Dari BA ke Pakatan Harapan .... Apakah ada harapan kepada Oposisi?
Sejak kebelakangan ini politik kepartian Malaysia sedang dan telah menyaksikan beberapa isu menarik yang ada yang telah dijangka dan ada yang tidak tersangka oleh para marhain di Malaysia. Untuk lebih spesifik, kebelakangan ini merujuk kepada apa yang berlaku selepas PRK Permatang Pauh versi 2015.
Antara berita mega tentunya perubahan kabinet yang menyaksikan dua tokoh besar UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Shafie Afdhal di”sabatikal”kan kerana isu berkaitan kritikan mereka terhadap 1MDB. Berita kedua tentunya apa yang berlaku di dalam pemilihan PAS sempena Muktamarnya di Kuala Selangor. Maka lahirlah Geng 18 yang ditolak bersih (minus 1) oleh perwakilan PAS. Berita ketiga tentu goyangnya kerusi panas YAB MB Selangor yang sememangnya terkenal dengan panas atau “hot seat” sedari dulu. Kerusi inis sememangnya tidak pernah sejuk. Ditambah pula dengan Kajang Move hingglah ke perceraian PAS-DAP yang tentunya memberi impak yang bukan kecil kepada hayat pemegang kerusi ini. Berita-berita lain tentunya melibatkan warna KUNING dan MERAH. Perhimpunan kedua-dua warna ini memberikan petanda bahawa Malaysia masih belum beredia untuk matang dalam berpolitik. Dengarnya pula ada ura-ura Geng Hijau, Ungu dan mungkin geng spender biru (benar kah?) akan turun ke gelanggang. Meriah sungguh warna-warni KL nanti jika ia jadi kenyataan. PINK tidak berminat kah untuk ke gelanggang? Jika berlaku, agaknya inilah “Rainbow Nation” yang dicita-citakan selama ini.
Saya ingin fokus kepada satu isu dari beberapa isu yang diberitakan. Isu berkaita dengan Oposisi dan masyarakat sivil. Jadinya berita-berita di atas semuanya berkait. Terutama berkenaan politik kepartian dan Oposisi. Istilah Oposisi atau lebih terkenal di Malaysia sebagai Pembangkang ini menjadi isu besar terutama sejak munculnya istilah Tsunami Politik pada PRU 2008. Oposisi secara bahasa mudahnya adalah parti politik yang tidak berkerajaan dan punya hasrat ingin menggantikan kerajaan yang sedia ada. Parti-parti politik sebegini tidak selesa semata-mata sebagai pembangkang. Keadaan ini jarang berlaku di Malaysia yang punya 114 buah parti politik sepanjang sejarahnya. Selain komponen BN atau PERIKATAN, parti-parti politik lain hanyalah berfungsi sebagai pembangkang semata-mata. Jika adapun sebelum 2008 adalah sewaktu era SEMANGAT46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau antara yang awal bercita-bercita sebagai PM yang bukan dari regim sedia ada. Lahirlah APU dan Gagasan Rakyat. Dua pakatan yang boleh diklasifikasikan sebagai “coalition of convenience” yang kerap jadi “inconvenience. PRU kali ke-8 pada 1990 menyaksikan pembangkang memperolehi 46.6% undi popular peringkat Parlimen. Ini merupakan peningkatan 5% berbanding PRU ke-7 pada 1986.
Namun, pakatan ini tidak lama. Ini disebabkan kegagalan menyatukan 2 proksi utama iaiatu PAS dan DAP hingga akhirnya terpaksa memisahkan mereka menerusi APU dan Gagasan Rakyat. APU berjaya bertapak di Pantai Timur Semenanjung terutama Kelantan hingga membawa kepada kejayaan menubuhkan kerajaan negeri Kelantan sewaktu PRU 1990 berkenaan. Usia APU dan Gagasan Rakyat tidak lama apabila Tengku Razaleigh kembali ke UMNO pada tahun 1996. Namun PAS berjaya mengekalkan Kelantan hingga ke hari ini menerusi antara lain kesan aura dan karisma Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PRK 2008 mengubah segala persepsi dan lanskap politik Malaysia. Ia lahir seawal 1998. Bukan sahaja kerana pemecatan Anwar Ibrahim, tetapi sedikit awal dari itu. Ia merupakan peranan masyarakat sivil terutama ketika kes perbicaraan dan pemenjaraan Lim Guang Eng. Stigma politik berpaksi kaum mula menyaksikan perubahan kecil waktu itu. Terutama pabila foto Mat Sabu mengangkat tangan LimGuang Eng menjadi memes yang diingat waktu itu. PRU 1999 menyaksikan lahir Barisan Alternatif. Kali ini gabungan 4 parti iaitu PKN/KEADILAN, PAS, DAP dan PRM, Satu lagi usaha untuk menjadi Oposisi yang efektif dan akhirnya mampu menumbang kerajaan sedia ada menerusi Pilihanraya. Kelantan kekal dan Terengganu pula dirampas oleh BA. Namun, Sarawak dan Sabah sukar ditembusi oleh BA. Menjelang PRU 2004, PAS dan DAP kembali bercakaran dan akhirnya BA cuma tinggal KEADILAN/PKR (bergabung dengan PRM) dan PAS. Dengan ketiadaan Anwar Ibrahim yang pengaruhnya semakin pudar dek lama terpenjara, BA gagal dipertahankan. DAP membuat pendirian untuk bersendiri akibat tidak sebulu dengan PAS tentang isu hudud. Dalam erti kata lain, mereka kembali menjadi pembangkang. PRU 2004 membuktikan kesan amat buruk kepada parti-parti pembangkang ini, Kesemuanya tewas teruk dan Kelantan sendiri hampir dirampas semula oleh BN.
Anwar Ibrahim dibebaskan pada 2006. Ia memberi nafas baru kepada parti-parti pembangkang. Terapat usaha Anwar Ibrahim pada awalnya dimana beliau cuba menyatukan parti-parti pembangkang yang ada di Sarawak menjelang PRN 2006. Terdapat sedikit perubahan sokongan di sana namun agak kecil. Menjelang PRU 2008, sekali lagi KEADILAN, PAS dan DAP disatukan menerusi “coalition of convenience”. Hasrat utama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dengan BN. Sekali lagi tumpuan mereka hanya di Semenanjung Malaysia. Mungkin kerana senario dan iklim berbeza di Sabah dan Sarawak menyebabkan parti-parti ini leboh memberi fokus di Semenanjung sahaja. Hasrat untuk merampas Putrajaya agak jelas terutama oleh KEADILAN. Sejarah menunjukkan PRU 2008 mencipta sejarah cukup besar.
(i) BN buat pertama kalinya dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen
(ii) Munculnya istilah Tsunami Politik
(iii)Lahirnya Pakatan Rakyat selepas PRU 2008
(iv) Kelantan kekal di bawah PAS dan empat lagi negeri jatuh ke tangan PR.
Maka bermulalah waktu itu secara rasmi sebuah pakatan politik pembangkang yang benar-benar boleh dianggap boleh dinaiktaraf sebagai Oposisi. Bukan sahaja hanya sebagai pembangkang, malah sebagai pengimbang dan alternatif kepada kerajaan Persekutuan yang sedia ada. PRU 2013 membuktikan keputusan PRU 2008 hanya sebagai kebetulan. Malah, kejayaan pakatan Opsosisi (PR) memperolehi undi popular 52% dengan BN hanya memperolehi 47% adalah satu petanda yang cukup baik bahawa Malaysia sedang menuju politik matang yang berpaksikan sistem dua parti. Ia lahir sedekad selepas dua peristiwa pada tahun 1998 yang melahirkan semula politik baru di Malaysia. Namun, sekilas pandang tumpuan Oposisi ini masih rata-rata di Semenanjung Malaysia. Walaupun PR menang beberapa kerusi di Sabah dan Sarawak, ia masih belum dapat bertapak sepenuhnya di sana. Ini sesuatu yang perlu diteliti dan dianalisas sedalamnya oleh pimpinan parti-parti berkenaan.
Kembali semula ke era 2015. Beberapa ironinya cukup menarik. Anwar Ibrahim kembali terpenjara. PAS dan DAP kembali bertelingkah. Pakatan Rakyat akhirnya terkebur seperti BA sedekad lebih dahulu. Dan tentunya parti-parti politik Oposisi masih kekal berpaksi di Semenanjung Malaysia. Mereka masih tercari-cari formula untuk itu. Jika benar-benar ingin menggapai Putrajya, isu inilah yang sepatutnya ditangani.
Dari sebalik semua itulah, lahirlah Parti Amanah Negara (PAN) pada Hari Malaysia 2015. Kelahiran PAN tentunya tidak dapat dielak akibat pergeseran dalaman PAS yang boleh ditermakan sebagai “point of no return”. Tidak lama sangat selepas itu sekonyongnya tiba-tiba lahir pula PAKATAN HARAPAN (PH @ HARAPAN?) pada 22 September 2015. Pakatan baru ini dianggotai oleh KEADILAN, DAP dan PAN. Hasratnya untuk merampas Putrajaya dan PMnya pula Anwar Ibrahim. BA dulunya dianggotai oleh KEADILAN, PAS, DAP dan PRM. PR pula dulu dianggotai KEADILAN, PAS dan DAP. Kedua-dua BA dan PR juga punya matlamat untuk menumbangkan BN di Putrajaya dan Perdana Menteri yang mereka cadangkan juga adalah Anwar Ibrahim.
Sekilas pandang, tiada apa yang baru dan tiada apa yang menarik. Tentunya juga tiada juga formula untuk mengukuhkan pengaruh di Sabah dan Sarawak. Disini bermulanya persoalan-persoalan yang perlu dirungkai. Analisa mendalam tentang kegagalan PR juga perlu dirungkai seluasnya. Beberapa persoalan menarik perlu dicari jawapannya:
(i) Mengapa begitu awal menubuhkan PH selepas tamatnya PR?
(ii) Apakah kelemahan-kelemahan PR telah diteliti terutama kelemahan dalam pelaksanaan dasar bersama dan dijadikan panduan untuk PH menjadi lebih baik dari PR?
(iii) Apakah PH ini benar-benar inklusif dan melibatkan semua kelompok rakyat Malaysia?
(iv) Apakah kesan dengan tiadanya PAS di dalam PH ini?
(v) Mampukah PH benar-benar menjadi satu alternatif atau pengganti terbaik di Putrajaya?
Amat mustahak bagi pimpinan dalam gabungan Pakatan harapan untuk berhadapan dengan lima persoalan di atas yang perlu dicari solusi dan dirungkai jawapannya.
Parti-parti politik dalam PR pernah menubuhkan Sekretariat PR. Pada awalnya ia diketuai oleh Datuk Zaid Ibrahim. Apabila Datuk Zaid meninggalkan KEADILAN dan menubuhkan KITA, Sekretariat ini seolah-olah tenggelam dan tidak aktif. Antara kesukaran penubuhan secara rasmi PR adalah ia hanya dianggotai oleh tiga buah parti komponen sahaja. Berbanding BN yang mempunyai 13, PR menghadapi masalah untuk menubuhkan secara rasmi pakatan berkenaan kerana sekurangnya memerlukan tujuh buah parti politik sebelum diterima oleh SPR. Tindakan menubuhkan Pakatan Harapan pada 22 September berkenaan telah menimbulkan rasa hairan bukan sahaja oleh pemerhati politik malahan di kalangan pimpinan parti seperti KEADILAN. Sepatutnya pakatan baru ini dilancarkan secara lebih bersedia dengan membawa masuk beberapa parti politik lain terutama dari Sabah dan Sarawak. Malah, PSM dan parti baru NewGen sepatutnya diterima bersama PAN untuk sama-sama menyertai pakatan berkenaan. PRM dan mungkin KITA juga patut turut dipertimbangkan untuk menjadi sebahagian dari PH. Selain itu, tentunya parti-parti politik di Sabah serta Sarawak sewajarnya turut dibawa masuk dan berperanan secara sama taraf terutama SAPP. Sekiranya berlaku, jikapun PAS enggan menyertainya, sekurangnya PH sudah ada 8 buah parti politik dan tentunya memudahkan proses untuk menjadi pakatan politik kepartian yang benar-benar inklusif. Dalam hal ini, PH telah melepaskan peluang awal untuk membina satu persepsi bahawa ia satu pakatan yang inklusif. Molek sebenarnya jika sewaktu diumumkan, terdapat parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak turut serta. Sudah sepatutnya sikap “abang besar” kepada mereka di Sabah dan Sarawak ditinggakan.
Memandangkan PH telahpun ditubuhkan, pakatan ini perlu belajar dari kelemahan-kelemahan PR dalam mentadbir negeri-negeri di bawah penguasaannya. Tidak dinafikan ketiga-tiga (pada mulanya lima) negeri yang dikuasai PR dikenali sedang ditadbirurus dan ditatakelola dengan baik terutama dalam aspek integriti. Namun, keleahan ketara sejak sewaktu punya lima negeri adalah gagalnya mewujudkan satu sistem pentadbiran yang standard di kalangan kesemua lima negeri berkenaan. Walaupunn pada mulanya ada mesyuarat di kalangan kelima-lima ketua kerajaan, pertemuannya ia sangat tidak konsisten dan setiap negeri melaksanakan kaedah pentadbiran secara bersendiri. Dasar-dasar yang dilaksanakan tidak melambangkan satu pakatan yang kolektif. Jika dibandingkan dengan BN, PR tidak menampakkan satu kerangka yang boleh dijadikan panduan bagi setiap negeri yang ditadbirnya. Kebiasaannya negeri-negeri ini mengikut kaedah dan corak pentadbiran penerajunya. Keadaan ini kerap menimbulkan konflik dalaman sepertimana yang berlaku di Kedah sewaktu pimpinan Allahyarham Datuk Seri Azizan Razak serta Selangor ketika diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim. Keadaan yang sama juga dialami di Terengganu sewaktu era BA hingga mengakibatkan BA dan PAS hanya mampu sepenggal menerajui kerajaan negeri berkenaan. Jika PH benar-benar serius untuk menjadi pakatan Oposisi yang mampu memberi alternatif, sudah sampai masa kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang mempunyai kerangka dasar yang bersama. Ini mungkin sukar, namun jika masih kekal dengan cara yang sama makanya tiada yang baru yang boleh ditawarkan oleh PH.
Berbicara tentang dasar, beberapa kelemahan ketara sejak 2008 adalah perjuangan dan pelaksanaan dasar yang tidak holisitik. Benar, dasar-dasar yang diperjuangkan menarik minat rata-rata rakyat Malaysia. PR memperjuangkan antaranya keadilan, memerangi rasuah, mewujudkan integriti, kesaksamaan ekonomi dan menolak kezaliman. Namun, setelah 7 tahun dan dengan niat membara untuk menurunkan BN di federal, adakah semua ini cukup holisitik. Buku Jingga yang dicanang sebagai matlamat utama PR tidak terlaksana secara baik di peringkat negeri-negeri yang dikuasai PR. Beberapa dasar penting namun dianggap bukan tumpuan oleh PR waktu itu adalah dasar pendidikan, luar bandar dan OKU. Rata-rata pimpinan mampu mengkritik dasar kerajaan federal mengenai pendidikan tinggi namun gagal menunjukkan contoh yang gemilang di IPT-IPT milik negeri yang diperintah PR. IPT-IPT ini sekadar ada malah ranking turut merosot berbanding pra-2008. Khalayak sedia maklum, dasar pendidikan tinggi persekutuan mempunyai asas dan kerangka tersendiri menerusi KPT, MQA dan institusi-institusi lain. Namun, apakah yang dilaksanakan oleh Selangor umpamanya bagi membuktikan PR punya dasar jelas mengenai dasar pendidikan tinggi? Negeri ini mempunyai tiga IPT nya sendiri dan peluang ini dilihat gagal diambil untuk membuktikan bahawa dasar PR mampu meningkatkan martabat IPT-IPT berkenaan.
Dasar OKU lebih mendukacitakan. DAP dan PAS sewaktu di dalam PR secara berasingan mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyantuni OKU. DAP melaksanakannya menerusi beberapa NGOnya terutama sejak 2012 menerusi aktiviti rehabilitasi dan memperkasa OKU. PAS lebh dominan menerusi ceramah khusus mengenai OKU, punyai wakil OKU sebagai pembahas di dalam muktamar mereka serta penubuhan Sekretariat OKU tersendiri. Ini ditambah dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz sendiri yang kerap dilihat sebagai antara pejuang OKU sewaktu menerajui Kelantan. Agak kebekang adalah KEADILAN yang ternyata tidak mepunyai kerangka dasar tentang OKU yang jelas selain dasar biasa yang telah lama dilaksanakan oleh kerajaan BN terutama dari sudutpandang pemberian kerusi roda. Keadaan ini boleh diterjemah setiap ali bajet negeri Selangor dibentangkan. Amat sedikit penekanan dan peruntukkan kepada OKU. Dasar OKU negeri Selangor juga tidak konsisten dan jauh dari inklusif. Tambah malang, isu OKU ini hebat dibicarakan menjelang PRU 2013. Manifesto PR waktu itu terlepas pandang bukan sahaja dasar, malah logo OKU itu sendiri tiada di muka depan manifesto yang punya puluhan logo-logo lain. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan komuniti, pejuang dan keluarga yang punya ahli keluarga OKU.
Ini tentunya dapat diselesaikan andai PR dulunya punya kabinet bayangan terutama selepas 2008. Kabinet bayangan ini tentunya dapa menyelesaikan kemelut dasar-dasar terpinggir kerana setiap kementerian pasti mempunyai pemantau di kalangan ahli kebinet bayangan. Jika calon perdana menteri telah ada sedari awal, mengapa tiada menteri-menterinya? Setiap dasar yang diperkenalkan oleh BN boleh dan patut dipantau, diimbang oleh ahli-ahli Parlimen PR di Parlimen. Prosesnya bukan mudah kerana parti-parti gabungan ini mempunyai halatuju yang pelbagai. Namun jika diperhalusi sejak PRU ke-12 2008 dengan mengambilkira menifesto dan cubaan melaksana Buku Jingga, pasti secara berkala kabinet bayangan ini menjadi penandaaras kesediaan PR untuk menjadi Oposisi yang bersedia menjadi teraju kerajaan federal. Kabinet bayangan yang menjadi isu dalam diskusi politik matang, perlu dilaksanakan oleh PH jika benar-benar serius untuk memberi nafas baru kepada politk pakatan di kalangan parti-parti yang tidak memerintah. Jika ini tidak berlaku, maka boleh disimpulkan bahawa tiada ada bedanya antara PH sekarang dengan PR dan BA dulunya.
Akhir kalam, PH punya cabaran yang sangat besar dan perlu meyakinkan pengundi yang semakin matang dan mampu menilai antara realiti atau retorika. Penilaian terhadap PH pasti sudah bermula. HARAPAN ....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan