Langkau ke kandungan utama

Memimpin IPTS: Jangan Syok Sendiri, Terus Belajar dan Jaga Amanah



Dalam dunia pengurusan universiti, lebih-lebih lagi universiti swasta seperti UNISEL, memimpin bukan sekadar duduk di kerusi besar, mempengerusikan mesyuarat, menandatangani memo atau hadir dalam majlis rasmi. Memimpin universiti swasta ialah kerja yang rumit, halus, melelahkan dan kadang-kadang sunyi.

Ia bukan medan untuk syok sendiri.

Ia bukan pentas untuk merasa diri paling tahu.

Ia bukan ruang untuk sekadar memberi arahan dari atas tanpa memahami denyut nadi orang di bawah.

Universiti swasta mempunyai cabarannya yang tersendiri. Ia bukan sahaja perlu menjaga kualiti akademik, kebajikan pelajar, integriti tadbir urus dan reputasi institusi, tetapi pada masa yang sama perlu memastikan kelangsungan kewangan, kemasukan pelajar, persaingan pasaran, kepuasan ibu bapa, kebolehpasaran graduan dan keyakinan masyarakat.

Di sinilah pemimpin universiti diuji.

Bukan hanya diuji dengan ilmu.

Tetapi diuji dengan sabar.

Diuji dengan manusia.

Diuji dengan konflik.

Diuji dengan amanah.

Dari Pensyarah Biasa ke Meja Pengurusan

Saya menulis ini bukan sebagai orang luar yang hanya membaca teori pengurusan dari buku. Saya menulis sebagai seseorang yang pernah melalui pelbagai tingkat perjalanan dalam dunia universiti.

Pernah menjadi pensyarah biasa.

Pernah merasai kehidupan di bilik pensyarah, menyiapkan kuliah, menyemak tugasan, melayan kerenah pelajar, mengejar penerbitan dan memahami tekanan akademik dari bawah.

Kemudian diberi amanah memimpin di peringkat ketua jabatan.

Selepas itu melalui pengalaman sebagai dekan, memikul tanggungjawab fakulti, menjaga akademik, mengurus staf, memahami MQA, berdepan audit, menyusun program, memikirkan enrolmen dan memastikan fakulti terus hidup dengan maruah.

Kemudian diberi pula amanah dalam pengurusan akademik dan pembangunan pelajar.

Di situ saya melihat universiti dari sudut yang lebih luas. Bukan sekadar bilik kuliah. Bukan sekadar fakulti. Bukan sekadar jadual kelas. Tetapi keseluruhan ekosistem manusia, dasar, kewangan, reputasi, pelajar, ibu bapa, kerajaan negeri, industri, alumni, komuniti dan masa depan institusi.

Maka apabila seseorang sampai ke peringkat pengurusan tertinggi, jangan cepat lupa jalan yang pernah dilalui. Jangan lupa wajah pensyarah muda yang sedang mencari rentak. Jangan lupa pegawai pentadbiran yang bekerja dalam tekanan. Jangan lupa pelajar yang datang dengan harapan keluarga. Jangan lupa staf sokongan yang kadang-kadang diam, tetapi merekalah yang memastikan sistem berjalan.

Pemimpin yang cepat lupa asal-usulnya akan mudah menjadi angkuh.

Pemimpin yang lupa bilik kecil tempat dia bermula akan mudah mabuk dengan bilik besar tempat dia berada sekarang.

Universiti Swasta: Antara Idealisme dan Realiti

Memimpin universiti swasta tidak sama dengan memimpin organisasi biasa. Di dalamnya ada idealisme ilmu, tetapi di luar sana ada realiti pasaran.

Kita bercakap tentang falsafah pendidikan, pembentukan insan, nilai, adab, penyelidikan dan pembangunan masyarakat. Tetapi pada masa yang sama, kita juga berdepan dengan angka kemasukan pelajar, kemampuan membayar gaji, kos operasi, tekanan persaingan IPT lain, persepsi awam dan keperluan memastikan universiti terus relevan.

Di sinilah ramai pemimpin boleh tersilap.

Ada yang terlalu idealistik hingga lupa realiti kewangan.

Ada yang terlalu komersial hingga lupa roh pendidikan.

Ada yang terlalu sibuk mengejar angka hingga lupa bahawa universiti bukan kilang sijil.

Ada pula yang terlalu selesa dengan nostalgia hingga gagal membaca perubahan zaman.

Universiti swasta seperti UNISEL memerlukan pemimpin yang mampu mengimbangi semua ini. Kaki mesti berpijak di bumi realiti, tetapi pandangan mesti terus melihat ufuk masa depan.

Kita tidak boleh hanya berbangga dengan sejarah.

Kita mesti membina masa depan.

Kita tidak boleh hanya berkata “dulu kita hebat”.

Kita mesti bertanya “apa yang mesti kita ubah hari ini supaya terus hebat esok?”

Jangan Syok Sendiri

Antara penyakit paling bahaya dalam pengurusan ialah syok sendiri.

Syok dengan jawatan.

Syok dengan gelaran.

Syok dengan tepukan.

Syok dengan laporan yang cantik tetapi tidak mencerminkan realiti sebenar.

Syok dengan program yang meriah tetapi impaknya lemah.

Syok dengan mesyuarat yang panjang tetapi keputusan tidak berjalan.

Syok dengan slogan baharu tetapi budaya lama masih membelenggu.

Pemimpin universiti mesti berani bertanya soalan yang tidak selesa.

Adakah pelajar benar-benar puas hati?

Adakah pensyarah benar-benar terbantu?

Adakah staf pentadbiran benar-benar jelas dengan hala tuju?

Adakah fakulti benar-benar bergerak?

Adakah dasar yang dibuat benar-benar sampai ke bawah?

Adakah program yang dianjurkan benar-benar memberi kesan atau sekadar cukup syarat bergambar?

Dalam pengurusan, gambar majlis boleh nampak cantik. Laporan boleh disusun kemas. Slide boleh kelihatan hebat. Tetapi realiti sebenar hanya diketahui apabila kita turun, mendengar, melihat dan merasai sendiri denyut organisasi.

Pemimpin yang hanya mendengar laporan dari orang yang mahu menyedapkan hati akan mudah tersilap membaca keadaan.

Pemimpin mesti ada keberanian untuk mendengar berita buruk.

Kerana kadang-kadang berita buruk itulah yang menyelamatkan organisasi.

Belajar Mengurus Manusia

Dalam universiti, cabaran paling besar bukan semata-mata sistem. Bukan semata-mata kewangan. Bukan semata-mata dasar.

Cabaran paling besar ialah manusia.

Manusia datang dengan ilmu, ego, emosi, sejarah, luka, harapan, kepentingan dan tafsiran masing-masing.

Seorang Pengarah atau Dekan tidak cukup hanya pandai membuat kertas kerja. Tidak cukup hanya tahu bercakap dalam mesyuarat. Tidak cukup hanya mampu menghantar arahan melalui WhatsApp.

Pengarah dan Dekan mesti belajar mengurus manusia.

Mengurus manusia memerlukan seni.

Ada masa kita perlu tegas.

Ada masa kita perlu mendengar.

Ada masa kita perlu memberi ruang.

Ada masa kita perlu menarik brek.

Ada masa kita perlu memujuk.

Ada masa kita perlu membuat keputusan yang tidak popular.

Tetapi semua itu mesti dilakukan dengan hikmah.

Staf bukan mesin. Pensyarah bukan robot akademik. Pegawai bukan sekadar pelaksana arahan. Mereka manusia yang mahu dihargai, difahami dan dibimbing.

Namun menghargai manusia bukan bermakna membiarkan kelemahan. Memahami manusia bukan bermakna berkompromi dengan sikap sambil lewa. Pemimpin yang baik mesti tahu membezakan antara empati dan kelembikan.

Empati ialah memahami keadaan.

Kelembikan ialah membiarkan kerosakan berulang tanpa tindakan.

Mengurus Konflik: Ujian Sebenar Kepimpinan

Universiti tidak akan sunyi daripada konflik. Konflik antara fakulti. Konflik antara unit. Konflik antara akademik dan pentadbiran. Konflik antara pelajar dan pihak pengurusan. Konflik antara kehendak dasar dengan kemampuan pelaksanaan.

Justeru, skil mengurus konflik ialah skil wajib bagi pemimpin universiti.

Pemimpin yang takut konflik akan menjadi lemah.

Pemimpin yang suka konflik pula akan menjadi bahaya.

Yang diperlukan ialah pemimpin yang mampu membaca punca konflik, membezakan antara isu sebenar dan emosi sementara, serta mencari jalan penyelesaian yang adil.

Kadang-kadang konflik berlaku bukan kerana orang jahat. Tetapi kerana komunikasi gagal. Kerana arahan tidak jelas. Kerana beban tidak seimbang. Kerana peranan bertindih. Kerana orang merasa tidak dihargai. Kerana keputusan dibuat tanpa konsultasi.

Namun ada juga konflik yang berpunca daripada ego, kepentingan, sabotaj halus, budaya lama dan keengganan berubah.

Di sinilah Pengarah dan Dekan perlu matang.

Jangan cepat menghukum.

Tetapi jangan juga terlalu lambat bertindak.

Jangan hanya mendengar satu pihak.

Tetapi jangan pula membiarkan semua pihak bermain persepsi.

Konflik yang tidak diurus akan menjadi barah. Barah kecil yang dibiarkan boleh merosakkan seluruh tubuh organisasi.

Pesan Kepada Pengarah dan Dekan

Kepada para Pengarah dan Dekan, amanah saudara dan saudari bukan kecil.

Jawatan bukan hadiah.

Jawatan ialah beban.

Jawatan bukan lesen untuk dihormati.

Jawatan ialah peluang untuk berkhidmat.

Seorang Dekan bukan sekadar ketua fakulti. Dekan ialah penjaga maruah ilmu, penjaga kebajikan pensyarah, penggerak program akademik dan pemimpin budaya kerja.

Seorang Pengarah bukan sekadar ketua pusat atau jabatan. Pengarah ialah penghubung dasar dengan pelaksanaan, penggerak pasukan dan penjaga hasil kerja.

Jangan menjadi pemimpin yang hanya pandai mengarah tetapi tidak tahu memimpin.

Jangan menjadi pemimpin yang hanya mencari salah orang tetapi tidak membina sistem.

Jangan menjadi pemimpin yang cepat marah tetapi lambat mendengar.

Jangan menjadi pemimpin yang hanya mahu kelihatan hebat di mata atasan tetapi gagal dihormati oleh orang bawahan.

Yang penting bukan sekadar atasan suka.

Yang lebih penting ialah organisasi bergerak, staf berkembang, pelajar terbela dan amanah tertunai.

Pengarah dan Dekan mesti ada tiga keberanian.

Pertama, berani belajar.

Kedua, berani mengaku tidak tahu.

Ketiga, berani membetulkan diri.

Kerana pemimpin yang sudah berhenti belajar sebenarnya sudah mula memimpin dengan sisa pengalaman lama.

Terus Belajar, Walaupun Sudah Tinggi Jawatan

Dalam dunia universiti, pengalaman memang penting. Tetapi pengalaman tanpa pembelajaran boleh bertukar menjadi keangkuhan.

Kita mungkin pernah berjaya dahulu, tetapi cabaran hari ini tidak semestinya sama dengan cabaran semalam.

Generasi pelajar berubah.

Teknologi berubah.

Pasaran kerja berubah.

Politik pendidikan berubah.

Harapan ibu bapa berubah.

Model universiti juga berubah.

Maka pemimpin tidak boleh memimpin hari ini dengan peta lama semata-mata.

Pemimpin mesti membaca. Mesti mendengar. Mesti bertanya. Mesti turun padang. Mesti menerima teguran. Mesti membuka ruang kepada idea baharu.

Kadang-kadang idea baik datang daripada pensyarah muda.

Kadang-kadang pandangan tepat datang daripada pegawai bawahan.

Kadang-kadang suara pelajar yang kita anggap kecil itulah yang memberi isyarat besar tentang kelemahan sistem.

Pemimpin yang bijak tidak takut dengan pandangan orang lain. Pemimpin yang matang tidak rasa tercabar apabila diperbetulkan.

Kerana tujuan memimpin bukan untuk membuktikan kita sentiasa betul.

Tujuan memimpin ialah memastikan organisasi menjadi lebih baik.

Keberkatan Dalam Menggalas Amanah

Dalam semua perbincangan tentang strategi, KPI, transformasi, enrolmen, kewangan dan pengurusan, ada satu perkara yang tidak boleh hilang — keberkatan.

Amanah kepimpinan bukan hanya dinilai melalui laporan tahunan. Bukan hanya melalui graf pencapaian. Bukan hanya melalui ucapan dalam majlis.

Ia juga akan ditanya di hadapan Allah.

Apakah kita adil?

Apakah kita menjaga hak orang?

Apakah kita tidak menzalimi staf?

Apakah kita tidak menganiaya pelajar?

Apakah kita membuat keputusan dengan niat yang bersih?

Apakah kita menggunakan kuasa untuk membina atau untuk membalas?

Apakah kita memimpin dengan amanah atau dengan ego?

Keberkatan dalam kepimpinan datang apabila kita sedar bahawa jawatan ini sementara. Hari ini kita memimpin. Esok mungkin kita dipimpin. Hari ini nama kita disebut dalam mesyuarat. Esok mungkin orang lain duduk di kerusi itu.

Maka jangan terlalu mabuk dengan kuasa sementara.

Yang kekal ialah kesan baik yang kita tinggalkan.

Yang kekal ialah doa orang yang pernah kita bantu.

Yang kekal ialah sistem yang kita baiki.

Yang kekal ialah pelajar yang berjaya kerana dasar yang kita perjuangkan.

Yang kekal ialah budaya kerja yang lebih manusiawi, lebih cekap dan lebih bermaruah.

Universiti Ini Amanah, Bukan Milik Kita

UNISEL bukan milik seorang pemimpin. Bukan milik satu generasi pengurusan. Bukan milik satu kumpulan.

UNISEL ialah amanah pendidikan.

Ia dibina dengan harapan rakyat, cita-cita negeri, keringat warga kerja dan impian ribuan keluarga.

Maka sesiapa sahaja yang diberi peluang memimpin di dalamnya mesti sedar bahawa kita hanyalah penjaga sementara.

Tugas kita ialah menyerahkan universiti ini dalam keadaan lebih baik daripada ketika kita menerimanya.

Bukan lebih retak.

Bukan lebih letih.

Bukan lebih keliru.

Tetapi lebih jelas hala tuju, lebih kuat budaya kerja, lebih tersusun sistem, lebih dihormati masyarakat dan lebih dekat dengan denyut pelajar.

Memimpin universiti swasta seperti UNISEL bukan kerja mudah. Tetapi ia kerja yang mulia apabila dilakukan dengan ilmu, sabar, keberanian dan keikhlasan.

Jangan syok sendiri.

Jangan berhenti belajar.

Jangan lari daripada konflik.

Jangan lupa manusia.

Jangan khianati amanah.

Kerana pada akhirnya, kepimpinan bukan tentang berapa tinggi kerusi yang kita duduki.

Tetapi tentang berapa ramai manusia yang kita bantu bangun ketika kita berada di kerusi itu.

Dunia Mendan menulis: dalam universiti, kuasa mungkin datang dengan surat pelantikan, tetapi hormat hanya datang dengan akhlak, keberanian dan amanah yang tidak dikhianati.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Personal Side of Ahmad Ibrahim by Mohamed Sidek Ahmad

dari ChangkatNingkeBTP A Artikel yang disertakan selapas coretan saya ini sebenarnya mengembalikan kenangan saya terhadap pensyarah saya yang sangat saya kasihi iaitu Allahyarham Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim. Saya antara pelajar sains politik tahun akhir waktu itu di IIUM pada pertengahan tahun 1998 yang perlu mengambil subjek ITL atau Introduction to Law. Paling mengejutkan kumpulan kami ini adalah pensyarah yang akan mengendalikan kami adalah beliau yang memang sangat gah namanya waktu itu dan memegang jawatan besar di IIUM. Bagi kami ini satu penghormatan besar yang tidak tersangka terutama bagi saya secara peribadi dimana Allahyarham merupakan kenalan arwah bapa sewaktu beliau di Universiti Malaya. Malah, kumpulan tersebut merupakan yang pertama dan terakhir dari kalangan pelajar sains politik yang diajar dan dibimbing oleh Allahyarham Tan Sri. Jadual kuliah juga cukup menarik iaitu pada Isnin jam 7.30 pagi (Pada waktu itu jadual kuliah biasa adalah 9.00 pagi). Menariknya, ...

DISSOLUTION OF MARRIAGE BY CHANGE OF RELIGION: AN OVERVIEW FROM MALAYSIAN PLURAL LEGAL SYSTEM

dari ChangkatNingkeBTP Muhamad Wazir Muslat; Shahrizat Said; Hamdan Dato’ Salleh; Shariful Kamaruddin; Shamshinor Abd Azzis Qalam Bestari UNISEL, CDFS, UNISEL 1.0 INTRODUCTION In the name of Allah the Most Compassionate and the Most Merciful The issues on change of religion used to be discussed and sometimes become a hot one. Even though issues pertaining to conversion from one religion to another is a sensitive ones, but it keeps on happening and being mentioned by the media, magazines, newspaper and public. In a multi racial and religious society like Malaysia, where Islam is the Federal religion , conversion to Islam is not a surprised as the majority of the citizens are Muslim-Malays and government also applied the right to freedom of religion.

KERUNTUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN DI KALANGAN MASYARAKAT ISLAM SEMAKIN MERUNCING

dari ChangkatNingkeBTP Sumber: http://haziqinthehouse.blogspot.com/2010/11/keruntuhan-institusi-kekeluargaan-di.html Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan oleh ahli keluarganya sendiri. Keharmonian kekeluargaan dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Perhubungan spiritual seperti agama, emosi seperti kasih sayang , sikap hormat – menghormati dan bertanggungjawab.  Oleh itu institusi kekeluargaan  adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat dari segi mental dan fizikal. Pada zaman yang serba moden ini kita sering mendengar dan terbaca di muka akhbar tentang permasalahan dan isu seperti  keruntuhan masyarakat . Sebagai contoh kes pebuangan anak luar nikah, kes penderaan kanak-kanak, kes penceraian dan sebagainya. Kekeluargaan merupakan salah satu aspek kehidupan manusia yang perlu diambil perhatian oleh syariat Islam. la dilihat sebagai wadah bagi lelaki dan wanita untuk mencari kedamaian da...