 2015. 
Joceline Tan, “Kak Wan silences her critics”, The Star, 8 Mei 2015
__________, “By-election noticeably between BN and PKR”, The Star,7 Mei 2015
__________,“PKR struggles for Malay vote”,The Star,6 Mei 2015
__________,“Chinese voters may not be turning out in full force for PKR”, The Star, 4 Mei 2015
__________,“Perfect strom blowing in?”, The Star, 3 Mei 2015
__________,“Campaign riding on sympathy factor”, The Star, 1 Mei 2015
__________,“PAS absences likly to cut votes”, The Star, 29 April 2015
__________,“Permatang Pauh by-election: Wan Azizah find it harder second time around”, The Star, 28 April 2015
Laman Pilihanraya Umum di Malaysia, http://www2.pmo.gov.my/election/
McNair, B (2003). An Introduction to Political Communication. NY: Routledge. 
Md Sidin Ahmad Ishak & Yang Lai Fong (2013). “Covering Galas and Batu Sapi By-Elections: Framing By Chinese Newspapers”. IJAPS, Vol.9, No. 2 (July 2013). 
Mohammad Redzuan Othman in “Dr M, GST major factors for PKR’s Permatang Pauh in, survey shows, TMI, 22 May 2015. (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/dr-m-gst-major-factors-for-pkr s-permatang-pauh-win-survey-shows#sthash.mFkA00bi.dpbs)
Mohammad Redzuan Othman, Zulkanain Abdul Rahman, Shaharuddin Badaruddin, Amer Saifude Ghazali & Md Rozimi Mohd Nasir (2009). Permatang Pauh, Pilihan Raya Kecil Ogos 2008. Selangor: Karisma Publication.
Mohammad Redzuan Othman, Zulkanain Abdul Rahman, Shaharuddin Badaruddin, Amer Saifude Ghazali & Md Rozimi Mohd Nasir (2008). “Persoalan dan Makna di Sebalik Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh” dlm. Prosiding Seminar Politik Malaysia. Selangor: UiTM.
Mueller, D, & Stratmann, T (1994). “Infprmative and Persuasive Campaign”, Public Choice, 1994, vol. 81, issue 1-2, hlm.s 55-77.
Mutharasan (2008). Winning Strategies of Anwar Ibrahim KL: Focus Media Ent.
Riduan Mohamad Nor (2008). Tsunami Politik Permatang Pauh. Shah Alam: Angkatan Edaran.
“New face could feature for PKR in Permatang Pauh by-election”. New Straits Times, 6 April 2015. 
The Malaysian Insider (2015). “Little-known PRM candidate wants to be ‘third force’ – Bernama - (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/little-known-prm-candidate-w ants-to-be-third-force-bernama#sthash.FmmnReMO.dpuf )
“PAS will help PKR in Permatang Pauh, says Mat Sabu”, The Rakyat Post, 20 April 2015
“Permatang Pauh by-election: Suhaimi Sabudin named BN candidate”,The Star, 23 April 2015
“Permatang Pauh independent candidate denies links to any party”, Malay Mail, 27 April 2015
“Permatang Pauh by-election: Zahid reveals BN manifesto”, The Star, 30 April 2015. 
“PKR Permatang Pauh Youth proposes Datuk Seri Dr Wan Azizah to contest parliamentary seat”. The Sun Daily, 2 April 2015.
“PKR’s two choices for Permatang Pauh candidate”, FMT, 18 April 2015.
“PKR Picks Wan Azizah Again As Candidate For Permatang Pauh”. BERNAMA, 24 April 2015.
“PKR to make GST top issue in Permatang Pauh campaign”, TMI, 26 April 2015. (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/pkr-to-make-gst-top-issue-in-p ermatang-pauh-campaign-bernama#sthash.zdOsn8Xz.dpbs)
“PRK Permatang Pauh 7 Mei, luar biasa”, Utusan Malaysia, 9 April 2015. 
“Richard Dawkins on the internet's hijacking of the word 'meme'”, Wired UK, 20 June 2013.  http://www.wired.co.uk/news/archive/2013-06/20/richard-dawkins-memes
Roskin, M.G. (2008). Political Science: An Introduction. New Jersey: Pearson. 
Sartori, G. (1966). “Opposition and Control Problems and Prospects”. Government and Opposition, 1(1), hlm. 149-154.
Schubert, K. (2003). "Bazaar goes bizarre". USA Today, 31 July 2003. 
SPR,  Daftar pemilih induk (DPI) 2013. 
Shaharuddin Badaruddin (2013), “Manifesto, tarikan pilihan raya”, Astro Awani, 9 April 2013. www.astroawani.com/berita-pilihanraya/manifesto-tarikan-pilihan-raya-11808 )
Shaharuddin Badaruddin (2015) in “ Who will be new opposition leader?”. TMI, 10 February 2015, (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/who-will-be-new-opposition-l eader#sthash.n1m3VWjk.dpbs)
Shahruddin Badaruddin et.al (2013).” Assesing the Political Marketing Application in the Malaysian Political Scenario”, Recent Advances in Management, Marketing and Finances. 
Suffian Mansor, Rosmadi Fauzi, Mohammad Redzuan Othman, Amer Saifude Ghazali & Zulkanain Abdul Rahman (2013). Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu Sarawak 2010. KL: Penerbit Universiti Malaya. 
“Three thing we learnt from: Permatang Pauh”, Malay Mail, 8 May 2015. 
“Undeterred by raid, doctor mulls contesting in by-election”, The Sun Daily, 17 February 2015
Vliegenthart, R. (2012). ‘The Professionalization of Political Communication? A Longitudinal Analysis of Dutch Election Campaign Posters’. American Behavioral Scientist, 56(2): 135-150.
Weiss, M. (1999). “What will become of reformasi? Ethnicity and changing political norms in Malaysia ”. Contemporary Southeast Asia: A Journal of International Strategic Affairs, 21(3), 424. 













Tiada ulasan:

Industrial relations and legislation in Malaysia -Overview

dari ChangkatNingkeBTP Industrial relations and legislation in Malaysia are governed by various laws and regulations aimed at maintaining ha...