Ucaptama oleh Dr Hamdan Mohd Salleh
NATIONAL PRE-UNIVERSITY
SEMINAR 2017
(NPreUS 2017)
“Cabaran Pengajian
Asasi Menuju Industri 4.0 : Dari Sudutpandang Membina Manusiawi”
Dengan Nama ALLAH
Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Segala Puji Bagi
ALLAH Tuhan Tuan Punya Seluruh Alam
Selawat buat Nabi
Junjungan Muhammad, Pembawa Rahmat Seluruh Alam.
Pengajian
Asasi atau pra-universiti secara kebiasannya merupakan program akademik 3
semester (1 tahun) yang dibentuk khusus untuk menyediakan pelajar-pelajar lepasan SPM untuk
menyambung kembara ilmu mereka ke peringkat Sarjana Muda. Dalam dunia menuju ke
arah globalisasi total, tentunya cabaran amat besar dalam menghadapi gelombang
kemajuan industri yang dikenali sebagai Industri 4.0. Bicara ucaptama ini tidak
tertumpu kepada persedian akademik semata-mata dalam menghadapi cabaran
berkenaan. Fokus ucaptama ini adalah untuk membincangkan secara asas dan
ringkas mengenai pengimbangan Akal dan
Hati dalam usaha menyediakan pelajar Tahun Asas yang benar-benar holisitik.
Tatkala
menulis ucapan ini, saya secara tidak sengaja terbuka sebuah buku yang saya
beli pada tahun 2014 namun belum berkesempatan untuk mentelaah dengan mendalam.
Buku tentang Allahyarham Ahmad Ammar. Dalam halaman 18, tertera satu catatan
yang ditulis oleh Allahyarham pada 4 Mei 2006. Catatan oleh seorang anak muda
berusia 13 tahun waktu itu. Allahyarham menyenaraikan 10 cita-cita beliau
dengan hanya 1 dibiarkan tanpa dipotong.
Pengkaji
Jika
dilihat dari 10 cita-cita beliau, hampir semua asas akademiknya disediakan di
peringkat pengajian Tahun Asas. Program seperti Asasi Komunikasi, Bahasa Arab,
Pengajian Islam, Sains, Bahasa Inggeris, Pengurusan dan Teknologi Maklumat
pasti menyediakan ruang untuk pelajar memperoleh semua bidang yang ditulis dan
kemudiannya dipotong oleh Allahyarham Ahmad Ammar. Yang biasa terlepas pandang
adalah yang tidak dipotong oleh beliau.
Dalam
pada itu, bandingkan cita-cita Allahyarham dengan penulisan ringkas Dawn Dugan. menjelang Industri 4.0, Dugan menerusi laman sesawang Salary.
menyenaraikan beberapa kerjaya yang mendapat perhatian tinggi dari pemain
industri global. Antara kerjaya yang tersenarai adalah Teknologi Maklumat,
Kewangan, Analisis Data, Penjagaan Kesihatan, Tenaga Alternatif, Perundangan
Antarabangsa, Pemasaran dan Multimedia. Dunia dalam era Industri 4.0 satu era
yang mengfokus globalisasi mega berpaksi nformasi teknologi atau digital
teknologi, nano teknologi dan bioteknologi. Perubahan dari industri 3.0 ini
tentunya sangat dahsyat dan mencabar.
Kepedulian Sosial
Yang Tinggi
Cabaran
inilah perlu diterjemah kepada para pelajar Tahun Asas. Cabaran yang sangat
sangat unik. Mereka perlu mengubah pola pemikiran dari pelajar menengah menjadi
mahasiswa tulen dan kemudiannya manusia sejagat. Mereka perlu menjadi “maha”
atas kesiswaan mereka. Tentunya mereka mempunya tanggungjawab jauh lebih besar
dari remaja lain. Mereke perlu berbeza dari yang lain. Mereke berpeluang untuk
memajukan diri bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk agama dan negara.
Pesan Bapak Doktor Anies Baswedan, mantan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan
Indonesia yang kini Gebenor Jakarta sangat relevan : “Mahasiswa jangan keluar dari universiti hanya dengan selembar kertas
bertuliskan transkrip tau bertuliskan Ijazah. Masa depan tidak mungkin boleh
dibangun hanya dengan selembar kertas itu. Anda perlu menjadi manusia baru,
lebih dari sekadar peneliti, lebih dari sekadar pengajar. Harus menjadi
PEMIMPIN. Anak-anak muda yang kata-katanya, langkahnya mampu membuat perubahan”.
Keunikan
mereka perlu dibentuk untuk membentuk Malaysia akan datang. Cabaran utama
tentunya melahirkan pelajar Asasi yang holistik, inklusif dan bersedia untuk
terus dibentuk di peringkat lebih tinggi. Keperluan ini semakin mendesak
tatkala dunia menuju Industri 4.0 (Mohamed Azmin Ali, 2016). Selain fokus
keperluan akademik yang memenuhi keperluan Industri 4.0, cabaran paling besar
adalah bagaimana membentuk manusia dan pemimpin dari kalangan pelajar Asasi
dalam waktu ketika yang penuh mencabar. Maka disinilah kepentingan membentuk
karekter dan membina insan. Cabaran utama tentunya dalam mewujudkan pelajar
Asasi yang terlatih dalam dua trek, akademik dan kepimpinan. Semua universiti
telah lama menumpukan trek akademik. Sememangnya universiti ditubuhkan untuk
melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik. Namun, bagaimana untuk
menjadikan pelajar cemerlang di luar ruang kuliah. Sekali lagi, nama
Allahyarham Ahmad Ammar pasti boleh dirujuk. Dalam cita-cita akademik beliau,
matlamat utama ingin menjadi penyelidik. Akhirnya beliau cemerlang dalam
kedua-dua bidang walaupun cukup awal dijemput Ilahi. Ini cabaran besar pusat
Asasi, melahirkan pelajar yang mampu mengakar masyarakat selain cemerlang dalam
akademik.
Penawaran Subjek
yang merentas program akademik
Kemunculan
bidang akademik yang semakin kompetitif membawa kepada cabaran mencari “common
subjects” untuk disesuaikan kepada semua program Tahun Asas. Usaha ini akan
membolehkan para pelajar pelbagai bidang mampu membicarakan subjek-subjek
berkenaan dengan cukup mahir. Subjek-subjek ini adalah seumpama subjek teras
yang diambil di peringkat sarjana muda. Ianya perlu dipilih berdasarkan
keperluan dan matlamat untuk apa subjek berkenaan ditawarkan. Subjek berpaksi
kemanusian ini pasti akan memberi impak besar untuk pelajar peringkat Tahun
Asas jika ditawarkan secara konsisten.
Dasar
penawaran subjek merentas program akademik ini adalah amalan biasa di negara-negara
maju. Australia umpamanya memperkenalkan
subjek “Discovering Democracy” seawal peringkat sekolah rendah. Kanada,
England, Singapura dan Wales mewujudkan subjek kewarganegaraan. Negara-negara
lain seperti Itali, Jepun, New Zealand, Sweden dan Amerika Syarikat mewujudkan subjek pengajian
sosial kepada sejak peringkat menengah. Konsep yang dilaksanakan di Jerman
lebih menarik. Jerman menggunakan konspe yang ditermakan sebagai “Sachunterricht” (Kuldip Kaur, 2013).
Konsep ini berpaksikan subjek kemanusiaan yang merangkumi ekonomi, pengajian
sosial, sejarah, geografi, sains dan teknologi. Penerusan dasar Jerman dalam
mewujudkan pendidikan holistik boleh dilihat menerusi konsep “Fachschulen”.
Konsep ini menggabungkan bidang akademik dan keperluan industri terutama di
dalam bidang teknikal.
Pengajian
Asasi di Malaysia perlu memberi fokus kepada penawaran subjek-subjek teras yang
mampu memberi ruang untuk pelajar berkembang. Subjek seperti pemikiran kritis,
skil komunikasi, hak asasi, pengajian keperluan khas, pengurusan projek,
pengucapan awal umpamanya adalah penting bagi mengukuhkan lagi skil dan corak
pemikiran mereka. Ini juga selaras dengan dasar kerajaan negeri Selangor yang
inginkan graduan yang bersedia untuk menempuh alam bekerjaya.
Usaha Membentuk
Karekter dan Bina Insan di peringkat Tahun Asas
Jika
disorot isu kualiti universiti dari sudut holisitik, tentunya isu memanusiakan
graduan menjadi antara paksi utama. Era moden telah membincangkan isu ini
seawal 90 tahun yang lalu. Peranan universiti secara praktis boleh digambarkan
menerusi pandangan Siddiq Fadhil (2016) yang secara tegas menyatakan universiti
tidak cukup berperanan hanya melahirkan graduan yang cemerlang akademik. Jika
itu berlaku, universiti sebenarnya adalah setaraf dengan apa yang ditermakan
“monkey training centre”. Yakni, universiti jangan hanya mampu melahirkan
pelajar yang mahir dalam bidang kepakaran akademiknya sahaja.
Pendita
Zaaba sejak 1920-an mengkritik apa yang ditermakan sebagai “miskin perangai”
sebagai salah satu punca sukarnya memajukan pendidikan orang Melayu (Ermy
Azziaty Rozali & Mohammad Redzuan Othman). Dalam era yang hampir sama,
ulama Patani, Haji Sulong turut memperjuangkan isu kepentingan pendidikan
holisitik yang sama tatkala cuba membawa obor pendidikan berpaksi Islah dan
Tajdid di Selatan Thai (Hamdan Mohd Salleh, 2010). Berkaitan pendidikan, Za’ba
(1927) dengan jelas menulis :
“Pelajaran otak atau kepandaian sekolah atau
kolej sahaja, istimewa pula jika yang demikian itu terlalu rendah dan tiada
melebihi daripada kepandaian membaca, menulis, berkira-kira dan membuat
kerja-kerja kerani dan mengenal akan kesedapan karangan-karangan yang rendah
dan kecil. Pelajaran yang dikatakan cukup itu hendaklah termasuk di dalamnya
pelajaran-pelajaran berniaga, berjual-beli, pertukaran, membuat barang-barang,
bercucuk tanam dan berbagai-bagai perusahaan dan pekerjaan mengeluarkan hasil.
Dalam pada itu hendaklah pula dimaksudkan tiap-tiap seorang termesti belajar
dan mengetahui kesemuanya itu.”
Sedekad
selepas Za’ba, tokoh motivator Barat Napoleon Hill turut membawa isu yang sama.
Hill (1937) dalam buku Think and Grow
Rich meringkaskan dua kritiria utama manusia yang cemerlang. Dua ciri
berkenaan adalah manusia yang sentiasa sibuk namun punya matlamat yang jelas dalam kerjaya dan manusia yang
sanggup melabur masa senggang dan wang untuk terus menuntut ilmu. Ternyata
pandangan Za’ba, Haji Sulong dan Hill masih relevan hingga ke hari ini.
Pembinaan karekter, jati diri dan sikap yang mampu mengakar masyarakat akan
melengkapkan kecemerlangan akademik mahasiswa. Ketiga-tiga pandangan sarjana
ini boleh dirumus menerusi pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas (1977) yang
menyatakan bahawa tujuan menuntut ilmu dalam Islam adalah untuk menerapkan adab
dan keadilan dalam diri insan.
Paling
mencabar adalah bagaimana untuk membina generasi manusia yang hebat berteraskan
nilai-nilai ketuhanan. Al-Qur’an menjelaskan dengan cukup menyeluruh ciri-ciri
mulia generasi ulul al-bab iaitu
golongan yang memiliki sesuatu kefahaman yang mendalam. Ini amat jelas dalam Al-Qur’an terutama
menerusi Sura Ali’Imran (190-194), al-Ra’d (19-22), Mukminin (1-10), al-Furqan
(63-74) dan al-Zumar (18). Istilah Ulul
al-bab ini tertera 16 kali dalam al-Qur’an. Selain itu, ia juga memberi
penekanan kepada keteladanan unggul yang terhebat iaitu peribadi Rasulullah
sendiri.
Haji
Ahmad Azam pada tahun 2014 telah merangkumkan formula untuk melahirkan generasi
di atas dengan cukup ringkas namun sangat tepat. Tujuh ringkasan berkenaan
adalah seperti butiran berikut:
(i)
Meletakkan
wawasan Ummatik
(ii)
Memberikan
nama yang sesuai dengan wawasan
(iii)
Mendidik
ketinggian adab
(iv)
Menghayati
al-Qur’an
(v)
Memelihara
solat dan menunai tahajjud
(vi)
Menguasai
ilmu yang diperlukan pada zaman itu
(vii)
Menguasai
bahasa-bahasa asing
Dalam hal ini, sekalung tahniah buat Pusat
Asasi KUIS yang menjadi antara teraju pendidikan holistik ulul al-bab ini sejak tahun 2008. Pembentukkan karakter pelajar
dari awal di peringkat asasi di KUIS tentunya akan menyediakan mereka ke arah
penyambungan pelajaran di peringkat lebih tinggi. Ini cukup selaras dan relevan
dengan moto KUIS iaitu “Di sini lahirnya...Dai’,
Ulama dan Umara’”. Ternyata, usaha ini menghasilkan graduan KUIS yang cukup
holistik serta bersedia menjadi pemimpin yang hebat. Ruang seminar ini boleh
digunakan seluas-luasnya bagi perkongsian pengalaman dan kejayaan dalam
melaksanakan matlamat berkenaan.
Komuniti Intelektual
Yang Mengakar Masyarakat
Pelajar
peringkat ini juga perlu didedahkan dengan kerja sosial di luar ruang kuliah. Menerusi
cara ini, akan lahir mahasiswa yang cakna komuniti. Cakna komuniti inilah akan
melahirkan pemimpin yang punya hati. Pengalaman bersama masyarakat di bandar
dan di luar bandar ini pasti akan tersemat di dalam diri mahasiswa. Bukan itu
sahaja, usaha mengakar masyarakat ini adalah usaha untuk menyiapkan pemimpin
masa depan. Ini kerana, mereka bukan kelayakan akademik sahaja malah punya
kefahaman tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan sahaja
melaksanakan aktiviti masyarakat, mereka juga menjadi inspirasi kepada
anak-anak dalam komuniti yang mereka santuni.
Atas
hasrat itu, CDFS UNISEL melaksanakan program #CDFSMengakarMasyarakat sejak
2016. Usaha ini selaras dengan usaha UNISEL menjadi peneraju transformasi menerusi
pimpinan Naib Canselor UNISEL, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman. Setelah
memperkenalkan Dermasiswa Pengajian Percuma Tahun Asas bermula Mei 2016,
pelajar-pelajar ini didedahkan dengan kerja sosial berimpak tinggi. Tiga teras
utama projek ini adalah Upaya OKU, English untuk Luar Bandar dan Kepelbagaian
Dakwah. Ahli akademik CDFS UNISEL terlibat secara langsung bersama para
mahasiswa Tahun Asas turun ke lapangan untuk melaksanakan projek
kemasyarakatan. Hasrat utama tentunya melahirkan pelajar yang holistik yang cemerlang
bukan sahaja dalam ruang kuliah tapi di luar ruang kuliah.
Cabaran Pendidikan Inklusif
dengan Fokus kepada Pelajar Berkeupayaan Berlainan
Kisah
seorang pemuda Amerika Syarikat bernama Rick Hoyt yang mengalami Palsi Cerebral
kerap menjadi rujukan para motivator. Video beliau di Youtube sentiasa menjadi
tontonan umum termasuk di sekolah-sekolah di Malaysia. Penulis buku “One Letter at A Time” (2012) ini adalah
satu contoh manifestasi kejayaan hak OKU dalam sejarah pendidikan tinggi di
Amerika Syarikat. Sebelum Hoyt, OKU berjaya di Barat adalah nama-nama besar
dunia modem seperti Alexander Graham
Bell, Helen Keller, Albert Einstein, Thomas Edison dan Henry Ford. Stephen
Hawking, Mark Zukerberg dan Richard Branson adalah tokoh dari kalangan OKU era
kontemporari. Mengapa mereka berjaya
walaupun OKU? Kerana peluang pendidikan dibuka seluas-luasnya kepada mereka.
Dalam kes Rick Hoyt, beliau seorang pemuda yang alami kelumpuhan otak, tidak
mampu bertutur dan bergerak namun menjadi manusia “non-verbal” pertama yang
memperoleh ijazah sarjana muda. Malaysia juga menyaksikan Ng Chee Kyun sebagai
OKU kelumpuhan otak pertama memperoleh ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2007.
Data
WHO 2012 menganggarkan jumlah OKU di dunia adalah sekitar 15% dari jumlah
penduduk keseluruhan. Jika penduduk Malaysia sekitar 30 juta, maka OKU adalah
sekitar 4.5 juta. Paling menarik, sebahagian besar adalah dalam kategori
“hidden disabilities” seperti masalah pembelajaran, autistik, dyslexia dan
asperger. Mereka ini terutama dyslexia dan asperger mampu menyambung pelajaran
di peringkat tinggi namun perlu fasilitasi khusus. Ini disokong oleh data
terkini yang menyatakan bahawa 16% pelajar yang mengalami masalah pembelajaran
menyambung pengajian ke universiti. Jumlah ini tentunya besar kerana daftar OKU
JKM 2012 menunjukkan sejumlah 109,610 adalah di bawah kategori Masalah
Pembelajaran.
Sudah
sampai masa Pusat-Pusat Pengajian Asasi mengambilkira pelajar-pelajar berkeperluan
khas ini. Orang Kelainan Upaya (OKU) atau lebih sesuai ditermakan dengan
Berkeupayaan Berlainan ini kerap sukar mendapat akses pendidikan yang sempurna.
Pendidikan yang inklusif sebenarnya satu hak yang kerap dilupakan. Kesediaan
Pusat-Pusat Pengajian Asasi melaksana dasar menerima pelajar sebegini pasti
menambah barkah dalam usaha mendidik mahasiswa. Cabaran ini perlu dibincang
seluasnya andai pengajian peringkat asasi benar-benar ingin bersedia di dalam
era Industri 4.0.
Kesimpulan
Boleh
dirumuskan bahawa, pusat asasi perlu bergerak untuk mencapai teras-teras berikut:
(i)
“University
of public urge”. Kepentingan UNISEL dan CDFS dalam aspek kemanusiaan.
(ii)
Ada
agenda sosial kepada rakyat yang perlu mendapat manfaat dari universiti - perlu
ada kepedulian sosial yang tinggi.
(iii)
Perlu
menjadi pusat pendidikan tinggi yang komited terhadap pembinaan agen melahir
manusia yang lebih baik
(iv)
Mewujudkan
komuniti intelektual dan inklusif termasuk pelajar berkeupayaan berlainan.
(v)
Perlu
ada “COMMON SUBJECTS” – mahasiswa dalam apa jua bidang boleh berdialog tanpa
rasa janggal.
Cabaran
dan amanah tentunya cukup besar untuk peneraju pusat-pusat Asasi menuju dunia
penuh mencabar dalam era Industri 4.0. Namun cabaran ini pasti mampu digalas
jika disemai dengan pendekatan Islah yang berpaksikan pembentukan insan yang
seimbang beserta ilmu yang integratif, inklusif dan holistik. CDFS UNISEL dan
Pusat Asasi KUIS tentunya memegang amanah cukup besar dalam usaha membangun
Selangor yang lebih maju. Usaha bersama ini pasti akan membuahkan hasil yang
cukup hebat dalam melahirkan insan mithali, manusai yang mampu mengharung arus
perubahan dalam Industri 4.0.
Sesungguhnya Hanya
Allah yang Maha Tahu atau lebih tahu segala sesuatu dari kita. Hanya Allah yang
Maha Benar dan Pemilik Kebenaran Mutlak.
Sekian,
Terima Kasih
Rujukan Utama
Hoyt,
D. & Civin, T. (2012). One Letter at a Time. MA, USA: Mascot Books.
Ermy
Azziaty Rozali & Mohammad Redzuan Othman (2010), “Jalan Keselamatan Bagi
Orang-Orang Melayu: Pemikiran Za’ba Bagi Memajukan Pendidikan dan Ekonomi Pada
Tahun 1920-an”. Jurnal Jabatan Sejarah
Universiti Malaya (Volume 18, 2010, hlm. 19-34)
Hamdan
Mohd Salleh (2010). Politik Patani Pasca Revolusi Thai 1932. SA: AeF Resources.
Kuldip
Kaur (2013). Comparative Education.
KL:OUM.
Mohammad
Qayyum A. Badaruddin (2014). Ahmad Ammar,
Satu Kematian Yang Hidup. KL: Casamas Resources.
Mohamed
Azmin Ali (2016). “A Strategic Vision For A Paradigm Shift : A Directional
Perspective”. Kursus Perancangan Strategik UNISEL, PD, 18 Mei 2017
Mohamed
Azmin Ali (2016). Membangun Bangsa. SA: IDE.
Napoleon
Hill (1937). Think & Grow Rich.
Diterbit semula oleh Advantage Quest Publication, 2008).
Prosiding
Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2015, Pusat Pengajian
Teras KUIS.
Siddiq
Fadzil (2017). “Halatuju Pembangunan Institusi Pengajian Tinggi”. Bengkel
Percambahan Fikiran UNISEL, 14 Mei 2016.
Syed
Muhammad Naquib al-Attas (1977). Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak (KL: ABIM).
WHO
(2011). World Report on Disabilities. Geneva: WHO.
Zainal
Abidin Ahmad, “Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu”, Al-Ikhwan, 16 Jun 1927.
Dr Hamdan Dato’ Mohd
Salleh.
Dekan Pusat
Pembangunan Pengajian Asasi (CDFS) UNISEL. Mantan Presiden Malaysian Advocates
For Cerebral Palsy (MyCP) serta ahli Kluster Pendidikan Politik, Institut Darul
Ehsan (IDE).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan