Ini Catatan Terus Terang Dunia Mendan. Saya menulis catatan ini bukan untuk mengkritik Parti Amanah Negara (AMANAH), jauh sekali untuk memperlekehkan pengorbanan ahli dan pemimpinnya yang masih setia bekerja. Saya menulis kerana AMANAH sedang berhadapan dengan satu persoalan yang semakin sukar dielakkan:Selepas lebih sedekad ditubuhkan, apakah sebenarnya kedudukan AMANAH dalam pemikiran rakyat?
Dalam PRN Sabah 2025 pula, AMANAH hanya diberikan satu kerusi, iaitu Sulabayan. Calonnya tidak menang. Malah, prestasi keseluruhan PH di Sabah sangat mengecewakan apabila hanya satu daripada 22 calon PH berjaya memperoleh kemenangan. Keputusan tersebut memperlihatkan penolakan terhadap parti-parti dari Semenanjung, di samping kegagalan PH—termasuk AMANAH—untuk memahami sepenuhnya sentimen serta dinamika politik tempatan Sabah.
Kemudian datang PRN Johor 2026. AMANAH bertanding di 19 kerusi, tetapi hanya berjaya mempertahankan satu kerusi, iaitu Simpang Jeram, melalui Nazri Abdul Rahman. PH secara keseluruhannya sekadar menang lapan kerusi—DAP enam, PKR satu dan AMANAH satu—sedangkan BN menyapu 48 daripada 56 kerusi. PRN Negeris Sembilan pula, AMANAH kalah kesemua kerusi yang ditandingi. Ada yang hilang deposit.
Sabah, Johor dan Negeri Sembilan merupakan tiga medan yang berbeza. Melaka selepas ini ialah ujian selepas kejatuhan kerajaan PH. Sabah mempunyai politik kenegerian dan struktur kepartian yang tersendiri. Johor pula merupakan medan kekuatan tradisional UMNO dan BN.
Namun, apabila semua keputusan ini dibaca bersama-sama, terdapat satu pola yang tidak boleh lagi disembunyikan:
AMANAH masih belum mempunyai kekuatan politik mandiri yang mencukupi untuk menggerakkan pengundi secara besar-besaran.
Jangan Sekadar Menyalahkan Gelombang Lawan
Alasan paling mudah ialah mengatakan AMANAH kalah kerana kekuatan UMNO, pengaruh PAS, sentimen kenegerian, kelemahan PH atau peratusan keluar mengundi. Semua itu mungkin benar. Tetapi jika setiap kekalahan sentiasa diterangkan melalui kekuatan lawan, bilakah kita mahu bercakap secara terbuka tentang kelemahan sendiri?
Masalah utama AMANAH bukan semata-mata kekurangan kerusi. Masalahnya ialah parti ini masih belum membina satu sebab yang cukup kuat untuk rakyat memilihnya.
Apakah jawapan mudah apabila orang bertanya: Mengapa perlu mengundi AMANAH?
Adakah kerana AMANAH lebih sederhana daripada PAS? Adakah kerana AMANAH lebih Islamik daripada PKR? Adakah kerana AMANAH menjadi jambatan kepada DAP? Adakah kerana AMANAH mempunyai tokoh yang baik? Atau kerana AMANAH sekadar salah satu daripada komponen PH?
Jawapannya masih kabur.
Dalam politik, menjadi “orang baik” sahaja tidak mencukupi. Parti politik mesti mempunyai identiti, kekuatan organisasi, pengaruh masyarakat, naratif perjuangan dan kelompok pengundi teras. Jika tidak, parti akan terus bergantung pada logo gabungan, populariti pemimpin tertentu serta pembahagian kerusi semasa pilihan raya.
AMANAH nampaknya masih terlalu bergantung pada kekuatan PH. Di sesetengah kawasan, pengundi memilih calon AMANAH kerana logo PH. Di kawasan lain, jentera bergerak dengan bantuan komponen PH. Nama calon pula sering hanya mula diperkenalkan ketika pilihan raya semakin hampir.
Ini bukan formula untuk membina sebuah parti besar. Ini sekadar formula untuk terus hidup—tetapi belum tentu untuk berkembang.
AMANAH Kelihatan Hanya Ketika Pilihan Raya
AMANAH mempunyai pemimpin yang berpengalaman, berpendidikan dan mampu berhujah. Namun, politik bukan hanya berlangsung di Parlimen, televisyen, media sosial, seminar atau pentas ceramah.
Politik sebenar berlaku ketika rakyat berhadapan dengan masalah pekerjaan, kenaikan kos sara hidup, kesukaran mendapatkan rumah, urusan tanah, masalah kesihatan mental, pendidikan anak, kebajikan OKU, keresahan ibu tunggal dan kebimbangan anak muda terhadap masa hadapan.
Di sinilah AMANAH perlu bertanya secara jujur: sejauh manakah parti ini benar-benar hadir dalam kehidupan harian rakyat?
Jika cawangan hanya aktif menjelang pilihan raya, jika program hanya bersifat ceramah, jika data pengundi tidak dikemas kini dan jika calon tidak membina kawasan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lebih awal, jangan terkejut apabila rakyat tidak mengenali parti.
Kemenangan tidak dibina dalam tempoh dua minggu berkempen. Kemenangan dibina melalui kerja yang panjang, membosankan dan kadangkala tidak mendapat liputan media.
PAS memahami perkara ini melalui rangkaian agama, pendidikan dan kebajikannya. UMNO pula mempunyai sejarah panjang, cawangan, jaringan kampung, hubungan kekeluargaan serta pengalaman mengurus jentera. DAP mempunyai pengundi teras, pusat khidmat dan kekuatan organisasi di kawasan tertentu.
Apakah ekosistem milik AMANAH?
Jika jawapannya masih “PH”, itu bermakna AMANAH belum berdiri dengan cukup kukuh.
Terperangkap antara PAS, PKR dan DAP
AMANAH berada dalam kedudukan politik yang sangat mencabar. Dalam ruang politik Melayu-Islam, PAS mempunyai jenama yang jauh lebih kuat dan mudah dikenali. Dalam politik pelbagai kaum serta reformasi, PKR lebih dominan. Di kawasan bandar dan separa bandar bukan Melayu, DAP memiliki jentera dan pengundi teras yang lebih tersusun.
Akibatnya, AMANAH sering kelihatan seperti berada di tengah-tengah tetapi tidak menguasai mana-mana ruang.
Lebih membimbangkan, AMANAH terlalu lama membenarkan dirinya ditakrifkan sebagai “PAS yang sederhana” atau sebuah parti serpihan PAS. Selagi AMANAH dilihat melalui cermin PAS, selagi itulah parti ini bermain di gelanggang yang ditentukan oleh lawannya.
AMANAH tidak perlu menjadi kurang Islam untuk kelihatan progresif. AMANAH juga tidak perlu menjadi lebih keras untuk membuktikan keislamannya. Yang diperlukan ialah keberanian untuk menterjemahkan Islam kepada penyelesaian kehidupan sebenar.
Islam yang membela pekerja gig.
Islam yang memperjuangkan hak OKU.
Islam yang menentang kemiskinan bandar.
Islam yang mengangkat pendidikan berkualiti.
Islam yang menjaga alam sekitar.
Islam yang melindungi wanita dan kanak-kanak.
Islam yang mengurus perbezaan dengan adab dan ilmu.
Islam yang menawarkan pentadbiran bersih, cekap dan berperikemanusiaan.
Itulah ruang politik AMANAH yang masih belum diterokai secara bersungguh-sungguh.
Kekuatan yang Belum Digali
Kegagalan dalam pilihan raya tidak bermakna AMANAH tidak mempunyai kekuatan. Sebenarnya, parti ini mempunyai beberapa aset yang sangat berharga.
Pertama, AMANAH mempunyai ramai pemimpin yang berpengalaman dalam gerakan Islam, pendidikan, dakwah, kebajikan dan masyarakat sivil. Mereka mempunyai kefahaman agama, tetapi pada masa yang sama mampu berbicara dalam kerangka demokrasi, Perlembagaan dan masyarakat majmuk.
Kedua, AMANAH berpotensi menjadi jambatan antara masyarakat Melayu-Islam dengan masyarakat bukan Melayu. Bukan semua pengundi Melayu selesa dengan politik agama yang keras. Bukan semua pengundi bukan Melayu menolak politik Islam. Ramai sebenarnya sedang mencari pendekatan Islam yang matang, sederhana, meyakinkan dan tidak mengancam.
Ketiga, AMANAH mempunyai ruang besar dalam kalangan profesional Melayu, kelas menengah, aktivis masyarakat, penjawat awam, pendidik, belia bandar dan mereka yang mahukan politik Islam yang lebih berilmu.
Namun, kelompok ini tidak akan datang sendiri. Mereka perlu dicari, didekati, diberikan ruang dan dinaikkan sebagai pemimpin.
Keempat, AMANAH mempunyai ramai tokoh berkualiti yang memiliki rekod khidmat serta pengalaman pentadbiran. Malangnya, kekuatan individu ini masih belum dihimpunkan menjadi kekuatan institusi dan jenama parti yang jelas.
Saya Mengenali Kekuatan dalam AMANAH
Kritikan ini bukan dibuat dari jauh atau berasaskan keputusan pilihan raya semata-mata. Saya sendiri banyak terlibat dan bekerjasama dengan pemimpin AMANAH, khususnya dalam perjuangan membela serta memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU).
Melalui pengalaman tersebut, saya melihat sendiri bahawa AMANAH sebenarnya mempunyai ramai pemimpin yang hebat, ikhlas dan benar-benar mahu menyelesaikan masalah rakyat.
Antaranya ialah Dr Siti Mariah Mahmud. Bagi saya, beliau merupakan antara pemimpin yang benar-benar mencetuskan usaha mengangkat isu OKU secara lebih tersusun dan substantif di Selangor. Beliau bukan sekadar bercakap tentang kebajikan, tetapi memahami bahawa golongan OKU memerlukan dasar, sistem sokongan, peruntukan, peluang dan pengiktirafan terhadap hak mereka. ANIS lahir di bawah Dr Siti Mariah.
Dr Siti Mariah merupakan seorang pemimpin yang cukup hebat. Sifatnya tenang, merendah diri dan tidak gemar mencari publisiti. Namun, di sebalik ketenangan itu terdapat keberanian, ketegasan dan kesungguhan luar biasa dalam memperjuangkan golongan yang sering terpinggir daripada arus utama pembangunan.
Saya juga pernah berhubung dan bekerjasama dengan Cikgu Alias ketika beliau menjadi orang nombor dua AMANAH Sabah. Pengalaman tersebut memperlihatkan bahawa AMANAH mempunyai pemimpin akar umbi yang memahami keunikan masyarakat tempatan. Pemimpin seperti beliau merupakan aset penting jika parti benar-benar mahu membina tapak yang lebih kukuh di Sabah. Cuma Cikgu Alias tidak lama di dalam AMANAH, beliau kemudiannya ke WARISAN dan menang sebagai ADUN di Sekong.Begitu juga dengan YB Danial. Pengalaman beliau sebagai Ahli Majlis MBSA, keterlibatan dengan Jabatan ANIS, peranan sebagai ADUN serta penglibatan bersama MTOS memperlihatkan keupayaan untuk menghubungkan dasar kerajaan dengan realiti masyarakat. Kecemerlangan YB Danial sebagai ADUN dan dalam usaha OKU adalah petanda AMANH tidak kekurangan pemimpin muda. Pimpinan seperti ini perlu diangkat.
AMANAH memerlukan lebih ramai pemimpin yang bukan sahaja boleh berpidato, tetapi memahami proses pentadbiran, keperluan komuniti dan kaedah menterjemahkan dasar kepada tindakan.
YB Ustazah Mariam Abdul Rashid juga merupakan antara aset penting AMANAH yang tidak boleh dipandang kecil. Sebelum dipilih sebagai ADUN Meru, beliau telah lama dikenali sebagai aktivis yang tekun, berprinsip dan dekat dengan masyarakat. Perjalanan beliau daripada dunia aktivisme kepada peranan sebagai wakil rakyat membuktikan bahawa kepimpinan tidak semestinya lahir daripada kedudukan atau jawatan. Kepimpinan boleh dibina melalui kerja lapangan, pengorbanan dan hubungan yang tulen dengan rakyat.
Beliau membawa watak pendakwah dan aktivis yang memahami denyut nadi masyarakat. Pendekatannya sederhana, mesra dan tidak menghukum memperlihatkan wajah politik Islam yang lebih manusiawi. Pengalaman panjang bersama komuniti memberikan beliau kelebihan untuk memahami isu keluarga, wanita, pendidikan, kebajikan dan pelbagai cabaran masyarakat di peringkat akar umbi.
Tokoh seperti YB Ustazah Mariam perlu diberikan ruang lebih luas untuk menjadi antara wajah utama AMANAH. Beliau membuktikan bahawa parti ini mempunyai pemimpin wanita Muslim yang bukan sahaja mampu berbicara tentang nilai dan prinsip, tetapi turut turun bekerja serta menterjemahkan perjuangan kepada khidmat yang nyata.
Kekuatan aktivisme, kesederhanaan dan kedekatan beliau dengan rakyat merupakan modal politik yang sangat berharga. AMANAH harus mengangkat perjalanan beliau—daripada seorang aktivis masyarakat yang hebat kepada ADUN Meru—sebagai contoh bahawa politik Islam boleh berkembang melalui khidmat, kasih sayang dan kepercayaan rakyat.
YB Anfaal Saari pula, melalui tanggungjawab sebagai Exco yang menguruskan kebajikan, menunjukkan potensi besar generasi kepimpinan baharu AMANAH. Portfolio kebajikan bukan portfolio kecil. Di situlah kerajaan berhadapan secara langsung dengan kesusahan rakyat—kemiskinan, keluarga rentan, warga emas, wanita, kanak-kanak dan komuniti OKU.
Kepekaan, tenaga dan keterbukaan beliau terhadap suara masyarakat merupakan kekuatan yang perlu diketengahkan sebagai wajah masa hadapan parti.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula mempunyai kekuatan tersendiri sebagai Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Kuala Selangor. Beliau membawa imej profesional, berilmu, berintegriti dan mampu mengurus portfolio nasional yang kompleks.
Dalam suasana rakyat semakin menuntut pemimpin yang mempunyai kompetensi dan bukan sekadar petah berpolitik, tokoh seperti beliau merupakan aset besar kepada AMANAH.
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa juga memperlihatkan bahawa AMANAH mempunyai pemimpin yang mampu menguasai isu besar negara, khususnya perkara yang dekat dengan hati dan kehidupan masyarakat Melayu-Islam. Penampilan beliau baru-baru ini dalam sebuah podcast yang membicarakan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji telah membawa sinar dan keyakinan baharu kepada AMANAH.
Beliau tampil memberikan penjelasan yang tegas, tersusun dan berasaskan fakta mengenai kedudukan sebenar Tabung Haji serta usaha penstrukturan semula institusi tersebut ketika beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama.
Penjelasan itu penting kerana isu Tabung Haji bukan sekadar isu kewangan atau pentadbiran. Ia menyentuh institusi yang sangat dekat dengan kehidupan, emosi dan keyakinan umat Islam, khususnya orang Melayu.
Selama bertahun-tahun, pelbagai dakwaan dan persepsi negatif berkaitan penstrukturan Tabung Haji telah digunakan untuk menyerang beliau dan PH. Pendedahan laporan RCI serta keberanian Datuk Seri Dr Mujahid menjelaskan isu tersebut membuka ruang kepada rakyat untuk menilai berdasarkan fakta, bukan sentimen atau fitnah politik.
Inilah contoh komunikasi politik yang diperlukan AMANAH. Parti mesti berani memasuki gelanggang isu yang dekat dengan masyarakat Melayu-Islam, menjawab tuduhan dengan yakin dan menerangkan perkara yang rumit dalam bahasa rakyat.
AMANAH tidak boleh membiarkan isu agama, institusi Islam dan kepentingan orang Melayu dimonopoli naratifnya oleh parti lain.
Penampilan Datuk Seri Dr Mujahid itu juga membuktikan bahawa podcast dan media digital boleh menjadi medan penting untuk mengetengahkan kepakaran, pengalaman dan keberanian pemimpin AMANAH. Suara seperti ini mesti diperbanyakkan, dipotong kepada kandungan pendek, disebarkan secara tersusun dan dibawa hingga ke peringkat akar umbi.
Satu penampilan yang kuat tidak sepatutnya berhenti sebagai kandungan bermusim. Ia perlu dikembangkan menjadi kempen penerangan yang berterusan.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, juga merupakan aset politik yang sangat besar kepada parti. Beliau mempunyai sejarah perjuangan yang panjang, keberanian menghadapi tekanan, gaya komunikasi yang dekat dengan rakyat serta keupayaan merentas kelompok politik dan masyarakat.
Watak beliau yang bersahaja, mudah didekati dan tidak bermusuhan menyebabkan beliau diterima bukan sahaja dalam kalangan penyokong AMANAH, tetapi juga oleh masyarakat yang lebih luas.
Lebih penting, prestasi beliau sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu diketengahkan dengan lebih agresif dan berulang kali. Portfolio ini menyentuh perkara paling asas dalam kehidupan rakyat—bekalan makanan, harga beras, nasib pesawah, nelayan, penternak, pekebun kecil, keterjaminan rantaian bekalan serta masa hadapan sektor agromakanan negara.
Kecemerlangan dan pencapaian kementerian di bawah kepimpinan beliau tidak seharusnya hanya muncul dalam kenyataan rasmi kementerian, laporan tahunan atau ucapan tertentu. AMANAH mesti menterjemahkannya kepada bahasa politik yang mudah difahami: apakah masalah yang telah diselesaikan, apakah pembaharuan yang telah dilakukan, siapa yang menerima manfaat dan bagaimana dasar tersebut memberikan kesan kepada kehidupan rakyat?
Kisah kejayaan Datuk Seri Mohamad Sabu mesti kerap diulang siar—bukan untuk membina pemujaan terhadap individu, tetapi untuk membuktikan bahawa pemimpin AMANAH mempunyai keupayaan mentadbir, menyelesaikan masalah dan menjaga kepentingan rakyat.
Dalam politik, pencapaian yang tidak diceritakan akhirnya dianggap tidak pernah berlaku.
Nama Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub tentunya tidak boleh dipisahkan daripada politik kasih sayang dan agenda Rahmah. Beliau berjaya menunjukkan bahawa seorang pemimpin Islam tidak perlu garang untuk dihormati, tidak perlu bermusuh untuk kelihatan tegas dan tidak perlu menggunakan agama sebagai senjata politik untuk diterima rakyat.
Allahyarham hadir dengan kesederhanaan, keikhlasan dan sikap merakyat. Beliau bukan sahaja menjadi ikon AMANAH, tetapi diterima sebagai pemimpin seluruh rakyat Malaysia.
Warisan Rahmah yang ditinggalkannya tidak sepatutnya hanya dikenang melalui ucapan atau program tahunan. Ia perlu dijadikan falsafah, budaya dan identiti utama AMANAH.
Pemimpin-pemimpin ini—bersama-sama ramai lagi pemimpin serta aktivis AMANAH di seluruh negara—cukup hebat dan ikhlas. Masalahnya bukan kerana AMANAH tidak mempunyai tokoh berkualiti. Masalahnya ialah kekuatan mereka masih bergerak sebagai kecemerlangan individu dan belum sepenuhnya digabungkan menjadi kekuatan institusi, naratif serta jenama parti.
AMANAH perlu mengangkat kisah perjuangan mereka. Tunjukkan kepada rakyat apakah yang telah mereka lakukan, siapa yang telah dibantu dan apakah perubahan dasar yang berjaya dilaksanakan. Jangan biarkan jasa mereka hanya diketahui oleh kelompok yang pernah bekerja bersama mereka.
Kekuatan Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Presiden dan pentadbir, keberanian Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menjawab isu RCI Tabung Haji, kewibawaan profesional Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sumbangan Dr Siti Mariah dalam memperjuangkan dasar kesihatan dan OKU, pengalaman akar umbi Cikgu Alias, keupayaan pentadbiran YB Danial, aktivisme YB Ustazah Mariam, tenaga serta keprihatinan YB Anfaal dan legasi Rahmah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub perlu dirangka sebagai sebahagian daripada wajah besar AMANAH.
Inilah aset sebenar yang mampu membawa AMANAH ke hadapan.
Namun, aset politik hanya mempunyai nilai apabila diketahui, difahami dan diyakini oleh rakyat. AMANAH mesti berhenti membiarkan pencapaian pemimpinnya berlalu sebagai berita sehari. Kejayaan mereka mesti direkodkan, diceritakan dan diulang siar secara strategik sehingga rakyat dapat menghubungkan AMANAH dengan kompetensi, keberanian, kasih sayang dan penyelesaian masalah.
AMANAH perlu belajar bahawa komunikasi bukan sekadar mengeluarkan satu kenyataan media dan berharap rakyat akan mengingatinya. Mesej yang baik perlu diulang melalui pelbagai saluran—video pendek, podcast, infografik, ceramah, media sosial, penerangan cawangan dan pertemuan dengan masyarakat.
Pengulangan yang tersusun ialah sebahagian daripada pembinaan persepsi dan jenama politik.
Persoalannya bukan lagi sama ada AMANAH mempunyai tokoh atau tidak. Persoalannya ialah mengapa kekuatan, keberanian dan pencapaian tokoh-tokoh tersebut belum berjaya dihimpunkan menjadi satu naratif besar yang melekat dalam pemikiran rakyat.
AMANAH tidak kekurangan pemimpin yang baik. AMANAH mempunyai pemimpin yang berpengetahuan, berpengalaman, inklusif dan ikhlas berkhidmat. Yang masih kurang ialah keberanian serta kebijaksanaan untuk menggabungkan seluruh kekuatan tersebut menjadi sebuah gerakan politik yang jelas, tersusun dan dekat dengan rakyat.
Jika aset-aset ini digali, diperkasakan dan diketengahkan secara strategik, AMANAH boleh muncul sebagai parti yang bukan sahaja bercakap tentang Islam yang membawa rahmat, tetapi membuktikannya melalui dasar, perkhidmatan dan tindakan.
Itulah AMANAH yang saya kenali. Dan itulah juga AMANAH yang saya percaya masih mampu dibina.
AMANAH Terlalu Selesa Menjadi Parti Elit?
Ini kritikan yang mungkin pahit.
AMANAH kadangkala kelihatan lebih selesa berbicara dalam kalangan orang yang sudah bersetuju dengannya. Wacana parti banyak berlegar dalam seminar, kenyataan media dan perbincangan kelompok terdidik. Bahasanya baik, tetapi tidak semestinya sampai kepada rakyat biasa.
Parti tidak boleh hanya mempunyai pemimpin yang pandai menerangkan dasar. Parti juga memerlukan penggerak yang tahu masuk ke kampung, menyusun anak muda, membina hubungan dengan surau, mendekati peniaga kecil, mengurus bantuan dan menyelesaikan masalah harian rakyat.
AMANAH perlu berhenti menjadi parti yang hanya mudah difahami oleh golongan terpelajar.
Jika mesej parti tidak boleh dijelaskan dalam satu atau dua ayat kepada pemandu e-hailing, peneroka, pesawah, pekerja kilang dan anak muda yang baru kehilangan pekerjaan, maka mesej itu belum cukup tajam.
Apa yang Mesti Dilakukan?
Pertama, AMANAH mesti menentukan identitinya sendiri. Jangan hanya berkata bahawa AMANAH ialah parti Islam progresif dan sederhana. Terangkan apakah makna progresif dan sederhana itu dalam kehidupan rakyat.
AMANAH perlu tampil sebagai parti yang membawa Islam Rahmah—Islam yang menyelesaikan masalah, melindungi golongan rentan, mengurus perbezaan secara matang dan membina masyarakat yang adil.
Kedua, bina beberapa kerusi sasaran secara serius. Jangan terlalu ghairah bertanding banyak kerusi semata-mata untuk menunjukkan kewujudan. Lebih baik membina 20 atau 30 kerusi secara mendalam selama beberapa tahun daripada muncul di banyak kawasan tanpa organisasi yang kuat.
Setiap kerusi sasaran mesti mempunyai calon awal, pusat khidmat, data lokaliti, pasukan media, jaringan masyarakat dan sekurang-kurangnya satu isu perjuangan tempatan.
Ketiga, lakukan audit organisasi secara jujur. Berapa banyak cawangan yang benar-benar aktif? Berapa ramai ahli yang boleh digerakkan? Berapa banyak pusat daerah mengundi mempunyai petugas terlatih? Berapa ramai ahli muda dan wanita diberikan kuasa membuat keputusan?
Jangan lagi berpuas hati dengan angka keahlian di atas kertas.
Keempat, lahirkan generasi pemimpin baharu. AMANAH tidak boleh selama-lamanya bergantung pada tokoh pengasas. Parti memerlukan lebih ramai wajah baharu dalam kalangan anak muda, wanita, profesional, agamawan, aktivis komuniti dan pemimpin tempatan.
Kelima, angkat tokoh yang telah terbukti. Jangan biarkan pemimpin yang bekerja keras hanya dikenali di kawasan atau portfolio masing-masing. Kejayaan mereka perlu diceritakan sebagai kejayaan parti.
Pencapaian Datuk Seri Mohamad Sabu dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, penjelasan Datuk Seri Dr Mujahid mengenai Tabung Haji, keupayaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengurus Kementerian Kesihatan serta sumbangan pemimpin AMANAH di peringkat negeri dan akar umbi perlu dikembangkan menjadi kandungan komunikasi yang tersusun.
Keenam, kuasai satu atau dua agenda nasional sehingga rakyat terus mengaitkannya dengan AMANAH. Saya mencadangkan agar agenda tersebut berteraskan politik kasih, kebajikan rakyat, keterangkuman OKU, kos sara hidup, keharmonian masyarakat dan tata kelola berintegriti.
Ketujuh, AMANAH mesti lebih berani menegur rakan dalam kerajaan. Menjadi sebahagian daripada kerajaan tidak bermaksud mesti mempertahankan semua perkara. Parti yang tidak mempunyai pendirian sendiri akhirnya akan dilihat hanya sebagai penumpang kuasa.
Teguran boleh dibuat dengan beradab, berdasarkan fakta dan melalui saluran yang betul. Namun, suara itu mesti ada.
Kelapan, gerakkan politik khidmat sepanjang tahun. Cawangan AMANAH perlu menjadi pusat penyelesaian masalah masyarakat, bukannya sekadar sekretariat pilihan raya.
Kesembilan, bina ekosistem sendiri. AMANAH memerlukan rangkaian pendidikan, kebajikan, kesihatan komuniti, latihan belia, pengupayaan wanita, sokongan OKU dan pembangunan ekonomi setempat. Apabila masyarakat memperoleh manfaat langsung daripada kewujudan parti, hubungan politik akan menjadi lebih kukuh dan bermakna.
Kesepuluh, bina sistem komunikasi berulang. Jangan menganggap satu sidang media, satu podcast atau satu hantaran media sosial sudah mencukupi. Setiap kejayaan, pendirian dan penjelasan penting perlu diolah dalam pelbagai bentuk dan diulang sehingga difahami oleh rakyat.
Jangan Salahkan Rakyat
Selepas kalah, jangan kata rakyat tidak faham. Tugas parti politik ialah membuatkan rakyat faham.
Jangan kata rakyat terpengaruh dengan sentimen. Politik sememangnya berkaitan dengan persepsi, emosi, identiti dan keyakinan.
Jangan kata lawan menggunakan agama. Jika AMANAH mempunyai pendekatan agama yang lebih baik, buktikan kepada rakyat—bukan sekadar mengeluh tentang pendekatan lawan.
Jangan pula terlalu bergantung pada rundingan kerusi. Mendapat banyak kerusi untuk ditandingi tidak bermakna parti semakin kuat. Ukuran sebenar ialah berapa banyak kerusi yang mampu dimenangi, berapa besar undi sendiri yang boleh digerakkan dan berapa ramai pengundi mengidentifikasikan diri dengan perjuangan parti.
AMANAH juga tidak boleh menjadi parti yang hanya hidup melalui jawatan dalam kerajaan. Jawatan boleh hilang. Kerajaan boleh bertukar. Gabungan politik boleh berubah.
Yang akan mempertahankan sebuah parti ialah kepercayaan rakyat, kekuatan organisasi dan kejelasan perjuangannya.
AMANAH Belum Terlambat
Saya masih percaya AMANAH mempunyai masa hadapan. Malaysia memerlukan sebuah gerakan politik Islam yang demokratik, inklusif, berilmu dan berteraskan kemanusiaan.
Namun, keperluan terhadap idea itu tidak bermakna rakyat secara automatik akan memilih AMANAH.
AMANAH mesti memperjuangkan ruang tersebut. Ia mesti membina organisasi, membentuk identiti, melahirkan pemimpin dan hadir dalam denyut kehidupan rakyat.
Keputusan Melaka, Sabah dan Johor bukan sekadar kekalahan calon. Ia merupakan amaran bahawa kebaikan tanpa kekuatan tidak akan memenangkan pilihan raya. Kesederhanaan tanpa ketegasan tidak akan mencipta identiti. Kehadiran dalam kerajaan pula tidak semestinya menghasilkan sokongan rakyat.
AMANAH perlu memilih: mahu terus menjadi parti baik yang bergantung pada kekuatan gabungan, atau berubah menjadi parti kuat yang mempunyai akar, watak dan pengundi sendiri?
Muhasabah bukan sekadar mengadakan mesyuarat pascapilihan raya. Muhasabah sebenar ialah keberanian untuk mengakui bahawa cara lama tidak lagi memadai.
AMANAH tidak perlu menjadi PAS kedua, tetapi perlu menjadi alternatif kepada parti itu. AMANAH mesti berani menjadi AMANAH—sebuah parti Islam demokratik yang membela manusia, menyelesaikan masalah dan berani berdiri atas prinsipnya sendiri. Namun dalam politik identiti, perlu juga menjadi paksi orang Melayu dengan mesej membawa rahmah.
Jika perkara itu berjaya dilakukan, AMANAH bukan sahaja akan kekal relevan. Ia boleh menjadi kekuatan politik yang sangat diperlukan Malaysia.
Namun, jika parti terus selesa, terus kabur dan terus muncul hanya ketika pembahagian kerusi, rakyat akhirnya akan bertanya:
Untuk apa AMANAH masih diperlukan?
AMANAH mempunyai tokoh. AMANAH mempunyai nilai. AMANAH mempunyai sejarah perjuangan. Yang diperlukan sekarang ialah keberanian untuk menukarkan semua aset tersebut menjadi kekuatan rakyat.
— Dr Dan
Dunia Mendan







Ulasan