Langkau ke kandungan utama

Wujudkan ADIList Dalam KEADILAN

dari ChangkatNingkeBTP

Nukilan ini diambil dari salah satu bab dalam buku ketiga saya "Nukilan πολιτικός" yang sedang dalam proses suntingan. Ia sebenarnya diadaptasi dari artikel yang disiarkan dalam SK Online pada 15 Januari 2011 menggunakan judul asal “ Perlunya ADIList dalam KEADILAN”. Walaupun ditulis pada tahun 2011, rasanya masih relevan ketika kita sedang memasuki gerbang tahun masihi 2013.

Parti KEADILAN semakin berkembang. Lahirnya kerana reformasi dan demi untuk menegakkan keadilan. Tidak kiralah keadilan untuk siapa dan untuk apa. Ada yang kerana keadilan untuk Anwar. Ketika itu era reformasi pasca pemecatan dan penahanan mantan Timbalan Perdana Menteri. Teringat lagi waktu itu tag yang dipakai oleh anak-anak Anwar Ibrahim, “Justice For Papa”. Anak-anak muda malah yang merasa muda sengaja dan sedikit nakal menggunakan tag “Justice for Papa in Law”. Mungkin dek kerana suka-suka atau kerana meminati serta kagum dengan Nurul Izzah terutamanya waktu itu. Ada yang mendokong keadilan terhadap apa yang berlaku kepada sistem politik dan kehakiman negara. Ada menyokong demi menuntut keadilan sosial. Ada juga mendokong keadilan kerana bagi mereka sudah lama hidup dalam kezaliman dan terasa dianiaya.

Hingga muncul ADIL dan kemudiannya Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Konsepnya mudah, KEADILAN untuk semua. Idea ini kemudiannya menjadi tunjang perjuangan gabungan politik Oposisi dinamakan Barisan Alternatif (BA). Manifesto Pilihanraya Umum 1999 BA jelas sekali memperjuangkan keadilan. Parti-parti Oposisi dalam BA ini menggunakan tema “Ke Arah Malaysia Yang Adil” dalam manifesto mereka pada Oktober 1999. Ternyata, keadilan yang diperjuangkan ini diterima oleh para pengundi. Menurut statistik, 40.21 peratus pengundi memilih BA dalam PRU ke-10.

   
Tentunya perjuangan parti ini perlu bertepatan dengan moto “Keadilan Untuk Semua”. Keadilan ini amat dituntut oleh Islam itu sendiri. Konsep al-adl dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil ini tidak diertikan sebagai sama rata. Al-adl ialah prinsip dan nilai Al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud:


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”. Surah An-Nahl: ayat 90
            
Lihat sahaja amalan-amalan pentadbiran dan pemerintahan Rasulullah. Cuba teliti corak yang diamalkan oleh Khulafa’s al-Rashidin. Kajilah  betapa adilnya Khalifah Umar Abdul Aziz. Khalifah Harun al-Rashid pula memerintah tanpa pilih kasih hingga eranya menyaksikan begitu makmur sekali Daulah Islamiyyah. Bacalah kisah bagaimana Mehmet al-Fatih, khalifah Uthmaniyah tatkala memilih imam solat buat kali petama sewaktu pembukaan Constantinople. Semuanya berlaku dalam penuh keadilan.

Pemikir India, Amartya Sen jelas amat mengagungi konsep keadilan ini. Bagi beliau, keadilan sosial yang sempurna mestilah bersifat inklusif dan berperikemanusiaan dan . ia juga perlu berlandaskan lojik dan membantu menghapus ketidakasilan dan kezaliman. A. Sen juga berpendapat keadilan mesti bebas dari dominasi puak majoriti dan dalam masa yang sama menyentuh kehidupan golongan marhaen.

Tokoh-tokoh Ilmuan di Barat turut menjunjung keadilan ini. Idea John Rawsl umpamanya membuktikankan adil merupakan asas dalam bermasyarakat. Idea beliau juga berkisanambungan dari Hobbes, Locke, Rousseau dan Kant. Prinsip pertama Rawal umpamanya menjurus kepada keadilan kepada rakyat. Termasuk merangkumi hak bersuara dan berpendapat. Prinsip kedua pula menjurus kepada keadilan ekonomi dimana polisi kerajaan berkenaan sosio-ekonomi hendaklah  berpaksikan untung kepada ahli-ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
   
KEADILAN sepanjang usianya memperjuangkan keadilan. KEADILAN sebagai sebuah parti politik era baru ini perlulah dikenali sebagai pejuang keadilan. Ia perlulah dilihat KEADILAN sebagai sebuah parti politik sinonim dengan keadilan? Apakah benar keadilan adalah persepsi pertama pengundi dan rakyat Malaysia terhadap parti KEADILAN? Adilkah KEADILAN itu sendiri? Barisan pimpinan baru KEADILAN pasca Pemilihan 2010 perlu memberi penekanan terhadap persoalan-persoalan sedemikian. Perkenalkan semula parti ini sebagai pejuang keadilan sebenar. Ia bukan semata-mata memperjuangkan keadilan individu. Perjuangan yang benar-benar ADIL selaras seperti yang dicita-citakan oleh para pengasas dan pendokongnya.

Tahun 2011 yang baru membuka tirainya ini adalah waktunya untuk KEADILAN membuktikan bahawa ia adalah parti yang benar-benar adil. Ia perlu bermula dari parti itu sendiri. Bukan parti yang adilnya bertempat. Bukan adil kepada mereka yang punya kuasa dan kerana ingin kuasa. Bukan adil hanya kepada sesuatu bangsa semata. Adil baik kepada yang menang serta yang kalah. Adil kepada mereka di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dari barisan kepimpinan hinggalah ke ahli-ahli marhaen. Bersikap adillah kepada semua. Ciptalah ADIList dikalangan pendokong parti KEADILAN. Iytu asal perjuanga parti ini. Lahirnya Reformasi adalah kerana golongan ADIList ini mahukan keadilan dek kerana asyik dizalimi.

Jika ADIList ini dapat dilaksanakan, KEADILAN mampu muncul sebagai parti yang boleh diterima semua. Ia akan dipandang bukan sahaja kerana parti ini parti reformasi. Bukan sahaja dipersepsikan  parti multi-etnik. Malah lebih dari itu. Namun, ini semua perlu dibuktikan. KEADILAN bukan lagi parti Oposisi kecil seperti sedekad yang lalu. KEADILAN bukan semata-mata kerana Anwar Ibrahim. KEADILAN sudah besar. Anggotanya sahaja dikatakan mencecah 400,000. Benar atau tidak jumlah itu perlu dirujuk kepada Ibu Pejabatnya. Ketua Umumnya adalah Ketua Oposisi di parlimen. Ahli-ahli parlimennya berdiri gagah di Dewan Rakyat. Dewan Negarapun sudah ada wakilnya. Ia juga sedang memimpin dalam mentadbir Selangor. Ada suara birokrat di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang. Ada juga wakil rakyat di Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak.  Mereka  semua inilah ADIList yang perlu membuktikan adil itu bukan sahaja slogan tetapi praktik. Kerana dari adil inilah bermulanya muafakat. Menerusi muafakatlah barulah cita-cita  KEADILAN dan Pakatan Rakyat ke Putrajaya mampu terlaksana. Mentaliti pembangkang itu perlu diubah terlebih dahulu. Ada bezanya politik pembangkang dengan politik Oposisi. Malaysia tentunya amat perlukan kuasa parti politik Oposisi yang bukan sahaja menjadi pemantau dan pengimbang semata-mata. Disinilah elemen ADIList perlu memainkan peranan yang amat mustahak. 

Kerana apa? Kerana politik itu satu persepsi. Kuasa politik itu juga pasti membutakan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENUJU PRN MELAKA 2026: NEGERI KECIL, PERUBAHAN POLITIK BESAR

Melaka kecil pada peta, tetapi jangan kecilkan makna politiknya. Negeri ini pernah menjadi kubu Barisan Nasional, beralih kepada Pakatan Harapan pada 2018, kemudian menyaksikan BN kembali dengan kemenangan besar dalam PRN 2021. Sejarah itu mengingatkan kita bahawa pengundi Melaka boleh berubah. Tiada parti mempunyai geran kekal terhadap kesetiaan rakyat. Kini, hari mengundi ditetapkan pada 14 November 2026 , dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November. Persoalannya bukan sekadar siapa akan menang, tetapi apakah perubahan yang sedang berlaku dalam hubungan antara parti, pemimpin dan pengundi Melaka. Pada hemat saya, PRN kali ini perlu dibaca sebagai pertembungan antara tiga perkara: kekuatan organisasi lama, hubungan politik yang semakin cair, dan tuntutan rakyat terhadap hasil pentadbiran. Kemenangan 2021 bukan jaminan untuk 2026 Dalam PRN 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, berbanding lima kerusi PH dan dua kerusi PN. Namun, kadar keluar mengundi k...

ANUGERAH TOKOH INKLUSIF OKU SELANGOR 2026: ANTARA AIR MATA, RASA KERDIL DAN HIKMAH SEBUAH PERJALANAN

Ada ketika dalam hidup, kita terdiam bukan kerana tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Tetapi kerana terlalu banyak rasa yang datang serentak, sehingga sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Itulah yang saya rasakan apabila dimaklumkan bahawa saya dipilih antara penerima Anugerah Tokoh Inklusif OKU Negeri Selangor 2026. Saya terdiam seketika. Terperanjat. Segan. Terharu. Malah, ada rasa serba salah. Hampir tiga dekad berada dalam dunia perjuangan OKU, saya tahu benar bahawa di luar sana terlalu ramai insan yang jauh lebih hebat, jauh lebih banyak berkorban dan jauh lebih layak untuk berdiri menerima pengiktirafan ini. Fikiran saya melayang jauh. Kembali kepada wajah-wajah yang pernah saya temui. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan. Kepada ibu bapa yang menangis dalam diam. Kepada anak-anak istimewa yang mengajar kita tentang kekuatan tanpa perlu berkata-kata. Dan akhirnya, fikiran saya berhenti pada satu wajah. Nana. Nur Amanina Hannah. Anak Papa & Mama. Entah mengapa, dalam ...

Tun Dr Siti Hasmah: Kasih yang Melihat Potensi Anak Cerebral Palsy

Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini mengundang rasa dukacita yang mendalam. Saya merakamkan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga. Malaysia kehilangan seorang tokoh yang dikenang kerana kelembutan budi dan kesediaannya mendekati mereka yang memerlukan perhatian.  Sebagai mantan Presiden Malaysian Advocate for Cerebral Palsy , saya ingin mengenang satu sisi khidmat beliau yang dekat di hati komuniti kami. Rekod Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy Pulau Pinang mencatatkan bahawa pada November 1981, Tun Dr Siti Hasmah melawat pusatnya dan membawa sumbangan daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI). Catatan itu mungkin ringkas, tetapi bagi sebuah pusat yang berusaha menyediakan pendidikan dan sokongan kepada anak-anak, kehadiran dan bantuan sedemikian mempunyai makna yang besar.  Kunjungan itu mengingatkan kita bahawa perjuangan anak cerebral palsy dan keluarga mereka sentiasa memerlukan lebih daripada simpati. M...