Kali ini saya menulis bukan sebagai ahli akademik yang mengkhusus di dalam bidang sains politik. Bukan juga sebagai saintis politik. Jauh sekali sebagai pengamal politik. Nukilan ini dihasilan atas kapasiti sebagai seorang bapa yang punya anak OKU dan sebagai penyokong Fasilitasi OKU.
Pada hari Isnin lepas saya berkesempatan menelaah Manifesto PR untuk PRU ke-13. Cukup teliti dan ia cuba merangkumi aspek-aspek kehidupan rakyat Malaysia. Muka hadapannya juga hebat. Isinya juga boleh dikatakan menawarkan solusi-solusi untuk menunjukkan PR bersedia untuk menjadi kerajaan. Itu satu persepsi awal.
Namun, bila saya amati dan kaji berpaksikan perjuangan kami yang berteraskan advokasi OKU, ternyata agak mengecewakan manifesto ini. Mengapa? Langsung tiada fokus khusus berkenaan fasilitasi OKU. Bukan itu sahaja, muka hadapannya ada 41 logo, tiada satupun logo OKU disertakan. Tidak penting barangkali dari kacamata pimpinan PR. Tambah mengecewakan, tiada apa pun janji untuk OKU disertakan. Hanya ada kebajikan secara umum sahaja.