Parti politik merupakan institusi politik yang menghubungkan masyarakat dan negara. Terdapat pelbagai bentuk kepartian politik di negara-negara membangun dimana kes-kes kepartian ini kerapkali dikaji berlandaskan teoritik dan perbandingan berpaksikan pengalaman kepartian di Barat. Namun, sejak kebelakangan ini sudah terdapat perkaitan kajian tentang peranan parti-parti politik dalam proses pendemokrasian. Ini sudah tentu membawa kepada pelbagai kajian khusus berkenaan parti-parti politik yang wujud baik sebagai pemerintah mahupun sebagai yang di Malaysia di panggil Pembangkang.
Istilah pembangkang yang kerap diguna di Malaysia lebih menggambarkan persepsi yang negatif untuk parti-parti yang tidak memerintah walhal parti-parti ini turut terlibat dalam pembinaan sebuah negara yang demokratik serta bertindak sebagai pemeriksa dan pengimbang (check and balance) kepada kerajaan. Malah kerap kali kedengaran agak dangkal umpamanya seperti yang kerap media di Malaysia ungkapkan seperti “kerajaan pembangkang di Selangor”, “pembangkang gagal mentadbir dengan baik di Kelantan” dan pelbagai lagi. Pembangkang di peringkat persekutuan tidak bermaksud parti tersebut jika memerintah negeri boleh dianggap pembangkang. Jika di Selangor, pembangkanhya adalah Barisan Nasional. Begitu juga di Kelantan. Logiknya, bagaimana pembangkang boleh memerintah walhak mereka tidak mempunyai majoriti? Persepsi ini perlu diubah dalam usaha kita hendak mewawarkan politik baru.
Kamus Dewan (2000) sendiri tidak menggunakan perkataan pembangkang untuk mendefinisi parti politik yang tidak memerintah. Sebaliknya, ia menggunkan istilah oposisi sebagai istilah utama bagi menggambarkan parti bukan pemerintah. Perkataan pembangkang hanya digunakan bagi menerangkan lebih lanjut. Menerusi halaman 945, jelas tertera:
“oposisi 1. Penentangan. 2. =parti ~ parti politik yg (sic) menentang parti pemerintah (dlm (sic) parlimen dll (sic) )”, parti pembangkang.”
Parti politik juga merupakan institusi politik demokrasi yang menghubungkan masyarakat dan negara. Peranan parti politik amat penting dan mempunyai hubungkait rapat dalam pembentukkan sesebuah negara dalam apapun bentuk amalan politiknya (Teshome, 2009). Bukan sahaja parti ini mencerminkan hubungan negara dan masyarakat, malah dalam sesuatu keadaan mampu memulakan serta membentuk hubungan itu secara tersendiri
Justeru itu, ia memerlukan satu pertubuhan yang tersusun, merangkumi sekumpulan atau segolongan individu yang bekerja bersama-sama untuk bersaing merebut jawatan politik dan perjuangan polisi yang dipersetujui bersama. Jesteru itu, parti politik amat penting untuk proses pendemokrasian dan konsilidasi demokratik.
Schattschneider (1942) yang merupakan antara kajian terawal berkenaan parti politik berpendapat adalah satu yang mustahil sebuah sistem demokrasi moden tanpa kewujudan parti-parti politik didalamnya. Tambahan pula, part politiklah yang membezakan sistem demokrasi dengan sistem diktator. Linz dan Stephan (1996) menyatakan bahawa adalah sangat mustahak adanya parti-parti politik dalam usaha membentuk sesuatu demokrasi. Ini kerana tidak ada perwakilan tanpa bercorak kepartian yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi. Oleh itu, dunia secara amnya dicorakkan sebagai sebuah sistem demokrasi menerusi kewujudan parti-parti politik.
Heywood (2002) berpendapat parti politik merupakan sekumpulan individu yang berhasrat untuk memenangi kuasa kerajaan menerusi kaedah pengundian atau kaedah-kaedah lain yang sesuai bagi pemikiran mereka. Canton (2007) pula menyifatkan parti politik dalam sesebuah sistem demokrasi amat perlu untuk melatih , memilih dan melantik calon-calon untuk pelbagai jawatan kerajaan dan parlimen. Selain itu, ia juga penting untuk mengumpul dan melaksanakan kehendak masyarakat dan untuk menyelia serta memantau sesebuah kerajaan yang memerintah.
Mathisen dan Svasand (1991) pula mengungkap peranan parti politik sebagai organisasi yang kompleks dan mempunyai pelbagai peringkat seperti peringkat kebangsaan, rantau dan lokal / tempatan. Ia juga turut mengandungi pelbagai unit seperti peringkat pusat,bahagian pemuda, wanita dan sebagainya. Parti-parti politik turut mempromosikan persaingan penting berkenaan polisi-polisi dan ideologi yang pelbagi serta memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi berperwakilan (Teshome, 2009).
Menurut New Politics Network (2005), parti-parti politik menawarkan polisi-polisi yang pelbagai menerusi kempen-kempen pilihanraya yang seterusnya membolehkan para pengundi membuat pilihan mereka menerusi sesuatu pilihanraya serta meletakkan calon yang mereka pilih ke seseuatu jawatan politik.
Canton (2007) menegaskan bahawa parti-parti politik memainkan dua peranan yang besar dalam demokrasi; menubuhkan kerajaan yang memerintah atau memainkan peranan sebagai Oposisi atau pengimbang terhadap kerajaan yang memerintah. Senario di Malaysia pula lebih gemar menggunakan istilah pembangkang untuk menggambarkan parti-parti yang tidak memerintah.
Istilah Oposisi dengan huruf besar “O” perlun digunakan sebagai ganti istilah pembangkang. Istilah Oposisi lebih sesuai digunakan untuk melambangkan sebuah parti yang menjadi pengimbang kepada parti yang memerintah.
Ini juga berlandaskan pandangan Levell (2003), Oposisi membawa maksud parti-parti di dalam legislatif yang fungsi utamanya adalah untuk menilai, mengkritik dan seterusnya memberi alternatif terhadap apa yang dilaksanakan oleh eksekutif.
Kajian terhadap parti Oposisi tentunya amat menarik namun bukanlah satu bidang kajian yang popular. Ia ada kalanya dianggap terutama di negara-negara membangun sebagai satu isu yang boleh menimbulkan keadaan sensitif, beremosi dan provokatif. Walhal, politik Oposisi merupakan satu institusi rasmi dalam proses berkerajaan dalam mana-mana negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi tulen. (O’Donnell, 1997). Parti-parti Oposisi ini yang sepatutnya menjadi pengimbang (check and balance) dan sebagai kuasa alternatif dalam legislatif sesebuah parlimen kerap dipersepsikan sebagai pembangkang yang tugasnya hanyalah membangkang semata-mata dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Boleh dikatakan kajian pertama terhadap kepartian Oposisi hanya bermula dalam dekad 1960an apabila Robert Dahl menghasilkan buku Political Oppositions in Western Democracies (1966).
Persepsi negatif terhadap parti-parti Oposisi ini tidak sepatutnya berlaku kerana di dalam negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerajaan akan silih berganti antara pelbagai parti politik. Parti-parti minoriti pula akan cuba untuk meyakinkan pihak majoriti berkenaan pandangan dan pendapat mereka menerusi kaedah politi tanpa perlu berkonflik.
Takrif demokrasi itu sendiri menjelaskan kepentingan parti-parti Oposisi sedari awal terutama dari aspek perngasingan kuasa. Menurut Murphy dan Blair (2006), ia merupakan satu hubungan antara parti yang memerintah dan parti-parti Oposisi yang diwatakkan sebagai perunding atau peserta (Lihat juga Dahl, 1971). Schmitter and Karl (1991) yang dipetik dari tesis Aspinall (2000:4), berpendapat:
“Modern democracy ... offers a variety of competitive processes and channels for the expression of interests and values – associational as well as partisan, functional as well as territorial, collective as well as individual. ”
Jika dikaji dengan mendalam, istilah Oposisi merupakan satu istilah yang kabur. Sukar untuk memberi definisi tepat berkenaan Oposisi. Oposisi mungkin satu kaedah penolakkan menyeluruh atau total terhadap apa jua sistem kerajaan dengan hasrat menumbangkannya dengan apa jua sekalipun. Dari sudut yang lain pula, Oposisi merupakan pengimbang yang menilai, membangkang dan mengkritik apa jua tindakan kerajaan yang tidak berlandaskan yang sepatutnya(Roden, 1990, 10).
Emmanuel Dolo (2006) pula mendefinisikan parti Oposisi sebagai :
“partisan political institution that are intentionally designed to temper the ruling party’s excesses while still pursuing both legislative and presidential offices.”
Parti-parti Oposisi juga kerap digambarkan sebagai parti-parti minoriti yang tidak mempunyai kuasa eksekutif tetapi memainkan peranan sebagai pemantau kepada kerajaan yang memerintah (Bagbin, 2008). Dalam sesebuah negara pengamal demokrasi, parti-parti Oposisi adalah bebas untuk mengkritik parti pemerintah dan dalam masa yang sama parti Oposisi diharap dapat menawarkan polisi-polisi alternatif. Parti-parti Oposisi juga perlu menghormati dan mengiktiraf autoriti parti yang terpilih sebagai kerajaan (Kiiza, 2005).
Dolo (2006) juga mengungkap terma yang cukup menarik berkenaan hubungan unik ini :
“an authentic democracy is one where the ruling party has an effective oppostion.”
Schmitz (1988) pula menulis :
“The existence of an opposition, without which politics cease and administration takes over, is indispensable to the functioning of parliamentary political systems.”
Schmiz (1988) juga berpendapat bahawa dalam sistem masyarakat demokratik liberal, keabsahan sesebuah kerajaan bergantung kepada restu mereka yang diperintah. Pihak minoriti perlu menerima konsep bahawa adalah menjadi hak pihak majoriti untuk membuat keputusan.
Sehubungan itu, pihak majoriti akan menghormati hak minoriti untuk membantah keputusan yang dibuat oleh mereka yang memerintah serta menawarkan polisi-polisi alternatif. Dalm erti kata lain, adalah menjadi peranan parti-parti Oposisi untuk memantau dan mengimbang serta mengganti parti yang memegang tampuk pemerintahan.
Schmiz (1988) jelas percaya bahawa Oposisi politik yang tulen adalah rukun penting kepada demokrasi, toleransi dan kepercayaan kepada rakyat untuk menyelesaikan perbezaan menerusi kaedah yang aman. Schmitz juga berpendapat bahawa perbezaan antara kerajaan dan Oposisi adalah seuisia denga politik demokrasi itu sendiri.
Kajian parti politik juga merupakan asas penulisan Burnell dan Randall dalam buku Politics in the Developing World (2005). Terdapat bab khas yang membincangkan parti-parti politik, pertautan sosial mereka dan peranan parti-parti ini dalam perubahan politik sesebuah negara. Ia juga melihat dari aspek parti sebagai institusi, sebagai sebuah sistem serta peranan dalam proses pendemokrasian.
Untuk melihat sistem politik dan kepartian di Amerika Syarikat, buku karya Cummings dan Wise bertajuk Democracy Under Pressure (1985) terutama di bawah tajuk Politics U.S.A. Bab ini menganalisa bagaimana sesebuah parti politik beroperasi, kempen dan pemilihan calon pilihanraya dan tingkahlaku pengundi dalam sesuatu pilihanraya di Amerika Syarikat.
Robert Michels (terjemahan, 2001) pula menerangkan dengan panjang lebar konsep parti politik dari sudut yang spesifik dalam buku beliau Political Parties, A Sociological Study of the Oligarchical Tendencies of Modern Democracy. Buku asal yang ditulis pada tahun 1915 ini meneliti aspek asal kejadian sesebuah parti politik terutama dari sudut sosiologi. Memandangkan ia antara karya terawal berkenaan konsep kepartian, pelbagai isu-isu penting digarap dan dianalisa dengan kritis.
Samuel P. Huntington pula dalam bukunya The Clash of Civilizations, Remaking of World Order (1996) berpendapat bahawa budaya dan identiti agama seseorang akan menjadi punca utama konflik era pasca Perang Dunia Kedua. Pendapat beliau ini jelas menangkis teori-teori sebelu ini yang mendukong idea bahawa ideologi kepartian hanya berlandaskan hak kemanusiaan, demokrasi liberal dan ekonomi kapitalis semata-mata.
Jika dilihat dalam skop negara-negara membangun, terdapat ribuan parti politik yang lahir dari gelombang demokrasi era baru. Banyak yang baru, hasil dari respon keterbukaan orde baru demokrasi. Parti-parti lain pula dalam bentuk penjenamaan semula atau amalgamasi parti-parti lama. Terdapat juga parti-parti politik lama dan bersejarah seperti Parti Kongres di India yang ditubuhkan pada tahun 1888, parti PRI (Institutional Revolutionary) di Mexico yang ditubuhkan pada tahun 1929 dan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di Afrika Selatan yang muncul seawal tahun 1912.
Kaedah pembentukan parti-parti politik juga berbeza antara satu sama lain. Parti-parti yang dominan seperti Parti Kongres India, ANC dan Barisan Pembebesan Mozambique (FRELIMO) di Mozambique lahir menerusi gerakan kebangsaan atau liberalisasi negara mereka. Hal yang sama juga berlaku di negara-negara Afrika lain dalam perjuangan mencapai kemerdekaan sekitar 1960an. Parti pemerintah seperti Kenya African National Union (KANU) di Kenya dan Parti Revolusi atau Chama Cha Mapinduzi (dalam bahasa Swahili) di Tanzania lahir dekad tersebut dan masih bertahan sebagai parti yang utama walaupun dengan kemunculan sistem demokrasi pelbagai parti. PRI di Mexico juga didasarkan menerusi perjuangan untuk mencapai revolusi sosial.
Namun, terdapat juga parti-parti politik yang muncul kerana cita-cita politik tokoh-tokoh jutawan yang berpengaruh. Parti-parti ini dijadikan landaan bagi mencapai cita-cita mereka untuk berkuasa. Pemimpin seperti Presiden Collor di Brazil dan Presiden Fujimori di Peru menggunakan parti-parti mereka untuk mengukuh dan mengekalkan kuasa. Begitu juga seperti apa yang berlaku di Thailand. Parti Thai Rak Thai yang diilhamkan oleh Thaksin Shinawatra telah berjaya mendapat majoriti mutlak dalam pilihanraya parlimen Thailand pada bulan November 2000 walaupun hanya ditubuhkan beberapa bulan sebelum itu.
Dalam pada itu, kajian parti Oposisi secara mendalam hanya mula muncul pada dekad 1960-an. Robert Dahl dalam bukunya, Who Governs? (1961) telah meneliti struktur kuasa rasmi dan tidak rasmi dalam satu kajin kes di New Heven, Connecticut. Menerusi kajian tersebut, Dahl merasakan yang terdapat pelbagai golongan elit yang terlibat dalam struktur kuasa sama ada sebagai pemerintah mahupun pengimbang. Buku beliau yang ditulis pada tahun 1966, Political Opposition in Western Democracies pula mengutarakan antara lain kajian terhadap parti pengimbang dalam masyarakat demokrasi liberal di Barat.
Ketiadaan kajian ini disebabkan kemungkinan kajian terhadap parti pemerintah dan corak pemerintahan serta pentadbiran dipandang lebih penting. Tanggapan inilah yang perlu diubah kerana jika dilihat daripada sudut yang lain, pengimbang ini membenarkan parti-parti berkenaan lebih bebas untuk menilai ideologinya, mendebatkan polisi serta membawa idea-idea dari rakyat yang tidak mungkin boleh diutarakan oleh parti yang memerintah. Seterusnya parti-parti ini menjadi pemerintah, mereka akan menggunakan pengalaman sebagai parti pengimbang untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik dari parti yang tidak pernah atau tidak punya pengalaman menjadi parti pengimbang atau Oposisi.
Malaysia juga menyaksikan kemunculan pelbagai jenis parti politik sejak pra merdeka hingga ke pasca pilihanraya (PRU) ke-12 pada tahun 2008. Terdapat parti pemerintah bersifat etnik yang muncul sebelum mereka seperti UMNO, MCA dan MIC yang ditubuhkan antara 1946-1948. Tahun 1951 menyaksikan kemunculan parti berpaksikan agama iaitu PAS. Parti multietnik juga muncul, bermula dengan parti NEGARA, GERAKAN dan PPP. Pasca merdeka juga menyaksikan muncul DAP dan PRM yang berideologi sosialis. Sabah dan Sarawak pada awalnya banyak memperlihatkan kemunculan parti wilayah dan etnik serta PBB, UPKO, PBS dan banyak lagi.
KEADILAN atau awalnya dikenali Parti Keadilan Nasional (PKN) hanya muncul penghujung dekad 90-an. Ianya muncul dalam satu keadaan rentetan protes terutama dengan pemecatan pemecatan dan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998. Khalayak umum melihat ia merupakan satu-satunya faktor munculnya parti ini. Mungkin ia benar dari sudut realpolitiknya, namun isu-isu sosio-politik yang berakar umbi beberapa tahun sebelum itu harus diambil kira untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku hingga membawa kepada penubuhan KEADILAN.
Ketiadaan banyak kajian berkenaan parti oposisi turut tercermin dalam kajian sains politik di Malaysia. Parti-parti Oposisi atau pengimbang utama yang ada waktu ini seperti PAS, DAP dan KEADILAN sememangnya amat kurang diberi perhatian dalam kajian-kajian besar. Jika adapun, kajian banyak menjurus kepada PAS. Amat kurang kajian-kajian ilmiah yang kepada parti-parti seperti KEADILAN dan DAP. Itu belum dikira parti-parti Oposisi yang pernah muncul di Malaysia seperti Parti Buroh, Parti Sosialis Malaysia, NASMA, Parti Sosialis Rakyat Malaysia, HAMIM, BERJASA, AKIM dan juga SEMANGAT 46 yang pernah muncul dan kemudiannya terbubar.
Kajian terhadap parti politik di Malaysia terutama politik parti-parti yang tidak memerintah lebih banyak muncul pasca PRU-12. Sebelum itu, parti-parti yang banyak dikaji pula lebih menjurus kepada parti-parti memerintah. Parti-parti pengimbang atau Oposisi kerap terpinggir dan lebih banyak diulas menerusi penulisan bercorak politik semata-mata. Hanya PAS yang kerap mendapat perhatian di semua peringkat kajian.
Cuma setelah berlaku apa yang dipopularkan sebagai Tsunami Politik pasca Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, barulah muncul kajian berkenaan kepartiaan di luar status quo. Itupun banyak menjurus kepada aspek analisa kemerosotan parti memerintah tanpa menilai secara mendalam keupayaan parti-parti Oposisi sebagai kajian kes.
Tsunami politik Pilihanraya ke-12 tersebut merupakan satu sejarah penting politik Malaysia. Ia menjadi kajian pelbagai pihak baik dari segi akademik dan ilmiah hingga ke pojok politik semata. Tidak terkecuali, kejayaan parti-parti politik Oposisi turut mendapat perhatian besar dari semua pihak. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) adalah antara parti Oposisi yang menonjol pada PRU itu. Ia telah muncul sebagai parti Oposisi terbesar di Parlimen. Tidak hairan jika kebangkitan KEADILAN dari satu kerusi di Parlimen P44 Permatang Pauh pada PRU-11 kepada 31 kerusi Parlimen dengan keseluruhan lebih 70 wakil rakyat memberi kejutan besar kepada bukan sahaja kepada para penganalisa politik, malah kepada kerajaan yang memerintah. Malah jika dibandingkan kepada jumlah bahagian, KEADILAN mempunyai 212 bahagian di seluruh Malaysia berbanding UMNO yang mempunyai 191 bahagian.
Sudah sampai masanya parti-parti politik dilayan sama adil di Malaysia kerana semua parti sama-sama meraikan demokrasi. Ia perlu bermula dengan perubahan persepsi dengan istilah Oposisi menggantkan Pembangkang. Mungkin ada yang mempertikai bahawa Oposisi ini asalnya bahasa Inggeris. Namun, memang bahasa Malaysia memang begitu. Ingat lagi istilah bajet (budget) menggantikan belanjawan? Apa kata Ketua Pembangkang di parlimen digantikan dengan istilah baru; Ketua Oposisi ? Fikirkanlah demi merealisasikan politik baru yang lebih maju. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan