Isnin, Mac 22, 2010

Nota Kuliah : Badan Kehakiman

dari ChangkatNingkeBTP

BADAN KEHAKIMAN

PENGENALAN
Undang-undang merupakan pengaruh yang paling menyerap dalam kehidupan kita, melibatkan dalam hampir semua perkara yang kita lakukan.
Sistem perundangan di Malaysia telah melalui satu jangka masa yang panjang, iaitu kira-kira 600 tahun lamanya. Penjajahan Inggeris telah memperkenalkan sistem kerajaan berpelembagaan dan common law.
Pada hari ini, sebahagian besar daripada undang-undang negara ini datangnya daripada sumber bertulis. Diluluskan oleh Parlimen Malaysia dan Dewan Perundangan Negeri. Mengenal dan mengetahui tentang sistem perundangan dan kehakiman di sesebuah negara seperti Malaysia adalah amat penting.
APA ITU PERUNDANGAN DAN KEHAKIMAN?
Perundangan (Legislation)
Menurut Abdul Monir Yaacob (1989), perundangan adalah merujuk kepada undang-undang yang digubal oleh badan khas yang bertanggungjawab dari segi perlembagaan. Kuasa perundangan di Malaysia telah ditetapkan melalui Perkara 44, Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Fungsi utama perundangan adalah untuk menggubal, meminda atau membatalkan undang-undang sebagai memberi kesan kepada hasrat badan perundangan.

Penggubalan undang-undang dalam bentuk perundangan dijalankan oleh Parlimen Malaysia bagi peringkat persekutuan dan Dewan Undangan Negeri bagi peringkat negeri. Parlimen Malaysia membuat undang-undang yang terkandung dalam Senarai I, Jadual Kesembilan, sementara Senarai II dari jadual yang sama merupakan hak kerajaan negeri. Senarai III pula merupakan Senarai Bersama bagi kedua-dua badan.

Kehakiman (Judiciary)

Dalam sistem demokrasi liberal yang diamalkan di negara ini, kehakiman merupakan cabang ketiga bagi pihak kerajaan memainkan peranannya dalam proses pengimbangan kuasa. Bagi melaksanakan fungsi kehakiman PP telah menyediakan peruntukan yang berkaitan yang terkandung dalam Bab 9, Perkara 121-131A.

Hakim mempunyai kuasa mentafsir dan melaksanakan undang-undang dengan kuasa (authority) yang diberikan kepada mereka. Kuasa kehakiman bagi badan-badan kehakiman di Malaysia terletak dalam Perkara 121 (1), Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kehakiman merupakan cabang ketiga bagi pihak kerajaan memainkan peranannya dalam proses pengimbangan kuasa.

Dalam usaha melaksanakan tugas-tugas kehakiman di negara ini, sistem mahkamah telah diwujudkan.
Badan perundangan bertugas membuat/menggubal undang-undang dan pihak mahkamah pula melaksanakan undang-undang itu, jika ianya digubal dengan betul. pihak mahkamah boleh mentafsir bahagian-bahagian tertentu undang-undang (akta, enakmen atau ordinan) sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan bidang kuasanya.

Andaikan undang-undang itu digubal secara tidak sah, maka fungsi mahkamah ialah mentafsirkannya.

Makna/takrifan yang dibuat terhadap undang-undang oleh hakim akan menjadi satu ikutan penghakiman (precedent).


HUBUNGAN UNDANG-UNDANG DENGAN KEHAKIMAN

Tujuan undang-undang diwujudkan di sesebuah negara seperti Malaysia ialah untuk mencapai keadilan dalam masyarakat. Keadilan merupakan idea yang abstrak mengenai betul atau salah (right or wrong), keadilan dan kesamarataan (fairness and equality) Maka tujuan satu-satu undang-undang itu ialah menggalakkan ahli masyarakat melakukan sesuatu yang baik dan adil dalam mana-mana keadaan tertentu.

Undang-undang bukan sahaja berkhidmat untuk masyarakat, malah ia merupakan hasil dari proses interaksi sosial. Adalah wajar undang-undang di Malaysia berlainan dengan undang-undang di negara-negara lain, jika mahukannya dapat berfungsi di negara ini. Seperti undang-undang di negara lain, undang-undang di Malaysia dibentuk/digubal berdasarkan ethos sejarah dan budaya tempatan.

SEJARAH PERUNDANGAN DAN KEHAKIMAN

Sejarah perundangan dan kehakiman di negara ini bermula dengan pemerintahan Kesultanan Melaka.

Kemasukan penjajah Portugis, Belanda serta Jepun ke negara ini kurang memberi kesan dalam hal perundangan dan kehakiman, berbanding dengan penjajah Inggeris.

Sistem perundangan dan kehakiman Inggeris diperkenalkan di negara ini secara berperingkat-peringkat. Dalam satu siri kehakiman yang terdapat di negara ini, terbukti menunjukkan bahawa English Law telah diperkenalkan di Malaysia.

Undang-undang yang digunakan di negeri-negeri Melayu sebelum kemasukan penjajah Inggeris adalah Adat Pepatih, yang diamalkan di Negeri Sembilan dan daerah Naning di Melaka. Sementara Adat Temenggong pula digunakan di negeri-negeri lain di Semenanjung.

Pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dalam tahun 1895 menandakan bermulanya pengenalan Undang-undang Inggeris di Semenanjung.

Perkembangan ini berlanjutan hinggalah negara ini mencapai kemerdekaan dan berterusan pula selepas wujudnya Malaysia dalam tahun 1963. Perkembangan berikutnya pula ialah sedikit demi sedikit perundangan dan kehakiman Malaysia tidak lagi berpandukan perundangan dan kehakiman Inggeris sepenuhnya.

KLASIFIKASI UNDANG-UNDANG

Undang-undang boleh diklasifikasikan dalam berbaga-bagai kaedah. Salah satu kaedahnya ialah membahagikannya kepada tiga bahagian yang luas, iaitu,

a) Undang-undang Awam (Public Law),
b) Undang-undang Antarabangsa (International Law), dan
c) Undang-undang Persendirian (Private Law).

Undang-undang Awam (Public Law)
Pada dasarnya undang-undang awam mengawal perhubungan antara individu dengan negara. Undang-undang awam ini juga boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu :
(i) Undang-undang Perlembagaan (Constitutional Law);
Menetapkan hak individu dalam negara. Ia menangani persoalan seperti ketinggian parlimen dan hak rakyat.

(ii) Undang-undang Jenayah (Criminal Law).
Menyusun berbagai kesalahan yang dilakukan oleh individu terhadap negara. Tujuannya untuk menghukum dan menumpaskan jenayah


Undang-undang Antarabangsa (International Law)

Undang-undang antarabangsa ini dikategorikan ke dalam:
(i) Undang-undang Antarabangsa Awam; dan
Undang-undang yang mengatasi antara dua negara

(ii) Undang-undang Antarabangsa Persendirian.
Juga dikenali sebagai konflik undang-undang. Undang-undang ini mengandungi peraturan yang memandu seseorang hakim di dalam kes yang banyak undang-undang negara lain terlibat

Undang-undang Persendirian (Private Law)
Berkaitan dengan perkara-perkara yang menjejaskan hak-hak dan tanggungjawab individu di kalangan sesama mereka. Gantirugi terhadap yang cedera, untuk membolehkan harta pesalah dirampas, mengenakan obligasi kontrak. Tiga jenis kategori undang-undang persendirian iaitu Undang-undang Kontrak, Undang-undang Tort dan Amanah
Kontrak (Contract)
Perjanjian dan perlaksanaan butiran perjanjian. (Pecah kontrak).
Tort
Obligasi yang dikenakan oleh undang-undang. Ia merupakan satu kesalahan sivil yang melibatkan pelanggaran atau salah laku tugas am. Boleh diselesaikan melalui tindakan awam bagi kerosakan yang tidak dapat dibayar. Mana-mana orang apabila haknya dilanggar boleh menyaman pihak yang melakukan kesalahan. Tersebut. Elemen penting dalam undang-undang tort adalah mesti ada kesalahan yang dilakukan dengan sengaja atau disebabkan oleh kecuaian. Kes tort yaqng sering berlaku adalah kes fitnah (defamation) Azwan Ali vs. TV3 and Fauziah Ahmad Daud dan kecuaian (negligence) seperti dalam kes Donaghue vs Stevenson.
Amanah (Trust)

SUMBER UNDANG-UNDANG

Undang-undang Malaysia, seperti juga undang-undang negara lain mempunyai sumber-sumber tertentu masing-masing.

1. Sumber Sejarah
2. Peraturan-peraturan yang sah yangmembentuk undang-undang
3. Tempat-tempat di mana undang-undang boleh didapati

Undang-undang Malaysia adalah bersumberkan undang-undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis. Tiga sumber penting, iaitu,

(a) Undang-undang bertulis,
(b) Undang-undang tidak bertulis, dan
(c) Undang-undang Islam/Syariah.




• Undang-undang bertulis
Undang-undang bertulis adalah sumber terpenting undang-undang Malaysia. Undang-undang bertulis ini adalah seperti;

Perlembagaan Persekutuan dan Negeri
Undang-undang yang dibuat oleh Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri.
Perundangan Subsidiari (Subsidiary Legislation) yang dibuat oleh mana-mana orang atau badan.
• Undang-undang tidak bertulis
Undang-undang tidak bertulis ini terdapat dalam,
(i) kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah (Judicial Decision),
(ii) Common Law dan Rukun Ekuiti Inggeris, dan
(iii) Resam Tempatan (Local Customs), iaitu:

i. Keputusan hakim-hakim mahkamah atasan
ii. Common Law dan Rukun Ekuiti
iii. Hukum adat penduduk tempatan

• Undang-undang Islam/Syariah
Undang-undang Islam ini merupakan undang-undang Tuhan dari al-Quran, Hadis Nabi Muhammad (S.A.W), serta undang-undang yang telah dipersetujui oleh ulamak fikah zaman dahulu dan sekarang.

BAGAIMANA UNDANG-UNDANG DIKUATKUASAKAN?

Dalam hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang persendirian sivil adalah menjadi tanggungjawab mereka yang rugi (damages) membawa mana-mana kesnya ke mahkamah. Pihak mahkamah akan bertindak untuk menyelesaikan pertikaian antara dua pihak atau lebih.

Dalam hal penguatkuasaan, undang-undang jenayah adalah berbeza dengan undang-undang sivil. Penguatkuasaan undang-undang jenayah dilaksanakan oleh badan-badan tertentu yang telah ditetapkan oleh undang-undang negara. Badan-badan yang bertanggungjawab itu ialah Polis, Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Majlis Perbandaran dan Kerajaan Tempatan, dan badan-badan lain yang diberi kuasa dari semasa ke semasa. Prosedur membawa satu-satu kesalahan itu adalah berbeza-beza. Prosedur itu adalah seperti berikut:
1. Kes Saman
2. Waran Tangkap
3. Perintah Timbalan Pendakwa Raya
Kes Boleh Tangkap
SISTEM KEHAKIMAN DI MALAYSIA

Badan kehakiman yang dibentuk oleh kerajaan mempunyai kuasa mendengar dan menentukan perkara-perkara sivil dan jenayah. Ia juga berkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri.

Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan pula terbahagi kepada:

(i) Mahkamah Atasan (Superior Court) yang terdiri daripada:
-Mahkamah Agung (Supreme Court)
-Mahkamah Rayuan (Court of Appeal)
-Mahkamah Tinggi Malaya dan Borneo

(ii) Mahkamah Rendah (Subordinate Court) yang terdiri daripada:
- Mahkamah Sesyen
- Mahkamah Juvana
- Mahkamah Majistret
- Mahkamah Tuntutan Kecil
- Mahkamah/Balai Penghulu

(iii) Mahkamah Khas (Special Court) yang terdiri daripada:
- Mahkamah Tentera
- Mahkamah Perusahaan
- Mahkamah Buruh
- Mahkamah Merinyu Kanan Galian

Mahkamah Negeri

Mahkamah anegeri pula terbahagi kepada:

(i) Mahkamah Syariah (Semua Negeri)
Mahkamah Syariah Rayuan
Mahkamah Kadi Besar
Mahkamah Kadi

(ii) Mahkamah Adat/Mahkamah Anak Negeri (Di bawah tanggungjawab Sabah dan Sarawak)
Mahkamah Adat Daerah
Mahkamah Pegawai/Ketua Adat
Mahkamah Penghulu

Hierarki mahkamah diwujudkan berkait rapat dengan sistem rayuan. Tanpa adanya hierarki, hal-hal rayuan tidak mungkin wujud dan boleh dilaksanakan.

KEBEBASAN BADAN KEHAKIMAN

Terdapat dua ciri penting dalam badan kehakiman di Malaysia. Ciri-ciri itu ialah:

(i) Tidak memihak kepada sesiapa
(ii) Mempunyai kebebasannya yang tersendiri sepertimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Selain itu, mahkamah juga tidak dikenakan kawalan, sama ada oleh badan perundangan ataupun oleh pihak eksekutif.

Seseorang hakim tidak boleh dipecat dari jawatannya dengan apa cara yang lain. Prosedur untuk memecat seseorang hakim diperuntukkan dalam Perkara 125(3), (4) dan (5), Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kelakuan seseorang hakim tidak boleh dibincangkan dalam mana-mana majlis Parlimen, kecuali atas usul yang tersendiri. Ia tidak boleh dibincangkan sama sekali dalam mana-mana Dewan Undangan Negeri. Para hakim setelah dilantik akan memegang jawatan sampai berumur 65 tahun atau sehingga satu masa kemudiannya.

KUASA MAHKAMAH

Kuasa kehakiman yang diberikan kepada mahkamah ialah kuasa untuk membicara dan menentukan pertikaian. Kuasa kehakiman juga bermakna kuasa untuk menentukan sama ada seseorang telah melakukan jenayah atau tidak, dan hukuman yang wajar ke atasnya.

Pembahagian bidang kuasa mahkamah-mahkamah di negara ini dibuat berdasarkan berat, penting atau jumlah wang yang terlibat di dalam sesuatu kes.

Peranan/kuasa hakim sebagai seorang pengadil. Seseorang hakim tidak boleh menolong mana-mana pihak dalam mengemukakan kes masing-masing.

KESIMPULAN


Perundangan dan kehakiman Malaysia merupakan dua agensi kerajaan yang penting bagi mempastikan rakyat negara ini hidup dalam keadaan harmoni, rukun dan damai. Badan ini berjaya mempertahankan kedudukannya dan kekal sebagai jentera kerajaan yang aktif, progresif dan matang. Kita sebagai rakyat negara ini sepatutnya berbangga, memberi penghormatan sokongan, supaya kejayaan cemerlang ini berterusan dan memberi manfaat kepada rakyat seluruhnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam.. Bole saya tanya lebih mendalam berkenaan dengan undang-undang ini? Bole send emel kepada saya? princessjieyha@yahoo.com
saya menunggu feedback dari tuan. Terima Kasih, kerjasama tuan amat dihargai. :)

Inspirasi Za'ba

dari ChangkatNingkeBTP Saya acapkali menggunakan istilah "orang patut-patut" setiap kali ingin merujuk kepada golongan eliti...