Langkau ke kandungan utama

Pemilihan MPT KEADILAN 2010: Percaturan Sudah Bermula

dari ChangkatNingkeBTP

Artikel Saya Yang Tersiar Dalam Suara Keadilan Pada 21 Oktober 2010


Oleh Hamdan M. Salleh   
pemilihan-PKRPemilihan KEADILAN 2010 nampaknya semakin mendapat perhatian, baik yang positif mahupun negatif. Akhbar Sunday Star tanggal 17 Oktober menjadikannya berita utama muka depan. Sinar Harian sejak daripada MATC memberi kolum dan ruang khusus untuknya.

Malah media cetak yang dipersepsikan pro-BN seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian serta New Straits Times turut berminat. Begitu juga warkah Cina dan Tamil memberi ruang membincangkan Pemilihan KEADILAN.
Media baru seperti Malaysiakini, MalaysianInsider malah media sesawang kelolaan Raja Petra, Malaysia Today amat jelas berminat dengan proses ini. Para blogger seperti biasa  mengeluarkan pelbagai analisa dan kisah hebat tentang apa yang berlaku.

Tentunya proses yang berlaku dalam KEADILAN ini suatu perkembangan yang besar dan menarik minat. Mengapa? Kerana proses Pemilihan KEADILAN ini unik dek kerana uniknya parti ini.

Ini perlu diakui, unik tidak bermakna semuanya baik-baik sahaja. Unik juga tidak membawa maksud semuanya negatif semata-mata. Keunikan ini terhasil dari pelbagai peristiwa yang berlaku dalam KEADILAN. Positif dan negatif. Itu maksud unik.

Jadi bila artikel ini serta artikel-artikel terdahulu mengatakan bahawa KEADILAN itu parti yang unik, bukanlah kerana ingin memuji KEADILAN semata-mata.

Tanggal 16 Oktober menamatkan spekulasi tokoh-tokoh mana yang akan menawarkan diri sejak bermulanya Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC). Sudah jelaslah siapa yang bersedia untuk bertanding sama ada dari peringkat Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Wanita dan AMK serta dua puluh kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sejumlah 26 jawatan utama yang akan dipilih oleh semua ahli KEADILAN. Pemilihan MPP nampaknya turut menarik minat ramai hingga menyaksikan 135 tokoh telah disahkan bertanding apabila tempoh penamaan calon tamat pada 16 Oktober tersebut.

Terdapat juga pelbagai kejutan apabila melihat senarai nama mereka yang bertanding. Seperti dijangka jawatan Presiden yang disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dipertandingkan apabila tiada yang mencalonkan diri.

Kerusi panas Timbalan Presiden yang layak ditandingi oleh tujuh calon pula hanya menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Kerusi Naib Presiden yang menawarkan tiga tempat pula menampakkan ramai peminat terutama tokoh-tokoh yang merasakan sudah sampai masa mereka “naik pangkat” dalam parti itu. Sembilan belas calon pelbagai peringkat dan golongan telahpun menawarkan diri untuk jawatan itu.

Inilah pusingan kedua proses Pemilihan KEADILAN 2010. Proses pertama tamat apabila tamatnya proses pengundian pimpinan Cabang serta selesainya MATC pada pertengahan Oktober 2010.

Pusingan pertama nampaknya dihiasinya dengan adegan penuh warna-warni. Banyak persepsi berubah bila tamatnya proses pertama tempoh hari. Negatif dan positif. Ada yang baik, ada yang buruk. Persepsi itu biasa dalam politik kerana dalam politik persepsilah memenangkan sesebuah parti politik.

Inilah masanya KEADILAN memperbaiki apa yang tidak kena sewaktu proses pemilihan Cabang serta pencalonan tertinggi. Itu perkara biasa. Semua perlu maklum kerana pemilihan Satu Ahli Satu Undi pertama kali berlaku di Malaysia.

Tentunya berlaku masalah dan mesti diperbaiki. Masalah-masalah seperti pergaduhan kecil, pencalonan tidak sampai, senarai keahlian tidak lengkap, masalah pengurusan proses mengundi dan tentunya ketelusan JPP perlu diambil perhatian serius.
Isu-isu negatif ini jika berulang sewaktu pengundian pimpinan tertinggi kali ini akan memberi impak negatif yang serius kepada keahlian. Itu sudah pasti. Oleh itu, Jawatankuasa Pemilihan parti (JPP) yang bertindak sebagai SPR KEADILAN perlulah melihat rungutan-rungutan sewaktu pengundian tempoh hari kerana nama baik dan survival KEADILAN amat penting untuk dipelihara.

Tiada guna seseorang tokoh itu memenangi jawatan dalam Pemilihan KEADILAN 2010 ini jika ia dipersepsikan sebagai tidak telus dan berintigriti . Amaran calon Timbalan Presiden, Azmin Ali yang menyatakan bahawa pimpinan tertinggi akan bertindak terhadap calon-calon yang tidak telus, menggunakan taktik kotor serta politik wang dalam berkempen amat kena masanya.

Begitu juga cadangan Mustaffa Kamil Ayub yang meminta diadakan sistem cap jari serta diwajibkan calon mengemukakan penyata belanjawan kempen. Ini juga perlu dijadikan peraturan agar pemilihan bukan sahaja nampak bersih tetapi memang telus dan berintegriti. Pelbagai rungutan dari tokoh-tokoh lain yang bertanding seperti Zaid Ibrahim dan Gobalakrishnan juga perlu diambil perhatian dan jangan dianggap seperti pepatah “membuka pekung di dada”.

Inilah peluang JPP membuktikan ketelusan dalam mengendalikan pengundian dalaman. Ingat juga bahawa SPR acap kali dikritik oleh kEADILAN. Justeru itu, buktikanlah bahawa JPP Pemilihan KEADILAN 2010 lebih telus dan beringriti dari SPR itu sendiri. Ketelusan JPP akan mengubah persepsi semua dan semestinya satu yang penting ke arah demokrasi tulen yang dicanang KEADILAN.

Berbalik kepada PEMILIHAN KEADILAN 2010. Perebutan jawatan Timbalan Presiden adalah seperti dijangka. Walaupun tujuh yang layak, cuma tiga yang akan bertanding. Dua Naib Presiden, Azmin dan Mustaffa serta Datuk Zaid Ibrahim memang telah dijangka. Apa yang tidak terjangka adalah Tan Sri Khalid Ibrahim.
Agak mengejutkan apabila beliau tiba-tiba menawarkan diri sebaik sahaja memenangi pertandingan Cabang Keluar Selangor. Tambah mengejutkan juga bila beliau tidak pula menghantar borang pencalonan. Maknanya beliau tidak mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.

Tentunya ada calon Timbalan Presiden yang menarik nafas lega memandangkan semua sedia maklum pengaruh Tan Sri Khalid di Selangor dan Sarawak. Keputusan Nurul Izzah Anwar untuk tidak merebut jawatan Timbalan Presiden juga adalah satu langkah yang baik.

Bayangkan sekiranya beliau menang. Peluru yang baik untuk parti lawan. Tentunya orang berkata bapanya ketua umum, ibunya Presiden dan beliau Timbalan Presiden. Memang tidak salah, malah bukan Nuruk Izzah tidak layak walaupun masih muda. Namun politik adalah satu persepsi. Apa persepsi orang lain perlu diambil kira.

Perebutan jawatan Timbalan Presiden tentunya di atas kertas akan memenangkan Azmin Ali. Dari sudut pencalonan, popularitinya serta kelebihan-kelebihan lain yang jelas memihak kepada beliau.

Namun, dua calon lain juga mempunyai kelebihan tersendiri. Jika kesetiaan dan senioriti jadi sandaran, Mustaffa Kamil dilihat lebih baik peluangnya. Datuk Zaid walaupun masih baru, profilnya tinggi dan dikenali.

Kelebihan Azmin adalah beliau dilihat orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penentu kemenangan mungkin terletak di Selangor yang mana ahli KEADILAN paling ramai di situ. Peratus keluar mengundi juga paling tinggi di Selangor.

Kelebihan Azmin Ali sebagai Pengerusi Pimpinan Negeri Selangor bukan penentu. Ini kerana Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil juga bermastautin di Selangor. Datuk Zaid sendiri calon Pakatan Rakyat sewaktu Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor tempoh hari. Sudah tentu beliau sudah ada tapak di Selangor.

Aspek lain yang juga perlu diambil kira adalah undi ahli-ahli dari kaum  India. Mengapa? Pertamanya Kaum India dalam KEADILAN adalah seramai 100,000 orang. Satu jumlah yang signifikan.

Faktor kedua yang amat penting adalah peratus keluar mengundi kaum India adalah 60 peratus iaitu kira-kira 60,000 ahli. Pengundi Melayu walaupun jumlahnya sekitar 250,000, peratus keluar mengundi tempoh hari cuma 20 peratus iaitu sekitar 50,000 ahli.

Tambahan pula majoriti ahli dari kaum India datang dari Cabang-cabang di Selangor seperti Hulu Selangor, Kapar, Hulu Langat, Kuala Langat, Kota Raja dan Selayang.

Tentu sekali calon-calon Timbalan Presiden perlu juga menjenguk calon-calon Naib Presiden, Wanita, AMK serta MPP. Dalam keadaan sistem Satu Ahli Satu Undi adalah mustahil calon-calon ini mampu bergerak secara bersendiri.

Tempoh satu bulan ini memerlukan setiap calon Timbalan serta yang lain perlu mencari gandingan masing-masing. Malah, pemilihan peringkat Cabang yang telah dilaksanakan turut menyaksikan kaedah ini dilaksanakan.

Adalah bukan rahsia terdapat calon di peringkat Naib Presiden, Wanita, AMK serta MPP dikaitkan sebagai “orang Azmin” dan “orang Mustaffa Kamil”. Malah ada penganalisis menyatakan bahawa Mustaffa Kamil sendiri mewakili proksi Abim dalam KEADILAN.

Namun jika dilihat secara teliti, Mustaffa Kamil bukanlah mewakili proksi ini. Sokongan kepada beliau menjangkau melepasi kepompong itu.  Malah Yaakob Sapari yang datang dari Abim sendiri jelas meletakkan sokongan kepada Azmin Ali.

Begitu juga jika kita sorot sokongan terhadap Azmin yang rata-rata dikatakan ditunjangi oleh mereka yang Umno. Sivarasa dan Dr Xavier yang turut menyokong Azmin tentunya bukan bekas Umno. Zaid mungkin lebih sesuai dilabelkan sebagai bekas Umno. Tetapi sokongan terhadap beliau nampaknya bukan kerana atas tiket itu.

Tujuh belas calon Naib Presiden yang telah sah bertanding pula nyata pelbagai. Tokoh-tokoh Selangor seperti Yahya Sahri, S Manikavasagam, R Sivarasa, Dr Xavier dan Abdullah Sani Abdul Hamid tentunya mempunyai kelebihan.

Wanita pula mungkin memilih sama ada Fuziah Salleh atau Nurul Izzah. Ahli-ahli KEADILAN di sabah dan Sarawak tentunya terfikir untuk memilih “orang mereka” seperti  Ansari Abdullah, Baru Bian, Dominique Ng dan Jimmy Donald.

Tokoh-tokoh yang lama berbakti seperti N Gobalakrishnan, Tian Chua serta Mansor Othman juga mempunyai kelebihan tersendiri. Golongan muda pula selain mempunyai Nurul Izzah sebagi pilihan, turut akan memberi undi kepada Yusmadi Yusoff dan Jonson Chong.

Calon kurang mendapat publisiti seperti Suresh Kumar juga tidak boleh dipandang sepi atas kapasiti beliau mewakili kaum India yang majoriti keluar mengundinya tinggi.

Pertandingan di peringkat AMK dan Wanita juga nampaknya agak mudah untuk dilihat. Peringkat AMK terutamanya adalah persaingan dua tokoh anak muda.
Shamsul Iskandar sebagai penyandang akan berhadapan secara satu lawan satu dengan Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali dengan nama CheGuBard. Pasukan Reformasi yang diketuai oleh Rafizi yang terlebih dahulu menawarkan diri nampaknya telah menarik diri pada saat-saat akhir. Hasmi Hashim yang pada mulanya turut berkira-kira untuk menawarkan diri juga tidak bertanding kali ini.

Namun, apa yang penting kali ini adalah keperluan AMK untuk distruktur dan diperkasa semula. AMK juga perlu lebih aktif terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Atas sebab itu, walau siapa yang menang perlu sama-sama berganding bahu dengan yang tewas untuk lebih memperkasa anak muda KEADILAN.

Wanita pula menyaksikan calon pilihan dan penyandang, Zuraida Kamaruddin mempunyai kelebihan terhadap dua pencabar beliau iaitu orang lama Animah Ferrar dan orang baru Dr Suraya Sudin.

Kelebihan Zuraida adalah beliau nampaknya disokong oleh pimpinan Wanita secara total. Walaupun demikian, dalam sistem Satu Ahli Satu Undi ini apa pun boleh berlaku.

Sokongan kepada mereka yang bertanding ini juga mungkin berubah sekiranya mereka ini membuat pakatan dengan salah satu calon Timbalan Presiden atau sebaliknya. Keberangkalian seperti ini mungkin berlaku. Makin tinggikah peluang Azmin Ali umpamanya sekiranya beliau memilih Fuziah Salleh, R. Sivarasa dan Mansor sebagai rakan sepasukan dalam Naib Presiden, Zuraidah di Wanita serta Shamsul Iskandar di AMK?

Apa pula reaksi ahli yang mengundi sekiranya Mustaffa Kamil bergandingan dengan Gobalkrishnan, Yahya Sahri dan Tian Chua (Naib Presiden), CheGuBard (AMK) dan Dr Suraya (Wanita)?

Lain pula sekiranya Zaid berpakat dengan Nurul Izzah, Jonson Chong, Dominique Ng atau Ansari Abdullah (Naib Presiden).
Semua itu memainkan peranan menentukan sokongan. Jangan lupa juga siapakah pilihan para penyokong Tan Sri Khalid Ibrahim pula? Semua ini perlu diberi perhatian oleh mereka yang bertanding kali ini.

Perkiraan ini semuanya akan terjawap dalam tempoh 29 Oktober hingga 21 November 2010 akan menjadi penentu siapakah menjadi pilihan ahli-ahli KEADILAN.
Sejumlah 218 Cabang termasuk 13 Jawatankuasa Penaja akan mengadakan pengundian secara berperingkat. Tentunya Kongres Tahunan yang bakal diadakan pada 26 hingga 28 Novenber akan menyaksikan barisan kepimpinan baru KEADILAN yang mereka harapkan akan menjadi pasukan yang cukup mantap dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Walau apa pun dan walau siapa pun yang menang, adalah penting untuk KEADILAN memastikan proses pemilihan yang unik dan bersejarah ini berjalan dengan penuh telus, berintegriti dan dalam suasana persaingan yang sihat.

-------------------------------------------------------------
Hamdan Datuk Mohd Salleh merupakan ahli akademik dan mantan Ketua Jabatan Sains Sosial di Univerisiti Industri Selangor (Unisel) yang mengkhusus dalam bidang sains politik. Kini beliau sedang menyiapkan tesis Doktor Falsafah yang mengkaji KEADILAN sebagai sebuah parti politik oposisi di Malaysia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Di Sebalik Ucapan Anwar — Mampukah KEADILAN Gagah Selepas Luka Sabah, Johor & NS, Menuju Ujian Melaka?

Sebagai seorang yang menjadikan Parti KEADILAN sebagai subjek penyelidikan di peringkat PhD, saya melihat ucapan dasar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka bukan sekadar pidato seorang presiden parti. Ia ialah ucapan seorang pengasas yang sedang melihat partinya berada pada persimpangan paling rumit sejak KEADILAN menjadi kerajaan. Anwar tidak lagi bercakap dari pentas pembangkang. Beliau bercakap sebagai Presiden KEADILAN, Perdana Menteri, ketua Kerajaan Perpaduan dan tokoh yang perlu mengimbangi cita-cita reformasi dengan realiti sebuah kerajaan gabungan. Pada masa sama, ucapan itu disampaikan ketika KEADILAN dan Pakatan Harapan sedang menerima beberapa amaran keras daripada pengundi. Di Sabah, PH hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandingi dalam PRN 2025. Di Johor, PH sekadar memperoleh lapan daripada 56 kerusi, berbanding 48 kerusi yang dimenangi BN. Selepas itu, prestasi PH dalam PRN Negeri Sembilan turut memperlihatkan kemerosotan be...

AMANAH: Banyak Permata, Tetapi Belum Menjadi Mahkota

Ini Catatan Terus Terang Dunia Mendan. Saya menulis catatan ini bukan untuk mengkritik Parti Amanah Negara (AMANAH), jauh sekali untuk memperlekehkan pengorbanan ahli dan pemimpinnya yang masih setia bekerja. Saya menulis kerana AMANAH sedang berhadapan dengan satu persoalan yang semakin sukar dielakkan: Selepas lebih sedekad ditubuhkan, apakah sebenarnya kedudukan AMANAH dalam pemikiran rakyat? Keputusan beberapa pilihan raya negeri memberikan isyarat yang cukup keras. Dalam PRN Melaka 2021, AMANAH bertanding di sembilan kerusi tetapi hanya menang satu menerusi Adly Zahari di Bukit Katil. Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhannya hanya memperoleh lima daripada 28 kerusi, sedangkan Barisan Nasional (BN) menguasai 21 kerusi. Sebelum pilihan raya, terdapat keyakinan bahawa AMANAH mampu memenangi kesemua sembilan kerusi yang ditandinginya. Keputusan sebenar ternyata jauh daripada sasaran tersebut. Dalam PRN Sabah 2025 pula, AMANAH hanya diberikan satu kerusi, iaitu Sulabayan. Calonnya ti...

Perbahasan Kongres KEADILAN 2026 — Berani Bersuara, Tetapi Sudahkah Berani Bermuhasabah?

Saya mengikuti perbahasan para perwakilan dalam Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka dengan satu persoalan besar: adakah kongres ini benar-benar sedang memugar reformasi , atau sekadar mengulangi semula bahasa perjuangan yang semakin kehilangan tenaga politiknya? Kongres kali ini membawa tema “Memugar Reformasi, Membina MADANI” . Tema ini tepat pada waktunya. KEADILAN memang memerlukan proses pemugaran—bukan sekadar terhadap slogan, tetapi terhadap pemikiran, organisasi, kepimpinan dan hubungannya dengan rakyat. Perbahasan melibatkan 16 pembahas daripada negeri, sayap dan beberapa kelompok khusus, termasuk veteran, OKU, Orang Asal dan wakil Borneo. Ini suatu perkembangan positif kerana memperluas keterwakilan suara dalam kongres. Secara rasmi, perbahasan disasarkan kepada isu ekonomi, pendidikan dan politik serta denyut nadi rakyat. Kenyataan rasmi KEADILAN Namun, dari sudut kandungan, perbahasan itu memperlihatkan dua wajah KEADILAN. Wajah pertama ialah sebuah parti yang masih mem...