Jumaat, September 03, 2021

Pilihanraya Negeri Sabah 2020 : Kemenangan Alias Haji Sani (WARISAN) di DUN 53 Sekong

dari ChangkatNingkeBTP

Hamdan bin Mohd Salleh & Rashidin Idris

 Abstract

The Sabah state assembly was dissolved on 30 July 2020 by the Chief Minister Shafie Apdal to prevent a coup by the previous Chief Minister Musa Aman through his “Group 33”.  The 2020 Sabah State election was held on 26 September 2020 involved a record total of 447 candidates vying for 73 state seats. The main contest was between the WARISAN-PLUS of 5 political parties and a group of 9 political parties under the coalition of the newly minted  Gabungan Rakyat Sabah (GRS). GRS managed to wrest the state government by comfortably winning 38 out of 73 seats with additional 3 seat came from pro-GRS independent candidates. Nevertheless, WARISAN managed to retain N53 Sekong even as the incumbent have been dropped after 26 months at the helm. This article studied on issues surrounding the victory of Alias Haji Sani during the election.  The findings of this articles uses primary data, secondary data, online sources dan participative observation findings. The victory of Alias Haji Sani shows that the influence of people-centric and “Politik Budiman” identification is stronger than political affiliation.

Keywords : Sabah election, Sekong election, WARISAN

PENDAHULUAN

Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 2016 merupakan peneraju kerajaan negeri Sabah selepas PRU 2018 dengan Shafie Afdhal dilantik menjadi Ketua Menteri. Kerajaan ini merupakan gabungan 29 ADUN WARISAN, DAP dan KEADILAN (WARISAN/PH) serta  6 ADUN dari BN yang menyertai pakatan berkenaan selepas PRU.[1]

PRN Sabah 2020 merupakan salah satu kesan langsung dari Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Persekutuan pada bulan Februari 2020. [2] Musa Aman, bekas Ketua Menteri yang tewas telah mengumumkan mempunyai majoriti mudah untuk mengambilalih kerajaan dalam satu sidang akhbar pada 29 Julai 2020 bersama 33 ADUN (dikenali dengan nama Kumpulan 33) termasuk 5 dari WARISAN, 1 dari UPKO dan 1 dari KEADILAN.[3] Bagi mengelakkan jatuhnya kerajaan negeri, Ketua Menteri Shafie Afdhal telah menerima perkenan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN pada 30 Julai 2020 bagi membolehkan pilihan raya diadakan.[4]

Hasil dari pembubaran DUN, pilihanraya Sabah telah diadakan pada 26 September 2020 bagi merebut 73 kerusi DUN Sabah. Penjajaran semula politik menyaksikan dua koalisi bertembung iaitu :

(i)        WARISAN-Plus: WARISAN, DAP, KEADILAN, AMANAH dan UPKO. Koalisi ini                              menggunakan logo WARISAN dalam PRN 2020.

(ii)       Gabungan Rakyat Sabah (GRS) : menggabungkan parti-parti komponen BN, Perikatan                           Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). BN Sabah diketuai oleh UMNO manakala   PN                 Sabah diketuai oleh BERSATU.        

PRN Sabah ke-16 berkenaan menyaksikan jumlah calon bertanding (447) yang tertinggi dalam sejarah.[5] Terdapat penambahan kerusi DUN dari 60 kepada 73 pada pilihanraya kali ini. Salah satu kerusi yang menjadi tumpuan adalah N53 Sekong yang dulunya disenaraikan sebagai N43. Persaingan 6 penjuru dan tindakan WARISAN menggugurkan penyandang hanya selepas 26 bulan menjadikan kerusi ini menarik perhatian ramai.[6]

Keputusan mengadakan pilihanraya sewaktu dalam pandemik Covid-19 menyebabkan kadar turun mengundi yang rendah iaitu 66.6 peratus atau 745,387 undi.[7] Walaupun WARISAN-Plus memperolehi undi popular (43.42%) lebih tinggi berbanding GRS (43.22%) , koalasi berkenaan gagal mempertahankan kerajaan sedia ada. GRS berjaya memperolehi sebanyak 38 kerusi manakala WARISAN-Plus menang 32. Baki 3 kerusi lagi dimenangi oleh calon Bebas yang memihak kepada GRS. Keputusan PRN ini membolehkan GRS membentuk kerajaan negeri dengan 41 kerusi keseluruhan.

Walaupun WARISAN gagal mempertahankan kerajaan negeri, DUN Sekong berjaya dipertahankan menerusi calon parti berkenaan iaitu Alias Haji Sani. Penulisan ini akan melihat secara mikro kejayaan WARISAN menang di Sekong dalam keadaan parti berkenaan meletakkan muka baru bagi menggantikan penyandang sebelum ini.

 POLITIK BUDIMAN DALAM KEPELBAGAIAN SABAH

Terdapat 42 kumpulan etnik dan 200 sub-etnik di Sabah dengan kepelbagaian Bahasa, budaya dan agama.[8] Keadaan ini tentunya jika dalam sosio-politik akan melahirkan corak dan sentimen politik yang berbeza mengikut demografi. Sepanjang sejarah politik Sabah terdapat 19 parti politik utama tempatan yang aktif dan 12 parti politik yang telah dibubarkan namun pernah mewarnai politik Sabah. Ini tidak termasuk parti-parti peringkat nasional yang turut berada di Sabah seperti antara lain UMNO, KEADILAN, BERSATU, DAP, AMANAH, PEJUANG, MIC, MCA dan GERAKAN.

Iklim politik Sabah yang sentiasa panas dan kerap menyaksikan budaya lompat parti hingga menumbangkan kerajaan boleh dilihat menerusi 16 PRN yang berlaku di Sabah. Ini termasuk 1 PRU dan 1 PRN yang diadakan antara tahun 2018 hingga 2020. Keadaan ini tentunya perlukan penjajaran baru dan antara solusi melihat kepada aspek kepelbagaian politikus yang ada didaalam permainan politik Sabah. Jesteru itu perlunya sata asas politik nilai yang berpaksikan Politik Budiman bagi memastikan paksi rakyat menjadi satu-satunya teras tadbirurus dan tatekelola kerajaan.

Politik Budiman adalah manifestasi Siddiq Fadzil yang melihat bagaimana pembinaan masyarakat sejahtera termasuk aspek politik perlu diraikan dalam konsep budaya damai dan kerukunan hidup bersama dalam membina kesatuan bangsa. [9]

Elemen ini jelas diungkap menerusi kata-kata Siddiq Fadzil berikut:

“Budaya hidup bersama harus berpangkal dari sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangkan kepelbagaian. Justeru, kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan. Demikianlah hakikatnya, kepelbagaian (bahasa dan bangsa) adalah bahagian daripada ayat-ayat Allah dalam erti penyerlahan hikmah ciptaan Tuhan dan penjelmaan keindahan nikmat kurnia-Nya.

“Andainya kepelbagaian diurus dan dikendalikan dengan bijaksana, ia akan menghasilkan kesalingan yang produktif – saling memperkaya dan memperkasa.” [10]

Politik Sabah yang berwarni-warni disulam dengan kepelbagian etnik yang rencam tentunya perlukan empat asas utama yang disebut oleh Siddiq Fadzil iaitu : [11]

(i)        Konsep Karamah Insaniyyah - Manusia sebagai manusia, tanpa mengira bangsa dan agamanya adalah makhluk mulia. Kemuliaan yang inklusif tersebut adalah kurnia langsung dari Allah sendiri (al-takrim al-Ilahiy). Kerana itu semuanya - yang Islam dan yang bukan Islam - harus dimuliakan atas dasar kemanusiaan mereka. Menghina manusia atau mendiskriminasikan manusia kerana bangsa dan agamanya adalah suatu kesalahan berat berasaskan prinsip karamah insaniyyah. Umat Melayu-Islam seharusnya mempamerkan akhlak mulia dengan menghormati orang lain yang berbeza etnik, agama dan budaya. Untuk itu mereka juga seharusnya berjiwa besar menyemak dan menghapuskan kata dan istilah Melayu yang bernuansa penghinaan terhadap kaum lain.

(ii)       Kepelbagaian Sebagai Ayati ‘Llah - Andainya saling kenal mengenal telah terlaksana dengan sempurna, ia akan berkelanjutan dengan kesalingan-kesalingan seterusnya: saling menghormati, saling mempelajari, saling bekerjasama, saling memperkasa dan saling memperkaya. Justeru, interaksi Muslim-bukan Muslim, tentunya tidak hanya sebatas saling kenal, tetapi ta`aruf adalah pembuka jalan menuju pelbagai kesalingan yang produktif dan bermanfaat untuk semua.

(iii)      Prinsip Keadilan - Umat Islam tidak boleh hanya memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa pertimbangan adil atau tidak. Sebagai contoh, terdapat orang Islam yang menyokong gerrymadering dan malapportionment dalam pensepadanan kawasan pilihan raya atas pertimbangan ia menguntungkan Melayu, walhal ia adalah suatu kecurangan yang nyata. Dalam isu seperti itu pendirian tidak seharusnya berasaskan pertimbangan siapa untung siapa rugi, tetapi berasaskan prinsip keadilan.

(iv)      Konsep Kewarganegaraan (al-Muwatanah) - Penerimaan terhadap konsep kewarganegaraan, persamaan dan hak-hak kemanusiaan secara konsekuensial bererti penolakan terhadap segala bentuk perlakuan yang bertentangan dengan prinsip kewarganegaraan, termasuk perlakuan double standard, diskriminasi perkauman dan keagamaan, peminggiran, penindasan, pengusiran dan seumpamanya yang ditolak oleh Islam dan agama-agama lainnya.

(v)       Konsep al-Ra`iyyah - bahawa semangat al-siyasah al-shar`iyyah (politik) ialah untuk memelihara maslahah kemanusiaan seluruhnya, tanpa mendiskriminasikan sesiapa berasaskan kaum atau agama. Pentakrifan sedemikian selaras dengan ciri kesejagatan risalah Islam dan misi pemerataan rahmat kepada seluruh warga alam. Pola fikir diskriminatif dalam konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama ternyata tidak selaras dengan konsep al-ra`iyyah dan semangat al-siyasah al-shar`iyyah yang inklusif.

Ungkapan di bawah sangat relevan merumuskan idea ini:

“Perbezaan tidak bererti permusuhan, tetapi kekuatan dan kekayaan budaya. Kata kunci dalam memahami tujuan penciptaan kepelbagaian (bangsa dan kaum) ialah lafaz ‘lita’arafu’ dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang biasanya diterjemahkan sebagai “untuk saling mengenal”.[12]

Paksi Kepelbagaian dalam proses pembinaan bangsa ini sangat relevan untuk dikaitkan dengan Fiqh Sabahi. Sehubungan dengan itu, satu tinjauan dilaksanakan di Sekong bagi melihat secara mikro bagaimana politik nilai berpaksi rakyat tanpa disulam retorika menjadi asas persaingan PRN 2020 di DUN berkenaan. Asas yang dibawa oleh calon WARISAN, Alias Haji Sani menerusi Fiqh Sabahi sangat menarik untuk diteliti.

LATAR BELAKANG DUN SEKONG

DUN N53 Sekong terletak di bawah Parlimen P185 Batu Sapi. Dari segi lokasi, ia terletak di wilayah Sabah Timur yang majoriti penduduknya merupakan dari etnik Bajau dan Bugis. Kawasan pesisir pantai ini turut mempunyai DUN-DUN yang menjadi tumpuan seperti DUN Senallang dan Segama. DUN Senallang yang terletak di kawasan ini ditandingi oleh Presiden WARISAN.

N53 Sekong terdiri dari tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan jumlah pengundi keseluruhan berjumlah 17,054 (2020). Tujuh PDM berkenaan adalah Jalan Sibuga, Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, Tronglit, Sekong, Lupak Meluas dan Pulau Sanghai.Dari segi demografi, Muslim Bumiputra mewakili 75.44% dari keseluruhan 16,522 pengundi.[13] Selain itu, 20.03% merupakan pengundi cina , 3.92% adalah Bumiputra bukan Islam dan 0.6% dari lain-lain bangsa.

Persaingan di Sekong (1999-2018)

DUN Sekong sejak sekian lama merupakan kubu kuat Barisan Nasional. Malah antara PRU 1994 hingga PRU 2013, BN menang selesa di DUN Sekong. Malah calon BN, Samsudin Yahya menang tanpa bertanding pada PRU 2004. Beliau kemudiannya menang selesa dan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU 2008 dan 2013. Pesaing utama dari parti oposisi seperti PBS, BERSEKUTU dan kemudiannya KEADILAN gagal menumbangkan hegemoni BN di Sekong. Kubu BN ini hanya berjaya ditembusi dan dikalahkan apabila WARISAN ditubuhkan dan kemudiannya menewaskan penyandang pada PRU 2018.

Jadual 1 : Keputusan-keputusan DUN Sekong (1994-2018)

Tahun

Pemenang

Parti

Majoriti

Undi Popular

1994

DATUK NAHALAN BIN DAMSAL

BN

1,548

58.7

1999

DATUK NAHALAN DAMSAL

BN

1,370

45

2004

 

SAMSUDIN BIN YAHYA

BN

MTB

100

2008

SAMSUDIN BIN YAHYA

BN

2,189

62

2013

SAMSUDIN BIN YAHYA

BN

3,530

64

2018

ARIFIN BIN ASGALI

WARISAN

2,035

56.6

Sumber : Ringkasan dari semua keputusan SPR.

PRU 2018 menyaksikan buat pertama kali BN ditewaskan di DUN Sekong. Kubu kuat BN ini tumbang akibat pengaruh besar WARISAN di kawasan Batu Sapi dan Sandakan. Kemunculan WARISAN selepas Shafie Afdhal dipecat dari UMNO benar-benar memberi impak kepada corak sokongan pemilih di kawasan berkenaan. Calon WARISAN, Arifin Asgali menang selesa dengan majoriti 2,035 undi mengatasi penyandang yang sebelum ini memang dengan majoriti besar 3,530 undi.

Jadual 2 : Keputusan PRU 2018 DUN Sekong

NEGERI

SABAH

DUN

N.43 - SEKONG

PARTI MENANG

WARISAN

JUMLAH UNDI

11,918

MAJORITI UNDI

2035

 

NAMA PADA KERTAS UNDI

BIL. UNDI

SAHAR ABDUL MAJID (PAS)

366

ARIFIN BIN ASGALI (WARISAN)

6740 (56.6%)

SAMSUDIN YAHYA (BN)

4705 (39.5%)

ABDUL RASHID BIN ABDUL RAHMAN (STAR)

48

ALIAS RAHMAD BIN BENJAMIN (PKS)

16

DATU MOHD FAISAL BIN DATU BACHTIYAL (BEBAS - KAPAL TERBANG)

43

Sumber: SPR , 2018

Kemenangan Arifin Asgali merupakan menifestasi iklim politik Malaysia yang mana pengundi menolak BN hingga menyebabkan buat pertama kali dalam sejarah kerajaan bertukar di peringkat Pusat. BN hilang 24.5%  undi popular di Sekong yang mana penyandang sejak PRU 2004 tewas di kubu kuat UMNO itu. WARISAN berjaya mendapat sokongan besar di dua pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Jalan Sibuga (3,062 undi) dan Jalan Batu Sapi (1,056 undi).[14]

Menuju Pilihanraya - Kajian Lapangan Pra Pilihanraya

Satu kajian lapangan telah diadakan dengan kerjasama penggerak tempatan bagi menilai kehendak pengundi kali ini. Kajian yang diadakan pada bulan Ogos 2020 iaitu sebaik sahaja DUN Sabah dibubarkan. Kajian ini mempunyai dua objektif utama iaitu mengenalpasti kritirea calon yang menjadi pilihan pemilih dan mengenalpasti isu-isu utama yang perlu diangkat dalam PRN Sabah 2020 di Sekong. Selain itu, kajian ini dilaksanakan bagi mengenalpasti kritirea calon yang diinginkan oleh pemilih dan sama ada penyandang sedia ada terus mendapat sokongan pemilih.

Instrumen soalan yang telah dibina menggunakan prinsip “Keep It Short and Simple” (KISS). Sejumlah 649 responden telah mengambil bahagian dalam kajian berbentuk kuantitatif dan kualitatif ini. Responden dipilih dari kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Sekong.

Secara ringkas, dapatan kajian berkenaan adalah seperti ringkasan berikut:

(i)        Sejumlah 335 responden atau 51.6% merupakan ahli kepada parti politik.

(ii)       Sejumlah 359 responden atau 55% memilih calon dan bukan parti politik.

(iii)      Sejumlah 538 responden atau 82.9% menyatakan pengetahuan agama calon adalah satu         pertimbangan utama pilihan mereka.

(iv)      Sejumlah 359 responden atau 54.9% merasakan bangsa/etnik calon memainkan peranan    penting dalam menentukan pemilihan mereka.

(v)       Sejumlah 470 responden atau 72.4% responden akan memilih anak tempatan berbanding calon luar.

(vi)      Sejumlah 543 responden atau 83.7% inginkan muka baru diberi peluang menjadi calon            pada PRN 2020.

Dalam kajian sama, responden merasakan tiga isu paling penting yang perlu dibawa oleh calon adalah kebajikan rakyat (71%), kemudahan infrastruktur (21%) dan isu integriti serta hak Sabah (8%). Dapatan yang menarik juga adalah sejumlah

Berdasarkan populariti semua bakal calon, ringkasan pilihan responden adalah seperti butiran berikut:

(i)        Alias Haji Sani (33%)

(ii)       Pg. Roslan (26%)

(iii)      Arifin Asgali (16%)

(iv)      Shamsul Kelana Sam Lee (9%)

(v)       Hanafi (9%)

(Sejumlah 6% responden memilih untuk berkecuali)

Dapatan berkaitan populariti pemimpin yang disenaraikan agak mengejutkan memandangkan penyandang iaitu Arifin Asgali hanya berada di tangga ketiga dengan 16% pilihan responden. Kejutan ini disebabkan Arifin Asgali baru sahaja penyandang yang baru dipilih menjadi wakil rakyat pada tahun 2018. Malah, kejayaan WARISAN menerusi calon ini telah berjaya menumbangkan dengan majporiti besar menewaskan penyandang dari BN waktu itu yang telah menjadi wakil rakyat selama 2 penggal. Tambahan pula beliau merupakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri. Andai digugurkan, tentunya menimbulkan bantahan disebabkan faktor bahawa beliau baru 28 bulan dilantik menjadi wakil rakyat.[15]

PRN 2020 N53 SEKONG

Selepas beberapa perbincangan dan melalui proses penilaian, seorang aktivis masyarakat Alias Haji Sani atau juga lebih dikenali sebagai Cikgu Alias Sani telah dipilih mewakili WARISAN. Beliau menggantikan pemegang kerusi sebelum ini iaitu Ariffin Asgali yang digugurkan pada kali ini. Jika dilihat, sentimen di lapangan ternyata memainkan peranan dalam pemilihan aktivitis tempatan menggantikan penyandang dari parti yang sama.

Alias Haji Sani dilahirkan pada 17 Disember 1968. Beliau mendapatkan Pendidikan tertinggi di Maktab Sabah (1987). Pada peringkat awal, memulakan kerjaya di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia selama dua tahun (1993-1995). Fokus beliau selepas itu adalah sebagai Pengetua Institut pengajian As-Salam dan Sekolah Menengah (Swasta) As-Salam Sandakan bermula pada tahun 1995 hingga sebaik sahaja dicalonkan sewaktu PRN Sabah 2020. Beliau juga dalam masa yang sama merupakan Ketua Pengerusi Lembaga Pengelola As-Salam

Beliau dikenali sebagai aktivis politik paksi rakyat dengan penglibatan aktif dalam aktiviti komuniti terutama di Batu Sapi dan Sandakan. Antara penglibatan dalam NGO adalah sebagai Pengerusi Bela Batu Sapi (2018), Setiausaha Bani Fateh Sandakan (2015), Penasihat Pertubuhan Kebajikan Imam An-Nawawi sabah (2017) dan Penasihat K-Marhaens Sandakan (2018).

Dalam politik, Alias Haji Sani antara lain pernah menjawat jawatan Timbalan Pengerusi dan Pengarah Strategi Parti Amanah (AMANAH) Sabah (2015-2017). Antara penglibatan politik waktu itu adalah membantu kempen Pakatan Harapan terutama AMANAH di dalam Pilihanraya Negeri Sarawak tahun 2016.

Beliau kemudiannya mengambil keputusan menyertai WARISAN secara rasmi pada 1 Februari 2018.[16] Penyertaan ke dalam WARISAN adalah atas hasrat bersama dengan parti paksi tempatan selaras dengan idea Fiqh Sabahi. WARISAN berpandangan kemasukan orang nombor dua AMANAH Sabah itu tentunya memberi kesan postif dalam mengukuhkan parti berkenaan. Beliau  seterusnya dilantik sebagai Pengarah Strategi WARISAN bagi Parlimen Batu Sapi. Antara kejayaan utama adalah memenangkan kesemua 3 kerusi yang ditandingi WARISAN di Parlimen Batu Sapi sewaktu Pilihanraya Umum 2018.

Alias Haji Sani walaupun tidak mempunyai jawatan dalam kepimpinan utama WARISAN Batu Sapi, beliau mempunyai pengaruh besar dan sangat signifikan di Batu Sapi. Sebagai pemimpin dan penggerak komuniti, beliau dikenali kerana jaringan yang sangat baik dengan kelompok masyarakat etnik Bumiputera dan bukan Bumiputera. Pengalaman di Assalam sebagai pentadbir dan pendidik merupakan satu lagi kelebihan beliau yang mana nama “Cikgu Alias” merupakan nama gelaran yang sangat popular. Selain itu, jaringan kekeluargaan yang besar di kawasan Batu Sapi terutama di Karamunting, Kampung Bokara, Lupak Meluas, Kampung Melanta, Sundang, Sibuga, Taman Mawar dan Kampung gas turut memberikan kelebihan besar berbanding calon lain yang dibertanding.

Penamaan Calon menyaksikan persaingan 6 penjuru yang mana WARISAN berhadapan dengan calon-calon dari BN, PCS, LDP, PPRS dan USNO. Tentunya di atas kertas, persaingan sengit dijangka antara WARISAN, BN dan PCS bagi kerusi DUN Sekong ini. Dua calon utama yang dilihat berpotensi mencabar calon WARISAN adalah dari BN dan PCS. Calon BN adalah Hazulizah Zaini berusia 35 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari UMS. Beliau merupakan Pegawai Luar Khas (JASA) bagi DUN Sekong. Dalam politik, beliau adalah Naib Ketua Pergerakan UMNO Sabah dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Batu Sapi (sejak 2013).[17]

Manakaka calon PCS adalah Sitti Nurul Ain Sahidah Binti Pitting yang merupakan anak jati Kamoung Istimewa / Kampung Pukul di Sekong. Beliau juga merupakan anak kepada mantan Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham YB Pitting bin Haji Mohd Ali. Merupakan seorang peguam.[18]

Kempen WARISAN di DUN Sekong

Secara umum, fokus utama kempen GRS adalah dakwaan kegagalan Shafie Apdal membawa pembangunan secara menyeluruh ke Sabah sepanjang 26 bulan menerajui kerajaan negeri.[19] Secara spesifik tumpuan kempen GRS adalah berkaitan isu-isu berikut:

(i)        Kekurangan infrastruktur asas yang disediakan oleh kerajaan WARISAN/PH.

(ii)       Hubungan kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang dingin disebabkan perbezaan parti-parti        politik yang mentadbir.

(iii)      Kegagalan kerajaan memulihkan ekonomi Sabah yang lemah.

(iv)      Kegagalan kerajaan menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Sebagai tindakbalas ke atas kempen GRS, WARISAN-Plus telah mengangkat isu-isu berpaksikan kehendak rakyat Sabah. Antara penekanan WARISAN dalam PRN ini adalah melestarikan kemajuan dan kemakmuran Sabah.[20] Antara penekanan adalah :

(i)        Memperkasa hak asasi rakyat Sabah.

(ii)       Menjamin hak pemilikan tanah adat dan hak pemilikan Bumiputra Sabah.

(iii)      Memperkemas program-program sosio ekonomi termasuk untuk anak muda dan wanita.

Bagi DUN Sekong, calon GRS yang diwakili oleh BN memberi tumpuan khusus kepada isu Pendidikan.[21] Ini tentunya mengambilkira pengalaman calon BN di lapangan sebagai penggerak komuniti dan disebabkan faktor pesaing dari WARISAN yang mempunyai pemgalaman cukup luas di Sekolah Assalam.

Berdasarkan data SPR, jumlah keseluruhan pemilih di DUN Sekong bagi PRN 2020 adalah 17,054 pemilih. Terdapat 7 buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan 35 Lokaliti. Secara ringkas, jumlah keseluruhan pemilih di DUN Sekong boleh diperincikan mengikut PDM berikut:

Jadual 3 : Jumlah Pengundi mengikut PDM

PDM

Jumlah Pemilih

001 – Jalan Sibuga

5497

002 – Kg Gas

2685

003 – Jalan Batu Sapi

3201

004 – Tronglit

939

005 – Sekong

929

006 – Lupak Meluas

3367

007 – Pulau Sanghai

442

JUMLAH KESELURUHAN

17504

Sumber : SPR

Antara cabaran terbesar pasukan kempen Alias Haji Sani adalah kerjasama dari penyokong kepada penyandang dari WARISAN sebelum ini. Terdapat kemungkinan undi protes dan cabaran kepada bagaimana untuk mengukuhkan jentera kempen di semua kawasan.  Calon juga berhadapan dengan serangan media termasuk di youtube yang cuba membunuh reputasi dan karakter seawal hari pertama kempen bermula.[22] Malah, reputasi Alias Haji Sani turut dipertahankan oleh pimpinan utama WARISAN sendiri iaitu Shafie Apdal menerusi kenyataan tegas di akhbar.[23] Calon turut membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dibuka bagi mendapatkan cerita sebenar berkaitan serangan peribadi berkenaan.[24] Ternyata, kempen Alias Haji Sani tidak terkesan dengan serangan berkenaan dan calon diterima cukup baik oleh komuniti di sekitar Sekong. Pasukan kempen Alias Haji Sani menggunakan pendekatan cukup menarik dalam usaha memenangi PRN ini.

Culaan yang dilaksanakan oleh pasukan kempen Alias Haji Sani mendapati terdapat ruang positif bagi calon mereka menang dan mempertahankan majoriti yang diperolehi oleh WARISAN sebelum ini. Selain bentuk corak kempen tipikal seperti dalam mana-mana kempen pilihanraya, kempen beliau menggunakan konsep pengfukusan mikro berdasarkan PDM. Kelebihan calon sebagai aktivitis masyarakat termasuk menerusi Bela Batu Sapi dan sebagai watak utama di Sekolah As-Salam menjadi kelebihan besar berbanding pesaing. Kempen ini juga dibuat disebalik kekurangan dana, jentera serta sokongan kumpulan penyokong penyandang yang digugurkan. Namun semangat atas nama calon pilihan rakyat merupakan naratif yang memberi kesan cukup positif dalam persaingan kali ini. Ini dijelaskan menerusi slogan “Kita Rakyat” yang dikaitkan dengan Alias Haji Sani.

Jadual 4 : Unjuran Sasaran Undi WARISAN

PDM

Jumlah Pemilih

Sasaran Turun Mengundi

(65%)

Sasaran Mengundi WARISAN

 

001 – Jalan Sibuga

5497

3573

2858  (80%)

002 – Kg Gas

2685

1745

698 (40%)

003 – Jalan Batu Sapi

3201

2081

832 (40%)

004 – Tronglit

939

610

244 (40%)

005 – Sekong

929

600

242 (40%)

006 – Lupak Meluas

3367

2189

1095 (50%)

007 – Pulau Sanghai

442

287

115 (40%)

JUMLAH KESELURUHAN

17504

11085

6084 (54.9%)

Sumber: Culaan WARISAN

Calon WARISAN mempunyai pengaruh besar di dua kawasan PDM iaitu Jalan Sibuga dan Lupak Meluas. Dua kawasan ini mempunyai antara jumlah pemilih tertinggi iaitu 8,864 iaitu merangkumi separuh atau 50.6% dari jumpah pemilih keseluruhan. Sehubungan itu, pasukan kempen beliau menyasarkan 4,000 undi diperolehi dari dua kawasan berkenaan bagi mengimbang kekuatan calon BN di 5 PDM yang lain. Kempen di Jalan Sibuga turut memberi penekanan kepada kawasan yang mempunyai pemilih yang ramai seperti Taman Mawar (2,881 pemilih).

Pasukan kempen Alias Haji Saji juga terbukti berjaya membuat jangkaan dan telahan tepat berkaitan jangkaan undi popular yang diperolehi oleh calon mereka. Beliau berjaya memperolehi 55% undi popular dan keputusan ini bertepatan dengan jangkaan pasukan kempennya iaitu 54.9%. Malah keputusan undi sebenar hanya kurang 147 dari jangkaan sewaktu tempoh berkempen iaitu 6084 undi berbanding jumlah undi sebenar iaitu 5937.

Sebagai calon berlatarbelakang agama, Alias Haji Sani turut mengangkat idea Fiqh Sabahi. Idea ini mula diangkat sejak tahun 2017 dengan penekanan utama kepada aspek perundangan, dakwah dan Pendidikan agama perlu diadaptasi dengan suasana kepelbagaian kaum di Sabah[25]. Ini diguna sebaiknya menerusi aspek pelaksanaan idea politik nilai dalam kerangka masyarakat madani. Kelebihan menyampaikan khutbah dan tazkirah ternyata menjadi asset menarik perhatian dan sokongan pengundi Muslim. Beliau juga menggunakan konsep Politik Budiman, tanpa perlu menggunakan tohmahan dan serangan peribadi untuk menang pilihanraya kali ini. Kempen sihat tanpa memburukkan lawan menjadi satu kekuatan besar sepanjang kempen di DUN Sekong ini.

Tumpuan kempen beliau turut tertumpu kepada kekuatan latarbelakang beliau sebagai aktivis masyarakat dan pendidik. Alias Haji Sani sememangnya dikenali sebagai aktiviti masyarakat sejak sekian lama. Ini membuatkan pemilih bukan Islam turut melihat beliau sebagai calon terbaik. Hampir 24% pemilih Sekomg merupakan dari dalam kalangan bukan Islam dan peranan beliau sekian lama di Batu Sapi tentunya satu kelebihan.  Dalam keadaaan lebih 60% penduduk Sekong dalam kategori B-40, pelbagai bantuan dan aktiviti membantu masyarakat dilaksanakan oleh calon ini terutama menerusi rangkaian NGO-NGO yang bersama beliau. Ini bukan baru dilaksanakan oleh Alias Haji Sani, malah telah sekian lama dilaksanakan dan terbukti mendapat perhatian warga Sekong sewaktu tempoh kempen diadakan. Populariti dan kebersamaan Alias Haji Sani di Sekong ternyata menjadi satu kelebihan berbanding calon-calon lain. Sebagai contoh satu survei dalam talian yang diadakan sewaktu tempoh kempen menyaksikan Alias Haji Sani menjadi pilihan 63.31% dari sejumlah 1,687 responden yang menyertai survei berkenaan.[26]

Keputusan dan Analisis

Walaupun WARISAN-PLUS gagal mempertahankan kerajaan negeri yang dimenangi pada PRU 2018, ternyata Sekong berjaya dipertahankan. Kemangan dengan majoriti 1,599 ini bukan semata-mata atas naratif kerana Sekong merupakan kubu WARISAN, tapi kerana pelbagai faktor lain termasuk keperibadian calon baru yang dipilih parti berkenaan.

Jadual 5 : Keputusan

NEGERI

SABAH

DUN

N.53 - SEKONG

PARTI MENANG

WARISAN

JUMLAH MENGUNDI

10,780

MAJORITI UNDI

1,599

 

NAMA PADA KERTAS UNDI

BIL. UNDI

ALIAS BIN SANI (WARISAN)

5937 (55%)

HAZULIZAH MOHD DANI (BN)

4338 (40%)

SITTI NURUL AIN SAHIDAH BT PITTING (PCS)

253

MOHD FAZIL BIN AJAK (LDP)

102

ABIDIN BIN SUKOR (PPRS)

87

SARAN BIN JUMDAIL (USNO)

63

Sumber : SPR

Sesuatu yang menarik adalah WARISAN berjaya mempertahankan DUN Sekong dengan calon muka baru dalam keadaan parti berkenaan gagal mempertahankan kerajaan negeri. Alias Haji Sani berjaya memenangi kerusi DUN Sekong dengan majoriti 1,599 undi. Beliau memperolehi 55% undi popular dengan calon terdekat Hazulizah Mohd Dani memperoleh 4,338 undi atau 40% undi popular. Kesemua empat calon lain telah hilang wang deposit.

Jika diteliti, peratus undi popular calon baru WARISAN ini hanya kurang 1.6% dari yang diperolehi oleh wakil rakyat WARISAN di Sekong sebelum ini. Peratus ini adalah tinggi dengan mengambilkira peritus keluar mengundi yang rendah serta pilihanraya dilaksanakan dalam waktu pandemik Covid-19. Undi kaum Cina seperti di Sibuga dan pengundi atas pagar telah memilih calon WARISAN. Pemilih cina dilihat telah mengundi secara pukal dan memilih Alias Haji Sani berdasarkan pakej isu setempat yang dibawa. Pengundi atas pagar yang mengundi tidak berpaksi kepartian turut jelas memilih calon yang mempunyai pakej terbaik.

 

PDM

Jumlah Pemilih

Sasaran Turun Mengundi

(65%)

Jumlah Sebenar Undi diterima

Sasaran Mengundi WARISAN

 

Undi Sebenar WARISAN

001 – Jalan Sibuga

5497

3573

3321

2858  (80%)

2653 (80%)

002 – Kg Gas

2685

1745

1765

698 (40%)

780 (44%)

003 – Jalan Batu Sapi

3201

2081

1787

832 (40%)

928 (52%)

004 – Tronglit

939

610

639

244 (40%)

250 (40%)

005 – Sekong

929

600

552

242 (40%)

183 (33%)

006 – Lupak Meluas

3367

2189

2113

1095 (50%)

955 (35%)

007 – Pulau Sanghai

442

287

333

115 (40%)

100 (30%)

JUMLAH KESELURUHAN

17504

11085

 

6084 (54.9%)

 

Sumber: Laporan Akhir Parti WARISAN - Keputusan N53 Sekong

Dari sejumlah 171 undi Pos yang diterima, Alias Haji Sani memperolehi 88 undi berbanding calon BN yang mendapat 80 undi. Hanya calon PCS sahaja selain dua calon utama yang mendapat undi pos iaitu 3 undi. Dari sejumlah lima PDM, calon WARISAN hanya mengatasi calon BN di Jalan Sibuga (majoriti 2044 undi) dan Jalan Batu Sapi (kelebihan 79 undi) sahaja. Namun dari segi keseluruhan, kekuatan sokongan pemilih di PDM Jalan Sibuga yang mana calon BN hanya mendapat 609 undi atau 18% undi keseluruhan memberi impak besar kepada keputusan akhir. Keputusan menarik di PDM Jalan Batu Sapi juga dengan WARISAN mendapat 53% undi berbanding jangkaan awal 40% juga menyukarkan BN untuk menambah undi keseluruhan. Pengundi Melayu juga diihat menerima baik calon WARISAN yang mana Alias Haji Sani hanya tewas tipis di kawasan majoriti Melayu seperti PDM Kg. Gas (BN kelebihan 128 undi) dan PDM Sekong (BN dengan kelebihan 167 undi). Walaupun Alias Haji Sani berlatarbekang agama, pengundi cina dilihat tidak menghadapi masalah untuk menyokong beliau. Beliau menang dikesemua PDM dan saluran yang bermajoriti etnik cina seperti di PDM Jalan Sibuga.

 

 

 

Secara ringkas, terdapat beberapa faktor penarik yang membawa kepada kejayaan mengekalkan kerusi ini.

(i)        Populariti calon sebagai aktivis masyarakat dan pendidik yang menyantuni kepelbagaian       kaum telah memberi kelebihan besar kepada beliau.

(ii)       Calon berjaya menggunakan media sosial dengan cukup efektif. Page Alias Haji Sani   dengan tema Bina Semula Sekong mempunyai 10,461 likes dan diikuti oleh 11,630.[27]

(iii)      Sekong antara kubu kuat Melayu Bumiputera. Kelebihan beliau sebagai calon  berlatarbelakang agama satu yang cukup menarik dan menjadi pilihan pemilih dan   mengurangkan undi BN di kawasan majoriti Melayu Bumiputera.

(iv)      Politik Budiman yang dibawa oleh Alias Haji Sani diterima cukup baik oleh pemilih bukan         Islam degan membawa aspek integriti yang tinggi.

KESIMPULAN

Malaysia dan Sabah perlu Politik Budiman. Persaingan politik perlu disulam dengan politik nilai. Elemen Politik Budiman dipaksi dengan politik budi pekerti, budi bahasa dan budi daya dalam mengangkat naratif politik baharu di negara ini.  Sememangnya politik Malaysia dan tentunya Sabah mempunyai corak politik yang cukup berwarni warni, namun bukan semestinya semuanya boleh dibanggakan. Ia terkenal dengan politik kepartian yang acapkali mencabar penerimaan berpaksi integriti dan keadilan kepada pemilih.

Kemenangan Alias Haji Sani di DUN Sekong sewaktu PRN 2020 melambangkan penerimaan rakyat terhadap Politik Budiman. Pemilih bukan semata melihat kepada parti tapi kepada calon yang diketengahkan. Keunikan utama dalam pilihanraya kali ini di Sekong adalah pemilihan pengundi bukan semata berasaskan parti tapi lebih kepada paksi ketokohan calon. Apa yang berlaku di DUN Sekong kali ini perlu dilihat dari sudutpandang yang bersifat lokal dan tidak semata kepada senario politik Sabah secara amnya.

Persoalan sama ada kemenangan di N53 Sekong satu yang hanya akan berlaku sesekali sahaja akan ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri. Rakyat Sabah telah melalui proses politik yang cukup menarik, penuh drama dan menyaksikan konflik politik yang tiada noktah setiap kali PRU mahupun PRN. Politik Budiman yang dibawa oleh Alias Haji Sani suatu yang segar dan merangkum usaha Fiqh Sabahi yang diangkat bagi memberi rahmah kepada semua. Sudah sampai masa Malaysia dan Sabah punya para pemimpin yang budiman, yang bukan sahaja berotak tapi berwatak.

 

 

 

RUJUKAN

Alias Haji Sani, https://www.facebook.com/BinaSemulaSekongN53/about/?ref=page_internal, 23 September 2020.

Alias Sani Supporter, https://www.facebook.com/N53SEKONG/photos/pcb.103308344868904/103308138202258/

Arif Aizudin Azlan & Zulkanain Abdul Rahman (2020). “Teori Persaingan Parti Dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah, Malaysia”, Jurnal UMCedel, Vol. 4, Bil. Jan-Dis 2020, hlm. 19-38.

“Calon BN DUN Sekong, Hazulizah fokus pendidikan, kebajikan rakyat”, Utusan Borneo, 11 September 2020, https://www.utusanborneo.com.my/2020/09/11/calon-bn-dun-sekong-hazulizah-fokus-pendidikan-kebajikan-rakyat

Chab, T.S. (2020), “Warisan Plus in Government: A Retrospective from the Campaign and Beyond”, dlm. Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD, hlm. 21-38.

 “DUN Sabah bubar hari ini.”, Berita Harian, 30 Julai 2020. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716316/dun-sabah-bubar-hari-ini

FB Barisan Nasional, 13 September 2020, https://www.facebook.com/barisanasional/posts/ini-calon-kitahazulizah-mohd-dani-calon-barisan-nasional-untuk-rakyat-sabah-n53-/3247878831992946/.

FB Parti Cinta Sabah N53 Sekong, 11 September 2020, https://www.facebook.com/100291628496030/posts/memperkenalkan-calon-parti-cinta-sabah-saudari-sitti-nurul-ain-sahidah-binti-pit/100294258495767/

Govindasamy, A.R. (2020), “The Sabah State election: A Narrow Win and Precarious Mandate for the New Government”, ISEAS, Issue: 2020, No. 131.

“I’m not a terrorist, says Sekong candidate”, The Star, 14 September 2020. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/09/14/im-not-a-terrorist-says-sekong-candidate.

Joeman, B, Dino, N. dan Asraf Sharafi (2020), “Voices of Civil Society Organisations in Sabah Politics”, dlm. Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD, hlm. 83-94.

Junaidi Awang Besar & Amer Saifude Ghazali, “Pilihan Raya Kecil Kimanis, Antara identifikasi Parti Dengan Kelangsungan Politik Pembangunan”, ”, Jurnal UMCedel, Vol. 4, Bil. Jan-Dis 2020, hlm. 76-94.

'I am not a terrorist', says Warisan's Sekong candidate”, The Star, 13th September 2020, https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/09/13/039i-am-not-an-extremist039-says-warisan039s-sekong-candidate.

ILHAM Centre (2020), Ringkasan Eksekutif Pola Pengundian Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, 25 September, 2020.

"Lima wakil rakyat Warisan digugurkan untuk beri laluan muka baru". Astro Awani, 10 September 2020, https://www.malaysiakini.com/news/542093.

Mohd Fudzail Mohd Nor (2021), “Kepelbagaian menurut Siddiq Fadzil”, Malaysiakini, 2 September 2021. https://www.malaysiakini.com/news/589586.

Mohd Noor Mat Yazid & Md Shafie Abdul Rahim (2019). “Berakhirnya Simpanan Tetap Barisan Nasional dan Bermulanya Kuasa Politik Baru di Negeri Sabah”, dlm. Zulkanain Abdul Rahman, Rosmadi Fauzi dan Amer Saifudi Ghazali (peny.), Pilihan Raya Umum ke 14, Isu dan Cabaran Malaysia Baharu. KL: Penerbit UM.

Mohd Noor Mat Yazid (2019). “Pencapaian BN dalam Parlimen Negeri Sabah dalam PRU 12, 13 dan 14”, dlm. Zulkanain Abdul Rahman, Rosmadi Fauzi dan Amer Saifudi Ghazali (peny.), Pilihan Raya Umum ke 14, Isu dan Cabaran Malaysia Baharu. KL: Penerbit UM.

Mohd Rahimin Mustafa (2020), “Islam and Muslim Politics in Sabah’s 2020 State Election”, dlm. Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD, hlm. 305-327.

“Musa dakwa peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan baharu Sabah.”, Berita Harian, 29 Julai 2020. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716142/musa-dakwa-peroleh-majoriti-mudah-bentuk-kerajaan-baharu-sabah

"Parti Warisan Sabah is new name of Shafie-led party", Bernama. The Sun. 17 Oktober 2016.

“Pemimpin parti Amanah sertai Warisan kerana ingin parti tempatan”, Borneo Today, 2 Februari 2018, https://www.borneotoday.net/pemimpin-parti-amanah-sertai-warisan-kerana-ingin-parti-tempatan/.

“Perkhidmatan singkat sebagai ADUN, banyak perancangan tertangguh”, Utusan Borneo, 15 Ogos 2020, https://www.utusanborneo.com.my/2020/08/15/perkhidmatan-singkat-sebagai-adun-banyak-perancangan-tertangguh.

 “PRN Sabah: WARISAN yakin rakyat faham visi, misi dibawa”,Berita Harian. 16 September 2020, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/731943/prn-sabah-warisan-yakin-rakyat-faham-visi-misi-dibawa

Profil Alias Haji Sani (WARISAN)

"Sabah lists 42 ethnic groups to replace 'lain-lain' race column". The Malay Mail, 13 February 2015,  http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/sabah-lists-42-ethnic-groups-to-replace-lain-lain-race-column

“Sekong candidate not a terrorist, says Shafie”, Daily Express, 15 September 2020. http://www.dailyexpress.com.my/news/158384/sekong-candidate-not-a-terrorist-says-shafie.

 “Sekong candidate lodges police report over YouTube video alleging terrorist links.”, The Star, 16 September 2020. https://headtopics.com/my/sekong-candidate-lodges-police-report-over-youtube-video-alleging-terrorist-links-15678078

“Shafie Apdal angkat sumpah Ketua Menteri”, Berita Harian, 12 Mei 2018, https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/424866/shafie-apdal-angkat-sumpah-ketua-menteri

Shaharuddin Badaruddin (2016). Masyarakat Madani dan Politik. SA: IDE.

Siddiq Fadzil (2016), Pembinaan Bangsa : Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan. SA: IDE.

Siddiq Fadzil (2019). Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai. SA: IDE.

SPR, 2020

Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD.

 PROFIL PENULIS

Hamdan bin Mohd Salleh. Profesor Madya di Jabatan Sains Sosial, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS) Universiti Selangor (Unisel). Beliau juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) dan Pengarah Institut Kajian Pilihanraya dan Pemajuan Demokrasid (IESAD) Unisel.

Rashidin Idris, Calon Pelajar PhD Psikologi Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penolong Kanan HEP, Akademi Integrasi Tahfiz Al-Falah, Rawang Selangor.

 



[1]“Shafie Apdal angkat sumpah Ketua Menteri”, Berita Harian, 12 Mei 2018, https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/424866/shafie-apdal-angkat-sumpah-ketua-menteri

[2]  "Parti Warisan Sabah is new name of Shafie-led party", Bernama. The Sun. 17 Oktober 2016.

[3] “Musa dakwa peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan baharu Sabah.”, Berita Harian, 29 Julai 2020. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716142/musa-dakwa-peroleh-majoriti-mudah-bentuk-kerajaan-baharu-sabah

[4] “DUN Sabah bubar hari ini.”, Berita Harian, 30 Julai 2020. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/716316/dun-sabah-bubar-hari-ini

[5] Govindasamy, A.R. (2020), “The Sabah State election: A Narrow Win and Precarious Mandate for the New Government”, ISEAS, Issue: 2020, No. 131, hlm. 3.

[6] "Lima wakil rakyat Warisan digugurkan untuk beri laluan muka baru". Astro Awani, 10 September 2020, https://www.malaysiakini.com/news/542093.

[7] SPR, 2020.

[8] "Sabah lists 42 ethnic groups to replace 'lain-lain' race column". The Malay Mail, 13 February 2015,  http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/sabah-lists-42-ethnic-groups-to-replace-lain-lain-race-column

[9] Siddiq Fadzil (2019). Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai. SA: IDE, hlm. 2. Lihat juga Siddiq Fadzil (2016), Pembinaan Bangsa : Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan. SA: IDE.

[10] Dipetik dari Syarahan Tokoh Maal Hijrah 2018.

[11] Siddiq Fadzil (2019), “Beberapa Kendala dalam Proses Pembinaan Bangsa: Islam dan Masyarakat Majmuk”, Wadah Utara, http://wadahutara.blogspot.com/2019/01/beberapa-kendala-dalam-proses.html

[12] Dipetik dari Mohd Fudzail Mohd Nor (2021), “Kepelbagaian menurut Siddiq Fadzil”, Malaysiakini, 2 September 2021. https://www.malaysiakini.com/news/589586.

[13] SPR, 2018.

[14] Dokumen DUN N53 Sekong Memilih.

[15] “Perkhidmatan singkat sebagai ADUN, banyak perancangan tertangguh”, Utusan Borneo, 15 Ogos 2020, https://www.utusanborneo.com.my/2020/08/15/perkhidmatan-singkat-sebagai-adun-banyak-perancangan-tertangguh.

[16] “Pemimpin parti Amanah sertai Warisan kerana ingin parti tempatan”, Borneo Today, 2 Februari 2018, https://www.borneotoday.net/pemimpin-parti-amanah-sertai-warisan-kerana-ingin-parti-tempatan/.

[19] Govindasamy, A.R. (2020),hlm. 5.

[20] “PRN Sabah: WARISAN yakin rakyat faham visi, misi dibawa”,Berita Harian. 16 September 2020, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/731943/prn-sabah-warisan-yakin-rakyat-faham-visi-misi-dibawa

[21] “Calon BN DUN Sekong, Hazulizah fokus pendidikan, kebajikan rakyat”, Utusan Borneo, 11 September 2020, https://www.utusanborneo.com.my/2020/09/11/calon-bn-dun-sekong-hazulizah-fokus-pendidikan-kebajikan-rakyat

[22] “I’m not a terrorist, says Sekong candidate”, The Star, 14 September 2020. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/09/14/im-not-a-terrorist-says-sekong-candidate.

[23] “Sekong candidate not a terrorist, says Shafie”, Daily Express, 15 September 2020. http://www.dailyexpress.com.my/news/158384/sekong-candidate-not-a-terrorist-says-shafie.

[24] “Sekong candidate lodges police report over YouTube video alleging terrorist links.”, The Star, 16 September 2020. https://headtopics.com/my/sekong-candidate-lodges-police-report-over-youtube-video-alleging-terrorist-links-15678078

[25] Mohd Rahimin Mustafa (2020), “Islam and Muslim Politics in Sabah’s 2020 State Election”, dlm. Welsh, B. , Somiah, V. & Benjamin YH Loh (eds). (2021). Sabah From The Ground, The 2020 Elections & The Politics of Survival. PJ: SIRD, hlm. 319.

[26] Alias Sani Supporter, https://www.facebook.com/N53SEKONG/photos/pcb.103308344868904/103308138202258/


Tiada ulasan:

Advocating for People with Disabilities (PWD) in Islam

dari ChangkatNingkeBTP   This article explores the Islamic perspective on advocating for people with disabilities (PWD), highlighting the ...