SIARAN MEDIA IESAD UNISEL BERKAITAN PRN NEGERI SEMBILAN 2026: BN-PN MEMPUNYAI KELEBIHAN, NAMUN PERTARUNGAN MASIH TERBUKA DI KERUSI MARGINAL
Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi atau Institute of Electoral Studies and the Advancement of Democracy (IESAD) merupakan sebuah institut penyelidikan, badan pemikir dan pusat konsultansi di bawah Universiti Selangor (UNISEL).
Sejak
ditubuhkan pada 27 Februari 2017, IESAD menjalankan penyelidikan berkaitan
pilihan raya, demokrasi, tingkah laku pengundi, pendidikan politik, impak
sosial dan tadbir urus. IESAD turut terlibat dalam latihan enumerator, kajian
lapangan, analisis data serta khidmat konsultansi kepada kerajaan, institusi,
organisasi dan pihak berkepentingan.
Menjelang
hari pengundian PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026, IESAD telah meneliti
dapatan beberapa badan penyelidikan dan penganalisis utama, di samping
mengambil kira pemerhatian lapangan TEAM IESAD sepanjang tempoh kempen.
IESAD
berpandangan bahawa semua unjuran perlu dibaca sebagai gambaran sentimen semasa
dan bukannya keputusan muktamad. Perubahan kecil dalam kadar keluar mengundi,
pemindahan undi antara parti dan keputusan pengundi atas pagar masih boleh
mengubah keputusan beberapa kerusi.
Rumusan unjuran badan penyelidikan dan penganalisis
1. ILHAM Centre: Gelombang Melayu-Islam memihak kepada BN-PN
ILHAM
Centre mengunjurkan gabungan BN-PN berpotensi menguasai sekurang-kurangnya 22
daripada 36 kerusi DUN, manakala PH dijangka memenangi sekurang-kurangnya
sembilan kerusi. Lima kerusi lagi yang dianggap sukar diramal ialah Chennah,
Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.
Kajian
ILHAM Centre dilaksanakan antara 18 hingga 30 Julai 2026, melibatkan 1,002
responden kuantitatif, enam kumpulan FGD dengan 28 informan dan 38 temu bual
mendalam. Kajian tersebut merangkumi kesemua 36 kawasan DUN.
Antara
dapatan utama ILHAM Centre ialah:
- Politik identiti Melayu-Islam
menjadi antara naratif paling dominan sepanjang kempen.
- Pemindahan undi penyokong PN
kepada calon BN dianggarkan sekitar 92%, manakala pemindahan undi
penyokong BN kepada calon PN sekitar 75%.
- Sokongan pengundi Melayu kepada
PH dianggarkan hanya sekitar 18%.
- Menteri Besar, Dato’ Seri Utama
Aminuddin Harun, masih mempunyai tahap penerimaan peribadi yang tinggi,
sekitar 75%, tetapi kekuatan peribadi tersebut belum tentu dapat
diterjemahkan sepenuhnya kepada undi untuk PH.
- Sokongan pengundi Cina kepada
PH masih kuat tetapi tidak lagi disertai tahap keterujaan dan mobilisasi
seperti PRU15 atau PRN 2023.
- Sebahagian pengundi India
menunjukkan kecenderungan menjauh daripada PH disebabkan beberapa isu
dasar dan pentadbiran.
- Pengundi muda semakin membuat
pilihan berasaskan jenama parti dan naratif besar di media sosial,
berbanding personaliti atau prestasi calon setempat.
ILHAM
Centre melihat BN mempunyai kelebihan dari segi organisasi dan jentera akar
umbi, manakala PN menerima manfaat daripada limpahan undi Melayu hasil
persefahaman dengan BN.
2. IDE Research: Pilihan raya masih terbuka dan lapan kerusi
marginal menjadi penentu
IDE
Research mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dengan tidak menetapkan
jumlah kemenangan khusus bagi setiap blok.
Kajian
IDE Research melibatkan 1,225 responden di kesemua 36 DUN antara 16 hingga 19
Julai 2026. Kajian bersemuka itu mempunyai margin ralat 2.8% pada tahap
keyakinan 95%.
Antara
dapatan utama IDE Research ialah:
- Sebanyak 62.3% responden
menyatakan mereka pasti keluar mengundi, manakala 24% berkemungkinan besar
akan mengundi.
- Kadar keluar mengundi
keseluruhan dijangka sekitar 68% hingga 70%.
- Komitmen pasti mengundi dalam
kalangan pengundi Melayu ialah 66.7%, berbanding pengundi Cina 56.1% dan
India 56.6%.
- Hanya 51.8% pengundi berumur 18
hingga 30 tahun menyatakan mereka pasti keluar mengundi.
- Sebanyak 33.8% responden hanya
membuat keputusan selepas penamaan calon atau pada tempoh lebih lewat.
- Antara 12% hingga 18% pengundi
masih boleh dikategorikan sebagai pengundi atas pagar.
- Sekurang-kurangnya lapan kerusi
marginal dijangka menentukan pihak yang dapat membentuk kerajaan.
IDE
Research turut mendapati Aminuddin Harun memiliki aset kepimpinan yang positif,
khususnya dari segi imej mesra rakyat, rekod pentadbiran dan persepsi bebas
daripada rasuah serta salah guna kuasa.
Walau
bagaimanapun, IDE Research menegaskan bahawa kekuatan calon, komposisi etnik,
mobilisasi jentera dan kadar keluar mengundi boleh menyebabkan keputusan kerusi
berbeza daripada pola undi popular keseluruhan.
3. Dr Ong Kian Ming: BN-PN antara 23 hingga 25 kerusi
Dr
Ong Kian Ming mengunjurkan BN-PN berpotensi memenangi antara 23 hingga 25
kerusi, manakala PH sekitar 11 hingga 13 kerusi.
Analisis
beliau bermula dengan 26 kerusi yang dikategorikan lebih jelas, iaitu BN 14
kerusi, PN tiga kerusi dan PH sembilan kerusi. Sebanyak 10 kerusi lagi dianggap
kompetitif.
Dr
Ong menganggarkan kadar keluar mengundi Melayu sekitar 80%, Cina 65%, India 60%
dan lain-lain 65%. Beliau turut menjangkakan sokongan Melayu kepada BN-PN boleh
melebihi 70% sekiranya pemindahan undi antara kedua-dua gabungan berlaku dengan
berkesan.
Antara
kerusi yang dijangka memberi kelebihan kepada BN-PN ialah Jeram Padang, Linggi,
Klawang, Serting, Sikamat dan Ampangan. Chennah pula dianggap terlalu sengit
untuk diramal dengan yakin.
Menurut
analisis beliau, kehadiran BERSATU secara solo boleh memecahkan sebahagian undi
Melayu dan membantu PH di beberapa kawasan, tetapi kesannya mungkin tidak cukup
besar untuk menghalang BN-PN membentuk kerajaan.
4. Vodus Research: PH mendahului tetapi kerajaan masih belum
dapat ditentukan
Berbeza
daripada ILHAM Centre dan Dr Ong Kian Ming, model awal Vodus Research
meletakkan PH mendahului di 17 kerusi, BN 15 kerusi dan PN dua kerusi, dengan
dua lagi pertandingan BN-PH terlalu sengit untuk diputuskan.
Vodus
menganggarkan PH memperoleh 42% undi popular, BN 35% dan PN 7%, manakala 14%
responden masih belum menentukan atau mendedahkan pilihan.
Walaupun
PH mendahului dari segi kecenderungan undi, BN mempunyai kelebihan dari sudut
persepsi kebolehpercayaan untuk mentadbir. Vodus turut mengandaikan kehadiran
BERSATU di beberapa kerusi marginal boleh memecahkan undi Melayu dan
meningkatkan peluang PH.
Perbezaan
antara unjuran Vodus dengan ILHAM Centre serta Dr Ong Kian Ming menunjukkan
bahawa persoalan paling penting ialah sejauh mana undi BN dan PN benar-benar
dapat dipindahkan di peringkat akar umbi.
5. Merdeka Center: Kadar keluar mengundi dan pola sokongan
etnik kekal kritikal
Setakat
penelitian IESAD terhadap bahan awam yang tersedia sehingga 31 Julai 2026,
tidak ditemukan satu unjuran terperinci Merdeka Center yang menetapkan jumlah
kerusi bagi setiap parti dalam PRN Negeri Sembilan 2026.
Namun,
analisis Merdeka Center sebelum ini secara konsisten menekankan kepentingan
kadar keluar mengundi, taburan sokongan mengikut etnik, kekuatan jentera serta
perbezaan antara undi popular dengan kemenangan kerusi.
Dalam
PRN 2023, Merdeka Center menjangkakan PH-BN akan mengekalkan Negeri Sembilan
dan PN hanya membuat sedikit kemajuan di beberapa kerusi. Perubahan jajaran
pada 2026—daripada kerjasama PH-BN kepada persefahaman BN-PN—menjadikan
perbandingan secara langsung dengan 2023 perlu dibuat dengan berhati-hati.
IESAD
berpandangan sumbangan utama analisis Merdeka Center dalam konteks semasa ialah
peringatannya bahawa angka sokongan di peringkat negeri tidak boleh
diterjemahkan secara automatik kepada jumlah kerusi.
6. Pandangan penganalisis lain
Dr
Bridget Welsh melihat kerajaan negeri pimpinan PH menghadapi laluan yang lebih
sukar berbanding 2023. Beliau menekankan kepentingan pengundi India, yang
membentuk kira-kira 15% pengundi Negeri Sembilan dan berpotensi menjadi penentu
di sekurang-kurangnya 11 kerusi.
Beliau
turut melihat tanda-tanda hakisan sokongan terhadap PH dalam kalangan
sebahagian pengundi Cina, walaupun DAP masih memiliki asas sokongan yang kukuh.
Kerusi seperti Lukut, Chennah dan Nilai dijangka menjadi lebih kompetitif.
Dr
Mazlan Ali pula berpandangan BN berada dalam kedudukan kukuh untuk
mempertahankan kubu tradisinya dan berpotensi menambah jumlah kerusi. Namun,
isu sensitif berkaitan kaum dan agama boleh mencetuskan tindak balas pengundi
bukan Melayu yang memberikan kelebihan kepada PH di kawasan campuran.
Dr
Syaza Shukri turut berpandangan bahawa BN-PN mempunyai peluang memperoleh
majoriti mudah sekiranya proses penyatuan dan pemindahan undi Melayu berlaku
dengan berkesan.
Pemerhatian lapangan TEAM IESAD
Berdasarkan
pemerhatian TEAM IESAD sepanjang kempen, beberapa pola utama dikenal pasti.
Pertama,
BN-PN mempunyai kelebihan dari segi penyatuan naratif Melayu-Islam dan sentimen
mahukan pengukuhan semula kuasa politik Melayu. Naratif ini lebih jelas dan
mudah difahami berbanding mesej PH yang banyak menekankan prestasi pentadbiran
serta kesinambungan pembangunan.
Kedua,
jentera BN kelihatan lebih tersusun di kawasan tradisi dan luar bandar. PN pula
mempunyai pengaruh yang lebih ketara dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu
muda serta pengundi yang aktif mengikuti wacana politik melalui media sosial.
Ketiga,
pemindahan undi BN-PN memang berlaku, tetapi kadarnya tidak seragam. Penyokong
PN kelihatan lebih bersedia menerima calon BN berbanding kesediaan sebahagian
penyokong tradisi BN untuk mengundi calon PN. Faktor calon, sejarah persaingan
setempat dan hubungan antara jentera masih memainkan peranan.
Keempat,
PH masih memiliki tiga kekuatan utama, iaitu sokongan pengundi bukan Melayu,
rekod pentadbiran kerajaan negeri dan penerimaan peribadi terhadap Aminuddin
Harun. Namun, kekuatan tersebut hanya boleh menyelamatkan PH sekiranya
penyokong Cina, India dan pengundi muda benar-benar hadir mengundi.
Kelima,
kempen saat akhir berkaitan kenyataan sensitif, isu RCI Tabung Haji dan
serangan antara pemimpin boleh meningkatkan kadar keluar mengundi dalam
kalangan penyokong teras. Namun, kesannya terhadap pengundi atas pagar masih
sukar dipastikan.
Keenam,
BERSATU yang bertanding secara solo berpotensi menjadi pemecah undi di beberapa
kawasan. Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian lapangan, BERSATU belum
memperlihatkan kekuatan organisasi yang cukup untuk memenangi banyak kerusi.
Kesan utamanya mungkin bukan kemenangan sendiri, tetapi mengubah pemenang dalam
pertandingan sengit.
Jangkaan IESAD
Dengan
mengambil kira keseluruhan kajian, pola kempen dan pemerhatian lapangan, IESAD
meletakkan BN-PN sedikit di hadapan untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
Senario
asas IESAD adalah seperti berikut:
|
Parti/Gabungan |
Jangkaan
kerusi |
|
BN |
15–17 |
|
PN |
4–6 |
|
PH |
13–16 |
|
BERSATU/parti lain |
0–1 |
Julat
tersebut perlu dibaca secara bersilang kerana keputusan akhir tetap berjumlah
36 kerusi. Dalam senario pertengahan, IESAD menjangkakan BN-PN memperoleh
sekitar 20 hingga 22 kerusi, manakala PH sekitar 14 hingga 16 kerusi.
BN
dijangka menjadi parti tunggal terbesar dan tonggak utama kerajaan sekiranya
blok BN-PN menang. PN pula berpotensi mengekalkan atau menambah sedikit
penguasaan di kawasan majoriti Melayu. PH dijangka kekal kuat di kawasan bandar
dan majoriti Cina, tetapi berdepan risiko kehilangan beberapa kerusi campuran
dan kerusi PKR atau Amanah yang mempunyai komposisi Melayu lebih tinggi.
Antara
kerusi yang wajar diberikan perhatian khusus ialah Chennah, Linggi, Nilai,
Repah, Temiang, Sikamat, Ampangan, Labu, Jeram Padang dan Seremban Jaya.
IESAD
melihat tiga kemungkinan keputusan:
- BN-PN menang selesa: Berlaku sekiranya kadar keluar mengundi Melayu tinggi,
pemindahan undi berkesan dan mobilisasi pengundi bukan Melayu rendah.
- BN-PN menang tipis: Senario paling munasabah sekiranya PH berjaya
mempertahankan sebahagian besar kerusi campuran tetapi gagal menembusi
kawasan majoriti Melayu.
- Dewan tergantung atau PH
bertahan tipis: Masih boleh berlaku sekiranya
penyokong PH keluar mengundi pada kadar lebih tinggi daripada jangkaan,
undi BN-PN tidak berpindah sepenuhnya dan BERSATU memecahkan undi di
beberapa kerusi marginal.
Kesimpulan
PRN
Negeri Sembilan 2026 bukan sekadar pertandingan antara PH dengan BN-PN. Pilihan
raya ini merupakan ujian terhadap empat persoalan besar: keberkesanan
pemindahan undi BN-PN, ketahanan sokongan bukan Melayu kepada PH, tahap
mobilisasi pengundi muda serta pengaruh politik identiti berbanding rekod
pentadbiran.
IESAD
menjangkakan BN-PN mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan, tetapi
kelebihan tersebut belum boleh dianggap muktamad. Dengan sekurang-kurangnya
lapan hingga 10 kerusi masih kompetitif, perubahan beberapa ratus undi boleh
menentukan sama ada Negeri Sembilan memperoleh kerajaan dengan majoriti selesa,
majoriti tipis atau sebuah Dewan Undangan Negeri yang tergantung.
IESAD
menyeru seluruh pengundi Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab secara
matang, menolak politik kebencian dan salah maklumat serta membuat pilihan
berasaskan fakta, prestasi, integriti calon dan kepentingan masa depan negeri.
Dikeluarkan oleh:
Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD)
Universiti Selangor (UNISEL)
31 Julai 2026

Ulasan