Hamdan bin Mohd Salleh & Rashidin Idris
The Sabah state assembly
was dissolved on 30 July 2020 by the Chief Minister Shafie Apdal to prevent a
coup by the previous Chief Minister Musa Aman through his “Group 33”. The 2020 Sabah State election was held on 26
September 2020 involved a record total of 447 candidates vying for 73 state
seats. The main contest was between the WARISAN-PLUS of 5 political parties and
a group of 9 political parties under the coalition of the newly minted Gabungan Rakyat Sabah (GRS). GRS managed to
wrest the state government by comfortably winning 38 out of 73 seats with
additional 3 seat came from pro-GRS independent candidates. Nevertheless,
WARISAN managed to retain N53 Sekong even as the incumbent have been dropped
after 26 months at the helm. This article studied on issues surrounding the
victory of Alias Haji Sani during the election.
The findings of this articles uses primary data, secondary data, online
sources dan participative observation findings. The victory of Alias Haji Sani
shows that the influence of people-centric and “Politik Budiman” identification
is stronger than political affiliation.
Keywords : Sabah
election, Sekong election, WARISAN
PENDAHULUAN
Parti Warisan Sabah
(WARISAN) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 2016 merupakan peneraju kerajaan negeri
Sabah selepas PRU 2018 dengan Shafie Afdhal dilantik menjadi Ketua Menteri.
Kerajaan ini merupakan gabungan 29 ADUN WARISAN, DAP dan KEADILAN (WARISAN/PH)
serta 6 ADUN dari BN yang menyertai
pakatan berkenaan selepas PRU.[1]
PRN Sabah 2020 merupakan
salah satu kesan langsung dari Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan
Persekutuan pada bulan Februari 2020. [2] Musa Aman, bekas Ketua
Menteri yang tewas telah mengumumkan mempunyai majoriti mudah untuk
mengambilalih kerajaan dalam satu sidang akhbar pada 29 Julai 2020 bersama 33
ADUN (dikenali dengan nama Kumpulan 33) termasuk 5 dari WARISAN, 1 dari UPKO
dan 1 dari KEADILAN.[3] Bagi mengelakkan jatuhnya
kerajaan negeri, Ketua Menteri Shafie Afdhal telah menerima perkenan Yang
Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN pada 30 Julai 2020 bagi membolehkan
pilihan raya diadakan.[4]
Hasil dari pembubaran DUN, pilihanraya Sabah telah diadakan pada 26 September 2020 bagi merebut 73 kerusi DUN Sabah. Penjajaran semula politik menyaksikan dua koalisi bertembung iaitu :
(i) WARISAN-Plus: WARISAN, DAP, KEADILAN,
AMANAH dan UPKO. Koalisi ini menggunakan
logo WARISAN dalam PRN 2020.
(ii) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) :
menggabungkan parti-parti komponen BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). BN Sabah diketuai
oleh UMNO manakala PN Sabah diketuai
oleh BERSATU.
PRN Sabah ke-16 berkenaan
menyaksikan jumlah calon bertanding (447) yang tertinggi dalam sejarah.[5] Terdapat penambahan kerusi
DUN dari 60 kepada 73 pada pilihanraya kali ini. Salah satu kerusi yang menjadi
tumpuan adalah N53 Sekong yang dulunya disenaraikan sebagai N43. Persaingan 6
penjuru dan tindakan WARISAN menggugurkan penyandang hanya selepas 26 bulan
menjadikan kerusi ini menarik perhatian ramai.[6]
Keputusan mengadakan
pilihanraya sewaktu dalam pandemik Covid-19 menyebabkan kadar turun mengundi
yang rendah iaitu 66.6 peratus atau 745,387 undi.[7] Walaupun WARISAN-Plus
memperolehi undi popular (43.42%) lebih tinggi berbanding GRS (43.22%) ,
koalasi berkenaan gagal mempertahankan kerajaan sedia ada. GRS berjaya
memperolehi sebanyak 38 kerusi manakala WARISAN-Plus menang 32. Baki 3 kerusi
lagi dimenangi oleh calon Bebas yang memihak kepada GRS. Keputusan PRN ini
membolehkan GRS membentuk kerajaan negeri dengan 41 kerusi keseluruhan.
Walaupun WARISAN gagal
mempertahankan kerajaan negeri, DUN Sekong berjaya dipertahankan menerusi calon
parti berkenaan iaitu Alias Haji Sani. Penulisan ini akan melihat secara mikro
kejayaan WARISAN menang di Sekong dalam keadaan parti berkenaan meletakkan muka
baru bagi menggantikan penyandang sebelum ini.
Terdapat 42 kumpulan
etnik dan 200 sub-etnik di Sabah dengan kepelbagaian Bahasa, budaya dan agama.[8] Keadaan ini tentunya jika
dalam sosio-politik akan melahirkan corak dan sentimen politik yang berbeza
mengikut demografi. Sepanjang sejarah politik Sabah terdapat 19 parti politik
utama tempatan yang aktif dan 12 parti politik yang telah dibubarkan namun pernah
mewarnai politik Sabah. Ini tidak termasuk parti-parti peringkat nasional yang
turut berada di Sabah seperti antara lain UMNO, KEADILAN, BERSATU, DAP, AMANAH,
PEJUANG, MIC, MCA dan GERAKAN.
Iklim politik Sabah yang
sentiasa panas dan kerap menyaksikan budaya lompat parti hingga menumbangkan
kerajaan boleh dilihat menerusi 16 PRN yang berlaku di Sabah. Ini termasuk 1
PRU dan 1 PRN yang diadakan antara tahun 2018 hingga 2020. Keadaan ini tentunya
perlukan penjajaran baru dan antara solusi melihat kepada aspek kepelbagaian
politikus yang ada didaalam permainan politik Sabah. Jesteru itu perlunya sata
asas politik nilai yang berpaksikan Politik Budiman bagi memastikan paksi
rakyat menjadi satu-satunya teras tadbirurus dan tatekelola kerajaan.
Politik Budiman adalah
manifestasi Siddiq Fadzil yang melihat bagaimana pembinaan masyarakat sejahtera
termasuk aspek politik perlu diraikan dalam konsep budaya damai dan kerukunan
hidup bersama dalam membina kesatuan bangsa. [9]
Elemen ini jelas diungkap
menerusi kata-kata Siddiq Fadzil berikut:
“Budaya hidup bersama
harus berpangkal dari sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang
dinyatakan oleh Abdullah Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan
pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Justeru,
kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan. Demikianlah hakikatnya,
kepelbagaian (bahasa dan bangsa) adalah bahagian daripada ayat-ayat Allah dalam
erti penyerlahan hikmah ciptaan Tuhan dan penjelmaan keindahan nikmat kurnia-Nya.
“Andainya kepelbagaian
diurus dan dikendalikan dengan bijaksana, ia akan menghasilkan kesalingan yang
produktif – saling memperkaya dan memperkasa.” [10]
Politik Sabah yang
berwarni-warni disulam dengan kepelbagian etnik yang rencam tentunya perlukan
empat asas utama yang disebut oleh Siddiq Fadzil iaitu : [11]
(i) Konsep Karamah Insaniyyah - Manusia
sebagai manusia, tanpa mengira bangsa dan agamanya adalah makhluk mulia.
Kemuliaan yang inklusif tersebut adalah kurnia langsung dari Allah sendiri
(al-takrim al-Ilahiy). Kerana itu semuanya - yang Islam dan yang bukan Islam -
harus dimuliakan atas dasar kemanusiaan mereka. Menghina manusia atau
mendiskriminasikan manusia kerana bangsa dan agamanya adalah suatu kesalahan
berat berasaskan prinsip karamah insaniyyah. Umat Melayu-Islam seharusnya
mempamerkan akhlak mulia dengan menghormati orang lain yang berbeza etnik,
agama dan budaya. Untuk itu mereka juga seharusnya berjiwa besar menyemak dan
menghapuskan kata dan istilah Melayu yang bernuansa penghinaan terhadap kaum
lain.
(ii) Kepelbagaian Sebagai Ayati ‘Llah - Andainya
saling kenal mengenal telah terlaksana dengan sempurna, ia akan berkelanjutan
dengan kesalingan-kesalingan seterusnya: saling menghormati, saling
mempelajari, saling bekerjasama, saling memperkasa dan saling memperkaya.
Justeru, interaksi Muslim-bukan Muslim, tentunya tidak hanya sebatas saling
kenal, tetapi ta`aruf adalah pembuka jalan menuju pelbagai kesalingan yang
produktif dan bermanfaat untuk semua.
(iii) Prinsip Keadilan - Umat Islam tidak boleh
hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa pertimbangan adil atau tidak.
Sebagai contoh, terdapat orang Islam yang menyokong gerrymadering dan
malapportionment dalam pensepadanan kawasan pilihan raya atas pertimbangan ia
menguntungkan Melayu, walhal ia adalah suatu kecurangan yang nyata. Dalam isu
seperti itu pendirian tidak seharusnya berasaskan pertimbangan siapa untung
siapa rugi, tetapi berasaskan prinsip keadilan.
(iv) Konsep Kewarganegaraan (al-Muwatanah) - Penerimaan
terhadap konsep kewarganegaraan, persamaan dan hak-hak kemanusiaan secara
konsekuensial bererti penolakan terhadap segala bentuk perlakuan yang
bertentangan dengan prinsip kewarganegaraan, termasuk perlakuan double
standard, diskriminasi perkauman dan keagamaan, peminggiran, penindasan,
pengusiran dan seumpamanya yang ditolak oleh Islam dan agama-agama lainnya.
(v) Konsep al-Ra`iyyah - bahawa semangat
al-siyasah al-shar`iyyah (politik) ialah untuk memelihara maslahah kemanusiaan
seluruhnya, tanpa mendiskriminasikan sesiapa berasaskan kaum atau agama.
Pentakrifan sedemikian selaras dengan ciri kesejagatan risalah Islam dan misi
pemerataan rahmat kepada seluruh warga alam. Pola fikir diskriminatif dalam
konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama ternyata tidak selaras dengan konsep
al-ra`iyyah dan semangat al-siyasah al-shar`iyyah yang inklusif.
Ungkapan di bawah sangat
relevan merumuskan idea ini:
“Perbezaan tidak bererti
permusuhan, tetapi kekuatan dan kekayaan budaya. Kata kunci dalam memahami
tujuan penciptaan kepelbagaian (bangsa dan kaum) ialah lafaz ‘lita’arafu’ dalam
surah Al-Hujurat ayat 13 yang biasanya diterjemahkan sebagai “untuk saling
mengenal”.[12]
Paksi Kepelbagaian dalam proses
pembinaan bangsa ini sangat relevan untuk dikaitkan dengan Fiqh Sabahi. Sehubungan dengan itu, satu tinjauan dilaksanakan di
Sekong bagi melihat secara mikro bagaimana politik nilai berpaksi rakyat tanpa
disulam retorika menjadi asas persaingan PRN 2020 di DUN berkenaan. Asas yang
dibawa oleh calon WARISAN, Alias Haji Sani menerusi Fiqh Sabahi sangat menarik untuk diteliti.
LATAR
BELAKANG DUN SEKONG
DUN N53 Sekong terletak
di bawah Parlimen P185 Batu Sapi. Dari segi lokasi, ia terletak di wilayah
Sabah Timur yang majoriti penduduknya merupakan dari etnik Bajau dan Bugis.
Kawasan pesisir pantai ini turut mempunyai DUN-DUN yang menjadi tumpuan seperti
DUN Senallang dan Segama. DUN Senallang yang terletak di kawasan ini ditandingi
oleh Presiden WARISAN.
N53 Sekong terdiri dari tujuh
Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan jumlah pengundi keseluruhan berjumlah 17,054
(2020). Tujuh PDM berkenaan adalah Jalan Sibuga, Kampung Gas, Jalan Batu Sapi,
Tronglit, Sekong, Lupak Meluas dan Pulau Sanghai.Dari segi demografi, Muslim
Bumiputra mewakili 75.44% dari keseluruhan 16,522 pengundi.[13] Selain itu, 20.03%
merupakan pengundi cina , 3.92% adalah Bumiputra bukan Islam dan 0.6% dari
lain-lain bangsa.
Persaingan
di Sekong (1999-2018)
DUN Sekong sejak sekian
lama merupakan kubu kuat Barisan Nasional. Malah antara PRU 1994 hingga PRU
2013, BN menang selesa di DUN Sekong. Malah calon BN, Samsudin Yahya menang
tanpa bertanding pada PRU 2004. Beliau kemudiannya menang selesa dan
mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU 2008 dan 2013. Pesaing utama dari parti
oposisi seperti PBS, BERSEKUTU dan kemudiannya KEADILAN gagal menumbangkan
hegemoni BN di Sekong. Kubu BN ini hanya berjaya ditembusi dan dikalahkan
apabila WARISAN ditubuhkan dan kemudiannya menewaskan penyandang pada PRU 2018.
Jadual
1 : Keputusan-keputusan DUN Sekong (1994-2018)
Tahun |
Pemenang |
Parti |
Majoriti |
Undi Popular |
1994 |
DATUK
NAHALAN BIN DAMSAL |
BN |
1,548 |
58.7 |
1999 |
DATUK
NAHALAN DAMSAL |
BN |
1,370 |
45 |
2004 |
SAMSUDIN
BIN YAHYA |
BN |
MTB |
100 |
2008 |
SAMSUDIN
BIN YAHYA |
BN |
2,189 |
62 |
2013 |
SAMSUDIN
BIN YAHYA |
BN |
3,530 |
64 |
2018 |
ARIFIN
BIN ASGALI |
WARISAN |
2,035 |
56.6 |
Sumber : Ringkasan dari semua
keputusan SPR.
PRU 2018 menyaksikan buat
pertama kali BN ditewaskan di DUN Sekong. Kubu kuat BN ini tumbang akibat
pengaruh besar WARISAN di kawasan Batu Sapi dan Sandakan. Kemunculan WARISAN
selepas Shafie Afdhal dipecat dari UMNO benar-benar memberi impak kepada corak
sokongan pemilih di kawasan berkenaan. Calon WARISAN, Arifin Asgali menang
selesa dengan majoriti 2,035 undi mengatasi penyandang yang sebelum ini memang
dengan majoriti besar 3,530 undi.
Jadual
2 : Keputusan PRU 2018 DUN Sekong
NEGERI |
SABAH |
DUN |
N.43 - SEKONG |
PARTI MENANG |
WARISAN |
JUMLAH UNDI |
11,918 |
MAJORITI UNDI |
2035 |
NAMA PADA KERTAS
UNDI |
BIL. UNDI |
SAHAR ABDUL MAJID
(PAS) |
366 |
ARIFIN BIN ASGALI
(WARISAN) |
6740 (56.6%) |
SAMSUDIN YAHYA (BN) |
4705 (39.5%) |
ABDUL RASHID BIN
ABDUL RAHMAN (STAR) |
48 |
ALIAS RAHMAD BIN
BENJAMIN (PKS) |
16 |
DATU MOHD FAISAL BIN
DATU BACHTIYAL (BEBAS - KAPAL TERBANG) |
43 |
Sumber: SPR , 2018
Kemenangan Arifin Asgali
merupakan menifestasi iklim politik Malaysia yang mana pengundi menolak BN
hingga menyebabkan buat pertama kali dalam sejarah kerajaan bertukar di
peringkat Pusat. BN hilang 24.5% undi
popular di Sekong yang mana penyandang sejak PRU 2004 tewas di kubu kuat UMNO
itu. WARISAN berjaya mendapat sokongan besar di dua pusat daerah mengundi (PDM)
iaitu Jalan Sibuga (3,062 undi) dan Jalan Batu Sapi (1,056 undi).[14]
Menuju
Pilihanraya - Kajian Lapangan Pra Pilihanraya
Satu kajian lapangan telah
diadakan dengan kerjasama penggerak tempatan bagi menilai kehendak pengundi
kali ini. Kajian yang diadakan pada bulan Ogos 2020 iaitu sebaik sahaja DUN
Sabah dibubarkan. Kajian ini mempunyai dua objektif utama iaitu mengenalpasti
kritirea calon yang menjadi pilihan pemilih dan mengenalpasti isu-isu utama
yang perlu diangkat dalam PRN Sabah 2020 di Sekong. Selain itu, kajian ini
dilaksanakan bagi mengenalpasti kritirea calon yang diinginkan oleh pemilih dan
sama ada penyandang sedia ada terus mendapat sokongan pemilih.
Instrumen soalan yang
telah dibina menggunakan prinsip “Keep It Short and Simple” (KISS). Sejumlah
649 responden telah mengambil bahagian dalam kajian berbentuk kuantitatif dan
kualitatif ini. Responden dipilih dari kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di
DUN Sekong.
Secara ringkas, dapatan
kajian berkenaan adalah seperti ringkasan berikut:
(i) Sejumlah 335 responden atau 51.6%
merupakan ahli kepada parti politik.
(ii) Sejumlah 359 responden atau 55% memilih
calon dan bukan parti politik.
(iii) Sejumlah 538 responden atau 82.9%
menyatakan pengetahuan agama calon adalah satu pertimbangan
utama pilihan mereka.
(iv) Sejumlah 359 responden atau 54.9%
merasakan bangsa/etnik calon memainkan peranan penting
dalam menentukan pemilihan mereka.
(v) Sejumlah 470 responden atau 72.4%
responden akan memilih anak tempatan berbanding calon luar.
(vi) Sejumlah 543 responden atau 83.7% inginkan
muka baru diberi peluang menjadi calon pada
PRN 2020.
Dalam kajian sama,
responden merasakan tiga isu paling penting yang perlu dibawa oleh calon adalah
kebajikan rakyat (71%), kemudahan infrastruktur (21%) dan isu integriti serta
hak Sabah (8%). Dapatan yang menarik juga adalah sejumlah
Berdasarkan populariti
semua bakal calon, ringkasan pilihan responden adalah seperti butiran berikut:
(i) Alias Haji Sani (33%)
(ii) Pg. Roslan (26%)
(iii) Arifin Asgali (16%)
(iv) Shamsul Kelana Sam Lee (9%)
(v) Hanafi (9%)
(Sejumlah 6% responden
memilih untuk berkecuali)
Dapatan berkaitan
populariti pemimpin yang disenaraikan agak mengejutkan memandangkan penyandang
iaitu Arifin Asgali hanya berada di tangga ketiga dengan 16% pilihan responden.
Kejutan ini disebabkan Arifin Asgali baru sahaja penyandang yang baru dipilih menjadi
wakil rakyat pada tahun 2018. Malah, kejayaan WARISAN menerusi calon ini telah
berjaya menumbangkan dengan majporiti besar menewaskan penyandang dari BN waktu
itu yang telah menjadi wakil rakyat selama 2 penggal. Tambahan pula beliau
merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri. Andai digugurkan, tentunya
menimbulkan bantahan disebabkan faktor bahawa beliau baru 28 bulan dilantik
menjadi wakil rakyat.[15]
PRN
2020 N53 SEKONG
Selepas beberapa
perbincangan dan melalui proses penilaian, seorang aktivis masyarakat Alias
Haji Sani atau juga lebih dikenali sebagai Cikgu Alias Sani telah dipilih
mewakili WARISAN. Beliau menggantikan pemegang kerusi sebelum ini iaitu Ariffin
Asgali yang digugurkan pada kali ini. Jika dilihat, sentimen di lapangan
ternyata memainkan peranan dalam pemilihan aktivitis tempatan menggantikan
penyandang dari parti yang sama.
Alias Haji Sani
dilahirkan pada 17 Disember 1968. Beliau mendapatkan Pendidikan tertinggi di
Maktab Sabah (1987). Pada peringkat awal, memulakan kerjaya di Lembaga
Perindustrian Kayu Malaysia selama dua tahun (1993-1995). Fokus beliau selepas
itu adalah sebagai Pengetua Institut pengajian As-Salam dan Sekolah Menengah
(Swasta) As-Salam Sandakan bermula pada tahun 1995 hingga sebaik sahaja dicalonkan
sewaktu PRN Sabah 2020. Beliau juga dalam masa yang sama merupakan Ketua
Pengerusi Lembaga Pengelola As-Salam
Beliau dikenali sebagai
aktivis politik paksi rakyat dengan penglibatan aktif dalam aktiviti komuniti
terutama di Batu Sapi dan Sandakan. Antara penglibatan dalam NGO adalah sebagai
Pengerusi Bela Batu Sapi (2018), Setiausaha Bani Fateh Sandakan (2015),
Penasihat Pertubuhan Kebajikan Imam An-Nawawi sabah (2017) dan Penasihat
K-Marhaens Sandakan (2018).
Dalam politik, Alias Haji
Sani antara lain pernah menjawat jawatan Timbalan Pengerusi dan Pengarah
Strategi Parti Amanah (AMANAH) Sabah (2015-2017). Antara penglibatan politik
waktu itu adalah membantu kempen Pakatan Harapan terutama AMANAH di dalam
Pilihanraya Negeri Sarawak tahun 2016.
Beliau kemudiannya
mengambil keputusan menyertai WARISAN secara rasmi pada 1 Februari 2018.[16] Penyertaan ke dalam
WARISAN adalah atas hasrat bersama dengan parti paksi tempatan selaras dengan
idea Fiqh Sabahi. WARISAN
berpandangan kemasukan orang nombor dua AMANAH Sabah itu tentunya memberi kesan
postif dalam mengukuhkan parti berkenaan. Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengarah Strategi
WARISAN bagi Parlimen Batu Sapi. Antara kejayaan utama adalah memenangkan
kesemua 3 kerusi yang ditandingi WARISAN di Parlimen Batu Sapi sewaktu
Pilihanraya Umum 2018.
Alias Haji Sani walaupun
tidak mempunyai jawatan dalam kepimpinan utama WARISAN Batu Sapi, beliau
mempunyai pengaruh besar dan sangat signifikan di Batu Sapi. Sebagai pemimpin
dan penggerak komuniti, beliau dikenali kerana jaringan yang sangat baik dengan
kelompok masyarakat etnik Bumiputera dan bukan Bumiputera. Pengalaman di
Assalam sebagai pentadbir dan pendidik merupakan satu lagi kelebihan beliau
yang mana nama “Cikgu Alias” merupakan nama gelaran yang sangat popular. Selain
itu, jaringan kekeluargaan yang besar di kawasan Batu Sapi terutama di
Karamunting, Kampung Bokara, Lupak Meluas, Kampung Melanta, Sundang, Sibuga,
Taman Mawar dan Kampung gas turut memberikan kelebihan besar berbanding calon
lain yang dibertanding.
Penamaan Calon
menyaksikan persaingan 6 penjuru yang mana WARISAN berhadapan dengan
calon-calon dari BN, PCS, LDP, PPRS dan USNO. Tentunya di atas kertas,
persaingan sengit dijangka antara WARISAN, BN dan PCS bagi kerusi DUN Sekong
ini. Dua calon utama yang dilihat berpotensi mencabar calon WARISAN adalah dari
BN dan PCS. Calon BN adalah Hazulizah Zaini berusia 35 tahun dan berkelulusan
Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari UMS. Beliau merupakan Pegawai
Luar Khas (JASA) bagi DUN Sekong. Dalam politik, beliau adalah Naib Ketua
Pergerakan UMNO Sabah dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Batu Sapi (sejak 2013).[17]
Manakaka calon PCS adalah
Sitti Nurul Ain Sahidah Binti Pitting yang merupakan anak jati Kamoung Istimewa
/ Kampung Pukul di Sekong. Beliau juga merupakan anak kepada mantan Ahli
Parlimen Kinabatangan, Allahyarham YB Pitting bin Haji Mohd Ali. Merupakan
seorang peguam.[18]
Kempen
WARISAN di DUN Sekong
Secara umum, fokus utama
kempen GRS adalah dakwaan kegagalan Shafie Apdal membawa pembangunan secara
menyeluruh ke Sabah sepanjang 26 bulan menerajui kerajaan negeri.[19] Secara spesifik tumpuan
kempen GRS adalah berkaitan isu-isu berikut:
(i) Kekurangan infrastruktur asas yang
disediakan oleh kerajaan WARISAN/PH.
(ii) Hubungan kerajaan negeri dan kerajaan
pusat yang dingin disebabkan perbezaan parti-parti politik yang mentadbir.
(iii) Kegagalan kerajaan memulihkan ekonomi
Sabah yang lemah.
(iv) Kegagalan kerajaan menyelesaikan isu
pendatang asing tanpa izin di Sabah.
Sebagai tindakbalas ke
atas kempen GRS, WARISAN-Plus telah mengangkat isu-isu berpaksikan kehendak
rakyat Sabah. Antara penekanan WARISAN dalam PRN ini adalah melestarikan
kemajuan dan kemakmuran Sabah.[20] Antara penekanan adalah :
(i) Memperkasa hak asasi rakyat Sabah.
(ii) Menjamin hak pemilikan tanah adat dan hak
pemilikan Bumiputra Sabah.
(iii) Memperkemas program-program sosio ekonomi
termasuk untuk anak muda dan wanita.
Bagi DUN Sekong, calon
GRS yang diwakili oleh BN memberi tumpuan khusus kepada isu Pendidikan.[21] Ini tentunya
mengambilkira pengalaman calon BN di lapangan sebagai penggerak komuniti dan
disebabkan faktor pesaing dari WARISAN yang mempunyai pemgalaman cukup luas di
Sekolah Assalam.
Berdasarkan data SPR,
jumlah keseluruhan pemilih di DUN Sekong bagi PRN 2020 adalah 17,054 pemilih.
Terdapat 7 buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 35 Lokaliti. Secara ringkas,
jumlah keseluruhan pemilih di DUN Sekong boleh diperincikan mengikut PDM
berikut:
Jadual
3 : Jumlah Pengundi mengikut PDM
PDM |
Jumlah Pemilih |
001
– Jalan Sibuga |
5497 |
002
– Kg Gas |
2685 |
003
– Jalan Batu Sapi |
3201 |
004
– Tronglit |
939 |
005
– Sekong |
929 |
006
– Lupak Meluas |
3367 |
007
– Pulau Sanghai |
442 |
JUMLAH
KESELURUHAN |
17504 |
Sumber : SPR
Antara cabaran terbesar
pasukan kempen Alias Haji Sani adalah kerjasama dari penyokong kepada
penyandang dari WARISAN sebelum ini. Terdapat kemungkinan undi protes dan cabaran
kepada bagaimana untuk mengukuhkan jentera kempen di semua kawasan. Calon juga berhadapan dengan serangan media
termasuk di youtube yang cuba membunuh reputasi dan karakter seawal hari
pertama kempen bermula.[22] Malah, reputasi Alias
Haji Sani turut dipertahankan oleh pimpinan utama WARISAN sendiri iaitu Shafie
Apdal menerusi kenyataan tegas di akhbar.[23] Calon turut membuat
laporan polis bagi membolehkan siasatan dibuka bagi mendapatkan cerita sebenar
berkaitan serangan peribadi berkenaan.[24] Ternyata, kempen Alias
Haji Sani tidak terkesan dengan serangan berkenaan dan calon diterima cukup
baik oleh komuniti di sekitar Sekong. Pasukan kempen Alias Haji Sani
menggunakan pendekatan cukup menarik dalam usaha memenangi PRN ini.
Culaan yang dilaksanakan
oleh pasukan kempen Alias Haji Sani mendapati terdapat ruang positif bagi calon
mereka menang dan mempertahankan majoriti yang diperolehi oleh WARISAN sebelum
ini. Selain bentuk corak kempen tipikal seperti dalam mana-mana kempen
pilihanraya, kempen beliau menggunakan konsep pengfukusan mikro berdasarkan
PDM. Kelebihan calon sebagai aktivitis masyarakat termasuk menerusi Bela Batu
Sapi dan sebagai watak utama di Sekolah As-Salam menjadi kelebihan besar
berbanding pesaing. Kempen ini juga dibuat disebalik kekurangan dana, jentera
serta sokongan kumpulan penyokong penyandang yang digugurkan. Namun semangat
atas nama calon pilihan rakyat merupakan naratif yang memberi kesan cukup
positif dalam persaingan kali ini. Ini dijelaskan menerusi slogan “Kita Rakyat”
yang dikaitkan dengan Alias Haji Sani.
Jadual
4 : Unjuran Sasaran Undi WARISAN
PDM |
Jumlah Pemilih |
Sasaran Turun
Mengundi (65%) |
Sasaran Mengundi
WARISAN |
001
– Jalan Sibuga |
5497 |
3573 |
2858
(80%) |
002
– Kg Gas |
2685 |
1745 |
698 (40%) |
003
– Jalan Batu Sapi |
3201 |
2081 |
832 (40%) |
004
– Tronglit |
939 |
610 |
244 (40%) |
005
– Sekong |
929 |
600 |
242 (40%) |
006
– Lupak Meluas |
3367 |
2189 |
1095 (50%) |
007
– Pulau Sanghai |
442 |
287 |
115 (40%) |
JUMLAH
KESELURUHAN |
17504 |
11085 |
6084 (54.9%) |
Sumber: Culaan WARISAN
Calon WARISAN mempunyai
pengaruh besar di dua kawasan PDM iaitu Jalan Sibuga dan Lupak Meluas. Dua
kawasan ini mempunyai antara jumlah pemilih tertinggi iaitu 8,864 iaitu
merangkumi separuh atau 50.6% dari jumpah pemilih keseluruhan. Sehubungan itu,
pasukan kempen beliau menyasarkan 4,000 undi diperolehi dari dua kawasan
berkenaan bagi mengimbang kekuatan calon BN di 5 PDM yang lain. Kempen di Jalan
Sibuga turut memberi penekanan kepada kawasan yang mempunyai pemilih yang ramai
seperti Taman Mawar (2,881 pemilih).
Pasukan kempen Alias Haji
Saji juga terbukti berjaya membuat jangkaan dan telahan tepat berkaitan jangkaan
undi popular yang diperolehi oleh calon mereka. Beliau berjaya memperolehi 55%
undi popular dan keputusan ini bertepatan dengan jangkaan pasukan kempennya
iaitu 54.9%. Malah keputusan undi sebenar hanya kurang 147 dari jangkaan
sewaktu tempoh berkempen iaitu 6084 undi berbanding jumlah undi sebenar iaitu
5937.
Sebagai calon
berlatarbelakang agama, Alias Haji Sani turut mengangkat idea Fiqh Sabahi. Idea ini mula diangkat
sejak tahun 2017 dengan penekanan utama kepada aspek perundangan, dakwah dan Pendidikan
agama perlu diadaptasi dengan suasana kepelbagaian kaum di Sabah[25]. Ini diguna sebaiknya
menerusi aspek pelaksanaan idea politik nilai dalam kerangka masyarakat madani.
Kelebihan menyampaikan khutbah dan tazkirah ternyata menjadi asset menarik perhatian
dan sokongan pengundi Muslim. Beliau juga menggunakan konsep Politik Budiman,
tanpa perlu menggunakan tohmahan dan serangan peribadi untuk menang pilihanraya
kali ini. Kempen sihat tanpa memburukkan lawan menjadi satu kekuatan besar
sepanjang kempen di DUN Sekong ini.
Tumpuan kempen beliau
turut tertumpu kepada kekuatan latarbelakang beliau sebagai aktivis masyarakat
dan pendidik. Alias Haji Sani sememangnya dikenali sebagai aktiviti masyarakat
sejak sekian lama. Ini membuatkan pemilih bukan Islam turut melihat beliau
sebagai calon terbaik. Hampir 24% pemilih Sekomg merupakan dari dalam kalangan
bukan Islam dan peranan beliau sekian lama di Batu Sapi tentunya satu
kelebihan. Dalam keadaaan lebih 60%
penduduk Sekong dalam kategori B-40, pelbagai bantuan dan aktiviti membantu
masyarakat dilaksanakan oleh calon ini terutama menerusi rangkaian NGO-NGO yang
bersama beliau. Ini bukan baru dilaksanakan oleh Alias Haji Sani, malah telah
sekian lama dilaksanakan dan terbukti mendapat perhatian warga Sekong sewaktu
tempoh kempen diadakan. Populariti dan kebersamaan Alias Haji Sani di Sekong
ternyata menjadi satu kelebihan berbanding calon-calon lain. Sebagai contoh
satu survei dalam talian yang diadakan sewaktu tempoh kempen menyaksikan Alias
Haji Sani menjadi pilihan 63.31% dari sejumlah 1,687 responden yang menyertai
survei berkenaan.[26]
Keputusan
dan Analisis
Walaupun WARISAN-PLUS
gagal mempertahankan kerajaan negeri yang dimenangi pada PRU 2018, ternyata
Sekong berjaya dipertahankan. Kemangan dengan majoriti 1,599 ini bukan
semata-mata atas naratif kerana Sekong merupakan kubu WARISAN, tapi kerana
pelbagai faktor lain termasuk keperibadian calon baru yang dipilih parti
berkenaan.
Jadual
5 : Keputusan
NEGERI |
SABAH |
DUN |
N.53 - SEKONG |
PARTI MENANG |
WARISAN |
JUMLAH MENGUNDI |
10,780 |
MAJORITI UNDI |
1,599 |
NAMA PADA KERTAS UNDI |
BIL. UNDI |
ALIAS BIN SANI
(WARISAN) |
5937 (55%) |
HAZULIZAH MOHD DANI
(BN) |
4338 (40%) |
SITTI NURUL AIN
SAHIDAH BT PITTING (PCS) |
253 |
MOHD FAZIL BIN AJAK
(LDP) |
102 |
ABIDIN BIN SUKOR
(PPRS) |
87 |
SARAN BIN JUMDAIL (USNO) |
63 |
Sumber : SPR
Sesuatu yang menarik
adalah WARISAN berjaya mempertahankan DUN Sekong dengan calon muka baru dalam
keadaan parti berkenaan gagal mempertahankan kerajaan negeri. Alias Haji Sani
berjaya memenangi kerusi DUN Sekong dengan majoriti 1,599 undi. Beliau
memperolehi 55% undi popular dengan calon terdekat Hazulizah Mohd Dani
memperoleh 4,338 undi atau 40% undi popular. Kesemua empat calon lain telah
hilang wang deposit.
Jika diteliti, peratus
undi popular calon baru WARISAN ini hanya kurang 1.6% dari yang diperolehi oleh
wakil rakyat WARISAN di Sekong sebelum ini. Peratus ini adalah tinggi dengan
mengambilkira peritus keluar mengundi yang rendah serta pilihanraya
dilaksanakan dalam waktu pandemik Covid-19. Undi kaum Cina seperti di Sibuga
dan pengundi atas pagar telah memilih calon WARISAN. Pemilih cina dilihat telah
mengundi secara pukal dan memilih Alias Haji Sani berdasarkan pakej isu
setempat yang dibawa. Pengundi atas pagar yang mengundi tidak berpaksi
kepartian turut jelas memilih calon yang mempunyai pakej terbaik.
PDM |
Jumlah Pemilih |
Sasaran Turun
Mengundi (65%) |
Jumlah Sebenar
Undi diterima |
Sasaran Mengundi
WARISAN |
Undi Sebenar
WARISAN |
001
– Jalan Sibuga |
5497 |
3573 |
3321 |
2858
(80%) |
2653 (80%) |
002
– Kg Gas |
2685 |
1745 |
1765 |
698 (40%) |
780 (44%) |
003
– Jalan Batu Sapi |
3201 |
2081 |
1787 |
832 (40%) |
928 (52%) |
004
– Tronglit |
939 |
610 |
639 |
244 (40%) |
250 (40%) |
005
– Sekong |
929 |
600 |
552 |
242 (40%) |
183 (33%) |
006
– Lupak Meluas |
3367 |
2189 |
2113 |
1095 (50%) |
955 (35%) |
007
– Pulau Sanghai |
442 |
287 |
333 |
115 (40%) |
100 (30%) |
JUMLAH
KESELURUHAN |
17504 |
11085 |
|
6084 (54.9%) |
|
Sumber: Laporan Akhir
Parti WARISAN - Keputusan N53 Sekong
Dari sejumlah 171 undi
Pos yang diterima, Alias Haji Sani memperolehi 88 undi berbanding calon BN yang
mendapat 80 undi. Hanya calon PCS sahaja selain dua calon utama yang mendapat
undi pos iaitu 3 undi. Dari sejumlah lima PDM, calon WARISAN hanya mengatasi
calon BN di Jalan Sibuga (majoriti 2044 undi) dan Jalan Batu Sapi (kelebihan 79
undi) sahaja. Namun dari segi keseluruhan, kekuatan sokongan pemilih di PDM
Jalan Sibuga yang mana calon BN hanya mendapat 609 undi atau 18% undi
keseluruhan memberi impak besar kepada keputusan akhir. Keputusan menarik di
PDM Jalan Batu Sapi juga dengan WARISAN mendapat 53% undi berbanding jangkaan
awal 40% juga menyukarkan BN untuk menambah undi keseluruhan. Pengundi Melayu
juga diihat menerima baik calon WARISAN yang mana Alias Haji Sani hanya tewas
tipis di kawasan majoriti Melayu seperti PDM Kg. Gas (BN kelebihan 128 undi)
dan PDM Sekong (BN dengan kelebihan 167 undi). Walaupun Alias Haji Sani
berlatarbekang agama, pengundi cina dilihat tidak menghadapi masalah untuk
menyokong beliau. Beliau menang dikesemua PDM dan saluran yang bermajoriti
etnik cina seperti di PDM Jalan Sibuga.
Secara ringkas, terdapat
beberapa faktor penarik yang membawa kepada kejayaan mengekalkan kerusi ini.
(i) Populariti calon sebagai aktivis
masyarakat dan pendidik yang menyantuni kepelbagaian kaum telah memberi kelebihan besar kepada beliau.
(ii) Calon berjaya menggunakan media sosial
dengan cukup efektif. Page Alias Haji Sani dengan
tema Bina Semula Sekong mempunyai 10,461 likes dan diikuti oleh 11,630.[27]
(iii) Sekong antara kubu kuat Melayu Bumiputera.
Kelebihan beliau sebagai calon berlatarbelakang agama satu yang cukup menarik
dan menjadi pilihan pemilih dan mengurangkan
undi BN di kawasan majoriti Melayu Bumiputera.
(iv) Politik Budiman yang dibawa oleh Alias
Haji Sani diterima cukup baik oleh pemilih bukan Islam degan membawa aspek integriti yang tinggi.
KESIMPULAN
Malaysia dan Sabah perlu
Politik Budiman. Persaingan politik perlu disulam dengan politik nilai. Elemen
Politik Budiman dipaksi dengan politik budi pekerti, budi bahasa dan budi daya
dalam mengangkat naratif politik baharu di negara ini. Sememangnya politik Malaysia dan tentunya Sabah
mempunyai corak politik yang cukup berwarni warni, namun bukan semestinya
semuanya boleh dibanggakan. Ia terkenal dengan politik kepartian yang acapkali
mencabar penerimaan berpaksi integriti dan keadilan kepada pemilih.
Kemenangan Alias Haji
Sani di DUN Sekong sewaktu PRN 2020 melambangkan penerimaan rakyat terhadap
Politik Budiman. Pemilih bukan semata melihat kepada parti tapi kepada calon
yang diketengahkan. Keunikan utama dalam pilihanraya kali ini di Sekong adalah
pemilihan pengundi bukan semata berasaskan parti tapi lebih kepada paksi
ketokohan calon. Apa yang berlaku di DUN Sekong kali ini perlu dilihat dari
sudutpandang yang bersifat lokal dan tidak semata kepada senario politik Sabah
secara amnya.
Persoalan sama ada
kemenangan di N53 Sekong satu yang hanya akan berlaku sesekali sahaja akan
ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri. Rakyat Sabah telah melalui proses politik
yang cukup menarik, penuh drama dan menyaksikan konflik politik yang tiada
noktah setiap kali PRU mahupun PRN. Politik Budiman yang dibawa oleh Alias Haji
Sani suatu yang segar dan merangkum usaha Fiqh Sabahi yang diangkat bagi
memberi rahmah kepada semua. Sudah sampai masa Malaysia dan Sabah punya para
pemimpin yang budiman, yang bukan sahaja berotak tapi berwatak.
RUJUKAN
Alias Haji Sani,
https://www.facebook.com/BinaSemulaSekongN53/about/?ref=page_internal, 23
September 2020.
Alias Sani Supporter, https://www.facebook.com/N53SEKONG/photos/pcb.103308344868904/103308138202258/
Arif Aizudin Azlan &
Zulkanain Abdul Rahman (2020). “Teori Persaingan Parti Dalam Pilihan Raya Kecil
Parlimen Batu Sapi, Sabah, Malaysia”, Jurnal UMCedel, Vol. 4, Bil. Jan-Dis 2020,
hlm. 19-38.
“Calon BN DUN Sekong,
Hazulizah fokus pendidikan, kebajikan rakyat”, Utusan Borneo, 11 September
2020,
https://www.utusanborneo.com.my/2020/09/11/calon-bn-dun-sekong-hazulizah-fokus-pendidikan-kebajikan-rakyat
Chab, T.S. (2020),
“Warisan Plus in Government: A Retrospective from the Campaign and Beyond”,
dlm. Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The
Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD, hlm.
21-38.
“DUN Sabah bubar hari ini.”, Berita Harian, 30
Julai 2020.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716316/dun-sabah-bubar-hari-ini
FB Barisan Nasional, 13
September 2020,
https://www.facebook.com/barisanasional/posts/ini-calon-kitahazulizah-mohd-dani-calon-barisan-nasional-untuk-rakyat-sabah-n53-/3247878831992946/.
FB Parti Cinta Sabah N53
Sekong, 11 September 2020,
https://www.facebook.com/100291628496030/posts/memperkenalkan-calon-parti-cinta-sabah-saudari-sitti-nurul-ain-sahidah-binti-pit/100294258495767/
Govindasamy, A.R. (2020),
“The Sabah State election: A Narrow Win and Precarious Mandate for the New
Government”, ISEAS, Issue: 2020, No. 131.
“I’m not a terrorist,
says Sekong candidate”, The Star, 14 September 2020.
https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/09/14/im-not-a-terrorist-says-sekong-candidate.
Joeman, B, Dino, N. dan
Asraf Sharafi (2020), “Voices of Civil Society Organisations in Sabah
Politics”, dlm. Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021).
Sabah From The Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ:
SIRD, hlm. 83-94.
Junaidi Awang Besar &
Amer Saifude Ghazali, “Pilihan Raya Kecil Kimanis, Antara identifikasi Parti
Dengan Kelangsungan Politik Pembangunan”, ”, Jurnal UMCedel, Vol. 4, Bil.
Jan-Dis 2020, hlm. 76-94.
'I am not a terrorist',
says Warisan's Sekong candidate”, The Star, 13th September 2020, https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/09/13/039i-am-not-an-extremist039-says-warisan039s-sekong-candidate.
ILHAM Centre (2020),
Ringkasan Eksekutif Pola Pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, 25
September, 2020.
"Lima wakil rakyat
Warisan digugurkan untuk beri laluan muka baru". Astro Awani, 10 September
2020, https://www.malaysiakini.com/news/542093.
Mohd Fudzail Mohd Nor
(2021), “Kepelbagaian menurut Siddiq Fadzil”, Malaysiakini, 2 September 2021. https://www.malaysiakini.com/news/589586.
Mohd Noor Mat Yazid &
Md Shafie Abdul Rahim (2019). “Berakhirnya Simpanan Tetap Barisan Nasional dan
Bermulanya Kuasa Politik Baru di Negeri Sabah”, dlm. Zulkanain Abdul Rahman,
Rosmadi Fauzi dan Amer Saifudi Ghazali (peny.), Pilihan Raya Umum ke 14, Isu
dan Cabaran Malaysia Baharu. KL: Penerbit UM.
Mohd Noor Mat Yazid
(2019). “Pencapaian BN dalam Parlimen Negeri Sabah dalam PRU 12, 13 dan 14”,
dlm. Zulkanain Abdul Rahman, Rosmadi Fauzi dan Amer Saifudi Ghazali (peny.),
Pilihan Raya Umum ke 14, Isu dan Cabaran Malaysia Baharu. KL: Penerbit UM.
Mohd Rahimin Mustafa
(2020), “Islam and Muslim Politics in Sabah’s 2020 State Election”, dlm. Welsh,
B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The Ground, The
2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD, hlm. 305-327.
“Musa dakwa peroleh
majoriti mudah bentuk kerajaan baharu Sabah.”, Berita Harian, 29 Julai 2020.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716142/musa-dakwa-peroleh-majoriti-mudah-bentuk-kerajaan-baharu-sabah
"Parti Warisan Sabah
is new name of Shafie-led party", Bernama. The Sun. 17 Oktober 2016.
“Pemimpin parti Amanah
sertai Warisan kerana ingin parti tempatan”, Borneo Today, 2 Februari 2018,
https://www.borneotoday.net/pemimpin-parti-amanah-sertai-warisan-kerana-ingin-parti-tempatan/.
“Perkhidmatan singkat
sebagai ADUN, banyak perancangan tertangguh”, Utusan Borneo, 15 Ogos 2020,
https://www.utusanborneo.com.my/2020/08/15/perkhidmatan-singkat-sebagai-adun-banyak-perancangan-tertangguh.
“PRN Sabah: WARISAN yakin rakyat faham visi,
misi dibawa”,Berita Harian. 16 September 2020,
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/731943/prn-sabah-warisan-yakin-rakyat-faham-visi-misi-dibawa
Profil Alias Haji Sani
(WARISAN)
"Sabah lists 42
ethnic groups to replace 'lain-lain' race column". The Malay Mail, 13
February 2015,
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/sabah-lists-42-ethnic-groups-to-replace-lain-lain-race-column
“Sekong candidate not a
terrorist, says Shafie”, Daily Express, 15 September 2020.
http://www.dailyexpress.com.my/news/158384/sekong-candidate-not-a-terrorist-says-shafie.
“Sekong candidate lodges police report over
YouTube video alleging terrorist links.”, The Star, 16 September 2020.
https://headtopics.com/my/sekong-candidate-lodges-police-report-over-youtube-video-alleging-terrorist-links-15678078
“Shafie Apdal angkat
sumpah Ketua Menteri”, Berita Harian, 12 Mei 2018,
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/424866/shafie-apdal-angkat-sumpah-ketua-menteri
Shaharuddin Badaruddin
(2016). Masyarakat Madani dan Politik. SA: IDE.
Siddiq Fadzil (2016),
Pembinaan Bangsa : Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan. SA: IDE.
Siddiq Fadzil (2019).
Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai. SA: IDE.
SPR, 2020
Welsh, B. , Somiah, V.
& Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The Ground, The 2020 Elections
& The Politics of Survival. PJ: SIRD.
Hamdan bin Mohd Salleh.
Profesor Madya di Jabatan Sains Sosial, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS)
Universiti Selangor (Unisel). Beliau juga merupakan Timbalan Naib Canselor
(Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) dan Pengarah Institut Kajian
Pilihanraya dan Pemajuan Demokrasid (IESAD) Unisel.
Rashidin Idris, Calon
Pelajar PhD Psikologi Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penolong
Kanan HEP, Akademi Integrasi Tahfiz Al-Falah, Rawang Selangor.
[1]“Shafie
Apdal angkat sumpah Ketua Menteri”, Berita Harian, 12 Mei 2018, https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/424866/shafie-apdal-angkat-sumpah-ketua-menteri
[2] "Parti Warisan Sabah is new name of
Shafie-led party", Bernama. The Sun. 17 Oktober 2016.
[3]
“Musa dakwa peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan baharu Sabah.”, Berita
Harian, 29 Julai 2020. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716142/musa-dakwa-peroleh-majoriti-mudah-bentuk-kerajaan-baharu-sabah
[4] “DUN
Sabah bubar hari ini.”, Berita Harian, 30 Julai 2020. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716316/dun-sabah-bubar-hari-ini
[5] Govindasamy,
A.R. (2020), “The Sabah State election: A Narrow Win and Precarious Mandate for
the New Government”, ISEAS, Issue: 2020, No. 131, hlm. 3.
[6] "Lima
wakil rakyat Warisan digugurkan untuk beri laluan muka baru". Astro Awani,
10 September 2020, https://www.malaysiakini.com/news/542093.
[7]
SPR, 2020.
[8]
"Sabah lists 42 ethnic groups to replace 'lain-lain' race column". The
Malay Mail, 13 February 2015, http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/sabah-lists-42-ethnic-groups-to-replace-lain-lain-race-column
[9]
Siddiq Fadzil (2019). Membina Kesatuan
Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai. SA: IDE, hlm. 2. Lihat
juga Siddiq Fadzil (2016), Pembinaan Bangsa : Kepelbagaian dalam Bingkai
Kesatuan. SA: IDE.
[10]
Dipetik dari Syarahan Tokoh Maal Hijrah 2018.
[11]
Siddiq Fadzil (2019), “Beberapa Kendala dalam Proses Pembinaan Bangsa: Islam
dan Masyarakat Majmuk”, Wadah Utara, http://wadahutara.blogspot.com/2019/01/beberapa-kendala-dalam-proses.html
[12]
Dipetik dari Mohd Fudzail Mohd Nor (2021), “Kepelbagaian menurut Siddiq
Fadzil”, Malaysiakini, 2 September 2021.
https://www.malaysiakini.com/news/589586.
[13]
SPR, 2018.
[14]
Dokumen DUN N53 Sekong Memilih.
[15]
“Perkhidmatan singkat sebagai ADUN, banyak perancangan tertangguh”, Utusan
Borneo, 15 Ogos 2020, https://www.utusanborneo.com.my/2020/08/15/perkhidmatan-singkat-sebagai-adun-banyak-perancangan-tertangguh.
[16]
“Pemimpin parti Amanah sertai Warisan kerana ingin parti tempatan”, Borneo
Today, 2 Februari 2018, https://www.borneotoday.net/pemimpin-parti-amanah-sertai-warisan-kerana-ingin-parti-tempatan/.
[17]
FB Barisan Nasional, 13 September 2020, https://www.facebook.com/barisanasional/posts/ini-calon-kitahazulizah-mohd-dani-calon-barisan-nasional-untuk-rakyat-sabah-n53-/3247878831992946/.
[18]
FB Parti Cinta Sabah N53 Sekong, 11 September 2020, https://www.facebook.com/100291628496030/posts/memperkenalkan-calon-parti-cinta-sabah-saudari-sitti-nurul-ain-sahidah-binti-pit/100294258495767/
[19] Govindasamy,
A.R. (2020),hlm. 5.
[20]
“PRN Sabah: WARISAN yakin rakyat faham visi, misi dibawa”,Berita Harian. 16
September 2020, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/731943/prn-sabah-warisan-yakin-rakyat-faham-visi-misi-dibawa
[21]
“Calon BN DUN Sekong, Hazulizah fokus pendidikan, kebajikan rakyat”, Utusan
Borneo, 11 September 2020, https://www.utusanborneo.com.my/2020/09/11/calon-bn-dun-sekong-hazulizah-fokus-pendidikan-kebajikan-rakyat
[22]
“I’m not a terrorist, says Sekong candidate”, The Star, 14 September 2020. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/09/14/im-not-a-terrorist-says-sekong-candidate.
[23]
“Sekong candidate not a terrorist, says Shafie”, Daily Express, 15 September
2020. http://www.dailyexpress.com.my/news/158384/sekong-candidate-not-a-terrorist-says-shafie.
[24]
“Sekong candidate lodges police report over YouTube video alleging terrorist
links.”, The Star, 16 September 2020. https://headtopics.com/my/sekong-candidate-lodges-police-report-over-youtube-video-alleging-terrorist-links-15678078
[25] Mohd
Rahimin Mustafa (2020), “Islam and Muslim Politics in Sabah’s 2020 State
Election”, dlm. Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021).
Sabah From The Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD,
hlm. 319.
[26]
Alias Sani Supporter, https://www.facebook.com/N53SEKONG/photos/pcb.103308344868904/103308138202258/
[27]
Alias Haji Sani, https://www.facebook.com/BinaSemulaSekongN53/about/?ref=page_internal, 23 September 2020.