Isnin, Mac 13, 2017

Kesedaran Mengupayakan OKU. Satu Reaksi Terhadap Senario Isu Hak OKU

dari ChangkatNingkeBTP
(Sedutan dari Buku D.I,A, 2017)

OKU buat seketika mula mendapat perhatian kembali apabila jaguh-jaguh paralimpik negara membawa pulang 3 emas dan 1 gangsa hasil tuaian Sukan Paralimpik Rio 2016. Nama seperti Mohamad Ridzuan Mohamad, Puzi Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly, Siti Noor Radiah Ismail mula dikenali. Kemenangan Ridzuan juga membawa bersama nama Cerebral Palsy yang cukup asing kepaa rakyat Malaysia. Apa yang menarik insentif, hadiah dan anugerah yang diterima mereka adakah setaraf dengan atlit Olimpik. Ini merupakan satu dasar yang cukup baik dari Menteri Belia dan Sukan dan kerajaan-kerajaan negeri termasuk Selangor. Sudah sampai masa atlit-atlit hebat ini diberi layanan sama rata, sama adil. Kerana mereka sebenarnya lebih upaya dari mereka yang kononnya sempurna.

OKU adalah akronim kepada Orang Kelainan Upaya. Turut dikenali dengan Orang Kurang Upaya. Dulunya masyarakat lebih gemar mengguna istilah cacat. Bahasa Inggerisnya ditermakan Disabled. Dari sudut Islam,  Ashab Al-Ahat. Namun terdapat golongan pejuang anak muda yang membawa istilah Orang Berkeupayaan Berlainan. Malah OKU sendiri yang mempersoal istilah OKU yang dilihat tidak sesuai. Namun, Akta OKU 2008 dari segi hukum yang biasanya kita rujuk. Namun fokus utama adalah hak dan fasilitasi serta bukan kepada usaha mencari simpati.


Malangnya, senario di Malaysia menyaksikan hanya dalam sukan OKU dipandang tinggi. Itu pun sejak beberapa ketika ini. Secara keseluruhan, usaha mencapai Mengupayakan OKU ini masih jauh terkebelakang di negara kita. Dasar-dasar yang ada walaupun di atas kertas ianya seolah lengkap, namun pelaksanaan dan realitinya masih jauh dari berjaya. Banyak pula retorikanya.

Realiti ini mungkin disebabkan para birokrat dan khalayak umum merasakan isu OKU cuma isu minoriti dan kecil sekali kepentingannya. Itu pandangan pembuat-pembuat dasar berhati kering. Makanya isu Mengupayakan OKU ini kini dibawa secara lantang oleh anak-anak muda yang berjiwa besar. Pandangan mereka tiada apa yang boleh diharap kepada pembuat-pembuat dasar yang sukar untuk memahami, peduli apatah lagi hadham isu hak OKU ini. Tinjauan awal oleh seorang pejuang OKU mendapati hanya 3% ahli parlimen ASEAN sanggup membahas dan membawa isu OKU di parlimen. Keprihatinan ahli parlimen Malaysia dan dewan-dewan undangan negeri adalah lebih mendukacitakan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan 10 peratus daripada jumlah penduduk di dunia ini. 80 peratus daripada golongan OKU ini berada di negara-negara membangun.

Malaysia mempunyai penduduk seramai lebih kurang 28 juta orang. Berdasarkan statistik PBB itu, jumlah OKU di Malaysia dianggarkan seramai 2.8 juta orang. Namun begitu, OKU  yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 280 ribu sahaja, 10% daripada anggaran penduduk OKU di negara kita. Jumlah ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenar bagi golongan OKU di negara kita. Sebahagian besar golongan OKU diabaikan oleh pihak kerajaan, yang keperluan mereka tidak dipertimbangkan. Oleh itu, mereka tidak dapat menikmati kemajuan negara.


Statistik OKU di Malaysia adalah seperti makluman di bawah:


Jenis
2010
2012
Peningkatan
Peratus
Keseluruhan
314,247
445,006
130,759
+29.38
Penglihatan
27,840
40,510
12,670
+31.28
Pendengaran
39,824
53,357
13,533
+25.36
Fizikal & Cerebral Palsy
105,020
148,461
43,441
+29.26
Masalah Pembelajaran
120,109
165, 281
45,172
+27.33
Pertuturan
334
1,734
1,400
+80.74
Mental
3,663
14,990
11,327
+75.56
Lain-Lain
13,389
20,673
7,284
+35.23
Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, 2015

Peningkatan mendadak warga OKU tentunya tinggi terutama di Negeri Selangor. Rata-rata kedapatan banyak keluarga mempunyai anak OKU ataupun yang menjaga warga OKU. Tidak boeh dinafikan, kos untuk menanggung anak/warga OKU sangat tinggi. Beban ekonomi merupakan kajian pemahaman mengenai kesan penyakit terhadap sumber kewangan masyarakat, keluarga dan individu (Sullivan  et al. 2000). Pada tahun 1966, Rice menerbitkan satu monograf yang mencadangkan cara untuk mengira beban ekonomi yang disebabkan oleh penyakit termasuk kos langsung dan kos tidak langsung.
Pendekatan ini telah menjadi panduan pengiraan beban ekonomi untuk kajian masa depan (Wang et al. 2008). Dalam pendekatan ini, beban ekonomi terdiri daripada kos langsung dan kos tidak langsung. Kos langsung merangkumi segala perbelanjaan yang berkaitan dengan rawatan perubatan terhadap penyakit individu (Mahadeva et al. 2012). Manakala kos tidak langsung mewakili kerugian produktiviti kala kini dan masa depan oleh individu serta ahli keluarga disebabkan kematian pra-matang dan morbiditi yang kian bertambah (Sullivan  et al. 2000)
Terdapat dua kategori kos langsung iaitu kos langsung perubatan dan kos langsung bukan perubatan. Kos langsung perubatan merupakan perbelanjaan untuk sumber rawatan perubatan yang digunakan untuk merawat atau mengatasi komplikasi kondisi seseorang individu seperti perkhidmatan pesakit luar, yuran wad, diagnosis, rawatan perubatan, pembedahan, ubat-ubatan dan rehabilitasi. Kos langsung bukan perubatan menrangkumi kos pengangkutan dan penginapan yang berkaitan dengan penggunaan kemudahan perkhidmatan perubatan, kos pendidikan khas, pemakanan khas, tambahan diet dan perkhidmatan penjagaan anak (Rice 1966). Terkini, satu kajian yang dibuat pada 2014 mendapati beban kewangan tahunan yang ditanggung oleh sebuah keluarga yang mempunyai anak palsi serebral (cerebral palsy) adalah RM 29,711 (Teong Chia Ying, 2014).





Contoh Kajian Terhadap Keluarga Anak Cerebral Palsy:


Isu-isu seperti data-data asas beban keluarga punya ahli OKU perlu dikenalpasti. Kajian ini juga dibuat untuk mengenalpasti berkenaan persepsi dan kehendak keluarga demi kesejahteraan mereka serta dapat memberi cadangan kepada kerajaan negeri Selangor mengenai kaedah-kaedah mengenalpasti punca beban pendapatan tambahan serta aktiviti yang sewajarnya dalam usaha mewujudkan sebuah negeri yang benar-benar berpaksi sejahtera dan berkebajikan.

Dalam membawa isu Mengupayakan OKU ini, terdapat tiga halangan utama di Malaysia.
(i)            Masalah sikap masyarakat termasuk pembuat dasar dan ahli politik. Ini merupakan masalah utama dalam Mengupayakan OKU. Mereka kerap melihat isu OKU hanya berkisar dalam kelompok OKU yang langsung tidak kena mengena dengan mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga merasakan isu ini tidak penting dan hanya isu sampingan. Isu sikap ini juga boleh dilihat menerusi isu buli, diskriminasi dan yang berkaitan dengan menganiaya OKU. Isu sikap dan dan merasa isu OKU tidak penting terutama dari kalangan pembuat dasar menyebabkan isu-isu berkaitan OKU tidak dapat dicari solusi dan diberi keutamaan. Dasar OKU kerap terpinggir berbanding isu wanita dan kanak-kanak. Ini termasuk di peringkat negeri yang maju di Malaysia. Pembuatan dasar juga sering tidak melibatkan golongan OKU dan pertubuhan-pertubuhan berkaitan.
(ii)          Isu Persekitaran. Amat sukar untuk mencari tempat yang mempunyai akses OKU yang sempurna dan baik. Kemudahan berkaitan OKU jika ada kerap pula disalahguna. Ini adalah hasil masalah sikap dan tidak ambil peduli pembuat dasar.
(iii)         Isu hak pendidikan dan peluang kerjaya. Dua isu ini adalah isu yang tidak berkesudahan tanpa ada usaha dicari solusi. Biasanya cubaan mencari solusi lebih berpaksi retorika. Terdapat anak-anak OKU terutama Cerebral Palsy yang dinafikan hak untuk bersekolah awam. Ini berlaku walaupun terdapat undang-undang yang menjamin hak untuk mereke ke sekolah awam. Begitu juga hak pekerjaan bagi mereka yang layak namun OKU, Mereka tidak dilihat berdasarkan keupayaan tapi kerap dilihat ketidakupayaan mereka.

Pembuat dasar kerap lupa dengan statistik WHO. Sekitar 10% penduduk dianggar dalam kategori OKU. Bilangannya tentu besar, 1/10 dari penduduk sesebuah negara.  Itu belum dikira keluarga terdekat mereka. Jika diterjemah dalam bentuk undi tentu besar kesannya. Isu OKU di Malaysia masih berkisar sekitar simpati, kerusi roda dan bantuan bulanan. Kita di sini masih berhadapan umpamanya dengan masyarakat yang tidak menghormati OKU. Ini jelas sekali berlaku termasuk berkaitan isu sekecil parkir OKU yang sentiasa disalahguna tanpa rasa bersalah oleh masyarakat yang kononnya maju.

Golongan OKU perlu diberikan keutamaan, namun dalam konteks Malaysia, golongan OKU tidak didahulukan, malah sering diketepikan. Malaysia telah menandatangani  Konvensyen Mengenai Hak OKU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi hak OKU tidak diberikan dengan sama rata. Konvensyen ini menjamin golongan  OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya serta penyertaan penuh serta efektif dalam masyarakat di semua aspek kehidupan - aksesibiliti, mobiliti, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya. Biarpun begitu, keadaan ini berbeza di Malaysia, OKU tidak diberi peluang untuk memajukan mereka. Isu Hak inilah yang sedang diperjuangkan dalam usaha mewujudkan Malaysia dan Selangor yang benar-benar adil.

Tiada ulasan: