Isnin, Januari 25, 2010

Nota Kuliah : Kerajaan Melayu Tradisional

dari ChangkatNingkeBTP

NKW1 Asas Politik Malaysia : Kerajaan Melayu Tradisional

p/s Ini hanyalan ringkasan formal untuk memudahkan pemahaman. Para pelajar adalah digalak untuk membuat kajian lebih lanjut berkenaan topik ini terutama mereka yang ditugaskan untuk menyiapkan topik ini.

Selain itu buku menarik penulisan Dr. Farish A. Noor, What Your Teacher Didn’t Tell You, (2009) terbitan, Matahari Books boleh dirujuk untuk melihat dengan lebih mendalam berkenaan era Malaysia waktu itu terutama dalam topik-topik seperti ‘Pity The Poor Keris’, ‘Hang Tuah the Pacifist’ dan ‘From Pigafetta to Panji’.

Perbincangan :

Istilah kerajaan Melayu Tradisional adalah merujuk kepada kerajaan-kerajaan Melayu terawal yang dianggap sebagai asas kepada kewujudan kerajaan Malaysia moden yang wujud pada hari ini.

Kerajaan Awal

Kerajaan-kerajaan berikut boleh disifatkan sebagai Kerajaan Melayu Tradisional:
1. Kerajaan Kedah Tua
2. Kerajaan Langkasuka
3. Kerajaan Funan
4. Kerajaan Srivijaya
5. Kerajaan Majapahit
6. Kerajaan Melayu Melaka

Kerajaan Kedah Tua

Kedah menjadi tumpuan pedagang India yang menyeberangi Teluk Benggala untuk berdagang di persekitaran gugusan Kepulauan Melayu. Kedah menjadi tempat persinggahan kapal dari Barat yang belayar ke Timur sewaktu angin barat daya. Puncak Gunung Jerai berfungsi sebagai pusat tanda arah bagi kapal yang berlabuh di pelabuhan Kedah.

Pada awal kurun ke-2 Masihi, Kedah telah menjadi sebuah kawasan yang terpenting di Tanah Melayu. Pelabuhannya yang terletak di muara Sungai Merbuk memainkan peranan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barangan untuk pasaran Funan dan seterusnya dibaw a ke negeri China. Menjelang awal abad ke-9, Kedah telah diserang oleh kerajaan Cola dari India Selatan dan selepas serangan tersebut,perdagangan di Kedah menjadi semakin merosot.

Kerajaan Langkasuka

Langkasuka terletak di timur laut Tanah Melayu, iaitu di daerah Patani. Pelabuhan Langkasuka digunakan oleh pedagang dari Barat dan Timur sebagai tempat memperoleh bahan makanan dan bekalan air sewaktu
kapal mereka singgah untuk berlabuh.

Dari segi ekonomi, Langkasuka menghasilkan kayu wangi, gading gajah dan sumbu badak sebagai hasil keluaran utamanya, manakala saudagar dari China akan membawa barangan dagangan mereka seperti kain sutera, kapas dan tembikar sebagai barangan tukaran. Bagi mengukuhkan kedudukannya, Langkasuka telah menjalin hubungan diplomatik dengan India dan China.

Kerajaan Funan

Kerajaan ini berpusat di Sungai Mekong dan dikatakan sebuah kerajaan Hindu yang pertama didirikan di Asia Tenggara. Kerajaan ini menguasai perdagangan lalu lintas di negeri sebelah Barat (India dan Mediterranean) dan China.

Pada abad ketiga Masihi, kerajaan Funan di bawah pimpinan Fang-Shih Man telah memperluaskan kekuasaannya dengan menakluki bahagian Utara Tanah Melayu dan telah menguasai jalan perdagangan dan pelabuhan penting di Tanah Melayu. Pada pertengahan kurun ke-6 Masihi, kerajaan Funan telah ditewaskan oleh kerajaan Chen Ha yang kemudiannya telah mendirikan tanah jajahan baru yang dikenali sebagai kerajaan Khmer.

Kerajaan Srivijaya

Kerajaan ini bertapak di Sumatera pada ke-7. Pada akhir abad ke-8, kerajaan Srivijaya telah memperluaskan kekuasaan politik dengan menguasai Tanah Melayu, Selat Sunda dan Selat Melaka. Pada akhir abad ke-11, kerajaan Srivijaya telah menguasai pesisir timur Sumatera, di bahagian barat Pulau Jawa, Tanah Melayu dan sebahagian besar Pulau Kalimantan. Akibat daripada amalan perdagangan monopoli yang diamalkan oleh kerajaan ini, akhirnya kerajaan Srivijaya menghadapi saingan daripada kerajaan lain yang mengamalkan sistem perdagangan yang lebih terbuka.

Bermula pada abad ke-13, banyak pemberontakan berlaku di wilayah jajahan kerajaan Srivijaya. Kesannya kerajaan Srivijaya menjadi semakin lemah lebih-lebih lagi dengan kemunculan kerajaan Majapahit di Pulau Jawa dan kerajaan Siam. Akhirnya, kekuasaan Srivijaya semakin tenggelam.

Kerajaan Majapahit

Kerajaan ini berpusat di Jawa Timur dan kemunculannya semakin digeruni sewaktu berada di bawah kepimpinan Gajah Mada. Bagi mencapai cita-cita politiknya, Majapahit memperluaskan jajahan takluknya dan membentuk empayar Melayu yang besar, yang terdiri daripada kepulauan Nusantara. Gajah Mada telah menakluki Bali, Temasik, Pahang, Sumatera dan daerah Jawa Barat. Bagi menjamin pengiktirafan daripada kuasa besar yang lain, Majapahit telah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan Siam, India dan China.

Walau bagaimanapun, selepas kematian Gajah Mada pada 1364, keagungan Majapahit semakin merosot. Banyak negeri yang telah menerima ajaran Islam telah membebaskan diri daripada empayar Majapahit dan menjelang awal abad ke-15, kerajaan Majapahit telah berkubur.

Kaitan kerajaan-kerajaan ini dilihat mempunyai kaitan dengan asal usul negara Malaysia kerana peranan dan penglibatannya ke atas wilayah-wilayah di Tanah Melayu yang pada hari ini adalah sebahagian daripada wilayah Malaysia.

Bagaimanapun, Kerajaan Melayu Melaka dilihat mempunyai hubungkait secara langsung dengan perkembangan dan struktur politik, pentadbiran dan ekonomi kerajaan Malaysia moden.

Kerajaan Melayu Melaka
Kesultanan Melaka telah berkembang pesat selepas ditubuhkan oleh Parameswara pada 1395. Di bawah kepimpinan Parameswara, Melaka terus berkembang dan menjadi pusat tumpuan para pedagang dari seluruh pelusuk rantau Kepulauan Melayu, Cina dan Asia Barat.

Kesultanan Melaka telah berkembang pesat selepas ditubuhkan oleh Parameswara pada 1395. Parameswara yang terlibat dalam pemberontakan menentang pemerintahan Majapahit telah melarikan diri ke Temasik setelah gagal dalam pemberontakan tersebut. Sewaktu berada di Temasik, Parameswara telah membunuh pemerintah Temasik. Tindakannya itu telah membangkitkan kemarahan pemerintah Siam, (Temasik terletak di bawah kekuasaan Siam) yang telah menghantar tentera untuk menangkap Parameswara. Parameswara dan pengikutnya telah melarikan diri ke Muar dan seterusnya ke Melaka dan memulakan kerajaan dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Melaka.

Di bawah kepimpinan Parameswara, Melaka terus berkembang dan menjadi pusat tumpuan para pedagang dari seluruh pelusuk rantau. Bagi memastikan Melaka tidak lagi menghadapi ancaman Siam, Parameswara telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China. Hubungan diplomatik dengan China ini membolehkan Parameswara membina kekuatan dan mentadbir Melaka dengan berkesan. Usaha yang gigih oleh Parameswara dan kedudukan Melaka yang strategik dari sudut geografi menyebabkan Melaka telah berkembang sebagai sebuah pelabuhan dan pusat perdagangan yang terkenal. Melaka seterusnya telah menikmati kemakmuran ekonomi dan berjaya memperluaskan tanah jajahannya ke seluruh Tanah Melayu dan negeri-negeri di pesisir Sumatera Timur sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1511 di tangan Portugis.

Perkembangan Melaka

Faktor Dalaman
– Pentadbiran
• Sumbangan Pemerintah (Sultan)
• Sumbangan Pembesar (Bendahara & Laksamana)
• Perkembangan perdagangan atas faktor keselamatan dan pertahanan
• Perkembangan sebagai sebuah empayar kerana wujudnya kekuatan ekonomi hasil perdagangan
– Faktor alam semula jadi
• Pelabuhan semulajadi/dalam
• Terlindung dari angin monsun
• Terletak ditengah perjalanan antara Timur dan Barat.
• Banyak sumber bekalan kayu bagi tujuan baikpulih kapal
Faktor Luaran /Faktor umum
– Perlindungan Maharaja Cina
– Agama Islam

Kejatuhan Melaka
Kelemahan pentadbiran dalaman
– Perebutan kuasa antara pembesar
– Pemerintah tidak peduli soal pentadbiran negara.
– Konflik perkauman
– Amalan rasuah dikalangan pembesar yang akhirnya merugikan kerajaan.
– Perubahan keadaan geografi

Faktor luar seperti
– Serangan Portugis
– Saingan dari kerajaan lain

Sistem Politik, Ekonomi dan Sosial Masyarakat Melayu Tradisional
• Sistem Politik
– -Sistem Pemerintahan Beraja (Raja sebagai sumber kuasa pemerintahan dan undang-undang)
– -Sistem Pembesar Tradisional
– Pengelasan masyarakat dalam negara
(1.Masyarakat Pemerintah- Raja,Golongan Bangsawan dan Pembesar
2.Rakyat umum. 3.Golongan Hamba)

Golongan hamba
• Golongan paling bawah dalam hierarki masyarakat Melayu tradisional.
• 2 kategori :
1. Hamba Abdi (Hamba Tawanan, Hamba diranggah, Hamba Habshi, Hamba Hulu (pesalah) Hamba
Serah (kemiskinan)
2. Hamba Hutang (Hamba Waris- isteri & anak hamba yang berhutang, Hamba Bayar, Orang Berhutang-menjadi hamba selagi gagal bayar hutang, Anak Mas-menjadi hamba akibat berkahwin dengan hamba wanita)

Sistem Politik, Ekonomi dan Sosial
Masyarakat Melayu Tradisional
• Perubahan dalam Sistem Ekonomi
(Ekonomi Sara Diri kepada Perdagangan)
– Pertanian, Perikanan & Mengumpul hasil hutan
– Pertukangan
– Perlombongan
– Perdagangan

Sistem Politik, Ekonomi dan Sosial Masyarakat Melayu Tradisional

• Perubahan dalam Sistem Sosial
– Perkembangan/Kemasukan Sistem Kepercayaan dan Agama baru – Islam/Kristian
– Adat - Pengaruh bahasa Asing dalam bahasa Melayu
– Bahasa – Pengaruh bahasa Asing dalam bahasa Melayu Sumbangan Kerajaan Melayu Melaka
Terhadap Kerajaan Malaysia Moden

Politik/Pentadbiran
– Pemakaian sistem pentadbiran monarki
– Sistem Pembesar Tradisonal vs Sistem

Pentadbiran Moden
• Bendahara vs Perdana Menteri
• Temenggung vs Ketua Polis Negara
• Laksamana vs Ketua Angkatan Tentera dll

Undang-undang
– Penerimaan undang-undang Islam dan undang-undang adat dalam sistem perundangan Malaysia moden


Sumbangan Kerajaan Melayu Melaka Terhadap Kerajaan Malaysia Moden
Sosial
– Wujudnya masyarakat majmuk (Cina, India,Serani)
– Perkembangan agama dan sistem kepercayaan (Hindu/Islam/Kristian/Budhha dll)
– Perkembangan bahasa Melayu – Pengaruh bahasa asing
– Kepelbagaian budaya (Melayu, India, Baba Nyonya, Serani)
– Percampuran elemen budaya sesuatu kaum

Rujukan Asas

Andaya., Barbara Watson & Leonard Y. (2001) A History of Malaysia. Hawaii : University of Hawaii Press.
INTAN (1994). Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara.
Lotfi Ismail (1976) Sejarah Malaysia 1400-1963. KL: Penerbitan Utusan.
Muhammad Yusof Hashim (1992) The Malay Sultanate of Malacca. KL: DBP.

1 ulasan:

MalizaMah berkata...

nota yg berguna utk saya. tima kasih.

Industrial relations and legislation in Malaysia -Overview

dari ChangkatNingkeBTP Industrial relations and legislation in Malaysia are governed by various laws and regulations aimed at maintaining ha...