Langkau ke kandungan utama

Pimpinan KEADILAN Perlu Teliti Semula Proses Pemilihan Secara Terus

dari ChangkatNingkeBTP

Artikel saya dalam SUARA KEADILAN 18 November 2010



Oleh Hamdan M Salleh
  

pemilihan-PKRSHAH ALAM 18 Nov - Pemilihan KEADILAN 2010 akan tiba ke penghujung pada minggu ini. Tanggal 21 November merupakan hari terakhir pengundian perimgkat MPP.

Tamatnya pengundian dua pusingan yang bermula dengan pemilihan peringkat Cabang dan diikuti pemilihan pucuk pimpinan tertinggi. Minggu selepas itu pula Kongres 2010 akan menyusul di mana yang menang tentunya akan di dudukkan di pentas utama.

Pada awalnya penulis merasakan sistem pemilihan 1 Ahli 1 Parti yang diadakan oleh KEADILAN merupakan satu langkah yang amat baik dalam meraikan demokrasi.

Memberi ruang dan peluang untuk ahli marhaen memilih pemimpin idaman mereka yang dirasakan mampu membawa aspirasi mereka. Persaingan sihat dalam keluarga besar KEADILAN juga dapat mendekatkan pimpinan kepada ahli-ahli di bawah. Politik wang yang menjadi nanah kepada parti politk juga dapat dihindarkan menerusi pengundian cara begini.



Baiknya proses ini telah penulis bincangkan pada awal bermulanya proses pengundian. Perlu diakui ia satu proses yang jika dilaksanakan dengan baik dan keadaan bersedia akan pasti memantapkan lagi KEADILAN terutama jika benar parti ini ingin menawan Putrajaya bersama-sama rakan-
rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Namun belum pun tamat minggu akhir pemilihan yang menjangkau kepada lebih dari dua bulan,  beberapa persoalan timbul. Berbaloikah proses ini untuk KEADILAN? Adakah dampaknya lebih banyak yang positif atau sebaliknya? Bagaimana dengan persepsi terhadap KEADILAN selepas tamatnya proses ini? Adakah ini yang diharapkan oleh barisan pimpinan KEADILAN yang inginkan proses pemilihan sebesar dan serumit seperti Pemilihan 2010? Mampukah parti ini menjadi lebih kukuh setelah melalui proses ini?

Jawapan sebenarnya bergantung kepada persepsi dan kemudiannya  interpretasi semua sama ada para pemimpin  ahli-ahli KEADILAN yang terlibat, rakan-rakan PR, mereka di dalam BN dan juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang tentunya menjadi penilai jatuh bangun sesebuah parti politik.
Persepsi adalah penentunya. Persepsi mereka tentang proses Pemilihan 2010 ini bergantung kepada bagaimana ia dijalankan. Jika ia teratur dan beringriti , maka persepsi baiklah di mata rakyat Malaysia. Jika ia penuh dengan sangsi dan seperti tidak kena, maka negatif pulalah persepsi.

Itulah hakikat berpolitik. Tidak boleh lari dari persepsi. Dari persepsi datangnya interpretasi. Tiada peluang kedua untuk persepsi pertama. Bak kata ungkapan Inggeris, “The first impression is a lasting impression. It can make an impact on how someone will you forever”. Hakikat ini perlu diterima sebelum Pemilihan KEADILAN dilaksanakan. Ini perlu dinilai terlebih dahulu sebelum berani mengambil risiko melaksanakan pemilihan yang unik seperti ini.
Persoalan sekarang, positifkah persepsi umum terhadap Pemilihan KEADILAN 2010 itu? Mungkin tidak jawapannya. Mengapa? Terlalu banyak masalah muncul dari proses pemilihan ini. Dari sekecil rungutan kelewatan memulakan pengundian hinggalah membawa kepada keluarnya salah seorang calon Timbalan Presiden KEADILAN dari parti itu dek kerana tidak berpuashati dengan proses pemilihan. Ini tentunya suatu yang tidak berbaloi kepada imej KEADILAN. Namun jawapan tentunya berbeza antara kita kerana tentunya persepsi kita juga berbeza terhadap pemilihan ini. 
Betul. Ia buat pertama kali diadakan. Tetapi proses ini sudah masuk minggu akhir pusingan kedua. Bolehkah alasan pertama kali digunakan. Tentunya tidak. Kenyataan JPP sendiri dikatakan telah bersedia dari semua aspek seperti logistik, kakitangan, senarai pemilih dan apa jua proses berkaitan. Andai telah bersedia, mengapa banyak elemen negatif yang muncul?. 
Logik jika rungutan itu datang dari pihak lawan. Masalahnya, rungutan dan kritikan ini bukan datang dari pihak lawan. Datangnya semua itu dari ahli sendiri. Malah pemimpin yang bertanding sendiri jelas lantang mempertikaikan proses dan tatacara pemilihan yang dijalankan. Rungutan datang dari calon setinggi untuk jawatan Timbalan Presiden hinggalah dari mereka yang bertanding diperingkat serendah AJK Cabang. Ini tentu satu masalah yang perlu dirungkai.  
Jika disenarai satu persatu masalah dan aduan yang pasti berjela panjangnya. Teliti sahaja sidang-sidang akahbar oleh mereka yang bertanding. Layarilah laman-laman blog dan sesawang berkenaan Pemilihan 2010. Bacalah penulisan di media-media cetak berkenaan masalah ini. Analisalah kenapa ada yang memboikot hingga membawa kepada peratusan keluar mengundi yang jauh lebih rendah sewaktu pusingan kedua pengundian.

Timbang-timbanglah isu disebalik keluarnya Datuk Zaid Ibrahim dari KEADILAN serta memorandum Mustaffa Kamil Ayub serta Badrul Hisham Shahrin. Bantahan dari ahli-ahli KEADILAN terutama di Cabang Hulu Selangor jangan pula diambil ringan. Inilah yang sepatutnya mereka yang mengurus dan mereka yang diberi amanah memikirkannya. Timbul persoalan asas, mengapa tidak diadakan tempoh percubaan atau “trial run” terlebih dulu. Adakah KEADILAN merasa terlalu yakin ia akan berjalan dengan lancar tanpa ada masalah besar?
Sistem pemilihan sebegini rumit dan dijalankan kali pertama di Malaysia oleh sebuah parti politik yang baru sedekad usianya tentunya memerlukan satu tempoh percubaan dalam pelaksanaan pemilihan tersebut. Bagi barisan pimpinan yang mencadangkan Pemilihan 2010 ini, adakah konklusi sebegini yang diharapkan? Tidak terfikirkah pelbagai masalah sebegini akan muncul andai pemilihan tidak diselenggara dengan baik dan bersedia? Mungkin juga rasanya barisan kepimpinan merasakan bahawa KEADILAN mempunyai akar umbi yang telah kukuh diperingkat Cabang dan Ranting hingga sanggup mengambil risiko sedemikian besar.

Jadinya, berbaloikah semua ini kepada imej KEADILAN? Perlu juga KEADILAN renungkan adakah ini yang ahli-ahli di bawah sana inginkan. Hasratnya memang baik tetapi impaknya tidak sepeti yang dijangka. Munculnya sengketa, perpecahan dari persaingan merebut jawatan menambah buruk lagi proses ini.
Lihat sahaja apa yang berlaku di kebanyakkan Cabang di Selangor. Cabang Kapar dari lebih 3,000 turun mengundi waktu pemilihan Cabang, tinggal kurang 300 yang menunaikan tanggungjawab mereka sewaktu pemilihan MPP. Cabang Selayang sendiri menyaksikan lebih 500 ahli tidak dapat mengundi disebabkan nama tiada dalam senarai pemilih. Apa yang terjadi sewaktu pemilihan Cabang di Sabak Bernam juga memosakkan imej KEADILAN. Begitu juga di Kuala Langat, Kota Raja, Klang dan lain-lain. Cabang Subang pula dibatalkan. Petaling Jaya juga bermasalah. Itu belum dikira Hulu Selangor yang hingga kini belum selesai kontroversi pemilihan cabang. 
Persepsi yang positif sukar diharapkan jika ianya berterusan terutama di Selangor. Selangor adalah satu-satunya negeri yang dinakhodai oleh KEADILAN. Selangor jugalah di mana ahli-ahli KEADILAN dikatakan paling ramai dan juga paling tinggi jumlah keluar mengundinya. Jika Selangor sendiri yang mana turut terletaknya ibu pejabat KEADILAN tidak dapat dikawal, bagaimana pula negeri-negeri lain.Mungkin keras bunyinya namun jika benar cita-cita KEADILAn menawan Putrajaya, perkukuhkanlah sistem di dalam parti itu sendiri. Biasanya yang pahit didengar dan dibaca itulah lebih mujarab.  
Begitu juga dengan persoalan kewangan. Berbaloikah jumlah wang yang tentunya besar dibelanjakan bagi proses ini. Ratusan ribu mungkin. Itu belum dikira wang yang dikeluarkan oleh ratusan calon yang bertanding. Perbelanjaan kempen , poster, kad nama, bunting, sewa dewan, makan-minum, perjalanan, logistik serta pelbagai lagi belanja yang terpaksa dikeluarkan oleh mereka yang bertanding tentunya besar. Malah telah ada desas desus turut berlaku politik wang. Sekiranya pemilihan ini tidak berbaloi, alangkah lebih baik dana ini dikumpul dan diguna untuk pilihan raya sebenar.
Namun demikian, tahniah juga kepada yang telah menang dan yang akan menang. Baik sebagai pimpinan di MPP mahupun di Cabang. Namun, berbaloikah kemenangan semua sekiranya imej dan persepsi khalayak umum terhadap KEADILAN tercalar? Jangan sampai menang jadi arang kalah jadi abu. Berbaloikah kemenangan sekiranya ianya diselubungi elemen-elemen yang tidak enak dibaca, dilihat, didengar mahupun dipandang. Berbaloikah kemenangan andai hanya mewakili 8 peratus dari keseluruhan ahli KEADILAN. Mana lagi 92 peratus itu?  Mulakanlah pemulihan KEADILAN yang terjejas dek kerana Pemilihan 2010. Berbaloi atau tidak, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti yang akan jadi penentu.


---------------------------------------------------------------------------------------
Hamdan Datuk Mohd Salleh merupakan Pensyarah Kanan dan mantan Ketua Jabatan Sains Sosial di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Industri Selangor (UNISEL). Beliau mengkhusus kepada bidang pengurusan politik dan kini sedang menyiapkan kajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Politik Oposisi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENUJU PRN MELAKA 2026: NEGERI KECIL, PERUBAHAN POLITIK BESAR

Melaka kecil pada peta, tetapi jangan kecilkan makna politiknya. Negeri ini pernah menjadi kubu Barisan Nasional, beralih kepada Pakatan Harapan pada 2018, kemudian menyaksikan BN kembali dengan kemenangan besar dalam PRN 2021. Sejarah itu mengingatkan kita bahawa pengundi Melaka boleh berubah. Tiada parti mempunyai geran kekal terhadap kesetiaan rakyat. Kini, hari mengundi ditetapkan pada 14 November 2026 , dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November. Persoalannya bukan sekadar siapa akan menang, tetapi apakah perubahan yang sedang berlaku dalam hubungan antara parti, pemimpin dan pengundi Melaka. Pada hemat saya, PRN kali ini perlu dibaca sebagai pertembungan antara tiga perkara: kekuatan organisasi lama, hubungan politik yang semakin cair, dan tuntutan rakyat terhadap hasil pentadbiran. Kemenangan 2021 bukan jaminan untuk 2026 Dalam PRN 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, berbanding lima kerusi PH dan dua kerusi PN. Namun, kadar keluar mengundi k...

PRU Akan Datang: Cukuplah Mengukur Suhu, Sekarang Masa Bertindak!

Menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, akan semakin banyaklah survei dibuat. Berapa peratus sokongan kepada kerajaan? Bagaimana penerimaan terhadap PMX? Parti mana sedang naik? Siapa pula semakin tenggelam? Survei itu penting. Saya sendiri orang penyelidikan. Tetapi kalau setiap bulan kita mengukur suhu, sedangkan penyakit tidak dirawat, akhirnya kita cuma menjadi pakar membaca termometer. Sekarang bukan semata-mata masa untuk mengetahui apa yang rakyat fikir. Sekarang masa untuk melakukan sesuatu terhadap perkara yang merisaukan rakyat. Andai parti-parti yang memerintah mahu terus mendapat mandat, mereka perlu memahami satu perkara: kemenangan tidak boleh disandarkan kepada harapan bahawa rakyat akan faham sendiri segala usaha kerajaan. Rakyat ada kehidupan untuk diurus. Ada bil untuk dibayar. Ada anak untuk disekolahkan. Mereka tidak mempunyai masa untuk meneliti setiap ucapan menteri dan menyambungkan sendiri pengumuman kerajaan dengan perubahan dalam kehidupan mereka. Di situlah ...

Tun Dr Siti Hasmah: Kasih yang Melihat Potensi Anak Cerebral Palsy

Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini mengundang rasa dukacita yang mendalam. Saya merakamkan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga. Malaysia kehilangan seorang tokoh yang dikenang kerana kelembutan budi dan kesediaannya mendekati mereka yang memerlukan perhatian.  Sebagai mantan Presiden Malaysian Advocate for Cerebral Palsy , saya ingin mengenang satu sisi khidmat beliau yang dekat di hati komuniti kami. Rekod Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy Pulau Pinang mencatatkan bahawa pada November 1981, Tun Dr Siti Hasmah melawat pusatnya dan membawa sumbangan daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI). Catatan itu mungkin ringkas, tetapi bagi sebuah pusat yang berusaha menyediakan pendidikan dan sokongan kepada anak-anak, kehadiran dan bantuan sedemikian mempunyai makna yang besar.  Kunjungan itu mengingatkan kita bahawa perjuangan anak cerebral palsy dan keluarga mereka sentiasa memerlukan lebih daripada simpati. M...