Jumaat, Jun 01, 2012

MPW: Dasar Pembangunan Negara

dari ChangkatNingkeBTP


Sesuatu pembangunan memerlukan dasar. Dasar pembangunan merupakan asas atau tapak, panduan besar, falsafah (yang ada matlamat dihujungnya) dan peraturan mengenai cara mencapai matlamat dasar tersebut.     Pembangunan mempunyai pelbagai maksud dan dimensi. Umumnya, pembangunan adalah merujuk kepada usaha mengubah masyarakat atau negara daripada keadaan mundur kepada maju. Ia juga meliputi aspek-aspek kebendaan dan bukan kebendaan, sumber fizikal dan sumber manusia. Umumnya, pembangunan merupakan kemampuan manusia memenuhi potensi mereka untuk mempastikan mereka dapat memperolehi keperluan-keperluan asas (makanan, pakaian, tempat tinggal), pekerjaan, dan kesamarataan.



KEPENTINGAN DASAR PEMBANGUNAN 

    Malaysia tidak menggunakan kaedah barat dalam usaha menjadi negara industri. Malaysia mempunyai perancangan dan dasar-dasar pembangunan yang bersesuaian dengan pengalaman sejarah dan keperluan rakyatnya.
    Memandangkan kepentingan dan keperluan pembangunan, kerajaan telah membentuk dasar-dasar pembangunan yang akan menjadi asas, pemandu, tapak, dan peraturan pembangunan. Dasar-dasar pembangunan ini tercatat dalam dokumen rasmi kerajaan, khususnya dalam buku-buku Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara.

PERKEMBANGAN DASAR-DASAR PEMBANGUNAN NEGARA 

    Pembangunan peringkat pertama telah tercapai apabila negara mencapai kemerdekaan-iaitu bebas daripada penjajahan dan telunjuk penjajah. Pengisiann kemerdekaan adalah dalam bentuk meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya masyarakat luar bandar.
    Dasar dan perancangan pembangunan yang lebih sistematik ketara dalam zaman selepas merdeka-iaitu bermula dengan Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) dan Rancangan Malaya Kedua.
    Rancangan pembangunan negara dilakukan mengikut tahap-tahap (tahun) tertentu. Oleh sebab itu, nama rancangan pembangunan ialah Rancangan Pembangunan Lima Tahun yang lazimnya disebut sebagai Rancangan Malaysia.

PENEKANAN DASAR-DASAR PEMBANGUNAN 

    Setiap rancangan pembangunan biasanya menekankan kepada aspek dan pembangunan-pembangunan tertentu seperti pembangunan pertanian, ekonomi dan sebagainya.
    Setiap rancangan pembangunan mempunyai strategi-strategi tertentu untuk mencapai matlamat pembangunan. Sebagai contoh, Rancangan Malaysia Keenam mempunyai strategi-strategi tertentu untuk terus mengekalkan dan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.
    Dasar pembangunan menjadi lebih ketara, khusunya bermula dari tempoh Rancangan Malaysia Kedua sehingga Rancangan Malaysia Kelima (1971-1990)-iaitu dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Pangjang 1 (RRJP1) yang meliputi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan seterusnya dalam Rancangan Malaysia Keenam sehingga Rancangan Malaysia Ketujuh (1990-2000)-iaitu dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang 2 (RRJP2) yang meliputi Dasar Pembangunan Nasional (DPN).
 
Dasar Ekonomi Baru (DEB) 

          Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan dalam tahun 1970 sebagai tindak balas atau reaksi kepada peristiwa 13 Mei 1969.
          Program-program pembangunan sejak merdeka belum dapat mengatasi perbezaan sosioekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, desa dengan bandar, negeri-negeri pantai barat dengan pantai timur dan negeri-negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. DEB diperkenalkan dan dilancarkan bagi tempoh 20 tahun (1971-1990).
          Dasar Ekonomi Baru adalah tercakup dalam RRJP1 (1970-1990). Matlamat DEB adalah serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat supaya aktiviti ekonomi tidak dikaitkan dengan mana-mana kaum atau keturunan.
          DEB merupaka satu strategi negara dalam menghadapi realiti 'perbezaan etnik' dalam usaha mewujudkan keseimbangan dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia juga merupakan satu dasar yang mempunyai cabaran, pengorbanan dan iltizam yang memerlukan satu perubahan sikap atau mental semua penduduk di negara ini.
         Secara keseluruhannya, DEB telah berjaya membawa perubahan dalam tempoh dua puluh tahun ia dilaksanakan (1971-1990) sepanjang tempoh RRJP1.
 
Dasar Pembangunan Nasional 

            Dasar Ekonomi Baru berakhir pada tahun 1990. Ia digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). DPN dilaksanakan dalam tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang 2 (RRJP2) (1991-2000). RRJP2 juga merupakan langkah permulaan bagi Wawasan 2020.
            Dalam DPN, tumpuan diberikan kepada straregi membasmi kemiskinan di kalangan golongan termiskin. Dalam DPN, penglibatan sektor swasta juga ditingkatkan.
            Beberapa strategi telah digalurkan. Antaranya ialah mengemaskan perlaksanaan dan pendekatan program membasmi kemiskinan. Tumpuan khas diberikan kepada keluarga termiskin menerusi Program Pembasmian Rakyat Termiskin (PPRT). Tumpuan juga diberikan kepada mengurangkan masalah kemiskinan relatif.
            Daripada segi menyusun semula masyarakat pula, DPN mempunyai strategi pengagihan melalui pertumbuhan.

DASAR-DASAR KHUSUS PEMBANGUNAN 

Dasar Perindustrian Negara 
    Dasar Perindustrian Negara mempunyai matlamat untuk mempergiatkan lagi proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara.
    Untuk mencapai matlamat ini, Kajian Dasar Perindustrian Malaysia (KDPM) dan Pelan Induk Perindustrian (PIP) diadakan yang bertujuan untuk menyemak dan mengubah suai dasar-dasar perindustrian negara yang sedia ada dan mengkaji semula galakan-galakan pelaburan dan dasar-dasar peningkatan eksport.
 
Dasar Pertanian Negara 

    Dasar Pertanian Negara (DPN) digubal berdasarkan rasional bahawa sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara semakin menurun.
    Berbanding dengan sektor perindustrian dan perkhidmatan, kadar sumbangan sektor pertanian dalam pembangunan adalah rendah.
    DPN digubal bagi menggariskan matlamat dan strategi pembangunan sektor pertanian ssehingga tahun 2000. Antara objektif DPN ialah memaksimumkan pendapatan sektor pertanian; memaksimumkan pendapatan pengusaha/pekebun kecil melalui peningkatan daya pengeluaran supaya kadar kemiskinan dapat dikurangkan dan kualiti hidup keluarga diperbaiki, memaju dan meningkatkan hasil dan mutu komoditi-komoditi yang mempunyai potensi besar untuk eksport atau bahan gantian import.

Dasar Penswastaan 
        Konsep penswastaan bermaksud pemindahan kepentingan atau pelaburan kerajaan yang tertentu kepada sektor swasta. Penswastaan diharap akan dapat meningkatkan prestasi ekonomi dan perkhidmatan sesebuah perusahaan supaya kadar pertumbuhan ekonomi negara dapat sama-sama dipertingkatkan.

•Hala Cara Baru dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar

        Semenjak tahun-tahun 1950-an, pembangunan luar bandar telah menjadi tunjang dasar-dasar kerajaan. Satu dasar baru yang diberi nama Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar dikemukakan untuk menegaskan komitmen berterusan kerajaan untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan kemunduran desa.
        Beberapa strategi dicadangkan seperti pengelompokan kampung-kampung, penyatuan tanah dan pengurusan aktiviti pertanian secara komersial, dan pembangunan industri kampung.

Dasar Pensyarikatan Malaysia 

        Dasar pensyarikatan Malaysia adalah berlandaskan kepada kesedaran bahawa kedua-dua sektor awam dan swasta harus memupuk kerjasama erat dan saling tolong-menolong supaya melaluinya dapat diwujudkan satu suasana yang lebih sempurna. Tujuan utama Dasar Pensyarikatan Malaysia ialah untuk mengurangkan persaingan dan pertentangan antara pihak awam dan swasta. Ia juga bertujuan untuk menghapuskan sifat 'permusuhan' antara kedua-dua sektor dengan menggalakkan perkongsian maklumat.

KESIMPULAN 

    Pembangunan negara bertujuan untuk mencapai kesejahteraan rakyat supaya semua rakyat tanpa mengira kaum dapat menikmati kehidupan yang sempurna. Dengan demikian, dasar-dasar pembangunan dibentuk untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu. Usaha-usaha pembangunan ekonomi adalah bertujuan untuk mengurangkan lagi jurang perbezaan antara kaum, wilayah dan negeri agar integrasi nasional dapat dicapai.

Tiada ulasan:

Industrial relations and legislation in Malaysia -Overview

dari ChangkatNingkeBTP Industrial relations and legislation in Malaysia are governed by various laws and regulations aimed at maintaining ha...