ANUGERAH TOKOH INKLUSIF OKU SELANGOR 2026: ANTARA AIR MATA, RASA KERDIL DAN HIKMAH SEBUAH PERJALANAN
Ada ketika dalam hidup, kita terdiam bukan kerana tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Tetapi kerana terlalu banyak rasa yang datang serentak, sehingga sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Itulah yang saya rasakan apabila dimaklumkan bahawa saya dipilih antara penerima Anugerah Tokoh Inklusif OKU Negeri Selangor 2026.
Saya terdiam seketika.
Terperanjat. Segan. Terharu. Malah, ada rasa serba salah.
Hampir tiga dekad berada dalam dunia perjuangan OKU, saya tahu benar bahawa di luar sana terlalu ramai insan yang jauh lebih hebat, jauh lebih banyak berkorban dan jauh lebih layak untuk berdiri menerima pengiktirafan ini.
Fikiran saya melayang jauh. Kembali kepada wajah-wajah yang pernah saya temui. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan. Kepada ibu bapa yang menangis dalam diam. Kepada anak-anak istimewa yang mengajar kita tentang kekuatan tanpa perlu berkata-kata.
Dan akhirnya, fikiran saya berhenti pada satu wajah.
Nana. Nur Amanina Hannah. Anak Papa & Mama.
Entah mengapa, dalam saat menerima pengiktirafan ini, wajah Nana antara yang paling kuat hadir dalam ingatan.
Allah Maha Baik. Terlalu Baik.
Hampir tiga dekad lalu, saya melangkah ke dunia OKU dengan hasrat untuk membantu, menyumbang dan memperjuangkan sesuatu yang saya percaya.
Tidak pernah terlintas bahawa suatu hari nanti, Allah akan mengamanahkan kepada saya dan isteri seorang anak istimewa, yang menjadikan perjuangan ini bukan lagi sekadar sesuatu yang saya lakukan, tetapi sesuatu yang saya hayati dengan seluruh jiwa.
Dahulu saya mengenali isu OKU melalui kerja dan perjuangan.
Hari ini, saya memahaminya juga melalui mata seorang bapa.
Barangkali selama ini, bukan sekadar saya yang sedang berjuang untuk dunia OKU. Tetapi Allah sebenarnya sedang mempersiapkan hati saya untuk menerima dan memahami sebuah amanah yang jauh lebih besar.
Dan di situlah saya mula mengerti, bahawa setiap perjalanan yang Allah susun, walau tidak selalu mudah, tidak pernah sunyi daripada hikmah.
Nana, anak Papa. 20 tahun sudah usia anak ini.
Allah mengamanahkan Nana kepada kami bukan tanpa sebab.
Di sebalik segala cabaran, keletihan, air mata, kebimbangan dan pengorbanan, ada hikmah yang tidak pernah kami bayangkan.
Nana mengajar tentang sabar walau ada ketika tercabar juga. Tentang kasih sayang tanpa syarat lebih dari darah daging. Tentang menerima ketentuan dengan hati yang reda. Tentang mensyukuri perkara-perkara kecil yang mungkin dianggap biasa oleh orang lain.
Kadangkala kita menyangka kitalah yang sedang menjaga dan membesarkan anak istimewa. Hakikatnya, merekalah yang sedang mendidik dan membesarkan jiwa kita.
Dan tentu sekali, penghargaan paling istimewa buat isteri tercinta, Azar Faiza Mohd Lud
Dalam perjalanan ini, pengorbanan seorang ibu sering kali jauh lebih besar daripada apa yang mampu diceritakan. Banyak yang terpaksa dilepaskan, banyak yang dipendam, banyak malam yang panjang dan banyak keletihan yang tidak pernah meminta untuk difahami.
Terima kasih kerana terus berjalan seiring. Kerana menjadi kekuatan ketika saya sendiri ada kalanya kehabisan daya.
Anugerah ini juga milikmu.
Saya teringat kata-kata Abang Hasan Suyut yang begitu dekat di hati:
“Dalam menjaga anak istimewa, ada berlian-berlian di sepanjang perjalanan.”
Benar sekali.
Berlian itu bukan semestinya anugerah, pangkat atau pengiktirafan. Kadangkala berlian itu hadir dalam bentuk manusia-manusia baik yang Allah temukan. Sahabat yang menghulurkan tangan. Insan yang memahami tanpa perlu dijelaskan. Dan kekuatan yang muncul ketika kita hampir berputus asa.
Sepanjang hampir tiga dekad ini, saya bertemu terlalu ramai insan luar biasa dalam dunia OKU. Ada ibu bapa yang berjuang dalam diam. Ada aktivis yang tidak pernah dikenali. Ada sukarelawan yang bekerja tanpa mengharapkan sebarang penghargaan. Ada individu OKU yang terus membuktikan bahawa keterbatasan bukanlah penamat kepada sebuah impian.
Merekalah tokoh sebenar. Saya hanya sebahagian kecil daripada perjalanan besar ini.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, seorang ikon perjuangan inklusiviti OKU yang amat saya kasihi, YB Anfaal Saari, serta YB Danial Al-Rashid Haron, Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) , sahabatku Tn Hj Azmir atas kepercayaan, sokongan dan komitmen dalam memperkukuh agenda OKU di Selangor. Malah Tn Hj Azmir Kassim lah yang paling awal bimbing saya cara berpersatuan ketika kami di UIA. Tidak akan ku lupa jasa mu. Tentunya tidak dilupakan YB Ustazah Mariam yang jadi pemangkin awal mengarusperdanakan saya membawa suara OKU. Juga buat Team Anis / YANIS yang cukup hebat sekarang ini.
Terima kasih juga kepada semua yang telah mempercayai dan menyokong perjuangan kecil saya ini, khususnya sahabat-sahabat lama yang telah bersama sejak awal perjalanan hampir tiga dekad lalu.
Ada yang masih bersama. Ada yang sudah membawa haluan masing-masing. Ada juga yang telah pergi mendahului kita. Namun setiap seorang mempunyai tempat dalam sejarah perjalanan ini.
Dan salute buat seluruh pasukan di belakang tabir! Terutama Geng Unisel. Mereka yang menyusun, membantu, menggerakkan program, menguruskan perkara kecil dan besar, serta memastikan setiap usaha diterjemahkan menjadi sesuatu yang bermakna. Banyak kejayaan yang kelihatan di hadapan sebenarnya berdiri atas pengorbanan mereka yang tidak kelihatan.
Bagi saya, anugerah ini bukanlah noktah sebuah perjuangan. Sebaliknya, ia satu peringatan bahawa masih terlalu banyak yang belum selesai.
Masih ada anak OKU yang belum mendapat akses pendidikan sewajarnya. Masih ada ibu bapa yang berjuang sendirian. Masih ada halangan dalam pekerjaan, kemudahan awam, penerimaan masyarakat dan peluang untuk hidup bermaruah.
Inklusiviti bukan sekadar meraikan kehadiran OKU. Inklusiviti ialah memastikan mereka mempunyai hak, peluang, suara dan tempat yang sewajarnya dalam masyarakat.
Saya menerima pengiktirafan ini dengan penuh rendah hati, bersama sebuah amanah untuk terus menyumbang selagi Allah memberikan kesempatan.
Akhirnya, kembali kepada Nana.
Jika suatu hari nanti Nana dapat memahami makna penghargaan ini, Papa mahu Nana tahu bahawa kehadiran Nana bukanlah beban dalam kehidupan kami.
Nana adalah antara sebab mengapa kehidupan Papa dan Mama menjadi lebih bermakna. Terima kasih buat Adik, Aisy Hafiy yang banyak perlu berkorban dek kerana mehnah menjaga kakak. Terima kasih seluruh keluarga dan sahabat. Tidak lupa Arwah Abah Hj Mohd Lud yang jadi kekuatan awal. Mak Hjh Asmah yang sentiasa ada. Juga arwah Mak Hjh Mariah yang menerima cucu ini dengan penuh kasih. AlFatihah.
Allah Maha Baik. Kadangkala kita tidak memahami mengapa sesuatu amanah diberikan kepada kita. Tetapi apabila kita menoleh ke belakang, barulah kita melihat betapa indahnya hikmah yang Allah susun sepanjang perjalanan.
Terima kasih, semua.
Doakan agar saya terus diberikan kekuatan, keikhlasan dan istiqamah.
Kerana perjuangan OKU bukan tentang siapa yang menerima anugerah, tetapi tentang berapa ramai lagi yang dapat kita upayakan kehidupannya.
Dr Dan

Ulasan