Langkau ke kandungan utama

MPW: Pilihanraya di Malaysia

dari ChangkatNingkeBTP

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Pilihan Raya Umum Malaysia (sebelum kemerdekaan Malaya) wujud di dalam dua peringkat: peringkat negara dan peringkat negeri. Pilihan raya umum peringkat negara adalah mereka yang dipilih keanggotaannya di dalam Dewan Rakyat, dewan lebih rendah bagi Parlimen, manakala pilihanraya peringkat negeri adalah untuk memilih keanggotaan di dalam Dewan Undangan Negeri(Dewan Perhimpunan Legislatif Negeri). Ketua bagi cabang eksekutif, Perdana Menteri, merupakan dipilih secara tidak langsung.
Proses Pilihan Raya di Malaysia


Selepas peristiwa Perang Dunia II berakhir pada tahun 1945, diikuti dengan pengunduran Tentera Jepun dari Tanah Melayu, semangat nasionalisme dikalangan rakyat Tanah Melayu ketika itu amat ketara. Tertubuhnya parti-parti politik untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka ini mendapat kuasa melalui Pilihan Raya yang diadakan untuk memilih kerajaan.
Tujuan utama parti-parti politik ini bertanding ialah untuk memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undangan Negeri supaya boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Calon-calon yang memperoleh majoriti undi di bahagian yang mereka bertanding akan diisytihar menang.
Bagi melancarkan proses pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya berjalan tanpa masalah.

Undang-undang dan peraturan tersebut ialah:-
1. Perlembagaan Persekutuan.
2. Perlembagaan Negeri.
3. Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19).
4. Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 (Akta 5).
5. Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981.
6. Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002.
7. Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003.
Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang walaupun tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memain peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Ia termasuklah Akta Polis 1962; Akta Hasutan 1970; Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.

Elemen-elemen penting pilihan raya
Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:-
1. Bahagian Pilihan Raya.
2. Pemilih.
3. Calon.
4. Proses Pilihan Raya.

Bilangan bahagian pilihan raya
Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Sehingga kini terdapat 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) dan 567 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Persempadanan semula bahagian-bahagian Pilihan Raya
Sebagai sebahagian daripada fungsi utamanya, Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab untuk mengkaji semula sempadan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri. Seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu menjalankan kajian ini setiap tidak kurang daripada 8 tahun.

Pendaftaran pemilih
Satu elemen penting dalam sistem pilihan raya ialah seseorang pemilih itu mestilah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum dia boleh mengundi dalam pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:-
1. warganegara Malaysia;
2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan;
3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan
4. tidak hilang kelayakan.

Hilang kelayakan
Seseorang pemilih akan hilang kelayakan jika:-
1. pada tarikh kelayakan, ditahan kerana tidak siuman atau sedang menjalani hukuman penjara; atau
2. sebelum tarikh kelayakan, telah didapati bersalah dan dihukum mati atau penjara untuk tempoh lebih 12 bulan dan masih menjalani hukuman pada tarikh kelayakan; atau
3. telah didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; atau
4. telah memperoleh kerakyatan asing.

Semakan daftar pemilih
Semakan daftar pemilih dijalankan di sepanjang tahun, seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang. Anda boleh mendaftar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat-Pejabat Pos atau melalui unit-unit bergerak Suruhanjaya. Daftar-daftar pemilih baru disediakan setiap 3 bulan sekali dan ia dipamerkan selama 7 hari bagi tujuan urusan tuntutan dan bantahan. Selepas mempertimbangkan tuntutan dan bantahan melalui siasatan awam, daftar pemilih untuk tahun berkenaan akan disahkan oleh Suruhanjaya di dalam tempoh sebulan. Semasa semakan daftar induk, nama-nama pemilih yang sudah meninggal dunia dan yang sudah hilang kelayakan mengikut undang-undang akan dikeluarkan daripada daftar berkenaan.

Kelayakan calon
Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:-
1. warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini;
2. warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini;
3. tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding.
Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:-
1. telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau
2. didapati seorang bankrap; atau
3. memegang jawatan berkepentingan 'office of profit'; atau
4. gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau
5. telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau
6. telah memperoleh kewarganegaraan asing.

Tempoh pilihan raya
Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.
Pilihan Raya Kecil juga diadakan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, sama ada disebabkan kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya.

Proses pilihan raya
Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil bermula dengan pengeluaran writ pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis akan diwartakan, menetapkan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.

Hari penamaan calon
Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada hari penamaan.
Kertas-kertas penamaan akan dipamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan bantahan. Dalam kes di mana seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.

Pertaruhan
Pertaruhan berjumlah RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Negeri perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus sebelum atau pada hari penamaan calon. Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 daripada jumlah undi yang diperoleh oleh semua calon yang bertanding di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.

Penggunaan simbol
Seseorang calon yang mewakili sesuatu parti politik boleh menggunakan simbol parti jika dia mendapat kebenaran bertulis daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon bebas perlu memilih mana-mana simbol yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk dicetak pada kertas-kertas undi.

Kempen
Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu. Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding.
Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar. Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya. Senarai perkara yang mesti dipatuhi dan dilarang semasa pilihan raya disediakan, dan ini perlu diambil ingatan oleh calon-calon dan petugas-petugas parti.

Hari mengundi
Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya. Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi. Selain dari itu, waktu membuang undi mungkin berbeza antara daerah-daerah. Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang perkara-perkara pilihan raya seperti:-
1. tarikh mengundi;
2. lokasi tempat mengundi;
3. waktu mengundi di semua tempat mengundi;
4. lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Di Sebalik Ucapan Anwar — Mampukah KEADILAN Gagah Selepas Luka Sabah, Johor & NS, Menuju Ujian Melaka?

Sebagai seorang yang menjadikan Parti KEADILAN sebagai subjek penyelidikan di peringkat PhD, saya melihat ucapan dasar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka bukan sekadar pidato seorang presiden parti. Ia ialah ucapan seorang pengasas yang sedang melihat partinya berada pada persimpangan paling rumit sejak KEADILAN menjadi kerajaan. Anwar tidak lagi bercakap dari pentas pembangkang. Beliau bercakap sebagai Presiden KEADILAN, Perdana Menteri, ketua Kerajaan Perpaduan dan tokoh yang perlu mengimbangi cita-cita reformasi dengan realiti sebuah kerajaan gabungan. Pada masa sama, ucapan itu disampaikan ketika KEADILAN dan Pakatan Harapan sedang menerima beberapa amaran keras daripada pengundi. Di Sabah, PH hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandingi dalam PRN 2025. Di Johor, PH sekadar memperoleh lapan daripada 56 kerusi, berbanding 48 kerusi yang dimenangi BN. Selepas itu, prestasi PH dalam PRN Negeri Sembilan turut memperlihatkan kemerosotan be...

Perbahasan Kongres KEADILAN 2026 — Berani Bersuara, Tetapi Sudahkah Berani Bermuhasabah?

Saya mengikuti perbahasan para perwakilan dalam Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka dengan satu persoalan besar: adakah kongres ini benar-benar sedang memugar reformasi , atau sekadar mengulangi semula bahasa perjuangan yang semakin kehilangan tenaga politiknya? Kongres kali ini membawa tema “Memugar Reformasi, Membina MADANI” . Tema ini tepat pada waktunya. KEADILAN memang memerlukan proses pemugaran—bukan sekadar terhadap slogan, tetapi terhadap pemikiran, organisasi, kepimpinan dan hubungannya dengan rakyat. Perbahasan melibatkan 16 pembahas daripada negeri, sayap dan beberapa kelompok khusus, termasuk veteran, OKU, Orang Asal dan wakil Borneo. Ini suatu perkembangan positif kerana memperluas keterwakilan suara dalam kongres. Secara rasmi, perbahasan disasarkan kepada isu ekonomi, pendidikan dan politik serta denyut nadi rakyat. Kenyataan rasmi KEADILAN Namun, dari sudut kandungan, perbahasan itu memperlihatkan dua wajah KEADILAN. Wajah pertama ialah sebuah parti yang masih mem...

AMANAH: Banyak Permata, Tetapi Belum Menjadi Mahkota

Ini Catatan Terus Terang Dunia Mendan. Saya menulis catatan ini bukan untuk mengkritik Parti Amanah Negara (AMANAH), jauh sekali untuk memperlekehkan pengorbanan ahli dan pemimpinnya yang masih setia bekerja. Saya menulis kerana AMANAH sedang berhadapan dengan satu persoalan yang semakin sukar dielakkan: Selepas lebih sedekad ditubuhkan, apakah sebenarnya kedudukan AMANAH dalam pemikiran rakyat? Keputusan beberapa pilihan raya negeri memberikan isyarat yang cukup keras. Dalam PRN Melaka 2021, AMANAH bertanding di sembilan kerusi tetapi hanya menang satu menerusi Adly Zahari di Bukit Katil. Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhannya hanya memperoleh lima daripada 28 kerusi, sedangkan Barisan Nasional (BN) menguasai 21 kerusi. Sebelum pilihan raya, terdapat keyakinan bahawa AMANAH mampu memenangi kesemua sembilan kerusi yang ditandinginya. Keputusan sebenar ternyata jauh daripada sasaran tersebut. Dalam PRN Sabah 2025 pula, AMANAH hanya diberikan satu kerusi, iaitu Sulabayan. Calonnya ti...